Home Novel Thriller/Aksi DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
kenhendri
12/6/2021 09:15:59
25,629
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Kris terkaku. Dia melutut sambil melihat ke dalam kebun rambutan yang gelap iaitu jalan di mana Kein dilarikan oleh Karnivor. Binatang pemakan daging itu berlari kencang. Bunyi tapak kaki juga sudah hilang. Entah ke mana Kein sudah dibawa pergi.


Kris terfikir dua cara untuk menyelamatkan Kein sama ada dia berlari mengejar Karnivor ataupun keluar dari kebun dan berlari ke khemah tentera untuk memberitahu perkara yang sedang berlaku. Namun, jika Kris memberitahu tentera, kemungkinan besar dia akan menyusahkan Pak Su dan Mak Su kerana sebelum ini dia telah diberi amaran untuk tidak keluar pada waktu ini. Bahkan, dia akan membuang masa untuk ke sana.


Jadi, Kris tidak ada pilihan lain selain mengejar jejak Karnivor yang melarikan Kein. Walaupun ingat-ingat lupa, tetapi dia yakin bahawa jalan yang ditempuhinya adalah benar. Berharap akan menemui Kein dan berharap bahawa lelaki itu masih hidup dan tidak dimakan.


Kein yang sudah jauh dilarikan ke dalam kebun rambutan, sedang menahan sakit di bahu akibat digigit oleh Karnivor. Dia menggelupur untuk dilepaskan tetapi dia hanya menyakiti diri sendiri.


Dia terfikir, entah kenapa dia masih belum ditelan dan ke mana dia akan dibawa. Mungkin, Karnivor yang sedang menggigitnya sekarang ingin membawa Kein ke sarang untuk diberi makan kepada anak-anaknya.


Setakat ini, pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa Karnivor juga boleh beranak-pinak. Namun, apa yang masih misteri, pasangan Karnivor tidak mengira spesies asal binatang itu sebelum terkena jangkitan. Bermakna, jika binatang itu yang sebelumnya ialah seekor beruang dan seekor harimau, apabila kedua-dua binatang yang berlainan spesies dan jantina ini terkena jangkitan virus CWD-Rabies dan berubah menjadi Karnivor, mereka boleh beranak-pinak.


Karnivor ini sudah seperti spesies binatang yang baru.


Kein tidak mahu dijadikan makanan kepada Karnivor. Dia tahu bahawa nyawanya berada dalam bahaya. Lebih bahaya jika dia tiba di sarang Karnivor. Jadi, dia perlu melakukan sesuatu. Satu-satunya kelemahan Karnivor ialah pada kepalanya kerana tengkorak binatang itu pecah sehingga menampakkan otak akibat tumbesaran yang drastik pada tulang.


Pisau belati dari sarung yang digantung pada pinggang, dicapai. Dengan pantas, Kein menusuk pisaunya ke otak Karnivor lalu menariknya seperti ingin membelah. Darah dan lendir memercik, memenuhi tangan.


Karnivor mengaum kuat setelah Kein dilempar dan tersandar pada batang pokok rambutan. Dengan nafas yang tercungap-cungap, dia bingkas bangun. Bersedia untuk berdepan dengan serangan daripada Karnivor. Namun, binatang itu menggelepar lalu tumbang.


Seekor Karnivor tewas. Kein terduduk. Dia menarik nafas lega. Tetapi, bahunya masih sakit. Dia perlu pulang segera sebelum Karnivor lain datang ke tempat itu. Ngauman yang dilaungkan oleh Karnivor sebelum dia tumbang ialah seperti isyarat panggilan kepada Karnivor-Karnivor lain.


Disebabkan itulah, Kein segera berlari meninggalkan tempat itu. Ingin sahaja dia mengkaji binatang tersebut tetapi, sekarang bukanlah waktu yang sesuai. Kebun itu hampir gelap. Dia perlu mencari Kris dan pulang ke rumah sebelum langit gelap sepenuhnya.


Setelah penat berlari, akhirnya Kris bertemu dengan Kein yang sedang memegang bahu. Dia terkejut kerana Kein masih hidup, bahkan masih boleh bergerak walaupun bahunya terlihat cedera.


"Kein! Syukurlah, kau masih hidup! Apa yang jadi dengan Karnivor yang gigit kau tu?" tanya Kris sambil memapah Kein.


"Aku dah bunuh."


"Kau... apa?"


