Home Novel Cinta Gadis Poyo (Diakah CEO???)
BAB 38

Jam 6.00pagi Alia bangun dia melihat Amsya masih nyenyak tidur, dia tahu Amsya perlu bertolak awal untuk ke pejabat. Dia mendekati Amsya dan mengejutnya dengan perlahan.

“En.Amsya, bangun nanti awak lewat ke pejabat.” Amsya mengeliatkan badannya lalu membuka mata dengan perlahan-lahan. Selepas mengejutkan Amsya, Alia berjalan kearah pintu bilik dan membukanya dengan pantas Amsya bertanya.

“Lia nak ke mana tu”

“Nak pergi mandi bilik ummi.” Jawab Alia lalu membuka pintu ke bilik Puan Anis.

Amsya bangun terus ke bilik air, selepas mandi dan bersolat dia bersiap untuk ke pejabat. Apabila memasuki bilik Puan Anis, Alia mendapati umminya masih tidur dia segera ke bilik air. Selesai mandi Alia mengejutkan Puan Anis kemudian dia bersiapkan diri di bilik umminya memandangkan semua bajunya ada dibilik Puan Anis. Sedang dia bersiap pintu biliknya diketuk. Dia memandang umminya yang baru sudah sembahyang. Dia melaung dari dalam.

“Masuklah.” Amsya membuka pintu lalu masuk ke dalam. Dipandang umminya yang masih bertelekung sembahyang kemudian beralih pandangan pada Alia dicermin solek.

“Ummi, Alia…Am kena pergi sekarang.” Kata Amsya. Alia menoleh jam dinding bilik umminya 6.35pagi.

“Awalnya, nanti Lia siapkan breakfast dulu.” Balas Alia

“Tak apalah nanti abang makan kat luar.” Jawab Amysa. Alia bergerak kearah Amsya lalu ditarik tangan Amsya keluar dari bilik umminya. Amsya membalas tarikkan tangan Alia.

“Lia nak ke mana ni?” Tanya Amsya memandang anak mata Alia. Alia tersenyum membalasnya.

“Lia siapkan sarapan kejap. En.Amsya makan dulu, masih sempat ni.” Ajak Alia memujuk. Amsya tersenyum dengan kesunguhan Alia.

“Kejap, abang ambil barang dalam bilik.” Kata Amsya. Dia berlalu ke biliknya. Alia bergegas ke dapur menyediakan sarapan untuk suaminya. Diambil roti lalu dibakarnya. Amsya ke dapur dilihatnya Alia sedang membancuh air. Dia menarik kerusi dan duduk menunggu Alia menyediakan sarapan untuknya.

“Lia tak payah rebus telur, abang nak roti saja.” Pinta Amsya. Alia menghidang roti dan air yang telah disiapkan. Dia membubuh dua keping roti ke pinggan Amsya dan menuang secawan Nescafe. Amsya terus makan sarapan pada pagi itu. Puan Anis yang baru sampai diruang dapur menarik kerusi duduk didepan Amsya. Melihat Amsya makan dengan tergopoh-gopoh.

“Makan perlahan sikit Am.” Nasihat Puan Anis.

“Nak cepatlah ummi nanti jem, kalau dengan motor tak apalah, ini kereta.” Jawab Amsya. Selesai sahaja makan dia bangun bersalam dengan umminya. Alia juga turut bangun untuk menghantar Amsya ke kereta mereka berjalan seiringan. Umminya juga turut ikut mereka, dia berhenti didepan pintu utama. Alia menghantar Amsya hingga ke kereta. Amsya menghidupkan enjin keretanya, selepas itu Amsya menghulur tangan pada Alia. Alia menyambut tangan Amsya dan menciumnya. Amsya memerhati Alia dengan tajam, Alia mengangkat kening isyarat bertanya.

“Ciumlah abang.” Pinta Amsya.

“Kenapa pula kena cium? kan sudah salam.” Tanya Alia.

“Lia, ummi dulu bila walid nak pergi kerja ummi cium tangan, peluk dan cium pipi. Lia kena buat begitu juga, nanti ummi cakap abang tidak ajar pula. Cepatlah ummi tengok tu.” Arahnya pada Alia sambil matanya menjeling pada umminya yang berdiri tegak dimuka pintu. Terkejut Alia mendengarnya.

“Hah! Lia kena buat macam itu juga ke?” Soal Alia dengan mimik mukanya berkerut.

