29 JANUARI 2023,
Bandar Kuantan.
Tujuh bulan tanpa penghuni, kota yang penuh dengan manusia kini sunyi. Kaki-kaki bangunan sudah ditumbuhi lumut hijau. Kuantan tidak ubah seperti bandar yang terbiar. Manakan tidak, selama tujuh bulan setelah Misi Pembersihan Kuantan dilaksanakan, telah banyak Karnivor yang ditemui dan ditembak mati. Namun, binatang-binatang itu muncul bagaikan tiada henti.
Walau bagaimanapun, Misi Pembersihan Kuantan masih dijalankan sehingga kini. Biarpun operasi itu seperti tiada pengakhiran.
Setelah operasi itu bagaikan tiada kesudahan, daerah Kuantan telah dibahagikan kepada empat belas area. Setiap area akan dihantar dua ataupun tiga squad untuk membersihkan kawasan tersebut daripada Karnivor. Setelah sesebuah area diyakini bebas daripada binatang itu, pihak keselamatan akan menjaga sempadan area untuk menghalang Karnivor daripada terus memasuki kawasan tersebut.
Setakat ini, masih tiada area yang diisytiharkan bebas. Tetapi, setiap squad yang dihantar akan berusaha habis-habisan untuk melawan Karnivor. Selama tujuh bulan ini, semua anggota yang dihantar dalam Misi Pembersihan Kuantan masih selamat. Tidak ada yang terkorban. Ini bermaksud, mereka telah menjalankan tugas dengan penuh berhati-hati.
Tiga squad telah dihantar di Area 9 yang terletak di selatan daerah. Salah satu squad tersebut ialah Squad Empat. Setelah berkorban masa dan tenaga, usaha mereka untuk membersihkan kawasan tersebut bagaikan sia-sia. Sudah beratus-ratus ekor Karnivor telah ditembak mati tetapi yang datang lebih ramai daripada yang telah pergi.
Matahari tegak di atas kepala. Cahaya panas membaham muka bumi. Usaha untuk memeriksa bangunan, rumah mahupun longkang besar tetap diteruskan. Sebagai squad yang dipandang tinggi oleh anggota keselamatan yang lain, Squad Empat tidak boleh melepaskan setiap pandangan mereka di tempat-tempat yang berisiko tersebut.
Walaupun niat mereka bukanlah untuk membersihkan bandar. Niat mereka yang sebenar ialah untuk mencari Karnivor Induk. Tetapi, sampai sekarang tidak ada walau seekor Karnivor Induk pun ditemui mereka.
Kini, pencarian mereka masih diteruskan. Di setiap ruang bangunan, bilik dan tempat yang dijangka terdapat Karnivor yang sedang bersembunyi telah diperiksa.
Kelihatan, Marisa dan Airis sedang menerjah masuk ke dalam sebuah rumah. Senjata mereka dihala ke hadapan, bersedia untuk menembak Karnivor jika binatang ganas itu menerkam. Namun, mereka masih selamat. Tidak terlihat kelibat Karnivor di ruang tamu rumah tersebut. Mereka berdua berjalan ke arah bilik.
"Kristal Airis, aku dah bosan la buat benda yang sama tiap-tiap hari. Nak juga bercuti kat Pulau Perhentian. Lepas tu, bakar-bakar ayam! Berenang puas-puas! Makan malam! Tengok bintang pada waktu malam! Seronoknya! Tapi! Lagi seronok kalau bercuti dengan Eriq! Haaaaaa!" teruja Marisa sambil membayangkan semua perkara yang dikatakan tadi tatkala membuka pintu bilik.
"Apesal kau panggil aku dengan nama penuh? Panggil Airis sudah la! Kau ni kan, asyik nak bercuti je! Eriq tak suka orang macam kau! Jangan nak perasan!"
"Huh? Habis tu dia suka orang yang macam mana?"
"Orang macam aku! Hehe!"
Marisa menjeling sinis lalu menjauhkan diri dari Airis seraya berkata, "Kau ada minum air daun ketum ke?"