"Tak ada masa nak menyoal. Lebih baik kita keluar dari kebun ni sebelum Karnivor yang lain datang. Aku yakin, masih ada banyak Karnivor dalam hutan ni."


Mereka tidak ada pilihan lain, dan terpaksa menggunakan jalan kebun untuk pulang ke rumah. Jalan itu lebih dekat. Risiko untuk bertemu dengan Karnivor tidak dipeduli dan akhirnya, mereka selamat tiba di rumah.


Kelihatan, Pak Su dan Mak Su sedang menanti mereka di belakang rumah. Wajah Mak Su terlihat risau tetapi Pak Su pula sebaliknya. Pada raut wajahnya, dia nampak sedang marah.


Kein melepaskan tangan Kris. Dia tidak ingin nampak seperti cedera di mata orang tuanya. Tangan yang terpercik darah dan lendir disorokkan ke belakang.


"Nasib baiklah kamu berdua selamat! Risau Mak Su dibuatnya!"


Baru sahaja Kris ingin membalas kata-kata Mak Su, Pak Su segera berjalan ke arah Kein lalu menamparnya dengan kuat. Kris terkejut. Dia terpaku dengan tindakan Pak Su. Kein hanya menahan pedih.


"Kan aku dah cakap, jangan balik waktu macam ni! Kau pekak ke? Berapa kali kau nak menyusahkan aku? Kalau askar tangkap kau, siapa nak jamin? Kita bukan orang berduit! Fikirlah pasal mak dan ayah kau ni! Jangan nak berdegil!"


"Pak Su, saya yang pulang lambat..."


"Kau budak baru! Tak tahu apa-apa lagi! Budak ni yang degil! Kau buat apa dalam kebun tiap-tiap hari hah? Tak boleh duduk rumah ke? Ni kenapa dengan bahu kau ni?"


"Dia..." tidak sempat Kris menjawab, Kein membuka mulut.


"Jatuh tadi."


"Hah! Main lagi dalam kebun tu! Kau tu dah besar! Tak serik-serik lagi ke nak main? Nak jadi budak balik? Kalau aku cakap ni, dengar la! Jangan pekak badak!"


Kein menghiraukan leteran. Dengan wajah geram, dia berjalan masuk ke rumah arwah neneknya iaitu rumah yang disediakan oleh Pak Su dan Mak Su untuk Kris tinggal.


"Lari lagi lari! Kau buat apa dalam rumah Kris tu? Jangan nak kurang ajar dengan tetamu!"


Pak Su berdecit sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya. Kris pula terdiam. Semua kata-katanya dipotong. Dia tidak sempat untuk memberitahu perkara yang sebenarnya telah berlaku. Kein pula menipu ayahnya sendiri.


"Kris, jangan ambil hati sangat dengan Pak Su tu. Dia memang macam tu dengan Kein. Malam ni, kamu tidur dengan Kein ya."


"Tak terasa pun. Saya yang balik lambat, Kein pula yang kena marah."


"Kein pun tiap-tiap hari balik lambat. Entah apa yang dia buat dalam kebun sorang-sorang."


"Tak apalah Mak Su, saya masuk dulu ya."


Kris melangkah masuk ke dalam rumah. Dia pula rasa bersalah terdapat Kein. Itulah kali pertama dia melihat Pak Su naik angin. Mungkin, sebelum ini, Kein sudah banyak kali dimarahi oleh orang tuanya.


Cahaya daripada sebatang lilin menerangi ruang tamu yang kecil. Langsir dijatuhkan untuk menutup tingkap. Kein membalut lukanya dengan pembalut luka. Kris melihatnya dari belakang. Dia memberanikan diri untuk bertanya.


"Kenapa kau tipu ayah kau?"


"Kenapa?" balas Kein dengan persoalan. Tanpa pandang belakang, dia membalas soalan Kris sambil membalut luka pada bahunya.


"Kenapa kau tanya? Itu kan ayah kau! Kenapa kau tipu dia? Pasal luka kau tu, kenapa kau tak cakap yang kau kena gigit dengan Karnivor? Mungkin, dia tak marah kalau kau beritahu perkara yang sebenar."


"Kalau aku beritahu yang Karnivor gigit aku dan aku bunuh Karnivor, lepas tu apa? Aku kenal ayah aku."


"Apa maksud kau?"