“Ya, cepatlah dah lewat ni.” Arahnya lagi. Tergaman Alia. Ini kali pertama dia kena cium lelaki selalunya Amsya yang cium dia. “Aduhhhh.” Keluh Alia.

“Cepatlah jangan terhegeh-hegeh.” Arah Amsya lagi. Alia tiada pilihan apabila Puan Anis ada, nak tak nak dia terpaksa juga memeluk dan cium Amsya. Perlahan-lahan dia merapatkan badannya memeluk dan kemudian mencium pipi Amsya. Amsya membalas rangkuman pinggang Alia. Amsya tersengih nakal dan mengoda pada Alia. Alia tertunduk malu.

“Dahlah pergi cepat.” Arah Alia. Sempat Amsya mencium dahi Alia sebelum masuk ke perut kereta, belum sempat Amsya menutup pintu kereta Alia bersuara.

“En.Amsya lupa nak bagitahu. Hari ini saya nak ke rumah kawan papa ada majlis hari raya.”

“Dimana? Pukul berapa nak pergi?” Tanya Amsya. Kurang senang lepaskan Alia Nasuha pergi ke mana-mana tanpanya.

“Shah Alam, mungkin tengah hari.” Jawab Alia.

“Tak pergi tak boleh ke?” Soal Amsya lagi mengaru kepala.

“Itu rumah kawan baik papa, kalau tak pergi nanti apa kata mereka.” Kata Alia.

“Cakap jer abang tak izinkan senang.” Balas Amsya bersahaja memandang anak mata Alia.

“Mereka tak tahu Lia sudah kahwin.” Jawab Alia dengan perlahan.

“Kenapa tak bagitahu?” Soal Amsya lagi sedikit marah dan tidak puashati.

“Kita kahwin temporary.”Jawab Alia bersahaja. Amsya mengulang perkataan yang disebut Alia dalam hatinya. “Temporary? Aku tak akan lepas kau Alia.” Demi menjaga hati Alia, Amsya terpaksa izinkannya.

“Baiklah tapi ingat, lepas tu jangan nak melencung kearah lain pula, balik terus. Faham.” Balas Amsya dengan wajahnya tidak puashati. Alia tersengih sambil mengangkat kening. Amsya menarik hidung Alia. “Sakitlah” Kata Alia.

“En.Amsya, kerja dua hari jer. Minggu ini hari Jumaat tak payahlah balik. Awak balik minggu depan boleh?” Kata Alia memberi cadangan, tersengih dan mengeleng kepala Amsya tidak menjawab kata-kata Alia.

“Abang pergi dulu, Assalamualaikum.” Amsya terus mengerakkan keretanya perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumahnya. Alia memjawab salam, kemudian masuk ke dalam rumah setelah kereta yang dipandu suaminya hilang dari pandangan. Alia Nasuha bersiap untuk ke pejabat pagi itu, sebelum ke pejabat sempat dia masuk ke bilik Amsya untuk mengemas apa yang patut, dia mengutip semua pakaian kotor yang telah dipakai oleh Amsya dan memasukkannya ke dalam bakul kain. Sempat dia berpesan pada Puan Anis yang ada diruang tamu.

“Ummi, pakaian En.Amsya ummi jangan basuh, nanti Lia balik petang Lia basuh.” Pesan Alia pada Puan Anis. Puan Anis mengangguk faham dengan pesanan menantu kesayangannya.

Pukul 8.40pagi Alia Nasuha tiba di pejabatnya dengan senyum manis. Rindunya dia pada pejabat terubat pagi itu setelah cuti dua minggu lebih. Syafikah melihat Alia berjalan ke meja dan berhenti didepannya. Sambil tersenyum manis pada bosnya, Syafikah bersuara dengan perlahan.

“Assalamualaikum, selamat pagi Cik Puan Alia Nasuha. Apa khabar? Kes kelmarin selesai ke?”

Alia tersengih dengan giginya dirapatkan dia menjawab. “Selesailah. Kau jangan nak berpuan pula dengan aku. Meeting pagi ini sudah bagitahu?”

“Sudah. So macam mana kau dengan dia?” Soal Syafikah sambil mengangkat kening.

“Aku cerita lain kali. Tengah hari ini aku nak ke rumah AR Sukri.” Jawab Alia. Dia terus beredar dari meja Syafikah menuju ke bilik papanya. Syafikah memerhati Alia ke bilik En.Helmi, tanpa sempat dia bertanya Alia lebih lanjut tujuan ke rumah arkitek Sukri.

