Home Novel Thriller/Aksi DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
kenhendri
12/6/2021 09:15:59
25,620
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

Dahan-dahan pokok buluh melambai-lambai tatkala angin bertiup kencang. Bunyian tatkala batang pokok itu berlaga sesama sendiri, sangat indah didengari oleh Kein. Dia menarik dan menghembus nafas perlahan. Dalam hatinya menjangkakan bahawa ribut dan hujan bakal melanda kampung, malam ini.


Jangkaannya tepat tatkala Eyman yang sedang duduk di atas dahan pokok, tiba-tiba membuka mulut. Dia berkata perkara yang sama dengan apa yang Kein fikirkan setelah melihat ramalan cuaca dalam telefon pintar miliknya.


Jika itu yang berlaku, bermakna, mereka perlu pulang sebelum awan mendung melindungi cahaya matahari kerana ketika perkara itu berlaku, Karnivor akan bergerak bebas. Tidak ubah seperti waktu malam.


Sedang asyik bermain permainan video, Zul yang duduk bersandar pada batang pokok, mengangkat panggilan daripada Syakir dengan geram.


"Woi, aku tengah main game ni! Apa yang kau nak?"


"Datang lepak kat rumah aku! Ramai orang kat sini! Kata nak push rank! Mari la main squad, barulah rank tak jatuh!"


"Tunggu aku habiskan PUBG ni dulu."


"Yalah-yalah!"


Zul segera mematikan perbualan. Tatkala membuka semula permainan video PUBG, dia telah terkeluar daripada perlawanan. Dengan geram sambil menggetap gigi, dia bingkas bangun.


"Tak guna punya budak! Kau telefon aku sampai aku AFK! Nanti kau!" kata Zul dengan geram sebelum berjalan keluar dari tempat itu. Pada masa yang sama, dia terserempak dengan Kris yang baru sahaja tiba.


Kris memandang raut wajah Zul dengan hairan lalu bertanya kepada Kein dan Eyman, "kenapa tu? Nampak marah je."


"Kaki games. Biasalah. Sensitif sangat, tak boleh orang telefon. Terus melenting. Kalau mak dia telefon tadi, entah apa reaksi dia. Teringin aku nak viralkan. Muat naik dalam Youtube, letak tajuk 'Akukah Tanggang 2'. Rasanya, ramai yang tengok," balas Eyman.


"Dia nak ke mana?"


"Ke rumah Syakir. Kat kampung sebelah. Tak la jauh sangat."


"Kau buat apa kat sini? Kau kata tak nak datang tadi," tanya Kein.


"Soalan yang bagus. Aku nak beritahu korang pasal Karnivor. Aku rasa..."


Tidak sempat Kris menamatkan kata-katanya, Kein mencelah. Dia memberitahu bahawa dia tidak ingin mendengar cerita mengarut daripada Kris. Dia sudah tahu bahawa lelaki itu ingin menceritakan tentang penglihatan Karnivor yang dimilikinya. Tetapi, Kein masih lagi tidak mempercayainya.


Eyman pula mematahkan kata-kata Kein. Dia turun dari pokok, berjalan ke arah Kris lalu berkata bahawa, kemungkinan benar juga apa yang Kris katakan tentang penglihatan Karnivor. Tetapi, dia tidak mempercayai jika manusia mempunyai penglihatan itu. Terutama, orang yang sedang berdiri di hadapannya.


"Kenapa korang tak nak percaya? Aku tak tipu la!"


"Sebab ianya mata. Hanya kau yang dapat lihat apa yang kau lihat. Mustahil untuk kami percaya kata-kata kau tu. Lainlah, kalau tangan kau jadi macam Karnivor, barulah kami percaya."


"Betul apa yang Kein cakap. Memang susah nak percaya. Satu lagi, tak mungkin manusia boleh terkena virus CWD-Rabies. Kan kerajaan dah cakap yang virus tu hanya menjangkiti binatang pemakan daging. Tak kisahlah binatang tu kucing sekalipun, kalau sejak lahir lagi kucing tu makan daging, dia akan terkena jangkitan virus. Kalau manusia juga akan dijangkiti, dalam enam bulan sejak awal tahun ni lagi, manusia dah jadi Karnivor. Tapi, tak pernah berlaku lagi kes macam tu."