"Sebenarnya, aku bukan anak tunggal. Aku ada seorang abang. Tapi, dia dah tak ada. Dia dah dimakan Karnivor waktu bekerja di Selangor. Lepas saja abang aku meninggal, ayah aku macam kongkong aku. Dia nak aku berkurung dalam bilik sebab takut aku jadi macam abang aku. Tapi, nasib baiklah mak aku pujuk ayah aku. Jadi, aku dah boleh keluar. Lama-lama, aku keluar dan balik waktu senja. Sebab tulah ayah aku marah."


"Kau tipu ayah kau sebab kau tak nak dia risaukan kau?"


"Ya. Aku tak nak tunjuk yang aku ni lemah di mata diorang. Aku keluar tiap-tiap hari ke kebun sebab aku nak berlatih dan kaji macam mana Karnivor bertindak. Aku dah pernah jumpa seekor sebelum ni kat pagar askar. Nasib baiklah, waktu tu petang dan binatang tu tengah tidur."


"Wah! Kau ni hebatlah! Apa-apapun, terima kasih sebab selamatkan aku. Kalau kau tak ada, aku dah mati."


"Kau bodoh sangat tu kenapa? Setakat hilang orang yang kau sayang, tu dah jadi biasa kat dunia ni. Ramai lagi yang hilang kehidupan tapi dia tetap teruskan hidup. Bukan macam kau! Lembik! Hati tisu! Pondan! Macam tu ke kau gelar diri kau lelaki?"


"Yalah-yalah! Aku mengaku yang aku ni lemah. Tapi, kalau kau hebat sangat sampai boleh bunuh Karnivor dengan pisau, kenapa kau tak masuk tentera?"


"Aku tak minat. Aku lebih suka apa yang aku ada sekarang."


"Ouh... boleh aku tanya..."


Tidak sempat Kris bertanya, Kein segera memadamkan api lilin. Bunyi pintu dari rumah sebelah memaksanya untuk mengintai dari bawah jendela. Kris yang ingin tahu, turut menjenguk. Kelihatan, Pak Su bersama sepucuk senapang patah yang berpakaian RELA sedang berjalan menuju ke arah kereta.


"Ayah kau RELA ke?"


"Ya."


"Mana dia nak pergi?"


"Ke pelabuhan. Dia bertugas kat sana setiap dua hari semalam."


Pak Su memandu kereta dengan laju. Lampu hadapan dipasang. Sepatutnya, dia perlu ke pelabuhan sebelum matahari terbenam akan tetapi, disebabkan Kein dan Kris pulang lewat, dia terpaksa mengutamakan anak dan tetamunya.


"Apa benda yang kau nak tanya tadi?" tanya Kein yang bersandar pada dinding. Dia menyalakan semula lilin menggunakan pemetik api.


"Aku nak tanya pasal Karnivor. Binatang tu hanya muncul waktu malam ke?"


"Kalau kat negara kita, setakat ni waktu malam je. Waktu matahari naik, mereka tidur kat tempat yang terlindung daripada cahaya matahari."


"Maknanya, waktu siang pun mereka boleh bergerak? Sebab, mereka hanya takutkan cahaya matahari. Kalau cuaca mendung, cahaya matahari terlindung, maknanya, Karnivor boleh bergerak bebas, kan?"


"Ya. Kau ni bijak juga."


"Ya dan aku tak terlalu bijak sampai baling telefon orang."


"Kau tak puas hati ke pasal telefon kau tu? Kalau aku tak buat macam tu, kita dah mati."


"Tak la. Saja je bergurau."


"Menjengkelkan."


"Satu lagi soalan. Kenapa Karnivor takut cahaya matahari dan tertarik cahaya lampu?"


"Kau ingat aku ni apa? Kaunter pertanyaan? Saintis? Ahli falsafah? Menteri Pertahanan?"


"Kau kata, kau kaji."


"Aku bukan kaji macam saintis."


"Beritahu jelah apa yang kau tahu. Aku pun nak tahu."


Kein menjeling sebelum menjawab, "kulit Karnivor terlalu nipis dan mudah terbakar. Semua tu disebabkan virus CWD-Rabies. Cahaya matahari mengandungi haba yang cukup panas untuk membakar kulit Karnivor. Kalau kau tanya kenapa mereka tertarik dengan cahaya lampu dan takut cahaya matahari, itu salah. Karnivor pun tertarik dengan cahaya matahari tapi disebabkan ianya terlalu panas sampai membakar, mereka jadi takut. Sebab itulah, kerajaan putuskan bekalan elektrik pada waktu malam."


