Home Novel Alternatif Sfera
Bab 38

Bab 38: Dari Hati ke Hati


Norman menghubungi aku beberapa hari sebelum itu.

“Marina... ini saya,” kata Norman sebaik sahaja aku menjawab panggilannya. Walaupun nombor yang digunakan berbeza dengan sebelumnya, aku masih boleh mengecam suaranya.

 " Hai. Norman?" Aku pura-pura meneka.

 "Awak masih lagi cam suara saya?" Norman bagaikan tidak percaya. Ternyata dia kagum apabila aku masih dapat mengenali suaranya walau lama tidak berhubung melalui telefon.

"Saya kenal awak bukan sehari dua," aku ketawa kecil. "Kenapa Norman?" Tanyaku selamba. Sejak bertemu dengan Norman di lapangan terbang beberapa minggu sebelumnya, aku telah berjanji pada diriku bahawa sekiranya aku berjumpa dengan Norman sekali lagi, aku akan cuba melayannya seperti kenalan rapatku yang lain.

Norman tidak segera menjawab, dia terdiam seketika.

"Norman?" Aku sangkakan panggilan terputus.

"Boleh saya jumpa awak sebentar Marina?" Pantas Norman memuntahkan pertanyaan. Ada satu tekad dalam suaranya itu, dia seolah-olah mengumpul keberanian dalam diamnya.

"Ada apa Norman?"

"Saya ingin bincangkan sesuatu dengan awak," jawabnya dengan tenang.

Aku tidak segera memberi jawapan, alasan sibuk dengan urusan di Hey aku gunakan sebagai alasan untuk melengah. Dua hari kemudiannya, Norman cuba menghubungiku kembali, namun aku tidak menjawab panggilannya. Bukan sengaja mahu mengelak, aku hanya ingin mengekalkan fokusku di Hey kerana aku tahu panggilan Norman bersifat emosional dan aku boleh terbawa dengan emosi jika tidak berjaga-jaga. Akhirnya, selepas selesai tugasan, aku menghantar pesanan ringkas kepada Norman. Dalam pesanan itu aku memohon maaf kerana tidak dapat menjawab panggilannya. Setelah menerima maklum balas daripada Norman dan berbalas pesanan dengannya, aku bersetuju untuk bertemu dengannya dan kami mengatur janji.

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, aku melangkah menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Pada hari tersebut, Norman nampak berbeza. Berbeza daripada Norman yang aku jumpa semasa di lapangan terbang. Nampak seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Pada mulanya, kami banyak mendiamkan diri. Janggal. Itulah perkataan yang boleh aku gunakan untuk menjelaskan situasi kami ketika itu. Kejanggalan yang berlaku apabila ada sejarah gelap antara dua pihak. Namun, perlahan-lahan kami cuba mengayuh.

"Awak nampak berbeza sekarang, Marina. Nampak lebih gembira daripada sebelum ini," Norman membuka bicara.

"Nampak jelas sangatkah?" Aku meraba-raba wajahku. Pura-pura mencari daripada mana datangnya kegembiraan yang dikatakan oleh Norman itu.

"Ya. Nampak jelas sangat," kata Norman. Dia tertawa dengan gelagatku.

Perlahan-lahan, perbualan kami menjadi rancak. Bermula dengan kisah kerjaya, kami beralih kepada cerita tentang keluarga, perkembangan rakan-rakan rapat kami dan hal-hal semasa.

Sepanjang perbualan, Norman banyak tersenyum dan dia nampak begitu menikmati perbualan kami. Namun, pada beberapa ketika, aku dapat lihat yang Norman sebenarnya sedang berkira-kira untuk menyatakan sesuatu yang terbuku dalam hatinya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk mengatakannya kepadaku. Norman tidak akan mengajak aku berjanji temu hanya untuk bercerita tentang perkembangan masing-masing. Aku tahu Norman sedang memendam sesuatu.

Buat seketika, kami berdua diam membisu. Kami kehabisan topik untuk dibicarakan.

"Norman. Apa tujuan awak ajak saya keluar sebenarnya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya.

Norman tidak segera menjawab. Raut wajahnya berubah serius. Seperti ada sesuatu yang akan menampar ego yang teroles di wajahnya. Dia menarik gelas berisi jus oren yang berada di hadapannya dan menyedutnya perlahan-lahan.

"Marina," Norman merenungku. Apabila aku membalasnya kembali, dia menunduk. Entah malu atau gugup, aku sendiri tidak tahu apa yang dirasainya ketika itu, "Saya mahu kita kembali seperti waktu dahulu," kata Norman dengan suara yang perlahan dan tersekat-sekat. "Kita boleh perbetulkan apa yang tidak betul," sambung Norman lagi.

Apa yang Norman katakan kepadaku benar-benar membuatkan aku terkejut. Sekelumit rasa marah terpercik daripada dalam jiwa. Aku tidak segera memberikan jawapan. Aku terdiam.