Alia melangkah masuk ke bilik papanya lalu mengambil tempat dikerusi CEO. Walaupun kini dia yang memegang jawatan itu dan berhak ke atas kerusi itu namun dia ingat siapa yang lebih berhak keatas kerusi itu. Ingatannya kini pada Amsya, pemuda yang mengkahwininya tanpa mengenali siapa dia. Alia Nasuha memejam matanya mengingati setiap layanan, sentuhan dan ciuman Amsya padanya. Diluahkan perasaannya dengan sayu dan sedih Alia Nasuha berkata sendirian.

“Papa, mama. Lia sudah kahwin dengan orang yang tidak mengenali Lia tapi dia tidak cintakan Lia dalam hatinya ada orang lain. Amsya tidak layak duduk di atas kerusi ini kerana dia tidak mencintai Lia. Tapi Lia takut papa…Lia takut Lia jatuh cinta dengan Amsya dan Lia sekali lagi akan dikecewakan seperti mana perasan Lia dipermainkan oleh Jazlan.” Butiran jernih mengalir dipipinya, lalu dikesat.

Tiba-tiba ingatannya kembali pada Jazlan lelaki yang dicintainya semasa mereka sama-sama belajar di United Kingdom dalam jurusan yang sama. Namun cintanya kecundang apabila mengetahui Jazlan lelaki pisau cukur yang hanya mencintainya kerana wang. Mereka terpisah apabila Alia cuba menguji Jazlan menyatakan bahawa dia merupakan anak seorang kerani.

Alia Nasuha sekali lagi mengesat airmata yang mengalir dipipinya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya kemudia menghembusnya dengan kuat. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya untuk melegakan emosinya sebentar tadi. Kemudia Alia Nasuha keluar dari bilik En.Helmi menuju ke biliknya tanpa menoleh pada Syafikah yang ada dimeja sebelah biliknya, dia terus masuk ke biliknya. Syafikah melihat Alia dengan hairan.

Alia membelek fail yang bertimbung diatas mejanya diperhatikan fail itu satu persatu. Dia menarik fail report projek. Tiba-tiba pintunya diketuk. “Masuk” laung Alia menjawab. Halida melangkah masuk terus menuju ke meja bosnya.

“Cik Alia, masih ingat pasal projek di Johor Baharu? Design & build?” tanya Halida.

“Ya, so macam mana?” Tanya Alia kembali mengangkat muka memandang Halida.

“Ownernya nak jumpa kita dan lawat tapak sekali.” Kata Halida.

“Bila?” Tanya Alia teruja.

“Itulah saya nak tanya Cik Lia, bila cik Lia free? Mereka kalau boleh nak cepat minggu depan hari rabu macam mana?” Balas Halida. Alia terus menekan intercom memanggil Syafikah, lalu bertanya

“Syaf, hari rabu depan aku ada oppointment tak?”Syafikah cepat-cepat membuka buku catatannya. Belum sempat lagi dia mengadap bosnya pagi itu.

“Available.” Jawab Syafikah. Alia terus mematikan intercom.

“Beres Halida, awak bagitahu mereka kita ke sana? Owner dia siapa? Awak kenalkan?” Tanya Alia.

“Ya, saya kenal kawan baik suami saya, kerabat diraja Johor.” Jawab Halida. Terkejut Alia mendengarnya.

“Hah!...kerabat diraja Johor? Okey ke?” Tanya Alia terkejut.

“Okey, orangnya baik. Anak dia kawan baik suami saya. Cik Lia Saya keluar dulu? Cik Lia buat meeting pukul sepuluh kan?.”Balas Halida sambil tengok jam ditangannya. Alia mengangguk.

Fikiran Amsya kacau pagi itu membuatkan kerja-kerja yang ada diatas mejanya ditangguhkan dahulu. Dia memikirkan Alia yang akan ke rumah sahabat baik arwah bapa mertuanya di Shah Alam. Dua malam lepas Alia ada berbual dengan lelaki yang mengajaknya ke rumah mungkinkah Alia ke sana. Siapa lelaki itu?.Amsya cuba mencuri perhatian dan mengambil berat tentang diri Alia. Dia menghantar whatsApp yang berbunyi

“Morning darling, sudah makan? Jangan biarkan perut tu kosong. Sibuk ke?”