Kris menghembuskan nafas kesal kerana tidak ada yang mahu mempercayainya. Namun, dia terfikir sesuatu. Dia tetap akan melakukan apa sahaja supaya Kein dan Eyman percaya akan kata-katanya. Hanya ada satu cara untuk membuktikan penglihatan yang dimilikinya.


"Aku ada satu cara untuk buktikan. Korang cari sesuatu yang panas dan sejuk dan letak kat atas rumput ni. Aku akan teka sama ada benda tu panas atau sejuk hanya dengan lihat saja. Aku akan tutup mata masa korang cari. Setuju?"


Kris duduk di atas rumput diikuti oleh Eyman. Kein pula memandang sinis. Masih curiga dengan Kris. Namun, Eyman pula lain. Dia bersetuju dengan cara itu. Telefon pintar yang dipegangnya, diletakkan di atas rumput.


"Kalau betullah kau boleh tengok haba macam Karnivor, aku nak kau teka suhu telefon aku. Macam mana?"


Kein tersenyum sinis. Dia suka cara Eyman. Baginya, mustahil Kris dapat meneka suhu telefon itu dengan tepat mahupun tipis. Dengan menyilang tangan ke dada, dia menanti jawapan yang akan keluar daripada mulut lelaki itu.


Kris mengubah pandangannya kepada penglihatan haba. Dia menatap telefon Eyman yang berada di hadapan. Apa yang dia nampak, telefon itu berwarna kuning kemerah-merahan. Suhu telefon itu agak panas.


"Aku yakin yang telefon kau panas sekarang. Suhunya mungkin, tiga puluh satu atau tiga puluh dua darjah selsius. Betul?"


Eyman terkejut mendengar jawapan itu. Kein pula hairan melihat reaksi Eyman sehinggalah dia menyedari bahawa jawapan Kris ialah tepat tatkala Eyman menunjukkan suhu telefonnya yang terpapar pada skrin. Ianya ialah tiga puluh dua darjah selsius.


Kein masih lagi tidak mempercayainya. Dia segera mengambil seketul batu di tanah lalu menunjukkan ke arah Kris dan bertanya sama ada batu itu sejuk ataupun panas.


Kris memandang batu yang berada di tangan kanan Kein. Warna batu ialah ialah hijau kekuning-kuningan. Dia menjawab bahawa suhu batu itu rendah dan ianya sejuk. Jawapan itu tepat.


Kein pula terkejut. Kepercayaannya terhadap kata-kata Kris mula tumbuh. Namun, dia masih bingung, kenapa dan bagaimana Kris mempunyai penglihatan seperti itu? Jika alasan darah Karnivor masuk ke dalam matanya, ianya tidak munasabah bagi Kein.


"Jadi, kat depan kita ni ada manusia separa Karnivor? Apa yang kita nak buat, Kein? Bagitahu polis? Askar? Doktor? Bomba? APM? PM?" tanya Eyman.


"Aku rasa, lebih baik tak payah. Kita rahsiakan perkara ni daripada pihak kerajaan. Bahaya kalau diorang tahu."


"Jadi, nak biarkan Kris macam ni? Kita tak tahu apa yang jadi pada dia. Lebih baik kita maklumkan pada orang yang lebih pakar."


"Sebelum ni, kau pernah dengar berita atau cerita yang sama dengan apa yang Kris alami?"


"Tak... kenapa?"


"Kalau tak, bahaya kalau kita beritahu pihak kerajaan. Diorang akan jadikan Kris sebagai bahan uji kaji sebab ni kejadian yang pertama sejak virus CWD-Rabies merebak ke seluruh dunia."


Eyman akur dengan kata-kata Kein. Tetapi, jauh di dalam hatinya, masih tidak setuju dengan pendapat itu kerana jika Kris dibiarkan tanpa pengetahuan doktor ataupun pihak kerajaan, ianya mungkin akan membahayakan nyawanya.


"Hey, Kris! Macam mana kau aktifkan penglihatan haba dan x-ray tu?" tanya Kein.


