Kemuncak krisis itu bermula apabila Zara membatalkan kemunculan Shazlin dalam rancangan Wanita Hari Ini dan menggantikannya dengan anak saudaranya sendiri yang bernama Norah.
Aku masih ingat lagi hari di mana Shazlin memberitahu aku tentang pembatalan kemunculannya di TV3. Shazlin keluar dengan mata yang merah dan berair. Tanpa menoleh ke arahku, dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik pejabatnya. Aku pantas bangun dan pergi mendapatkannya.
"Kenapa dengan kau Shazlin? Apa yang Zara buat kali ini?"
“Zara gantikan aku dengan Norah untuk temuramah dalam Wanita Hari Ini itu nanti,” terang Shazlin.
Aku terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Shazlin kerana aku begitu mengenali Norah. Anak saudara Zara yang gedik dan mengada-ngada. Setiap kali aku melihat Norah, aku pasti teringatkan Syakila dalam filem Bintang Hati lakonan Amy Mastura.
Pada hari yang mana promosi produk terbaru La Nona dijadualkan ke udara di TV3, Zara melakukan satu lagi kejutan.
Keletak! Keletuk! Keletak! Keletuk! Bunyi kasut tumit tinggi Zara yang menghampiri ruang pejabatku masih lagi terngiang-ngiang di telinga.
“O... o...” kata Shazlin yang kebetulan berada di situ. Dag! Dig! Dug! Kadar degupan jantungku meningkat. Aku pasti Shazlin juga begitu. Aku tidak dapat menjangkakan apa yang Zara mahukan pada ketika itu.
“Ha! Di sini rupanya kamu Shazlin! Penat saya cari kamu. Apa yang kamu buat di sini dengan Marina? Berbual? Curi tulang?” Kata Zara. Sukar untuk aku membezakan sama ada dia berada dalam keadaan yang tenang atau pun marah kerana kedua-duanya kedengaran sama sahaja.
"Saya...." belum sempat Shazlin habis menjawab, Zara pantas memotong.
“Shazlin, Marina. Kamu berdua ikut ke Sri Pentas hari ini boleh?” Arah Zara. Walaupun itu nampak seperti satu soalan, tetapi sebenarnya itu ialah satu arahan dan jawapannya tidak boleh tidak. Hanya Ya, Ya dan Ya!
Aku dan Shazlin berpandangan. Jika kami mampu menggunakan telepati, pasti akan aku boleh tahu apa yang sedang Shazlin fikirkan pada ketika itu.
“Untuk apa puan?” Aku menyoal dengan perlahan.
“Untuk apa?” Zara mengulang kembali apa yang aku katakan. Mukanya berkerut. Sedikit kemerah-merahan.
“Ya. Bukankah Norah yang akan hadiri temubual itu?” Tanya Shazlin pula.
“Saya mahu kamu berdua kawal keselamatan dia,” jelas Zara.
“Kawal keselamatan Norah?” Aku dan Shazlin bertanya serentak. Sekali lagi kami berpandangan. Tetapi kali ini dengan wajah yang berkerut.
“Ya. Kenapa? Ada apa-apa masalah?” Tanya Zara.
“Tiada. Cuma...”kata Shazlin.
“Maksudnya tiada masalah. Jom kita pergi sekarang!” Zara terus beransur meninggalkan kami yang masih lagi tercengang di situ. Aku berbincang sebentar dengan Shazlin tentang apa yang dikatakan oleh Zara. Tiba-tiba, pembantu peribadi Zara, Suzie, masuk ke dalam pejabatku.
“Aku dengar kamu diminta untuk ke Sri Pentas, ya?" Tanya Suzie.
"Ya. Untuk jadi pengawal peribadi Norah," jawab Shazlin. Suzie tertawa apabila mendengarnya.
