Bab 29: Virus
Apabila memperkatakan tentang virus dan epidemik moden. HIV AIDS ialah perkara pertama yang muncul dalam fikiranku.
Mungkin kerana wabak itu ialah isu yang sering aku dengar sejak tahun sembilan puluhan.
Teori konspirasi berkenaan AIDS yang dikatakan sengaja dijangkitkan daripada beruk di Afrika pada tahun lapan puluhan kepada sekumpulan manusia menjadi sesuatu yang aku minati sejak dahulu lagi. Namun begitu epidemik moden tidak pernah memberi kesan kepadaku secara peribadi.
''Nasib baik! Kalau tidak mati saya!'' Kata Daniel sejurus sahaja dia berjaya memulihkan fail-failnya yang dijangkiti virus. Lihat bagaimana hal tentang virus Daniel boleh membawa aku sejauh itu. Tetapi dengan pantas aku kembali ke dunia realiti!
Daniel tiba-tiba termenung. Dia seperti mengingati sesuatu.
'Mungkin dia mengingati Jennifer,' kataku dalam hati. Ah! Jennifer. Jennifer. Jennifer. Wanita itu sudah menjadi seperti satu virus kepadaku. Seperti mana-mana virus yang selama ini berfungsi untuk melumpuhkan, Jennifer telah berjaya melumpuhkan akal fikiranku pada ketika itu.
Daniel kemudiannya memandang ke arahku. Pantas aku mengalihkan pandanganku ke arah isi fail yang sedang aku pegang.
Selepas apa yang berlaku di Asia Cafe, aku dan Daniel berurusan seperti biasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku di antara kami. Apa yang dikatakan oleh Daniel malam itu membuatkan aku sedikit tersentak dan tertanya-tanya. Terutama sekali tentang keberadaanku di Terry Lee. Adakah aku diterima masuk ke Terry Lee kerana Jennifer? Atau kerana kebolehanku? Apa erti karisma yang dimaksudkan oleh Daniel? Kata-kata Daniel pada malam itu benar-benar memberikan kesan kepadaku. Aku merasakan kehadiranku dibayangi oleh Jennifer.
Atau pun, memang salah diriku sendiri kerana terbawa-bawa dengan emosi. Aku kira, Daniel mahukan persahabatan daripadaku. Tetapi, aku meromantiskan segala apa yang terjadi antara kami. Seharusnya aku awal-awal lagi mendengar nasihat Gina. Selagi tiada apa-apa deklarasi tentang hubungan ini, jangan terlalu tenggelam dengan emosi. Namun, segalanya sudah terlambat kerana aku sudah lemas ketika itu.
Selepas mencari sebanyak mungkin maklumat tentang Jennifer, aku berjaya menenangkan diri dan melupakan apa yang berlaku antara aku, Daniel dan Jennifer. Perlahan-lahan, bayangan Jennifer beransur hilang. Namun, itu semua tidak bertahan lama. Seperti satu virus, Jennifer kembali menghantui fikiranku apabila aku terbaca satu hantaran daripada satu laman web gosip. Tajuk posting tersebut ialah 'Editor majalah Hey Daniel kembali bersama dengan bekas kekasih?' Duniaku bergegar apabila membaca artikel yang ditulis. Aku menunjukkannya gambar-gambar kemesraan mereka berdua yang terdapat dalam artikel itu kepada Gina dan Ally. Aku mengadu kepada mereka akan kekecewaanku.
"Apa yang kau kecewakan sebenarnya?" Tanya Gina.
"Aku kecewa sebab... Aku sangkakan ada sesuatu di antara aku dan Daniel."
"Sesuatu?"
"Mmm.. Hmm.." Aku mengangguk.
"Hubungan istimewa maksud kau?"
Aku hanya diam. Aku tahu, dalam hati, Ally pasti berkata. 'Aku sudah beritahu awal-awal supaya berhati-hati dahulu bukan?' Tetapi dia tidak mengatakannya tepat ke mukaku. Itu ialah perkara paling buruk yang boleh dia katakan di saat aku sedang patah hati memikirkan tentang Daniel.
''Marina. Awak tahu apa yang berlaku pada Susan?'' Tanya Daniel. Dia tidak memandang kepadaku, matanya terarah kepada skrin komputer.
''Tidak. Apa yang berlaku?''
''Saya baru sahaja terima e-mel daripada Susan,'' Daniel terhenti. Dengan wajah yang berkerut, dia cuba menghabiskan e-mel yang diterima daripada Susan. ''Dia dikuarantin di hospital sekarang ini. Dia disyaki dijangkiti H1N1.''
''H1N1?'' Aku terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Daniel itu.
