20 JUN 2022,
Bandar Kuantan.
Cahaya mentari menerangi kota yang sunyi. Tidak kelihatan walau seorang pun penduduk yang berkeliaran. Mereka telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan dan Perlindungan dan ada juga dipindahkan ke tempat yang dijamin selamat oleh kerajaan. Hanya terlihat pasukan tentera dan polis sedang memeriksa setiap bangunan dan rumah.
Kelihatan, sepasukan anggota keselamatan dihantar untuk memeriksa sebuah bangunan. Di belakang uniform mereka tertulis perkataan 'Squad Satu'. Tatkala ketua pasukan tersebut membuka pintu masuk utama pusat beli-belah, seekor Karnivor menerkam beliau sehingga terjatuh ke lantai di halaman pintu masuk yang teduh.
Hampir sahaja dicakar, tiga lagi rakan sepasukannya yang berada di belakang segera mengeluarkan cermin untuk memantulkan cahaya matahari ke arah binatang tersebut. Karnivor terbakar, menggelupur kepanasan lalu berlari masuk ke dalam pusat membeli-belah. Ketua pasukan bingkas bangun. Beberapa das tembakan yang mengena tepat di atas kepala dilepaskan. Seekor Karnivor tumbang.
"Tuan Mikhael! Tuan tak apa-apa?" tegur Azwan. Dia merupakan anggota Squad Satu.
"Terima kasih. Saya tak apa-apa," balas Mikhael yang merupakan ketua pasukan Squad Satu. Dia kelihatan lebih tua daripada tiga lagi anak buahnya.
"Nampaknya, idea Azwan untuk bawa cermin dalam misi kali ni sangat membantu," celah Hans. Dia yang paling muda dalam squad itu.
"Apa-apapun, kau hebat sebab sanggup teruskan misi walaupun adik kau meninggal beberapa hari yang lepas," puji Rafael pula.
"Walau apa pun yang jadi, misi tetap misi. Kalau kita dapat bunuh seekor Karnivor, mungkin kita dapat selamatkan berpuluh-puluh nyawa," balas Azwan.
"Dah! Mari kita periksa bangunan ni! Semua bergerak!" arah Mikhael sebelum berlari masuk ke dalam bangunan.
"Baiklah!"
Di tempat berlainan iaitu di arah selatan kota, beberapa buah squad telah dihantar untuk menjalankan misi yang sama. Salah satunya ialah Squad Empat. Squad itu menjadi perhatian para anggota keselamatan kerana dianggap squad yang paling kuat dalam menjayakan Misi Pembersihkan Kuantan.
Squad Empat terdiri daripada empat orang individu yang terlatih. Mereka bukanlah daripada anggota keselamatan namun, mereka ialah orang awam yang secara sukarela menawarkan diri untuk membantu pasukan anggota keselamatan.
Sejak pertama kali Karnivor muncul di Borneo, mereka merupakan orang awam yang pertama yang menjadi sukarelawan dalam misi di Sabah dan Sarawak. Mereka juga telah mendapat lesen yang sah untuk memegang senjata. Telah banyak misi yang berjaya diselesaikan sehingga mereka mendapat anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong.
Disebabkan itulah Squad Empat menjadi perhatian dalam Misi Pembersihan Kuantan. Kini, mereka sedang memeriksa di kawasan yang telah diarahkan.
"Hey, kapten! Panaslah... boleh berehat kejap?"
"Marisa, kalau kau tak tahan panas, kau boleh berehat. Kitorang nak teruskan misi," balas Eriq. Dia merupakan ketua Squad Empat.
"Betul ke? Tak tipu?"
"Kau duduklah sorang-sorang kat tempat teduh. Kalau Karnivor terkam kau, kitorang tengok je," balas Airis pula.
"Kejamnya."
"Shen, kau ada nampak apa-apa?" tanya Eriq kepada Shen yang sejak tadi lagi sedang memerhati bangunan dari kiri ke kanan.
"Setakat ni tak. Susah sebab aku hanya boleh tengok benda hidup yang tak terlindung dengan objek."