'Kau datang dan mahu sambung kembali hubungan yang kau putuskan dahulu. Apa kau fikir ini seperti kontrak atau pun tender perniagaan?' Aku berkata-kata dalam hati. Jika ikut hati yang terkejut, marah dan sedih, memang itulah yang akan terkeluar daripada mulutku.

"Sambung kembali?" Soalku kepada Norman dengan suara yang tenang.

"Ya," jawab Norman mengangguk. Kali ini dia memberanikan dirinya untuk melihat terus ke mataku.

Aku pula, berusaha sedaya upaya untuk berlagak tenang. Dalam fikiranku ketika itu, aku tercari-cari ayat yang sesuai untuk aku katakan kepada Norman. Sesuatu yang selamat untuk dikatakan.

"Secara jujurnya Norman, saya tidak nampak apa yang perlu diperbetulkan lagi. Segala-galanya sudah berakhir antara kita. Fasa saya dan awak sebagai pasangan yang bercinta telah... Berakhir," terangku kepada Norman. "Cukuplah Kita sebagai kawan."

"Tetapi…" Norman cuba untuk berbicara.

"Norman. Kita perlu akui yang cinta pernah wujud antara kita. Tetapi bukan untuk bersama. Mungkin pertemuan kita ialah salah satu cara untuk kita lebih kenal dengan diri kita."

Norman mengelus kecil.

"Saya tidak pernah membenci awak, Tetapi saya tidak fikir hubungan ini akan menjadi kerana ada banyak perkara yang boleh melemahkan kita berdua sekiranya kita bersatu."

Pertemuan dengan Norman membuatkan aku terfikir akan rantaian yang dahulunya tercipta dengan kata-kata indah antara kami. Jauh di sudut hati, aku terfikir akan kemungkinan untuk aku mengubah fikiran dan memberikan Norman peluang yang kedua.

'Hmmm... Tidak. Tidak mungkin.'

Aku sangkakan pertemuan aku dengan Norman telah menghuraikan segala apa yang tersimpul antara kami, namun simpulan yang terlerai itu cuba dicantikkan kembali. Pada hari yang berikutnya, aku menerima panggilan daripada satu nombor yang tidak aku kenali. Seperti biasa, aku akan jadi sedikit panik apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. 

"Ini pasti Norman! Ini satu helah Norman supaya aku tidak menekan Reject atau membiarkan sahaja panggilannya," kataku kepada Miss B. Ketika itu kami sedang asyik meneliti senarai topik-topik yang dipaparkan oleh majalah-majalah dari Jepun.

"Miss B. Tolonglah aku," pintaku kepada Miss B yang sudah empat hari pulang dari hospital setelah disahkan bebas daripada penyakit H1N1.

"Tolong apa pula?"

"Panggilan ini. Tolong jawabkan," aku menunjukkan skrin telefonku kepadanya.

"Jadi kau mahu aku berlakon menjadi 'penjaga' telefon inilah?"

"Boleh?" Aku cuba mempamer mimik muka yang penuh kesedihan.

"Sudahlah. Tidak perlu buat muka begitu. Macam orang hilang kucing sahaja aku tengok." 

Tanpa banyak soal, Miss B mengambil telefonku.

"Helo," ucap Miss B. "Oh! Ini bukan Marina. Ini pembantu dia," Miss B mengenyitkan mata. Dia nampak begitu meyakinkan. "Marina? Saya cuba tengok sama ada dia sibuk atau tidak sekarang ini. Boleh tunggu sebentar?"

"Perempuan," bisik Miss B kepadaku.

"Perempuan? Apa namanya?"

"Sarah. Jawab sahajalah. Macam sebaya dengan emak kita sahaja gaya suaranya."

Telefon itu dikembalikan kepadaku.

"Helo."

"Helo. Adakah itu Marina?" Tanya wanita itu.

"Ya," jawabku. Masih ragu-ragu.

"Ini saya. Puan Saerah," Nama itu membuatkan jantungku berdegup kencang. Pantas membawa aku kembali mengenang cerita lalu. Kisah aku, Norman dan Puan Saerah.

****

Puan Saerah sedang berdiri dengan megahnya di tengah-tengah lobi sambil membaca Marie Claire keluaran terbaru. Dia tidak menghiraukan sesiapa pun yang lalu lalang di situ. 'Haish! Pelik sungguh Puan Saerah ini,' kataku dalam hati apabila melihat dirinya yang masih mahu berdiri di tengah-tengah lobi walaupun bangku dan sofa yang disediakan di situ masih banyak yang kosong. Walau apa pun, dia nampak bergaya dan sangat menarik. Beberapa kali, orang yang lalu-lalang di situ terhenti memerhatikannya. Ada yang memalingkan kepala apabila melepasinya. 