"Tak la! Kau ni kan... kita buat semua ni untuk cari Karnivor Induk. Karnivor tu paling susah nak jumpa. Kita dah tak ada masa nak berungut, Shen dalam bahaya sekarang. Lagi dua tahun dia akan..."
"Yelah-yelah! Aku tahu apa yang kita cari tapi, aku rasa binatang tu tak ada kat sini. Selalunya, Karnivor Induk ada kat hutan. Sebab tulah, aku tak berapa suka idea Eriq untuk sertai misi ni. Tapi, nak buat macam mana, lagipun kita dah dapat pengiktirafan daripada Raja. Kalau kita tak sertai, nama baik kita pun akan tercemar," balas Marisa.
"Aku tak tahu apa yang Shen rasa sekarang ni. Jadi K-User tu nampak menarik tapi ianya bahaya..."
"Jangan risaulah. Kita tetap akan jumpa Karnivor Induk. Ada masa lagi dua tahun kan? Banyak masa lagi! Mesti kita akan jumpa! Kita sama-sama selamatkan nyawa Shen, ok?"
"Marisa... kau ni baik juga..."
"Habistu, selama ni kau ingat aku jahat ke?"
"Ya!"
"Uhuk! My heart! Sakitnya!"
"Hahaha! Bergurau jelah!"
Pada masa yang sama, Eriq dan Shen berjalan masuk ke rumah yang sama. Mereka menegur Marisa dan Airis kerana tidak fokus dalam memeriksa bilik kerana bila-bila masa sahaja Karnivor boleh muncul dan menyerang mereka.
Marisa dan Airis memohon maaf atas kelalaian.
Setelah selesai memeriksa rumah tersebut, Marisa dan Eriq berjalan keluar untuk memeriksa rumah sebelah. Tatkala Shen ingin mengikut langkah dua lagi rakannya, Airis yang berada di belakang, menegur Shen. Wajahnya tampak murung.
"Shen?"
"Ya?" balas Shen tanpa berpaling.
"Kau okey tak?"
"Maksud kau?"
"Kau tengok apa yang berlaku sekarang. Dah tujuh bulan kita kat sini, tapi tak jumpa walau seekor pun Karnivor Induk. Masa kau pula hanya tersisa dua tahun lagi. Kalau kita masih tak jumpa..."
"Kristal Airis! Jalankan saja tugas kau! Jangan risaukan keadaan aku! Kalau kita bernasib baik, kita akan jumpa dengan Karnivor Induk. Kalau tak, terima saja apa yang akan berlaku," potong Shen dengan nada tinggi.
"Tapi..."
"Jangan banyak cakap! Teruskan misi," kata Shen sebelum berjalan keluar meninggalkan Airis sendirian.
Gadis itu tertunduk murung dengan kata-kata Shen. Dia hanya risau akan keadaan rakannya. Namun, orang yang dirisaukan, langsung tidak peduli dengan nasib diri. Airis dan yang lain tahu bahawa Shen hanya mempunyai dua tahun sahaja lagi untuk hidup.
Walaupun jangka waktu itu masih panjang, tetapi, untuk mencari Karnivor Induk bukanlah perkara yang mudah. Sudah setahun mereka mencari binatang tersebut tetapi tidak ada seekor pun yang ditemui. Adakah waktu-waktu itu akan terbuang tanpa adanya hasil?
Tidak ada orang yang tahu, apa yang bakal terjadi di masa depan.
****
29 JANUARI 2023,
Kampung Tengah Selatan.
Pada waktu senja, tentera-tentera yang memasuki Kampung Tengah Selatan, berhenti di hadapan pondok dan gerai Tok Ma. Ketika itu, bekalan elektrik belum lagi diputuskan. Jadi, penduduk masih berkumpul dan berbual di sana. Namun, tatkala menyedari truk tentera berhenti dengan tiba-tiba, ada penduduk yang berlari masuk ke dalam rumah kerana takut ditahan dan ada juga yang bingung.