Seperti yang dijanjikan Alia masuk ke bilik mesyuarat pada pagi itu, Alia membuka password telefon bimbitinya lalu menyentuh item silent mode sebelum memulakan mesyuarat. Tiba-tiba dia menerima whatsApp dilihatnya pesanan dari Amsya lalu dibuka dan membacanya, dia tersengih dan mengeleng kepala. Alia tidak membalas whatsApp dari suaminya. Dia terus memulakan mesyuaratnya dengan salam dan ucapan selamat hari raya.

Alia Nasuha terus memulakan mesyuarat, Semua perkara yang berkaitan dengan syarikat diperjelaskan dengan teliti. Namun ada satu yang merusingkan Alia Nasuha tentang projek yang dilaksanakan oleh syarikatnya. Dia tidak mahu projek yang dijalankan tidak menepati spesifikasi dan jadual kerja kerana ini penting untuk prestasi syarikat HH Holding.

“Farah tolong bagi record pada saya berkaitan dengan projek Hotel Tok Bali. Kenapa tidak ada laporan sebelum cuti hari raya?”

“Saya belum terima laporan dari Johan di sana.” Jawab Farah.

“Kenapa tunggu dia hantar? Kalau tidak terima, follow-up sahaja. Awak prihatin sikit dengan kerja awak.” Terang Alia pada Farah. Alia menyambung lagi ucapannya pagi itu.

“Untuk pengetahuan semua hari ini saya akan membuat satu perubahan jawatan sebagimana yang telah saya janjikan berkaitan syarikah HH Holding dan AAH Development. Memandangkan saya mengalas dua jawatan dengan itu saya memerlukan pembantu untuk melancarkan kerja-kerja saya. En.Halim Bin Musa, awak saya lantik sebagai pengurus AAH Development Sdn.Bhd mengantikan tempat saya. Dan Zaiman awak dilantik sebagai pembantu saya untuk semua urusan berkaitan dengan pelan arkitek dalam HH Holding. Memandangkan saya belum lagi Arkitek maka Shukri Arkitek akan mengeluarkan satu surat pelantikan pada saya sebagai Assistant Architech. Yang lain tidak berubah masih kekal dengan jawatan masing-masing.

Mesyuarat yang menambil masa selama satu jam setengah itu berakhir. Alia Nasuha masuk ke biliknya menyambung kerja-kerja yang belum selesai. Dia memanggil Syafikah ke biliknya, Syafikah mengadap bosnya yang sedang sibuk memeriksa satu pelan projek teres 135unit di Nilai. Syafikah menunggu Alia bersuara tapi sudah lima minit masih membisu.

Amsya masih menunggu smsnya dibalas Alia namun hampa sudah pukul 12.00 tengah hari Alia belum membalasnya. Kali ini dia menghubungi Alia. Telefon berdering juga tidak dijawab oleh Alia. Sekali lagi dia mencuba tapi tidak juga dijawab, Amsya mengeluh panjang.

“Lia kenapa panggil aku?” Tanya Syafikah. Alia menjeling ke arah Syafikah didepanya.

“Eh, ada rupanya kau. Aku ingatkan patung tadi.” Balas Alia dengan gelak ketawanya.

“Ada apa kau panggil aku?” Tanya Syafikah sekali lagi dengan suara sedikit keras. Alia memandang syafikah dengan senyum.

“Syaf, kau tolong check dengan Halida di mana tapak projek dan tempat yang akan kita jumpa client kita hari rabu depan dan tolong booking bilik hotel yang terdekat.” Arah Alia. Syafikah berkerut dahi, dia tidak tahu ada projek baru yang akan masuk.

“Projek apa? dimana?” Tanya Syafikah.

“Design & build, kata Lida di Johor Baharu. Katanya owner kerabat diraja Johor. Kau ikut sekali tapi aku nak bawa ummi aku. Kau tanya Halida dia nak bawa suami dia sekali ke?” Balas Alia.

“Baik,Lia. Kau kata nak ke rumah arkitek Shukri. Pukul berapa?” Tanya Syafikah mengingati kata-kata Alia pagi tadi. Alia menoleh jam tangannya 12.15 tengah hari.