''Ya,'' Daniel mengangguk. Dia terdiam seketika. 'Hmm... Mungkin dia sedang memikirkan tentang Jennifer, sama ada dia dijangkiti H1N1 ataupun tidak' fikirku sendirian. ''Saya mahu pergi buat pemeriksaan hari ini,'' kata Daniel. Dia sedikit dramatik, dengan pantas dia bangun mencapai jaket denim yang diletakkannya di penjuru meja pejabatnya. ''Awak beritahu bahagian editorial supaya kumpulkan semua maklumat berkenaan restoran yang kita perlu ulas hari ini. Awak susun jadual saya untuk esok dan seperti biasa perkembangan isu untuk bulan hadapan setakat ini.''
''Okey. Daniel. Nanti...'' Daniel terus berlalu meninggalkan pejabatnya. Aku masih terpinga-pinga. Sekali lagi, aku mula berfikir tentang Jennifer.
''Marina...'' Daniel muncul kembali. Menghentikan lamunanku tentang Jennifer.
''Ya, Daniel.''
''Saya baru sahaja terfikir.''
''Apa dia Daniel?''
''Awak emelkan kepada semua yang berada di Hey. Beritahu mereka supaya menjalani pemeriksaan H1N1 esok di mana-mana klinik panel kita.''
''Okey. Tetapi...''
''Satu lagi. Tambah jika tiada surat sah mengatakan yang mereka bersih daripada wabak H1N1. Mereka tidak dibenarkan datang bekerja.''
''Okey. Bagaimana pula...''
''Satu lagi. Awak pun jangan lupa buat pemeriksaan ya Marina. Saya pergi dahulu!''
"Okey, Daniel."
Daniel berlalu meninggalkan aku yang masih lagi terpaku.
*****
''Sudah baca e-mel Daniel yang aku hantarkan pada kamu semua?'' Aku bertanya kepada semua Miss Urban Fruit yang sedang menikmati makan tengahari.
''Belum lagi. E-mel tentang apa Marina?'' Tanya Miss B.
''Tentang H1N1,'' jawabku ringkas.
''Oh. Daniel cakap tentang Susan dalam e-mel itu?''
''Tidak Miss B. Daniel suruh kita semua pergi buat pemeriksaan di mana-mana klinik panel esok.''
''Oh...'' Masing-masing menganggukkan kepala sambil menunjukkan muka 'Perlukah semua itu dilakukan?'
''Daniel terlalu panik dan berlebih-lebihanlah,'' kata Miss R.
''Kalau kamu semua hendak tahu, sejam selepas Daniel mengeluarkan arahan, emak aku pula hantar mesej berkenaan H1N1 dan suruh aku buat pemeriksaan,'' aku memberitahu mereka.
''Aku rasa naluri keibuan Daniel sangat kuat,'' kata Miss B. Kemudian, dia ketawa terbahak-bahak.
''Ha? Naluri keibuan?'' Tanya Miss R dengan dahi yang berkerut.
''Alahai... Kau rajin baca blog bukan? Aku pasti kau faham apa yang aku maksudkan,'' jawab Miss B sambil mengangkat-angkat keningnya, merujuk kepada entri blog berkenaan seksualiti Daniel yang pernah heboh pada satu ketika dahulu.
''Awhh... Saya faham,'' Miss D tersenyum nakal.
''No comment!'' kata Miss R dengan mulut yang penuh dengan risoto.
Kami ketawa kecil melihat gelagatnya.
*****
Di bilik mesyuarat...
''Jadi inilah keputusannya?'' Tanya Daniel sambil menyelak satu persatu laporan perubatan yang diserahkan kepadanya.
''Ya, Daniel. Semuanya dari klinik panel kita,'' jawabku.
Daniel termenung seketika di meja mesyuarat. Semestinya dia sedang memikirkan tentang situasi Hey pada ketika itu.
'Ini bukan mesyuarat yang biasa,' hatiku berkata-kata. Aku pasti yang lain juga begitu. Malam sebelumnya, aku menerima mesej dan panggilan bertalu-talu daripada mereka yang bekerja di Hey. Ketika itu aku berada di Dr Love.
''Virus! Virus!'' Kataku kepada Ally dan Gina sejurus aku menerima panggilan dan mesej daripada rakan-rakan ku di Hey.
''Kenapa tiba-tiba sahaja kau cakap tentang virus Marina?'' Tanya Gina.
Aku bercerita tentang apa yang berlaku di Hey kepada Gina dan Ally. Keputusan ujian itu mengejutkan kami semua bila mana hampir ke semua orang yang berada di bahagian editorial dikuarantin. Yang tinggal hanya lima orang termasuk aku.