Kein dan Eyman yang berada di dalam rumah arwah atuk Kein menyedari tindakan 'tidak normal' tentera setelah melihat melalui tingkap. Mereka terus menyimpan semua kertas-kertas yang mengandungi maklumat-maklumat yang dicuri dalam keadaan kelam-kabut.
Kris yang masih mengikat kain pada mata, tertanya-tanya akan keadaan yang sedang berlaku. Namun, dia menggetap gigi tatkala Eyman menjelaskannya. Tidak terlintas dalam benaknya sebab askar-askar itu berhenti dengan tiba-tiba. Adakah mereka sudah menyedari yang maklumat rahsia mereka dicuri?
"Aku rasa tak sedap hati pasal ni. Sejak pertama kali Perintah Berkurung dilaksanankan, mereka tak pernah berhenti kat sana," kata Eyman sambil menjenguk dua buah truk tentera dari luar tingkap.
"Ada dua kemungkinan. Satu, mereka nak arahkan orang kampung untuk masuk ke dalam rumah sebab hari dah senja dan satu lagi mereka dah tahu kerja kita," celah Kris. Dia dapat mendengar suara-suara penduduk kampung dari jauh. Disebabkan itulah, dia dapat membuat kesimpulan tanpa melihat.
Kein terlihat sedang memikirkan sesuatu lalu berkata, "aku rasa, diorang dah jumpa pisau dan lampu suluh aku semalam."
"Kau tinggalkan bukti?" soal Kris dengan nada marah.
"Waktu tu, Karnivor nak makan kami. Pada masa tu juga, askar-askar dah dekat. Aku tak sempat nak ambil balik. Ya... ni semua salah aku. Jadi, korang duduk kat sini. Biar aku je yang keluar."
Kein berjalan keluar dari rumah. Dia menolak pelawaan Eyman yang ingin mengikutinya. Kris pula hanya diam. Tidak tahu hendak berbuat apa tanpa penglihatannya.
Beberapa orang askar yang bersenjata keluar dari truk. Seorang daripada mereka berjalan ke arah penduduk kampung yang masih berada di pondok. Pada tangannya, terdapat sebilah pisau dan lampu suluh yang diletakkan dalam bungkusan plastik lut sinar.
Bungkusan plastik itu diangkat tinggi sebelum dia bertanya untuk mengetahui pemilik pisau dan lampu suluh tersebut. Namun, tidak ada seorang pun yang menjawab. Kemudian, dia mengugut. Jika tidak ada orang yang mengaku, hukuman yang berat akan dikenakan.
Ketika itu, Kein yang baru sahaja tiba, segera mengangkat tangan. Ianya bukan kerana dia takut akan hukuman, tetapi dia mahu menyembunyikan dua lagi rakannya.
Mak Su yang berada di pondok, turut terkejut dengan pengakuan Kein. Dia bingkas bangun lalu menampar anaknya. Kein hanya mengusap-ngusap pipi kiri yang pedih. Langsung tidak sakit hati kerana dia sedar akan kesalahannya.
Dua orang askar memegang tangan kanan dan kiri Kein. Takut jika lelaki itu melarikan diri. Kein akan dibawa ke balai polis dan mungkin akan dikenakan denda atau penjara kerana telah melanggar arahan kerajaan. Tetapi, dia tidak gentar. Matanya tajam memandang ke arah askar yang berada di hadapannya.
"Aku dah kena tangkap huh? Tahniah sebab jumpa pisau dan lampu suluh aku balik. Tapi, korang tahu tak apa yang aku jumpa? Semua penduduk kampung kat sini tahu tak apa yang aku tahu dari mereka?"
Kris dan Eyman mula risau tatkala mendengar kata-kata itu. Mereka sedar bahawa Kein akan mendedahkan kerja-kerja mereka selama ini. Tetapi, Kein tidak akan mengungkit nama mereka. Kein akan memberitahu yang dia sahaja yang terlibat.
Penduduk-penduduk kampung pula bingung dengan ucapan Kein.