"Tak apa. Teruskan memerhati."
Pada masa yang sama, Shen terlihat seekor Karnivor di celah bangunan yang teduh. Binatang itu sedang bersembunyi daripada cahaya matahari. Dia segera memaklumkan kepada Eriq sebelum arahan untuk melepaskan tembakan dikeluarkan.
Akhirnya, Karnivor mati ditembak.
Marisa dan Airis tersenyum gembira tatkala mereka berjaya menumbangkan seekor lagi Karnivor. Peluru senjata jenis M4 segera ditukar. Itulah yang selalu dilakukan oleh mereka setiap kali berjaya menembak seekor Karnivor. Mereka perlu memastikan yang peluru senjata sentiasa berada dalam keadaan penuh.
Shen mendekati Karnivor. Setelah memberitahu bahawa jantung binatang itu telah berhenti, barulah Eriq dan dua lagi rakannya mendekati binatang tersebut. Ketua mereka menatap lama binatang itu. Shen, Marisa dan Airis pula menunggu sesuatu yang keluar daripada mulut Eriq.
"Ni bukan Karnivor yang sama."
Marisa menghembus nafas kecewa lalu berkata, "susah betul nak cara Karnivor Induk."
"Jangan cepat menyerah. Kita masih boleh cari lagi," balas Eriq.
"Tapi, kau betul-betul yakin ke ada Karnivor Induk kat bandar ni? Aku dah malas la nak cari. Kalau tak ada, semua yang kita buat hanya sia-sia."
"Marisa, kau ni jangan jadi siput boleh tak?" marah Airis.
"Siput? Kau samakan aku dengan siput?"
"Ya! Sebab kau pemalas!"
"Okey, okey. Tak apa, tak apa."
"Sudahlah. Korang ni macam budak-budak. Korang dah tujuh belas dan sembilan belas tahun, jangan nak buat perangai macam budak," tegur Shen.
"Kita bernasib baik sebab Shen ada penglihatan yang sama macam Karnivor. Kalau dia tak ada, kita tak sampai ke tahap ni. Jadi, kita tak boleh putus asa untuk cari Karnivor Induk," kata Eriq.
"Dengar apa yang kapten cakap tu. Jangan nak jadi pemalas. Kalau tak disebabkan Eriq dan Shen, kita tak sampai ke tahap ni. Kau sedar tak, Marisa?" tegur Airis.
Marisa pula mengherot mulut lalu menjawab, "manalah aku tahu, aku kan seekor siput."
"Ey, kau ni!"
"Mari kita teruskan misi," arah Eriq sambil berjalan melewati bangunan-bangunan yang kosong diikuti oleh tiga lagi anak buahnya.
****
22 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.
Di hujung kebun, kelihatan Kein sedang bersenam. Dia nampak seperti hari-hari biasa. Eyman yang sedang bersandar pada batang pokok pula sedang asyik bermain telefon. Sejak kematian Zul, kelibat Syakir tidak kelihatan. Entah ke mana dia sudah pergi.
Tiba-tiba, Kris datang. Wajahnya nampak serius. Dia bersandar pada batang pokok sambil menyilang tangan ke dada. Kein dan Eyman menyedari kehadirannya namun, diendahkan.
"Kita perlu berbincang," kata Kris dengan nada serius.
Kein yang sedang menumbuk bantal pada batang pokok segera berhenti lalu membalas, "berbincang apa?"
"Pasal rancangan kau minggu lepas."
"Ouh, pasal tu... lupakan jelah. Lagipun, aku dah tak ingat."
Kris berjalan ke arah Kein lalu menumbuk wajahnya dengan kuat. Lelaki itu terjatuh ke tanah. Dia mengusap-ngusap pipinya dengan bingung. Eyman pula terkejut melihat perkara yang berlaku di hadapannya.
"Apa yang dah jadi dengan kau ni? Sejak minggu lepas lagi kau macam ni! Mana perginya kebencian kau pada Karnivor? Kau cakap nak balas dendam atas kematian ayah kau! Tapi, tengoklah kau sekarang, kau nampak... menyedihkan."
