Home Novel Alternatif Sfera
Bab 12

Bab 12: Adakah Ini Salahku?


Suatu pagi, ketika aku terbangun daripada tidur, aku bermenung seketika, mataku tertumpu pada kipas yang tidak bergerak. Terkebil-kebil aku memandangnya. Jam ketika itu menunjukkan pukul lima tiga puluh minit pagi. Persoalan yang bermain di mindaku pada ketika itu ialah 'Bila agaknya aku boleh keluarkan dia daripada ingatan?' Ya. Aku sedang memikirkan tentang Norman. Tetapi kadangkala, aku menyoal kembali diriku yang mungkin aku sendiri yang tidak mahu mengeluarkan dia daripada ingatanku.

Berkenaan dengan aku dan Norman, apa yang menjadi masalah aku sebenarnya ialah tiadanya penjelasan. Aku tidak boleh menjawab soalan ‘kenapa?’.

Kenapa dia tinggalkan aku? Apa yang tidak kena dengan aku sehingga dia tinggalkan aku? Apa yang ada dalam fikirannya?

Di saat itu, aku sebenarnya masih berharap hubungan kami akan terjalin semula. Bukan hanya berharap. Tetapi aku sampai ke tahap berdoa. Kalau diikutkan, ingin sahaja aku bersemuka dengan Norman dan bertanya apa yang tidak kena dengan hubungan kami. Tetapi aku kenal siapa diriku. Aku tidak seberani itu. Aku juga berasa malu untuk melakukannya. Mungkin kerana faktor jantina yang agak konvensional. Apabila aku katakan ini kepada Gina, responnya agak reaktif.

"Jadi kenapa? Kau tidak boleh pergi terhegeh-hegeh mencari Norman? Ada peraturan yang tertulis mengenainya?" kata Gina.

Jawapan untuk soalan itu semestinya tidak. Sememangnya tiada peraturan yang tertulis berkenaan dengannya. Tetapi, jika sesuatu itu tidak pernah tercatit di atas kertas, tidak bermakna sesuatu itu tidak wujud. Aku tahu ‘peraturan’ itu ada pada sel-sel otak sesetengah orang dan pandangan mereka itulah yang aku risaukan. Aku memilih untuk patuh pada peraturan itu. Pada pendapatku, sekiranya Gina hendak melakukannya aku memang tidak kisah. Itu ialah pilihanku sendiri kerana peraturan itu sememangnya tersemat dalam fikiranku. Walau pun begitu, aku tidak akan menggunakannya untuk menghukum dan mengkritik cara dan hidup orang lain. Semua ada cara masing-masing untuk memperbetulkan apa yang salah. Hidup kita pilihan kita.

Tempoh hari di Dr Love, aku dan Ally sekali lagi berbincang mengenai permasalahan aku dan Norman. Bukan Ally sahaja, perbincangan itu turut disertai kawan-kawan Ally yang kebetulan ada di situ. Ketiga-tiga mereka ialah lelaki. Memakai baju putih, seluar putih dan kasut berwarna coklat. Rambut mereka tersisir rapi. Sekali imbas, aku lihat mereka seperti sekumpulan kelasi kapal. Aku tidak pasti kenapa mereka memakai pakaian yang sama. Aku tidak berkesempatan untuk bertanya tentang hal pekerjaan dan butiran lanjut mengenai diri mereka. Walau apa pun, mereka membuka mindaku untuk menyoal diriku dengan soalan-soalan mereka.

Sambil menikmati teh Sabah yang terhidang, aku mula terfikir, mungkin kesalahan tidak sepatutnya diletakkan seratus peratus kepada Norman. Mungkin aku juga ada menyumbang kepada keretakan hubungan kami. Terus terang aku katakan, aku seperti dianalisa dengan soalan-soalan yang ditanya.

Soalan pertama: Ketika ada perselisihan faham adakah aku ingin sentiasa menang? Adakah aku banyak mendengar atau bercakap?

Aku menyemak semula rekod-rekod lama yang masih tersimpan dalam memoriku dan jawapan yang aku boleh beri adalah ‘jarang’. Ya. Itu sahaja yang boleh aku katakan. Nampaknya aku seperti tidak menjawab soalan mereka, bukan? Tetapi itulah kebenarannya, aku dan Norman jarang bergaduh. Aku tahu ada yang sesuatu yang tidak kena dengan jawapanku itu. Malah, itu buat aku berasa tidak normal. Sebabnya, aku selalu mendengar rungutan dan cerita tentang perselisihan dan pertengkaran kawan-kawanku dengan pasangan mereka. Tetapi, aku tahu aku tidak bersendirian. Semasa aku menonton temubual eksklusif Diane Sawyer dan Barbra Streisand beberapa tahun lalu, Diane bertanya kepada Barbra.

"Adakah awak selalu bertengkar dengan suami awak?"

Jawapan Barbra ialah, "Setiap masa. Tetapi selalunya berkenaan dengan perkara-perkara yang agak bodoh. Awak bertengkar dengan suami awak?" Babra menyoal kembali Diane.

"Jarang-jarang sekali. Awak rasa ada yang tidak kena dengan hal ini?'' Jawab Diane sambil diiringi dengan tawa kecil Barbra.