"Aku tak pasti. Tapi, aku boleh kawalnya macam aku kawal anggota badan yang lain. Contohnya, kalau aku nak angkat tangan, aku perlu menggerakkannya. Lebih kurang macam tulah aku aktifkan penglihatan Karnivor. Ianya macam dah selari dengan mata aku. Tapi, disebabkan aku masih tak biasa, kadang-kadang, bila guna lama-lama, aku jadi sakit kepala. Tapi, bila dah lama guna nanti, mungkin aku akan terbiasa."


"Kau yakin ke hanya ada dua penglihatan?" tanya Eyman pula.


"Aku tak tahu. Tapi, setakat ni, aku boleh guna dua je."


"Kita dah tahu macam mana Karnivor melihat. Tak hairanlah kalau binatang tu mudah nak tahu kedudukan kita. Soal Karnivor tertarik dengan cahaya pun, aku rasa dah terjawab. Mungkin, alat macam telefon dan lampu suluh mempunyai suhu yang hampir sama macam benda hidup, jadi dia menganggap ianya benda hidup. Disebabkan itulah, dia tertarik," kata Kein.


"Jadi, sebab itulah dia gigit telefon aku sampai hancur? Sebab, suhu telefon aku panas?" yakin Kris.


"Kau cakap yang mata kau masuk darah Karnivor kan? Sebab tu ke kau ada penglihatan ni?" tanya Eyman.


"Ya."


"Logik juga sebab dalam darah Karnivor ada virus CWD-Rabies. Mungkin, virus tu dan masuk ke dalam mata kau. Tapi, disebabkan kau bukan pemakan daging, kau tak bertukar jadi Karnivor."


"Tunggu! Kalau macam tu, binatang pemakan daging akan terkena jangkitan virus melalui udara, kalau herbivor dan omnivor pula akan terkena jangkitan melalui darah binatang yang dah dijangkiti?" soal Kris.


"Bijak betul kau ni. Itulah yang aku fikir. Disebabkan kita ni omnivor sejak kecil lagi, kita takkan terkena jangkitan virus yang merebak melalui udara," balas Eyman pula.


Kein hanya mendengar perbualan mereka. Semuanya benar. Namun, hanya satu perkara sahaja yang kurang meyakinkannya. Jika virus CWD-Rabies mengalir dalam darah Karnivor, bermakna sebarang cecair mahupun najis binatang itu juga mempunyai virus.


Tatkala memikirkan hal itu, Kein tersentak seketika. Jantungnya berdegup kencang tatkala teringat kembali akan sesuatu yang terlintas di fikirannya. Perlahan-lahan, dia mengusap bahunya.


"Kein! Apa yang kau nak buat sekarang?" tanya Eyman yang masih duduk di atas rumput bersama Kris.


"Apa maksud kau?"


"Orang kat depan kita ni, separa Karnivor. Kau tak nak buat sesuatu ke?"


Kein tersenyum sinis lalu membalas, "memang ada benda yang dah lama aku nak buat sejak virus merebak awal tahun ni. Tapi, aku tak tahulah kalau Kris bersetuju ataupun tak."


Kris membalas dengan pertanyaan sambil menjeling kehairanan, "apa yang kau nak buat?"


****


Ribut kencang membadai daerah. Kampung Tengah Selatan dan beberapa kampung di sekitarnya terkena tempias angin kencang. Awan pula sudah hitam, tanda hujan lebat bakal turun. Kedengaran juga bunyi guruh yang kuat.


Kris dan Kein yang baru sahaja pulang dari kebun, ditegur oleh Pak Su yang terlihat sedang bersiap untuk bertugas di pelabuhan. Mereka berada di dapur rumah.


"Baru balik? Hati-hati kalau cuaca macam ni. Karnivor boleh keluar bila-bila masa."


Kein mengendahkannya kerana dia sudah mengetahui akan hal itu. Dia berjalan ke arah jug air lalu menuangkan air ke dalam gelas. Segelas air diminum perlahan sebelum menghembuskan nafas puas.


Kris pula berasa janggal dengan kelakuan dua beranak itu.


Pada masa yang sama, Mek Yah datang ke rumah dengan wajah yang cemas. Orang tua itu kelihatan risau. Dia bertanya kepada Kein akan kedudukan Zul, iaitu anak bongsunya.