Tanpa membalas kata, Kein mengangkat kaki kanan ke arah kepala Kris. Dagu lelaki itu diterajang. Dia terbaring ke tanah. Kein bingkas bangun dan memijak dada Kris dengan kuat.
"Kalau aku mati, mak aku akan keseorangan. Tak ada orang akan jaga dia. Lupakan apa yang aku cakap minggu lepas. Keadaan dah berubah sekarang."
Kris memegang kaki Kein lalu dia berguling di atas tanah menyebabkan lelaki itu jatuh tertiarap. Kini, mereka berdua terduduk di atas rumput. Eyman pula menepuk tangan tatkala melihat pergaduhan dua rakannya. Dia pula menjadi perhatian Kris dan Kein.
"Korang dah habis ke? Tak puas lagi jadi budak? Korang dah besar pun nak bergaduh macam budak lagi ke? Kein, betul apa yang Kris cakap, kau nampak macam mayat hidup lepas ayah kau mati. Kau sendiri cakap kematian tu perkara biasa kat dunia ni tapi tengoklah kau sekarang. Kris, kau pula dah tak ada cara lain ke nak sedarkan dia selain tumbuk muka dia? Nak tunjuk samseng?"
Dua lelaki itu terdiam tatkala ditegur oleh Eyman. Mereka bangun. Kedua-dua mengherot mulut. Tidak mahu memandang antara satu sama lain. Namun, Kris merendahkan ego lalu menghulur tangan untuk bersalaman sebagai tanda maaf.
Kein menempis tangan Kris lalu bertanya, "apa benda yang kau nak bincangkan?"
"Kalau kau berjabat tangan dengan aku tadi, memang bukan kau lah."
"Kau nak cari gaduh lagi ke?"
"Aku dah puas tumbuk muka kau. Sekarang, kau nak dengar tak apa yang aku nak cakap?"
"Suka hati kaulah. Cakap apa yang kau nak cakap."
Kein dan Eyman duduk di hadapan Kris. Bersedia mendengar perkara yang telah dirancangkan oleh mereka minggu lepas. Namun, kali ini, Kris telah mengubah dan memperbaharui rancangan itu menjadi lebih baik dan teliti. Eyman terpegun dengan kebijaksanaan rancangan itu. Kein pula hanya bersetuju.
"Aku akui yang kau ada otak yang bijak. Betul tak, Kein?"
"Suka hatilah. Aku hanya ikut rancangan. Kalau ianya gagal, aku akan salahkan kau."
"Selagi korang ada aku, kita takkan gagal," balas Kris dengan yakin.
Malam menjelma. Askar-askar menjalankan tugas seperti biasa. Di setiap jalan dan hutan mereka berjaga. Empat orang sedang berkawal di jalan masuk untuk ke kampung. Dua orang sedang berjaga di hutan berhampiran sungai dan di kebun rambutan. Seorang lagi sedang berkawal di khemah askar bersama dengan seorang kerani tentera.
Kein yang keseorangan berada dalam semak berhampiran dengan sawah padi. Butang lampu pada jam digital ditekan. Jelas kelihatan, waktu sudah jam 10:23 malam. Masih ada dua minit sebelum dia memulakan rancangan. Dia tidak yakin rancangan Kris akan berjaya. Bukan tidak yakin dengan Kris tetapi risau sekiranya Kris dan Eyman akan tertangkap.
Dua lelaki itu sedang bersembunyi dalam semak berhampiran dengan khemah tentera. Di belakang mereka pula terbentang luas belukar dan lalang. Mereka menunggu isyarat daripada Kein walaupun kedudukan mereka dengan lelaki itu agak jauh.
Terlihat jelas, Eyman mengenakan pakaian tentera yang sama dengan askar yang sedang berkawal. Apa yang mereka sedang rancangkan?
Jam pada tangan kiri Kein menunjukkan pukul 10:25 malam. Kris dan Eyman juga mengetahui akan hal itu. Mereka sedang menunggu isyarat daripada rakannya.
