Sepi.
Dayana menunduk rapat. Walau seinci, tidak mampu diangkat mukanya. Duduk kaku, mendengar leteran panjang pak su. Melihat muka merah pak su... gerun dia. Tebakkan sayu mula terasa. Menelusuri perlahan-lahan ke segenap sanubari. Mahu membuka mulut untuk membela diri, tidak mampu dilakukan.
“Kenapa tak tunggu pak su?”
Senyap.
“Kan pak su dah kata, nak datang jemput. Berani kau balik naik bas!”
Dayana menelan air liur. Tidak pernah lagi dimarahi oleh pak su. Besarkah kesalahan yang telah dibuat?
“Yana...” terdiam Dayana sebaik melihat jegilan pak su.
“Kenapa buat macam ni? Risau pak su. Nasib baik, tak jadi apa-apa dalam perjalanan tadi. Yana..Yana.”
Dayana semakin rapat menunduk. Tubir mata sudah terasa hangat.
Macam manalah Encik Zakaria tidak marah. Berani betul Dayana, membuat keputusan sendiri. Cadangnya, ingin membawa Hajah Rokiah menjemput dua beradik itu di rumah kebajikan. Sebaik melihat kedua-duanya sedang berjalan masuk ke laman, berderau darah.
Tambah membuatkan dia geram apabila mengetahui mereka berdua menaiki bas awam. Dia merengus, memandang Dayana yang sering berubah ulah kebelakangan ini hingga susah mahu menjangkakan tindak-tanduk. Berani pada anak saudaranya, tidak kena pada tempat.
“Maaf, pak su. Yana bukan apa, tak nak susahkan pak su.”
“Susah apanya? Awal-awal pak su dah kata, nak pergi ambil korang.”
“Ya, tahu...”
“Tapi kenapa degil?”
Senyap.
“Kenapa diam?”
“Pak su, Yana nak belajar berdikari. Lagipun, pihak asrama ada bagi duit tambang. Bukan susah sangat. Bas yang nak ke sini kebetulan lalu depan asrama.”
“Kau kalau bab menjawab, memang pandai. Bukan apa, korang tu muda lagi. Janganlah memandai-mandai. Kat luar tu, banyak benda-benda tak elok yang kita tak boleh jangka. Buatnya kena culik? Siapa susah nanti? Kalau nak jadi berani sangat, tunggu bila kau dah besar!”
“Tapi pak su...”
“Sudahlah, Yana. Kalau dah pak su kata tu, ikut ajelah. Tak payah nak bertekak. Kau jangan buat macam ni lagi. Mak su tak suka. Jangan ikut kepala kau aje. Kalau jadi apa-apa kat Liyana, macam mana?” Puan Salmah menyampuk. Bengang dengan perangai Dayana. Suka-suka membuat keputusan sendiri.
“Yana minta maaf.”
Dengan mata yang berlinang, laju dia mengatur langkah, menghilangkan diri. Liyana hanya mendiamkan diri tanpa mahu mempertahankannya. Entahlah, dia benar-benar sedih. Sikap tidak mahu menyusahkah sesiapa, memakan diri sendiri.