"Zul tak balik lagi?" soal Kris.


"Ya. Kamu tahu dia ada kat mana? Dah banyak kali mak cik telefon tapi dia tak angkat."


"Tengahari tadi dia cakap nak ke rumah kawan dia kat kampung sebelah. Tu kali terakhir saya nampak dia."


"Apa yang dia buat kat kampung sebelah waktu-waktu macam ni? Budak tu, menyusahkan orang betul!" celah Pak Su sambil menggalas senapang patah. Dia berjalan keluar dari rumah bersama kunci kereta.


Pak Su memberitahu bahawa dia akan mencari Zul di kampung sebelah dan membawanya pulang ke rumah. Tetapi, jika dia bertindak demikian, dia akan terlewat untuk ke tempat kerja. Mek Yah menarik nafas lega. Mak Su pula cuba menenangkan hati kakak iparnya.


Kein menawarkan diri untuk ikut bersama dengan ayahnya namun, pelawaannya ditolak. Ayahnya menyuruh Kein dan yang lain kekal di dalam rumah. Dia mula tidak berpuas hati dengan kata-kata itu lalu berdecit perlahan.


Kereta dihidupkan. Pak Su memandu laju. Sedar yang dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja namun, keselamatan anak saudaranya lebih penting daripada pekerjaan.


Ketika itu juga, hujan turun dengan lebat. Angin pula bertiup kencang. Kris terpaksa menutup pintu dapur. Dia akan tinggal di rumah Pak Su sehinggalah lelaki itu pulang. Mek Yah turut menunggu kepulangan adik dan anaknya.


Ketika semua orang terlihat risau, Kein berjalan masuk ke dalam biliknya bertemankan cahaya lilin tanpa mempedulikan sesiapa. Namun, dia menyedari bahawa Kris sedang mengikuti dari belakang. Langkahnya terhenti. Dia berpaling dan menegur lelaki itu sambil menjeling sinis.


"Kau nak apa?"


"Aku hairan..."


"Aku malas nak bercakap sekarang. Kau pergi duduk dengan mak aku dan Mek Yah kat sana," balas Kein. Dia terus berjalan masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba, kata-kata Kris membuatkan langkahnya terhenti. Dia menggetap gigi, geram.


"Kenapa kau nampak macam tak suka ayah kau? Kau benci sangat ke ada ayah macam tu? Aku tahu yang kau risaukan ayah kau tapi kau tak boleh berkelakuan macam tu."


Dengan nada geram, Kein menjawab, "kau orang luar! Tak tahu apa-apa! Lebih baik kau diam sebelum aku potong lidah kau!"


Kris menggunakan penglihatan haba untuk melihat suhu dada dan otak Kein. Ianya merah. Itu tanda bahawa lelaki itu sedang marah. Penglihatannya dikembalikan kepada normal. Kris tidak mahu sebarang pergaduhan berlaku antara dia dan Kein. Lagipun, benar juga apa yang Kein katakan. Dia orang luar.


"Suka hati kaulah," balas Kris lalu berjalan meninggalkan Kein bersendirian di dalam bilik.


Setelah lebih dari satu jam menunggu, kelibat kereta Pak Su masih tidak kelihatan. Sudah beberapa kali Mak Su menghubungi suaminya, tetapi tidak diangkat. Perkara itu menimbulkan kerisauan dia dan Mek Yah.


Kris juga turut risau. Dia memandang ke arah bilik Kein. Berharap bahawa Kein juga risau akan keadaan ayahnya yang masih belum pulang. Ingin sahaja Kris bertindak untuk memaklumkan hal itu kepada askar tetapi, ribut dan hujan di luar sangat kuat dan lebat seperti tidak mengizinkannya untuk keluar.


Tiba-tiba, kedengaran bunyi truk dari luar rumah. Pintu rumah pula diketuk kuat. Mak Su segera membuka pintu dengan harapan bahawa suami dan anak saudaranya sudah pulang. Begitu juga dengan Mek Yah dan Kris. Kein yang berada di dalam bilik, terus berlari keluar tatkala mendengar ketukan yang kuat itu.