"Aku dah agak!"


"Apa yang kau agak?"


"Kau ni saintis!"


"Menjengkelkan."


****


13 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.

Keesokan harinya, Kein dan Kris ke kebun rambutan. Mereka ke tempat di mana Kein membunuh Karnivor semalam iaitu jauh ke tengah kebun. Mereka ingin mengetahui lebih lanjut tentang makhluk itu.


Mata Kris meliar mencari Karnivor yang ditumbangkan oleh Kein namun, tidak pula ditemui. Kein pula berasa hairan. Dia yakin bahawa di tempat inilah, kali terakhir dia melihat Karnivor tersebut. Tetapi, sekarang, tidak ada pula.


Adakah ianya sudah terbakar? Tetapi, tidak terlihat pula tulang-tulang ataupun mayat Karnivor yang terbakar.


"Kau yakin ke kat sini?" tanya Kris.


"Aku yakin!"


"Ye ke? Kalau kau yakin, tentu dah ada. Tapi, mana binatang tu?"


"Entahlah. Aku rasa, dia hidup lagi. Mungkin, dia sempat lari semalam. Ataupun, ada Karnivor lain yang dah bawa dia pergi."


Setelah tidak menemui jasad Karnivor yang diyakini sudah dibunuh, Kein membawa Kris ke suatu tempat yang terletak di hujung kebun. Pada mulanya, Kris berasa hairan kerana dibawa ke suatu belukar dan pokok-pokok buluh yang tumbuh tinggi.


Namun, di sebalik batang-batang buluh itu, terlindung suatu tempat yang luas dan teduh. Rumput pula tumbuh hijau. Kelihatan, beberapa batang pokok yang rendang dipaku dengan kayu untuk dijadikan sebagai tempat duduk dan meja.


Kris kagum melihat tempat itu yang sudah seperti taman dalam hutan. Tetapi, matanya manatap dua orang lelaki. Seorang sedang bersandar pada batang pokok dan seorang lagi sedang duduk di atas pokok yang sama, sedang menghadap telefon pintar. Sepertinya, sedang bermain permainan video.


"Yang tengah bersandar kat pokok tu, Zul. Anak bongsu Mek Yah, rumah warna hijau kat depan rumah aku."


Zul tidak membalas kata. Dia hanya fokus menatap telefon pintarnya, sedang ralik bermain permainan video. Kris pula mengangkuk faham. Bermakna, Zul merupakan adik kepada Azwan.


"Yang kat atas pokok tu, Eyman. Rumah dia kat depan sungai sana."


"Hai, budak baru," tegur Eyman namun, matanya tidak beralih dari skrin telefon.


Kris hanya mengangkat tangan kanan ke paras dada tatkala ditegur.


"Ada seorang lagi yang selalu lepak kat sini. Entah ke mana dia dah pergi."


"Tak tahu pula yang kau ni ada kawan. Mak kau cakap, kau ni tak suka bergaul."


"Kau ingat aku ni batu ke? Aku bukan anti-sosial. Aku kenal diorang sejak kecil lagi. Tapi, tujuan diorang datang kat sini bukan penting sangat. Saja nak cari line nak main game. Kat sini je laju kalau nak dibandingkan dengan tempat lain."


"Ada orang lain lagi yang tahu tempat ni?"


"Hanya aku, Zul, Eyman, kau dan Syakir," balas Kein sambil memandang ke arah Syakir yang baru sahaja tiba bersama bungkusan plastik yang mengandungi beberapa botol air.


Syakir mengeluarkan sebotol air mineral lalu melontarnya ke arah Kris. Kris menangkapnya dengan baik lalu mengucapkan terima kasih.


"Dia tu, Syakir. Boleh kata, orang gaji Eyman dan Zul. Selalu kena suruh keluar beli makanan."


"Aku bukan orang gaji lah!" marah Syakir.


"Jadi... kenapa kau bawa aku ke sini?"


"Aku bukan nak sangat ajak kau. Tapi, kau nak tahu sangat kan pasal Karnivor? Jadi, selamat datang ke tempat kajian aku. Kat sini, kami belajar cara untuk terus hidup dalam dunia yang sudah rosak ni."