"Korang tak tahu kan? Korang hanya percayakan berita yang keluar di TV saja! Kalau korang nak tahu, askar-askar yang ada kat depan kita ni dah sorokkan perkara penting! Aku dah curi semua maklumat-maklumat dari khemah tentera dan apa yang aku jumpa, mereka dah rahsiakan bilangan sebenar Karnivor yang muncul! Karnivor yang pernah muncul kat kampung ni bukannya tiga ekor tapi lima belas ekor!"
Ucapan berani Kein masih menbingungkan penduduk kampung. Tetapi, askar yang memegang tangan kanan Kein segera menutup mulutnya untuk tidak membocorkan lebih banyak rahsia. Mereka juga merebahkan lelaki itu ke tanah.
Kris geram. Dia buntu. Tidak tahu hendak berbuat apa. Dengan keadaan matanya yang masih sakit, dia tidak dapat berbuat apa-apa.
Eyman pula terus berlari keluar. Dia tidak berfikir panjang. Dia hanya ingin menyelamatkan Kein. Dia terfikir, jika dia juga mengaku, sekurang-kurangnya Kein tidak keseorangan di dalam penjara.
Ketua pasukan tentera yang memegang bungkusan plastik tadi, menggetap gigi. Senjata dihala ke arah Kein seolah-olah ingin menembak. Hampir sahaja picu ditarik, Eyman menolak senjatanya. Akibatnya, Eyman juga ditahan. Kedua-dua tangannya dipegang.
"Eyman bodoh! Apa yang kau buat kat sini? Kan aku dah cakap, duduk dalam rumah!" tengking Kein.
"Kau selalu bertindak seorang diri! Kau pentingkan diri kau je! Kau selalu arahkan aku! Kali ni, aku dah tak peduli! Aku dah buat keputusan! Kalau kau masuk penjara, aku pun akan ikut sekali!"
"Bodoh! Kau ada otak ke tak! Kau memang tak guna! Kenapa kau tak ikut cakap aku? Ni untuk kebaikan kau!" balas Kein dengan nada tinggi.
"Argh! Aku tak peduli! Woi, semua penduduk kampung! Askar-askar yang ada kat depan korang ni dah rahsiakan bilangan Karnivor! Betul apa yang Kein cakap sebelum ni! Kalau dibiarkan, korang semua akan kena makan! Percayalah apa yang aku cakap! Mereka nak kita semua..."
BANG!
Sedas tembakan dilepaskan. Terbeliak mata Kein. Dia terpaku dan terkelu. Orang-orang kampung juga terkejut besar. Tembakan tadi dilepaskan tepat di kepala Eyman tanpa ada rasa bersalah. Keadaan yang tegang menjadi bertambah tegang.
Kris yang berada di dalam rumah, turut mendengar tembakan itu namun, dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.
"Jadi, ada lagi yang nak bising? Selepas ni, kau pula budak," kata ketua pasukan tentera sambil melihat ke arah Kein.
Penduduk-penduduk kampung terdiam. Mereka tidak membalas walau sepatah. Takut sekiranya nyawa mereka akan berakhir sama seperti Eyman. Namun, Kein tidak seperti mereka. Dia menggelupur, cuba melepaskan diri.
Ketua pasukan tentera mendekati Kein lalu menyepak wajahnya. Kepalanya juga dipukul dengan pemegang senjata jenis MP4 sehingga dia mengerang kesakitan.
"Kau lagi teruk dari Karnivor..." ucap Kein.
"Kami dah lindungi kampung ni. Setiap malam kami lindungi korang. Kalau kami tak ada, korang takkan tidur nyenyak. Kau patut bersyukur sebab aku tak tembak kau. Kawan kau yang dah mati tu, kami boleh buang je mayat dia dalam hutan. Biar jadi santapan Karnivor."
Kata-kata itu membuatkan Kein naik angin. Dia menjerit seraya menggelupur untuk melepaskan diri. Namun, setiap kali dia bergerak, dia akan dipukul. Wajahnya sudah lebam. Bibirnya juga pecah. Darah mengalir dari kepala sehingga ke dagu.