Namun, tatkala pintu dibuka, kelihatan dua orang askar yang basah kuyup bersama dengan senjata sedang berdiri di hadapan pintu. Kris gugup tatkala melihat kelibat mereka.


Kein pula berasa hairan. Timbul persoalan dalam benaknya, kenapa askar datang ke rumahnya? Adakah dia ingin mengarahkan mereka untuk memadamkan api lilin.


"Ini rumah Abdullah bin Syaifullah ke? Tanya salah seorang askar."


Mak Su hanya mengangguk. Itu ialah nama suaminya.


"Kami askar yang sepatutnya berjaga di kampung sebelah. Kami datang ni membawa berita buruk. Abdullah dan seorang lagi lelaki ditemui maut dalam kemalangan kereta. Kami percaya, mereka diserang oleh Karnivor. Mayat-mayat mereka telah dihantar ke hospital. Maaf atas kesulitan," maklum seorang lagi askar sambil menghulurkan dompet yang mengandungi duit dan kad pengenalan Pak Su kepada Mak Su.


Tatkala mendengar berita itu, jantung Mak Su dan Mek Yah bagaikan gugur. Namun, mereka menerima berita itu dengan hati yang terbuka biarpun wajah dan mata-mata mereka menggambarkan perasaan yang berat untuk ditanggung.


Kris pula terkelu. Dia terkaku dan bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Dia pantas memandang ke arah Kein. Lelaki itu berdecit sebelum masuk ke dalam bilik. Buku lima digenggam rapat. Pintu bilik tutup.


****


16 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.

Keesokan harinya, pada waktu pagi, mayat Pak Su dan Zul ditanam. Cuaca pada pagi itu terlihat mendung. Amat berisiko untuk berlamaan di luar. Disebabkan itulah, pengebumian kedua-dua mayat itu dilakukan dengan ringkas dan pantas.


Tatkala semua penduduk kampung diarahkan pulang oleh tentera, Kein orang pertama yang melangkah pergi. Dia meninggalkan ibunya, Mek Yah dan Kris yang sedang meratapi kubur Pak Su dan Zul. Kris menyedari akan hal itu.


Pada waktu petang pula, cahaya matahari mula menyinari kawasan kampung. Kris ke rumah Mak Su untuk bercakap dengan Kein namun, kelibat lelaki itu tidak kelihatan. Dia hanya menemui Mak Su yang sedang membersihkan senapang patah milik suaminya. Kris faham bahawa amat sukar bagi Mak Su untuk melupakan suaminya yang telah berpuluh tahun bersama.


Pada ketika itu, Kein berada di hujung kebun. Hanya dia bersendirian. Eyman pula tidak kelihatan. Dia sedang melakukan tekan tubi. Selepas itu, dia menumbuk-numbuk bantal yang diikat pada batang pokok dengan kuat. Tidak ubah seperti hari-hari biasa. Begitulah setiap hari cara Kein bersenam.


Namun, ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya. Tumbukan pada bantal semakin lama semakin laju dan tiba-tiba sahaja menjadi perlahan. Buku limanya terlihat lebam tatkala tangannya dijatuhkan.


Tanpa disedari, air matanya mengalir dan menitis ke tanah. Teringat akan arwah ayahnya yang menjadi mangsa Karnivor. Sudah lama dia menahan tangisan itu dan kali ini, dia meluahkannya.


Gigi diketap rapat, buku lima pula digenggam erat. Kemarahan Kein terhadap Karnivor mula membuak-buak. Dia mengesat air matanya lalu sambung menumbuk bantal dengan kuat.


"Orang tua tak guna! Kenapa kau mati sebelum aku! Aku akan balas dendam!" raung hati Kein.


Kris pula hanya memerhatikan Kein dari sebalik pokok buluh. Dia tidak mahu mengganggu lelaki itu. Kemarahan terhadap Karnivor turut dirasai olehnya. Namun, dia hanya tersenyum sinis tatkala teringat akan permintaan Kein untuk menggunakan penglihatannya semalam.


Kris, Kein dan Eyman sudah merancang sesuatu untuk menghapuskan Karnivor. Mereka hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan rancangan tersebut.

















untuk cerita lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.




Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.