Puan Saerah menghubungi aku dan menyatakan hasratnya untuk berjumpa denganku. "Hmm... ini sudah tentu mengenai Norman," kataku kepada Miss B selepas dia menamatkan panggilan.

"Dia nampaknya begitu mengambil berat tentang kau."

"Oh tidak. Walaupun ini mengenai hubungan aku dan Norman. Norman ialah fokus utama yang memotivasikannya untuk datang ke sini. Bukan aku. Dia hanya memenuhi permintaan anak kesayangannya."

Aku melangkah menuju ke arah Puan Saerah. Mungkin ramai yang mengatakan aku berhalusinasi, tetapi aku merasakan seperti ada seseorang yang berbisik kepadaku, "Pergilah berjumpa dengan Puan Saerah. Cium tangannya. Peluk dia. Jangan lupa senyum."

Puan Saerah dengan pantas dapat mengesan kehadiranku. Oleh kerana dia jenis yang tidak menghiraukan orang di sekelilingnya, aku sendiri tertanya-tanya  bagaimana agaknya dia dapat mengesan magnet tubuhku dengan begitu pantas. 'Barangkali dia mempunyai deria ke enam yang kuat?' Ujarku sendirian. 

Mungkin aku tidak sepatutnya ambil kisah sangat tentang hal-hal yang kecil sebegini. Yang penting, dia tersenyum lebar apabila melihatku. 'Hairan sungguh. Betulkah ini Saerah yang aku kenal dahulu?' Kataku sendirian sambil tersenyum.

"Marina," katanya. Sejurus sahaja aku berada enam puluh sentimeter darinya. Kami bersalaman dan kemudian berpelukan.

"Marina... Rindu dengan kamu," dia menatap wajahku.

"Saya pun. Lama tidak jumpa," balasku.

'Dua orang sedang berlakon di tengah lobi sekarang,' kataku dalam hati. Meragui kemesraan Puan Saerah.

"Awak nampak berlainan sekali sekarang ini, Marina."

"Lain apanya Puan Saerah?"

"Nampak agak kurus. Kurang bermaya. Tekanan agaknya ya?"

"Mungkin," jawabku ringkas. Merasa janggal apabila Puan Saerah melayanku sebegitu rupa.

"Marina. Jom kita pergi minum. Saya belanja."

Aku bersetuju dengan pelawaannya dan kami berdua melangkah ke sebuah restoran di CapSquare.

"Marina. Tujuan saya mengajak kamu ke sini adalah untuk bercakap tentang Norman."

"Sebenarnya, saya tidak tahu apa yang berlaku antara kamu dan Norman. Tetapi, nampaknya kamu berdua sudah tidak sefahaman lagi."

"Lebih kurang macam itulah."

"Saya kenal anak saya Marina."

Habislah aku. Dia ingin membela Norman.

"Dia sebenarnya masih lagi naif. Nampak sahaja matang tetapi ada banyak perkara yang perlu dijelaskan kepadanya," Puan Saerah ketawa kecil. Mungkin terkenangkan gelagat anaknya itu. "Saya tidak hairan sekiranya dia sukar memahami, kurang mengambil berat dan kadang-kadang bersifat suka mengambil mudah. Dia sendiri belum mengenali dirinya sendiri. Sejak dari mula lagi saya dapat lihat yang kamu berdua kurang serasi."

"Puan Saerah..." aku terpegun dengan apa yang dikatakan olehnya. Ini kali pertama aku mendengarnya bercakap dengan nada yang begitu matang.

"Tetapi ini tidak bermakna yang kamu berdua tiada jodoh. Perkahwinan merupakan satu kerja sepenuh masa.  Semua pihak perlu fikir sama ada mereka sudah faham akan tujuan hubungan itu dan adakah mereka sudah bersedia memberi komitmen dan masa untuknya."

Mungkin Puan Saerah bercakap melalui pengalamannya sendiri. Aku mula menyedari sesuatu yang selama ini aku lupakan mengenai Puan Saerah. Dia nyata seorang wanita yang boleh dikatakan sabar menghadapi cabaran rumah tangga. Bapa Norman, sebenarnya seorang lelaki yang mempunyai banyak sisi gelap yang kadangkala membuatkan aku tertanya-tanya akan kemungkinan Norman mewarisinya. Tetapi walaupun begitu dia tidak pernah sesekali mengabaikan Norman dan Puan Saerah. Aku bercakap daripada hati ke hati dengan Puan Saerah. Tempoh yang singkat itu kami gunakan untuk berbicara tentang kesediaan kami untuk menghabiskan masa bagi mencapai tujuan sesebuah perkahwinan.

"Maafkan saya Puan Saerah. Ada kerja yang perlu diselesaikan," aku meminta diri.

"Okey," Puan Saerah mengangguk.

"Terima kasih Puan Saerah."

"Sama-sama. Fikir-fikirkan apa yang saya katakan tadi ya," kata Puan Saerah mengakhiri perbualan.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.