“Aku nak pergi sekarang. Kalau lewat mungkin aku tak masuk office.” Pesannya pada Syafikah. Alia bersiap untuk ke rumah Arkitek Sukri dia mengemas mejanya. Syafikah bangun meninggalkan bilik bosnya itu. Alia bergerak meninggalkan pejabatnya, sebelum mengerakkan keretanya Alia mengambil telefon bimbitnya. Dia lupa untuk membuka silent mode, apabila dia membuka telefonnya dia melihat panggilan masuk dari Amsya empat kali.

Omongnya sendirian. “Banyaknya, kenapa ya Amsya telefon aku, ummi tak sihat ke?” berdebar jantungnya seketika lalu menghubungi Puan Anis. Talian bersambung lama juga telefon berdering Alia semakin berdebar. Puan Anis menjawab panggilan dari menantunya.

“Hello.”

“Hello, ummi sihat ke?” Tanya Alia dengan cemas.

“Sihat, kenapa ni? Cemas jer.” Tanya Puan Anis apabila mendengar suara Alia cemas. Alia lega mendengarnya. Mujur umminya tidak apa-apa, risau dia kalau apa-apa berlaku pada umminya, tentu Amsya tidak percayakan dia.

“Tak adalah ummi, rindu jer. Ummi sudah makan? Dinner malam ini ummi nak makan apa? nanti Lia belikan lauk.” Tawar Alia pada Puan Anis niatnya untuk mengambil hati Puan Anis supaya Puan Anis sayang padanya.

“Ummi tidak kisah, Lia beli saja apa-apa, ya sayang.” Jawab Puan Anis tersenyum.

“Baiklah ummi. Ummi tunggu Lia tau. Sayang ummi. Bye”. Alia memutuskan perbualannya, tersenyum manis dan lega rasanya Puan Anis tidak apa-apa.

Bisiknya sendirian. “Kenapa Amsya ni telefon aku acap kali? Ummi tidak sakit pun. Malaslah nak balas sms atau panggilan dia, biarkanlah.”

Alia tidak juga membalas panggilan dari Amsya. Keretanya terus dipandu ke rumah Arkitek Sukri di Shah Alam. Alia membeli sedikit buah tangan untuk Puan Suhaila. Sampai sahaja di depan rumah Zafrul dia menarik nafas panjang hatinya sentiasa berdebar bila mahu berjumpa Zafrul. Dia keluar dari keretanya berjalan masuk ke rumah Zafrul. Zulaika adik bongsu Zafrul tersenyum lebar melihat Alia Nasuha menuju ke arahnya dengan senyum manis.

“Assalamualaikum.” Alia memberi salam pada tuan rumah.

“Waalaikummussalam.” Jawab Zulaika bersalam dengan Alia yang dianggap seperti kakaknya sendiri, lalu mempelawa Alia masuk ke dalam.

“Ika mana mama?” Tanya Alia.

“Kat dapur.” Jawab Zulaika. Mereka berdua menuju ke ruang dapur untuk berjumpa dengan Puan Suhaila. Ramai juga tetamu yang datang beraya dirumah arkitek Sukri. Ada beberapa orang kenalan dan sahabat papanya yang datang berkunjung ke rumah En.Sukri.

Sesampai sahaja Alia didapur terus dia mendapatkan Puan Suhaila yang sedang menyeduk lauk ke mangkuk untuk tetamu. Dipegang bahu Puan Suhaila perlahan dari belakang. Alia memberi salam, terperanjat sedikit Puan Suhaila apabila disapa dari belakang. Dia berpaling tersenyum dan membalas salam. Alia terus bersalam dan mencium kedua-dua pipi Puan Suhaila. Zafrul yang baru masuk ke dapur untuk mengambil lauk yang dibubuh oleh Puan Suhaila untuk tetamunya tersenyum manis melihat kemesraan Alia dengan keluarganya, lalu disapanya.

“Takkan cium mama saja.? Abang pun nak Lia cium juga.” Usik Zafrul mengoda Alia berpaling pada Zafrul yang dah terpacak dibelakangnya.

“Selamat hari raya bang.” Balas Alia. Sambil menghulurkan buah tangan yang dibawanya pada Puan Suhaila. Sekali lagi Zafrul tersenyum mengoda pada Alia. Alia tertunduk malu.

“Alia sihat ke? Apa Lia bawa ni?” Tanya Puan Suhaila.

“Sihat. Kek coklat jer.” Jawab Alia Nasuha beralih pandang pada Puan Suhaila.

“Hai kak Lia tahu-tahu jer itu kek kesukaan abang Zafrul.” Sindir Zulaika.Alia tersenyum manis. Zafrul mengambil mangkuk dari Puan Suhaila.