"Kenapa... kenapa kau rahsiakan bilangan sebenar huh? Ni semua arahan kerajaan kan?" soal Kein. Dia masih membuka mulut.
"Tak la. Kerajaan yang korang sanjung tu terlalu baik. Kalau tempat korang ni dah bebas dari Karnivor, kami akan direhatkan tanpa gaji. Jadi, lebih baik kami palsukan semua maklumat. Makin lama, makin banyak gaji yang kami dapat."
"Askar-askar kat kampung sebelah pun?"
"Semua kat daerah ni. Kami semua kenal antara satu sama lain. Jadi, kalau ada yang bocorkan rahsia kami, kami akan tembak macam yang jadi kat kawan kau tu."
"K-Korang semua ni binatang!" jerit Rafi.
"Siapa yang jerit tadi tu?" soal seorang askar seraya menghala senjata ke arah penduduk kampung. Rafi pula terdiam.
"Betul apa yang Rafi cakap! Korang ni lagi teruk dari babi yang ada kat dalam hutan! Aku harap, korang semua mati kena makan dengan Karnivor!" marah Kein.
Sekali lagi, kepalanya disepak. Buju kasut yang keras mengena dagu. Pada masa yang sama, Mak Su menghalang. Dia sudah tidak sanggup untuk melihat anaknya dipukul dan disepak. Tetapi, dia pula ditembak. Mak Su ditembak di depan mata Kein.
Wanita itu jatuh di hadapan anaknya. Kepalanya berlumuran darah. Darah yang keluar, membasahi tanah. Kein bagaikan sudah hilang akal. Setelah rakannya, kini ibunya sendiri. Dia terkelu. Hanya mampu menjerit semahunya.
Tatkaka Kein menjerit, kedengaran jelas ngauman kuat oleh Karnivor dari hutan bersebelahan dengan gerai Tok Ma. Binatang itu berlari lalu cuba menerkam pasukan tentera. Namun, dia ditembak mati.
Penduduk-penduduk kampung menjerit ketakutan. Mereka berlari ke rumah masing-masing. Tetapi, tidak sempat untuk melangkah masuk, seekor demi seekor Karnivor muncul lalu membaham mereka.
Keadaan menjadi huru-hara. Seekor demi seekor Karnivor muncul dari dalam hutan. Seorang demi seorang penduduk kampung mati dimakan. Askar-askar mula ketar lutut. Mereka tidak pernah melihat Karnivor yang muncul serentak dalam jumlah yang begitu banyak.
Ketika itu juga, seekor Karnivor yang dikenali Kein muncul di belakang pasukan tentera. Ianya ialah Karnivor Berakal. Kumpulan tentera cuba menembak Karnivor Berakal, tetapi, sekelip mata sahaja mereka dicakar. Usus-usus mereka keluar dari perut seperti beras yang keluar dari guni.
Ketua pasukan tentera sudah kehabisan peluru. Dia duduk melutut ketakutan. Karnivor Berakal memegang tubuh lalu mengangkatnya ke udara. Dua tentera yang sedang memijak belakang badan Kein, segera menembak binatang itu. Namun, mereka juga dipegang dan diangkat ke udara.
Mereka menjerit meminta tolong, namun, Kein membalas dengan senyuman puas. Itulah situasi yang ingin dilihatnya dari tadi lagi Mulut Karnivor Berakal dinganga seluas-luasnya. Tiga orang tentera dimamah sebelum ditelan.
Kein ketawa kesenangan setelah melihat kejadian tersebut. Dalam keadaan huru-hara, Karnivor pula sedang menyerang penduduk kampung, dia bangun dan tersenyum puas. Matanya menatap Karnivor Berakal yang sedang menjilat darah.
"Mampus... mampus! Sekarang, korang dah mampus! Hahahaha! Aku nak dengar lagi jeritan minta tolong korang! Lagi! Dan lagi! Korang semua layak ke neraka!"
Trilogi Distopia #1: DISTOPIA akan diterbitkan sampai Bab 8 sahaja. Ingin nembaca cerita penuh? Boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.