"Pergi sahajalah. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Jaga Norah bukannya macam menolak bukit. Alah! Bukan susah sangat pun, kamu pastikan yang dia tidak terpelecok bila berjalan nanti. Itu sahaja. Aku yakin tiada siapa pun yang ingin culik dia. Okeylah, aku pergi jumpa Zara dahulu,” kata Suzie yang kemudiannya keluar berlari mendapatkan kembali Zara yang berlalu entah ke mana.
Kami berpandangan. Tetapi tiada sepatah kata pun yang keluar daripada mulut kami. Mungkin apa yang Shazlin sedang fikirkan pada ketika itu sama dengan apa yang sedang aku fikirkan. ‘Ada betulnya apa yang Suzie katakan’.
Aku cuba meyakinkan Shazlin dan juga diriku sendiri bahawa tugas yang diberikan oleh Zara itu amat-amat mudah. Lebih mudah daripada apa-apa pun tugas yang pernah diberikan oleh Zara.
Setibanya kami di Sri Pentas. Aku dan Shazlin ditempatkan di sebuah bilik dan kami diarahkan oleh Zara untuk ‘mengawal’ Norah yang pada ketika itu begitu khusyuk sekali membaca majalah tabloid yang penuh dengan cerita hantu dan mistik.
Zara muncul dengan penuh bergaya. Matanya melilau melihat tingkap, lantai, dinding, kerusi, cermin dan segala benda yang ada di dalam bilik itu. Kemudian, wajah kami pula ditelitinya. Mula-mula sekali aku, kemudian Shazlin dan akhir sekali Norah yang buat endah tidak endah sahaja dengan ibu saudaranya itu. Dia masih sibuk membaca cerita misteri yang membosankan.
''Shazlin," panggil Zara.
"Ya, puan?"
"Boleh kamu solekkan Norah?'' Arah Zara. Satu lagi arahan dalam bentuk pertanyaan.
“Boleh,” jawab Shazlin. Dia kedengaran yakin. Nasib baik sahaja Shazlin tahu serba sedikit tentang solekan. Jika tidak, pasti kami kelam kabut.
Sambil menunggu Norah disolek, aku mengambil majalah Glam yang terdapat di atas meja solek. Aku tidak membaca mana-mana artikel yang ditulis. Hanya melihat gambar-gambar yang dipaparkan sahaja.
“Sudah siap!” Kata Shazlin.
“Wooooo....” Itulah yang terpacul keluar daripada mulutku sejurus melihat wajah Norah.
“Bagaimana? Cantik?” Tanya Norah.
Aku dalam dilema. Sejujurnya jawapan aku ialah 'tidak' dan aku tahu walaupun itu solekan Shazlin secara teknikal, ideanya tetap datang daripada Norah kerana ketika dia disolek kedengaran kata-kata seperti, “Letak lagi!”, “Ha! Tepek banyak-banyak!” dan “Hei, itu tidak cukup panjang!” daripada mulut Norah.
“Tidak terlalu tebal?” Aku menyoal Norah.
“Mana ada tebal. Ini eloklah,” jawab Norah dengan yakin.
“Isyh... Risaulah. Macam ada sesuatu yang akan jadi,” bisik Shazlin kepadaku.
Bukan sahaja Shazlin, aku pun juga berasa begitu. Tetapi, aku terpaksa berlagak tenang. Bukan apa, jika aku pun ikut sama gubra, lagi haru-biru jadinya.
Norah nampaknya sudah bersiap sedia untuk temu ramah itu. Gayanya begitu meyakinkan. Aku akui dia nampak begitu menarik sekali di set. Cuma solekannya sahaja yang nampak berlebihan. Sementara menunggu dua pengacara Wanita Hari Ini iaitu Effa dan Norish disolek, kami berbual-bual seketika dengan jurukamera yang bertugas. Namanya Sean. Wajahnya tampan dan mulutnya ramah. Namun, entah mengapa, wajahnya berubah apabila mengetahui yang Zara berada di situ.
"Kenapa tiba-tiba sahaja dia nampak takut?" Tanyaku kepada Shazlin.