Kein menghembuskan nafas berat lalu bermonolog, "tak guna. Kenapa aku perlu buat semua ni? Memalukan betul. Apa-apapun, aku kena tepati masa."
"ARGHH! TOLONG! KARNIVOR! KARNIVOR! TOLONG AKU!"
Kein menjerit semahunya. Jeritan itu jelas didengari oleh askar-askar yang sedang berkawal di kawasan yang berdekatan. Mereka segera berlari ke arah jeritan tersebut walaupun tidak mengetahui kedudukan sebenar. Termasuklah dua orang tentera yang berada di khemah askar.
Setelah melaungkan jeritan palsu, Kein segera melarikan diri ke arah belakang gerai Tok Ma. Itu ialah lokasi yang paling selamat untuk dia menyorok. Kalau dia terlambat, dia mungkin akan tertangkap. Sekarang, tiba giliran Eyman dan Kris pula untuk bertindak.
Jeritan yang kuat itu ialah isyarat untuk Eyman bergerak. Kris menggunakan penglihatan haba untuk mengesan gerak-geri setiap askar sehinggalah dia yakin bahawa semua askar sudah meninggalkan khemah. Pada masa yang sama, Eyman bergegas ke arah khemah tentera.
Dia mengenakan pakaian tentera serta helmet tentera bersama dengan senjata mainan yang terlihat seperti senjata sebenar. Pada tangannya, terlihat fail yang diisi dengan kertas-kertas kosong. Dengan pantas, tanpa diketahui oleh askar-askar, dia masuk ke dalam khemah.
Menurut Kris, dia mempunyai kurang dari lima minit untuk menukar fail tersebut dengan fail yang mengandungi maklumat tentang Kampung Tengah Selatan. Kerana, setelah jeritan Kein disyaki palsu, tentera akan kembali semula ke tempat mereka. Semuanya mengambil masa selama lima minit.
Kini, Eyman sedang kalut membelek-belek fail. Sedaya upaya cuba mencari fail yang dimaksudkan. Namun, dia tidak menemui fail tersebut. Laci meja pula dibuka. Fail-fail di dalam laci pula dibelek. Tetapi tidak ditemukan. Jantungnya mula berdetak kencang. Takut jika tertangkap.
Sudah tiga minit berlalu, Kris melihat dengan jelas, askar-askar mula berpecah, balik semua ke tempat berjaga. Namun, kelibat Eyman masih tidak kelihatan. Kris pula diserang kerisauan.
Di khemah tentera, Eyman masih mencari. Dia mengetahui bahawa sudah hampir lima minit berlalu. Disebabkan tidak menemui apa-apa fail yang berkaitan dengan kampung, dia mengambil sebuah fail secara rambang lalu menukarkan dengan fail yang dibawanya.
Sebelum keluar dari khemah, dia sempat meletakkan sebutir pil tidur ke dalam minuman yang berada di atas meja. Itu ialah arahan Kris. Eyman hanya mengikut arahan tersebut walaupun tidak mengetahui tujuannya.
Dia keluar melalui pintu belakang khemah supaya tidak dilihat oleh askar. Kris dapat melihat dengan jelas tubuh lelaki itu melalui penglihatan haba. Dia menarik nafas lega kerana Eyman sempat keluar sebelum dua orang askar kembali ke dalam khemah.
"Maaf Kris, aku tak jumpa fail tu. Tapi, aku sempat tukar dengan fail ni," adu Eyman lalu menunjukkan fail yang berjaya ditukarnya.
Kris menyuluh fail tersebut dengan lampu suluh. Ianya ialah fail 'Kuantan'. Lelaki itu tersenyum sinis. Senyuman itu dilihat mencurigakan oleh Eyman. Dia tertanya-tanya, apa yang Kris sedang fikirkan.
"Tak apa kalau tak jumpa pun, asalkan kau berjaya tukarkannya. Dah terbukti yang rancangan aku berjalan dengan lancar. Sekarang, kita tunggu dalam tiga puluh minit."