Aku bersyukur kerana aku tidak dijangkiti, namun apa yang merunsingkan aku ketika itu ialah edisi baru HEY yang perlu disiapkan.
''Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Nampaknya inilah sahaja yang tinggal dalam bulatan kita. Jadi.....'' Daniel mencari ayat yang sesuai untuk menyedapkan hati kami. Aku tahu dia sebenarnya gubra. Tetapi jika dia menunjukkan gubranya itu kepada kami, maka kami juga akan turut merasainya. Aku kira dia mengawalnya dengan baik pada ketika itu.
Situasi yang berlaku di Hey pada ketika itu amat mengejutkan kami semua. Situasi itu ialah sesuatu yang tidak pernah kami jangkakan. Daniel segera mengadakan mesyuarat untuk membincangkan mengenai edisi HEY yang terbaru. Pada awalnya, kami bercadang untuk memberi fokus kepada isu air. Akan tetapi, oleh kerana isu air yang pada mulanya dicadangkan itu agak rumit kerana kebanyakan kami tidak begitu arif tentangnya ditambah lagi dengan kekurangan kru untuk membuat kajian, Daniel mula memikirkan sesuatu yang menarik, ringkas dan maklumatnya senang untuk dicari.
''Mungkin dia mahu buat isu tentang virus,'' bisik Teresa kepadaku.
''Apa kata jika kita muncul dengan isu komik dan animasi?'' Cadang Daniel. Kami semua berpandangan. Memikirkan tentang idea Daniel itu.
"Mengapa isu itu yang awak pilih?" Tanya Dee.
''Isu ini paling senang dan selamat buat masa sekarang. Kita boleh letak banyak material-material menarik dengan menggunakan satu atau pun dua orang pelukis komik untuk melukis. Tiada model dan sesi penggambaran yang perlu dirancang untuk isu ini. Isu ini mudah. Lagi pun kita sudah lama tidak buat isu ini," jawab Daniel.
''Betul, lagi pun kita kenal dengan ramai orang dalam bidang ini yang boleh memberikan input tentang perkara-perkara berkaitan dengan animasi dan komik,'' aku menyokong idea Daniel.
Kami berbincang seketika, tiada apa yang boleh dikatakan lagi. Itu ialah topik terbaik yang boleh dihasilkan pada ketika itu. Akhirnya kami sebulat suara bersetuju untuk tampil dengan isu animasi dan komik.
"Tetapi saya tidak mahu segalanya hanya berkisar tentang komik dan animasi," kata Daniel. "Kita perlu masukkan juga tentang isu virus."
"Aku sudah kata tadi," bisik Teresa sekali lagi kepadaku.
"Namun, perlu diingat, jangan menakutkan Kuala Lumpur dengan gambaran jelas tentang virus H1N1. Berikan Kuala Lumpur sedikit harapan dan semangat. Kita ceritakan isu virus ini secara grafik," sambung Daniel.
"Menarik. Oleh kerana kita akan berkolaborasi dengan beberapa pekomik. Ada baiknya kita cakap tentang virus yang tersembunyi sifatnya," Rushdee mengemukakan cadangannya.
"Maksud awak?" Tanya Daniel.
"Begini Daniel. Kita semua tahu yang komik dan animasi sedang berkembang di Malaysia bukan? Tetapi malang sekali, kita masih ada virus. Contohnya apabila kartunis Saga saman Gempak Starz. Ini satu cerita menarik. Kita cuba kaitkan ini dengan virus."
"Ya. Kita boleh temuramah pekomik yang berkolaborasi dengan kita dan tanya pendapat mereka berkenaan dengan virus H1N1 yang sedang melanda sekarang. Kita bawa mereka secara mendalam dan saya tahu mereka boleh bercakap tentang virus dalam kemanusiaan, korporat dan bidang komik yang mereka ceburi," sokong Teresa.
Pulang sahaja dari pejabat, aku terus ke Kafe Dr Love dan menceritakan kepada mereka apa yang telah berlaku.
''Jadi hanya ada lima orang sahaja yang bekerja?'' Tanya Ally.
''Ya! Hanya kami berlima sahaja. Daniel, Rushdee, Teresa, Dee dan aku,'' kataku kepada Ally dan Gina.
''God does work in a mysterious way,'' kata Gina.
''This is not a mystery. This can lead to misery!'' keluhku.
''Relaks, Marina!'' Ally menepuk bahuku perlahan. ''Lihat siapa yang tinggal. Daniel sebagai ketua editor, Marina sebagai penolong editor dan penulis, Rushdee sebagai jurugambar, Teresa sebagai juruedit dan Dee sebagai pereka grafik. Cukup!''
''Memang cukup. Cukup untuk buat aku sesak nafas!''