"Aku pernah baca satu blog dan alam blog itu, ada disebut yang Zara tidak suka pihak media bercakap dengan stafnya. Aku rasa sebab itulah dia tiba-tiba sahaja terdiam," jelas Shazlin.
Aku melihat Zara yang ketika itu duduk jauh beberapa meter dari kami. Dia sedang duduk di atas kerusi berwarna ungu yang merupakan warna kegemarannya. Aku pasti itu ialah permintaannya sebelum dia datang ke Sri Pentas. Oleh kerana dia mengenakan cermin mata berwarna hitam, kami tidak dapat meneka apa yang sedang bermain dalam fikirannya.
“Baiklah kita kembali lagi dalam Wanita Hari Ini dan seperti yang dijanjikan tadi, kita ada menjemput orang kuat La Nona iaitu saudari Norah Nasrul untuk bercakap serba sedikit mengenai produk terbaru La Nona yang sedang hangat diperkatakan sekarang,” kata Effa sebagai membuka sesi temuramah itu.
"Untuk pengetahuan semua. Saudari Norah Nasrul ini merupakan seorang penasihat produk di La Nona ya. Jadi apa khabar Norah hari ini?"
"Sihat-sihat sahaja. Terima kasih kerana mengundang saya ke mari."
“Baiklah Norah, bolehkah Norah terangkan sedikit apa istimewanya produk terbaru La Nona yang berasaskan buah markisar ini? Memang jadi buah mulut orang sekarang ini,” Norish mula menyoal.
“Baiklah... mmmm... sebenarnya begini...” Norah memulakan penerangannya. Norish dan Effa mengangguk-anggukkan kepala mereka. Tanda faham dengan apa yang dikatakan oleh Norah. Aku harus akui, penerangan yang diberikan oleh Norah amat baik sekali. Aku tidak menyangka Norah boleh melakukannya.
Namun, perhatian kepada temu ramah itu terganggu kerana tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi deringan telefon yang amat kuat daripada arah set pengambaran. Norah meraba-raba poket seluarnya, kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya yang berwarna merah. Ke semua mata tertumpu ke arah Norah. Aku percaya penonton di rumah juga pasti tertanya-tanya apa yang sedang berlaku ketika itu.
"Apa yang berlaku sekarang sebenarnya?" Aku bertanya kepada Shazlin.
"Entahlah Marina. Aku pun tidak pasti. Tetapi aku rasa tidak sedap hatilah..." kata Shazlin. Namun, aku cuba berfikiran positif. Aku memberitahu diriku yang itu mungkin salah satu gimik yang dirancang oleh Zara kerana pada ketika itu, dia masih duduk statik seperti patung. Kami tidak tahu apa responnya terhadap perkara itu. Shazlin pula membuat mimik muka yang seolah-olah mengatakan ‘aku sudah agak dia akan buat hal’.
“Wah... sibuk sekali Cik Norah kita ini ya...” kata Norish kepada Norah yang masih sibuk membaca sesuatu pada telefon bimbitnya dengan mata yang terbeliak. Ya! Matanya terbeliak! Seperti ada sesuatu yang mengejutkannya!
"Mungkin ada sesuatu yang hendak dikongsikan bersama dengan kita. Mungkin ada komen daripada pengguna setia La Nona tentang produk baru yang...."
“Tidak!!!” Effa tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila Norah menjerit seperti orang yang dirasuk.
“Norah.... bertenang... Apa yang telah terjadi sebenarnya?” Kedua-kedua pengacara itu cuba menenangkan Norah yang semakin tidak keruan. Dia menangis dan meraung seperti orang yang hilang akal. Norah bangun daripada kerusi dan berjalan meninggalkan set. Kedua-dua pengacara itu banyak kali memanggil Norah. Namun, langsung tidak dipedulikannya.
Aku dan Shazlin berpandangan. Kami kemudian memandang ke arah Zara. Dia membuka cermin mata hitamnya. Mukanya masam mencuka, dia nampak betul-betul marah!