“Zafrul, bawa Alia sekali ke ruang tamu jumpa dengan papa kamu. Alia keluar dulu ya sayang? Pergi makan.” Pelawa Puan Suhaila.

“Jom, ikut abang.” Ajak Zafrul. Alia mengikut Zafrul berjumpa dengan papa Sukrinya. Alia disambut baik oleh En.Sukri dia diperkenalkan pada teman-teman Encik Sukri.

“Sukri, ini bukankah anak arwah Arkitek Helmi?” Tanya salah seorang teman baik En.Sukri.

“Iya. Kau masih ingat ke? Inilah anak sulung arwah Helmi, Alia Nasuha.” Jawab En.Sukri memperkenalkan pada teman-temannya.

“Cantik orangnya macam papanya juga.” Balas yang lain pula.

“Anak papa.” Jawab En.Sukri, mereka semua gelak ketawa dengan usikkan En.Sukri. Alia tersenyum malu.

“Zafrul tak berkenan ke? Sesuai sangatlah kamu berdua kalau disatukan. Apa kata kau Sukri?” Tanya sahabatnya itu.

“Saya ni kalau mereka berdua setuju, hari ini pun boleh nak kahwinkan mereka.” Jawab En.sukri. Alia tercengang mendengar kata-kata papa Sukrinya, dia menjeling pada Zafrul yang ada didepannya tersenyum manis membalas jelingan Alia. Alia berkerut muka. Alia meminta izin papa Sukrinya untuk mengambil makanan. Zafrul mengekorinya dari belakang. Sesampai sahaja Alia dimeja hidangan Zafrul terus menyampuk.

“Lia nak makan apa? Lontong? Nasi himpit kuah kacang? Mee kari? Abang tolong ambilkan.” Pelawa Zafrul membuatkan Alia serba salah. Tersentuh hatinya dengan layanan Zafrul.

“Tak apalah Lia ambil sendiri.” Jawab Alia sambil tangannya mengambil pingan.

“Lia beli kek untuk abang ke?” Tanya Zafrul menguji hati Alia.

“Taklah beli untuk mama. Kak Sara tak datang ke bang?” Tanya Alia cuba menduga Zafrul. Zafrul memandang anak mata Alia. Alia mengalihkan pandangannya kearah lain.

“Kenapa tanya kak Sara. Lia nak jumpa dia ke? Kejap lagi sampailah tu.” Jawab Zafrul membuatkan hati Alia terguris dan terasa pedih. Alia mengangguk, dia mengambil makan lalu beredar dari Zafrul. Belum sempat Zafrul mengikut Alia untuk menemani Alia makan, bahunya dicuit oleh Zulaika.

“Bang, kak Sara dan kawannya datang.” Zafrul berpaling pada Zulaika.

“Mana?” Tanya Zafrul teruja kekasihnya Sara datang.

“Depan.” Jawab Zulaika. Zafrul segera ke depan pintu rumahnya menyambut kekasihnya Sara. Alia terpandang Zafrul dan Sara berjalan masuk berduaan ke dalam rumah dan mempelawa Sara dan kawannya duduk. Alia melihat keceriaan diwajah Zafrul apabila kekasihya datang. Zafrul menghampiri Alia yang sedang makan.

“Lia, Kak Sara datang jomlah jumpa dia.” Ajak Zafrul menarik tangan Alia. Alia akur dia bangun mengikut Zafrul berjumpa Sara. Alia terpaksa tersenyum apabila berdepan dengan Sara. Dia menghulur tangan pada Sara untuk bersalam. Sara memandang Alia dan menyambut salam Alia bersahaja kurang mesra. Dengan cepat Sara menyambut salam mengalihkan tangannya dari Alia.

“Kamu berdua berbual dulu, abang nak tambah lauk.” Kata Zafrul meninggalkan mereka berdua disitu. Sara memandang Alia, dia tidak senang hati dengan Alia.

“Lia, saya nak cakap dengan awak sikit.” Kata Sara. Alia mengangguk kepala bersuara.

“Ada apa kak Sara?” Tanya Alia tersenyum manis. Sara memandang Alia dengan perasaan yang amat cemburu. Alia berkerut dahi apabila Sara merenungnya dengan tajam.