****


Waktu berlalu. Senja pun tiba. Cahaya jingga kekuning-kuningan terlihat di kaki langit, barat. Kedengaran juga burung tuwu yang sedang bersiul di atas dahan pokok durian yang tinggi. Hari ini, Kris dan Kein pulang awal. Tidak mahu kejadian seperti semalam berulang kembali.


Truk tentera juga telah memasuki kawasan kampung, menuju ke pagar askar. Pada masa yang sama, bekalan elektrik diputuskan. Kelihatan, kanak-kanak yang sedang asyik bermain, segera pulang ke rumah mereka. Penduduk kampung juga segera menutup tingkap dan mengunci pintu.


"Setiap hari, macam ni ke?" tanya Kris kepada Kein setelah melihat sendiri tindakan penduduk kampung. Mereka sedang menongkat dahu di tingkap. Melihat permandangan yang sudah menjadi kebiasaan sejak Perintah Berkurung dilaksanankan.


"Dah jadi rutin. Bukan kampung ni je, kampung sebelah, bahkan seluruh mukim ni bergelap. Hanya ada satu kawasan je yang bercahaya," balas Kein.


"Satu kawasan yang bercahaya? Bekalan elektrik kat sana tak dimatikan ke?"


"Ya. Ianya ada kat tengah mukim ni. Ianya Kampung Sungai Jernih. Kalau kau nak tahu, mukim ni terbahagi kepada beberapa buah kampung. Kampung Tengah Selatan termasuk dalam lingkaran yang mengelilingi kawasan yang bercahaya tu. Tujuan kerajaan buat macam tu, untuk tarik perhatian Karnivor sebab di sana ada ramai askar dan polis sedang berjaga."


"Macam mana dengan orang kampung kat sana?"


"Kampung tu dikosongkan. Orang kampung dah dipindahkan ke kampung sebelah. Lagipun, tak ramai penduduk yang tinggal kat sana sebab kat situ ialah jalan utama untuk keluar dari mukim dan daerah ni. Satu lagi, ramai askar yang berjaga kat sempadan daerah."


"Kita dah macam duduk dalam penjara."


"Tak ubah macam kes virus COVID-19, dua tahun lepas. Tapi yang ni lagi dahsyat."


Tiba-tiba, mata mereka menangkap suatu bayang. Bayang yang tidak mahu dilihat oleh mana-mana manusia. Mata Kris dan Kein terbeliak melihat seekor Karnivor yang sedang merangkak melalui rumah mereka dan rumah Pak Su dan Mak Su.


Dengan pantas, mereka menyorok di sebalik dinding. Jantung mereka berdegup kencang. Kein memberanikan diri untuk menutup tingkap. Dia menjenguk ke luar tingkap dan melihat Karnivor sedang memerhati setiap rumah seperti ingin mencari mangsa. Walaupun gentar, Kein berjaya menutup tingkap dengan perlahan-lahan, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.


Kris tidak menyangka bahawa seekor Karnivor boleh masuk ke kawasan kampung. Nasib baiklah, semua penduduk kampung telah berkurung. Jika ada seorang sahaja yang terlambat masuk ke dalam rumah, sudah tentu perkara yang buruk akan berlaku.


"Tak guna, apa yang binatang tu cari? Macam mana dia boleh masuk ke kawasan kampung?" bisik Kris sambil menatap Karnivor yang sedang berkeliaran melalui bawah tingkap bersama Kein.


"Dia datang dari belakang rumah. Maknanya, dari kebun. Berapa ekor Karnivor yang bersarang kat sana, sebenarnya?" balas Kein dengan geram.


"Apa yang askar buat waktu-waktu genting macam ni?"


"Diorang baru je masuk ke kampung. Tak ada lagi yang tahu Karnivor sedang berkeliaran kat sini. Aku harap, orang kampung duduk diam dan tak buat bising."


Pada masa yang sama, mata Kein bertatapan dengan mata Karnivor. Dengan pantas, dia menyembunyikan diri. Begitu juga dengan Kris tatkala menyedari bahawa Karnivor sedang memandang ke arah rumah.


Bunyi tapak kaki dan dengusan Karnivor kedengaran. Ianya mendekati rumah yang didiami oleh Kris dan Kein. Nafas mereka tercungap-cungap. Jantung mereka berdetak dengan kencang sekali. Bagaikan sedang berdepan dengan malaikat maut. Apa yang mereka akan lakukan sekarang?


Mereka berdua berada dalam bahaya.














follow kenhendri di aplikasi wattpad untuk cerita penuh.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.