"Apa maksud kau?"
"Kau dah letak pil tidur dalam minuman dia?"
"Ya, tapi kenapa? Kau tak cakap pun apa-apa pasal ni dalam rancangan. Kau hanya cakap pasal tukar fail je."
"Pil tidur selalunya akan beri kesan dalam tiga puluh hingga enam puluh minit. Lepas tu, kita tunggu askar-askar tu bertukar tempat."
"Bertukar tempat?"
"Dalam seminggu sebelum ni, aku keluar setiap malam seorang diri. Aku perhatikan gerak-geri askar-askar setiap masa dan aku sedar satu benda. Setiap pukul 11 malam atau lebih, diorang akan tukar posisi kecuali kerani. Dalam proses diorang tukar posisi tu, diorang akan tinggalkan tempat berjaga dalam tiga hingga lima minit. Waktu tu, aku nak kau sorokkan kerani yang dah tertidur di bawah meja dan menyamar jadi kerani tu."
Eyman terkelu seketika tatkala mendengar ketelitian Kris dalam merancang. Malah, dia tidak menyangka bahawa Kris meneliti setiap gerak-geri askar. Bahkan, lelaki itu memanfaatkan setiap ruang dan masa yang ada.
"Kau memang teliti. Tak sangka, aku jumpa orang yang bijak macam kau ni. Jadi, bila aku menyamar sebagai kerani, apa yang aku nak buat?"
"Cari fail kampung ataupun daerah kita. Kau akan bersama dengan seorang askar di khemah. Kau tahu kan, kawan yang baik akan berkongsi minuman," jawab Kris sambil tersenyum sinis.
Eyman sudah mengetahui maksud tersirat kata-kata itu. Kris mahu dia berkongsi minuman yang telah dicampur pil tidur dengan askar yang akan berkawal di khemah. Setelah askar itu tertidur, barulah dia dapat keluar dengan selamat.
Setengah jam berlalu. Jarum jam pada tangan Kris berada tepat pada pukul 11 malam. Pada masa yang sama, dia mengarahkan Eyman untuk ke khemah melalui belakang. Tatkala tiba di khemah, kelihatan kerani tentera sedang menguap. Seorang lagi askar sudah bergerak untuk menukar tempat.
Eyman harus menunggu kerani terlelap sebelum masuk ke dalam khemah dan menyamar. Setelah dua minit, barulah kerani benar-benar terlelap. Tanpa berfikir panjang, Eyman segera mengangkat lelaki itu lalu menyandarkannya di bawah meja. Hadapan meja ditutup dengan kain berjalur, jadi tidak ada sesiapa yang akan perasan jika ada orang yang berada di bawah meja.
Setelah itu, Eyman duduk di atas kerusi, menghadap komputer riba di atas meja. Jelas tertayang pada skrin komputer, peta daerah. Kampung Tengah Selatan juga terlihat di dalam peta tersebut. Namun, apa yang membuatkan Eyman terkejut ialah, di bawah peta tersebut terpapar data yang menunjukkan jumlah Karnivor yang pernah muncul di setiap kampung.
Jumlah yang paling besar ialah 15 ekor Karnivor yang diwakili oleh Kampung Tengah Selatan. Tatkaka membaca data-data itu, dia terkejut besar. Ternyata, bukan dua ekor Karnivor yang ditemukan seperti yang diketahui oleh penduduk kampung. Tetapi, ianya lima belas ekor.
Apa yang pelik, kenapa penduduk kampung masih tidak dipindahkan? Bukankah, jika lebih daripada tiga ekor Karnivor yang muncul di sesebuah kawasan, semua penduduk kampung serta di kawasan yang berhampiran akan dipindahkan? Apa yang sedang berlaku sebenarnya?
Adakah tentera yang berjaga di kampung ini merahsiakan data tersebut daripada kerajaan atau kerajaan sedang merahsiakan bilangan sebenar Karnivor yang pernah muncul kepada penduduk kampung?