Terus terang aku katakan, aku tidak tahu hujah apa yang perlu aku gunakan ketika kami menghadapi krisis dan aku tahu Norman juga begitu. Inilah yang menyebabkan kami selalu diam seribu bahasa. Kedua-duanya ada perangai ‘aku tidak mahu lanjutkan isu ini’. Walaupun ada perkara besar yang berlaku,  aku dan Norman selalunya akan berpura-pura seolah-olah tiada apa-apa yang pernah berlaku antara kami. Sekiranya ada salah faham pada hari Isnin contohnya, keadaan akan jadi seperti biasa pada hari Jumaat. Masing-masing berpura-pura dan tidak mengekspresikan diri dengan menggunakan kata-kata atau pun riak muka.


Soalan kedua : Adakah aku kuat cemburu?


Sebelum menjawab soalan itu, aku bertanya pada diriku apakah erti cemburu yang sebenarnya? Pada pendapatku, ada dua perkataan yang boleh menjelaskannya iaitu ‘Tidak Suka’

Jadi jawapan aku untuk soalan mereka ialah 'ya'. Aku sememangnya seorang yang cemburu. Apabila aku kenang kembali, sebenarnya aku tidak suka apabila Norman melayan kawan-kawanku atau kawan-kawannya sendiri secara berlebihan (Gina dan Ally pun tidak terkecuali!) dan aku tidak pernah memberi tahu semua ini kepada sesiapa pun kerana bagiku, perasaan cemburu itu ialah sesuatu yang tidak cool. 

Bukan sahaja cemburu, aku juga seorang yang obsesif. Sepanjang perhubungan kami, aku banyak menghabiskan masa lapang dengan membaca setiap komen yang diberi atau yang diterima oleh Norman di Facebook. Aku juga kadang-kala mengintip gerak geri Norman. 

Namun begitu, aku tidak pernah menunjukkan perasaan cemburuku itu kepada Norman. Selama beberapa tahun, aku berjaya menyembunyikan perasaanku itu.


Soalan Ketiga : Adakah aku beranggapan yang dia perlu tahu segalanya tentang aku dan apa yang aku fikirkan? Dalam kata lain, adakah aku ini jenis yang sukar untuk berterus terang?


Mungkin... ya mungkin. Tetapi bukan aku sahaja, Norman juga jarang berterus terang. Mungkin, aku boleh kaitkannya dengan soalan pertama. Apabila ada sesuatu yang terjadi, kami akan mengelak daripada berkomunikasi atau bercakap mengenainya. Pada saat itu, aku mula sedar ada banyak perkara yang terjadi antara kami sebelum ini berakhir tanpa penjelasan. Umpama api dalam sekam.

Aku mengharapkan dia tahu segala-galanya tentang aku termasuklah apa yang aku fikirkan dan aku yakin dia juga begitu. Dia juga mengharapkan aku tahu segala-galanya tentang dia. Mungkin sudah tertanam satu kepercayaan ‘Jika dia ditakdirkan untuk aku, dia akan tahu apa yang aku fikir dan apa yang aku rasa’.  Mungkin inilah perangkap yang dibina daripada menonton filem-filem komedi romantis sejak kecil.


Soalan keempat : Adakah aku mementingkan diri sendiri?


Tidak. Tidak. Tidak. Tidak sama sekali. Aku pasti. Seratus peratus. Dia yang mementingkan diri sendiri. Tetapi kalau soalan ini diajukan kepada Norman. Adakah dia juga akan menjawab ‘Tidak’?.


Soalan kelima: Adakah aku suka menggesa supaya dia berkahwin dengan aku?


Tidak. Tidak sama sekali. Lapan tahun aku mengenali Norman. Jika aku ini suka menggesa. Aku rasa hubungan kami pasti berakhir pada tahun kedua. Bukan sahaja aku, dia pun bukan jenis yang suka menggesa.


Soalan keenam: Pernahkah aku menyuruh Norman untuk menjadi orang lain?


Ya. Aku pernah menyuruh dia untuk menjadi P.Diddy. Sekali sahaja, sewaktu hari jadinya dahulu. Aku menghadiahkan baju, pewangi dan beberapa produk Sean John kepada Norman. Itu pun boleh dikirakah?


Soalan-soalan yang diajukan tidak aku jawab di hadapan mereka. Aku fikirkannya semasa aku berada dalam perjalanan pulang. Tidak mungkin aku hendak mengakui yang aku menghabiskan masaku dengan mengintip gerak- geri Norman dan perasaan cemburuku bila Norman berbual dengan Ally dan Gina pada ketika itu. Aku tidak akan beritahu sesiapa mengenai hal itu. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Akan aku simpan rahsia ini sehingga ke hujung hayatku!

Namun, aku tahu kenapa soalan ini diutarakan kepadaku. Semua ini kerana bukan senang untuk kita mengetahui dan menyedari perkara yang perlu kita perbaiki dalam hidup kita. Masa silam akan kekal menjadi masa silam. Tetapi kita perlu belajar daripadanya bagi mengelak kemungkinan kita mengulanginya di masa hadapan. Masalahnya mampukah aku memulakan semula segala-galanya daripada 'A'?

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.