“Boleh tak awak tidak jumpa Zafrul, kenapa selalu jumpa dia? Awak ada hati dengan Zafrul? Ingat sikit Lia awak tu perempuan jangan nak rosakkan hati perempuan lain dan jangan cuba nak jadi perampas pula. Saya tidak suka awak keluar dengan Zafrul. Tolong jauhkan diri awak dari Zafrul.” Kata Sara membuatkan Alia terkejut dan hatinya terguris dalam.Sebak hati mahu saja dia menangis disitu. Alia tertunduk rasa malu apabila orang menyatakan dia perampas. Alia melangkah meninggalkan Sara, dia mencari Puan Suhaila yang sedang melayan tetamunya. Alia memegang lengan Puan Suhaila.

“Mama, rasanya Lia kena pergi sekarang. Lia kena balik office. Terima kasih, mama.” Kata Alia tanpa memandang Puan Suhaila dia mencapai tangan Puan Suhaila dan mencium tangan Puan Suhaila.

“Kenapa cepat sangat ni, mama belum berbual dengan Lia lagi?” Puan Suhaila memandang Alia berkerut dahi hairan.

“Nanti Lia datang lain kali.” Kata Alia menahan sebak. Puan Suhaila tengok muka Alia yang merah dan suaranya sedikit sebak, hairan dengan sikap Alia. Alia terus beredar dari situ. Zafrul yang baru menambahkan air untuk tetamu melihat Alia tergesa-gesa meninggalkan majlis. Zafrul mengejar Alia dengan langkah yang laju dia dapat menangkap Alia dan menarik tangan Alia.

“Lia, nak ke mana ni?” Tanya Zafrul sejerus menarik tangan Alia. Tanpa memandang wajah Zafrul, Alia membalas.

“Lia nak cepat kena balik office segera.” Sambil menarik tangannya yang dipegang Zafrul. Zafrul tengok Alia berlari meninggalkannya. Hairan juga dia kenapa Lia bersikap sedemikian. Terlintas Zafrul difikirannya apabila meninggalkan Alia dengan Sara sebentar tadi membuatkan Alia Nasuha tiba-tiba berubah sikap. Zafrul memdapatkan Sara yang sedang mengambil makanan.

“Sara. Sara cakap apa dengan Alia, sampai Alia terus balik lepas bercakap dengan Sara?” Tanya Zafrul sedikit keras.

“Sara tak cakap apalah. Yang abang menangkan dia sangat kenapa? Abang ada hati pada dia ke? Setiap kali kita berjumpa, nama Alia yang awak sebut. Awak ingat saya tak ada perasaan ke?” Tanya Sara membuatkan Zafrul menarik nafas panjang.

“Sekurang-kurangnya Alia tak pernah cakap buruk pada awak dan dia selalu bela awak. Awak mesti ada cakap apa-apa sampai dia terasa hatikan?” Soal Zafrul tidak senang dengan sikap Sara terhadap Alia.

“Ya, Sara suruh dia jangan dekat dengan abang.” Jawab Sara bersahaja.

“Ya Allah, awak ni memang tak berhati perut. Kenapa cakap macam itu pada dia? Kalau inilah gaya awak lebih baik abang bercinta dengan Alia tu.” Balas Zafrul dengan perasan marah dan geram dengan sikap Sara yang keterlaluan. Terdiam Sara dengan kata-kata Zafrul.

Alia Nasuha menghala keretanya ke masjid Shah Alam untuk sembahyang zohor dan mencari ketenangan disitu hampir dua jam. Hatinya remuk masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Sara padanya. Tidak pernah terniat dihatinya untuk merampas hak orang lain. Aku cintakan Zafrul sebelum Sara muncul tapi Zafrul pilih kau Sara. Maafkan aku Sara aku tahu perasaan kau sebagai seorang perempuan. Aku akan cuba lupakan Zafrul tapi bagaimana?” Sekali lagi handsetnya berdering namun Alia tetap tidak menjawabnya. “Maafkan aku Amsya dengan cara ini kau akan benci aku”. Beberapa kali dia menerima panggilan daripada Amsya namun tidak dijawabnya. Teringat dia dengan perkahwinannya dengan Amsya. Difikirnya bagaimana kalau kekasih Amsya ketahui rahsia ini mungkin dia dituduh perampas kekasih orang. Tidak mahu rasanya dia berdepan dan berjumpa Amsya lagi, tapi kerana janjinya dengan Amsya dia terpaksa teruskannya juga.

Previous: BAB 37
Next: BAB 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fanina