Baru sahaja ingin mengeluarkan telefon bimbit dari poket untuk menangkap gambar, seorang tentera datang ke khemah. Eyman melupakan hasratnya. Dia mula berlakon seperti seorang kerani.
Askar tersebut hanya berdiri di hadapan khemah tanpa mengesyaki apa-apa. Jantung Eyman berdegup kencang. Dia hanya menatap skrin komputer riba. Cuba sedaya upaya untuk menyamar menjadi kerani.
Ketika itu juga, dia membuka laci meja. Masih berusaha mencari fail berkaitan dengan kampung ataupun daerah. Namun, kelakukannya dicurigai oleh askar.
"Jarang nampak kau kalut cari barang. Kenapa? Lupa letak fail ke?"
Eyman terpaku. Walau bagaimanapun, dia tidak boleh terlihat mencurigakan di mata askar itu. Dia perlu menjawab pertanyaan.
"Kadang-kadang, aku jadi pelupa."
Namun, jawapan itu membuatkan askar memandang sinis. Dia mula mencurigai sesuatu. Eyman pula gemuruh tatkala melihat mata lelaki itu. Namun, dia terus berusaha untuk berlakon.
"Jumpa pun," kata Eyman sambil mengeluarkan sebuah fail dari laci meja. Ianya bukan fail kampung ataupun daerah. Tetapi, dia perlu berpura-pura mencari fail tersebut supaya tidak disyaki.
"Aku perasan. Suara kau berubah sikit. Kau ni betul-betul kerani yang aku kenal ke?" soal askar.
Eyman terkelu. Mindanya gelap seketika. Jantungnya mula berdegup kencang. Malah lebih pantas tatkala lelaki itu mula berjalan mendekatinya. Jika dia tidak bertindak, dia akan tertangkap atau lebih teruk, dia akan ditembak jika penyamarannya terbongkar.
Pada masa itu juga, dia teringat akan kata-kata Kris. Tangan kanannya segera menggapai segelas teh yang berada di atas meja lalu dihulurkan kepada askar yang sedang mendekatinya.
"Kau penat sangat kot sebab berjaga. Maklumlah, dah enam bulan. Apa kata kau minum dan duduk dulu."
Dengan terketar-ketar Eyman menghulurkan segelas teh yang telah dicampur dengan pil tidur. Dia berdebar menunggu balasan. Lelaki itu memandang hairan. Namun, dia akur dan bersetuju dengan kata-kata Eyman lalu minum segelas air teh yang dihulurkan.
Eyman menghembus nafas lega.
Setelah lebih setengah jam, lelaki itu tertidur di atas kerusi di hadapan khemah. Eyman mengeluarkan telefon lalu mengambil gambar peta dan data daerah yang terpapar pada skrin komputer riba. Kerani yang tertidur, diangkat lalu diletakkan di atas kerusi. Sebelum keluar, air teh yang belum habis diminum, dituangkan ke tanah. Itulah arahan Kris kepada Eyman. Mereka tidak boleh meninggalkan sebarang bukti.
Akhirnya, Eyman keluar dengan selamat. Dia memberitahu Kris bahawa dia masih tidak menemui fail kampung mahupun daerah. Tetapi, dia telah menemui sesuatu yang penting. Sesuatu yang boleh menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya kepada mereka.
Pada masa yang sama, Kris menghubungi Kein menggunakan telefon Eyman. Lelaki itu hampir tertidur menunggu mereka di belakang gerai Tok Ma. Kris memberitahu Kein untuk berjumpa di rumah. Eyman juga akan ikut bersama.
"Baguslah dah selesai. Hampir aku tertangkap tadi. Tapi, semuanya berjalan dengan lancar. Mari ke rumah..."
Eyman tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Percakapannya terhenti tatkala melihat wajah Kris. Wajah lelaki itu nampak terkejut. Pandangannya juga terarah ke arah belukar yang gelap.
"Kenapa, Kris? Kau jangan cakap..."
"Ya... aku nampak Karnivor kat jalan keluar kita."
untuk cerita lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.