Home Novel Thriller/Aksi DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
kenhendri
12/6/2021 09:15:59
25,623
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

Cahaya lilin terang menyuluhi ruang tamu rumah arwah atuk Kein. Langsir dijatuhkan untuk menutup tingkap. Jam sudah hampir pada dua belas tengah malam. Keadaan yang sepi itu ditemani oleh bunyi titisan air dari kepala paip yang tidak ditutup rapat di dapur.


Kein duduk bersandar pada dinding, sedang menunggu kedatangan dua rakannya. Sudah hampir setengah jam dia menunggu tetapi kelibat Kris dan Eyman masih tidak kelihatan. Dia mengeluh tatkala menatap jam tangan.


Ingin sahaja berdiri, tiba-tiba Kris dan Eyman menjejakkan kaki ke dalam rumah melalui pintu dapur. Nafas mereka tercungap-cungap seperti sedang melarikan diri dari sesuatu. Kein tidak mahu menyoal, dia hanya menghulurkan tangan, meminta fail daripada Kris.


"Kau... kau tak nak tanya ke kenapa kami jadi macam ni?" tanya Eyman. Dia nampak keletihan. Helmet tentera masih di kepalanya. Senjata mainan juga masih tergantung di belakang badan.


"Korang masih hidup dan selamat sampai kan? Buat apa aku nak tahu."


"Karnivor ada kat jalan kami tadi. Nasib baik kami ikut jalan lain sambil menyorok di sebalik lalang. Tapi, jalan tu ada ular pula. Sebab tulah kami lari. Nasib baik Karnivor tak tahu, kalau tak entah apa yang jadi tadi," kata Kris.


"Ouh..."


"Kau 'ouh' je?" soal Eyman.


"Habistu? Kau nak aku buat apa? Kau nak aku cakap: 'Wah, kesiannya korang! Korang sanggup redah belukar semata-mata untuk kita! Jom, peluk ramai-ramai!' Macam tu ke? Menjengkelkan."


"Wah, macam mana kau baca fikiran aku? Kau ada telepati ke? Hebat!" balas Eyman dengan teruja pula.


"Menjengkelkan."


Pada masa yang sama, Kris menghulurkan sebuah fail yang telah berjaya ditukar oleh Eyman. Tatkala Kein mengambil fail tersebut, dia memandangnya dua kali sebelum meluahkan rasa kecewa. Dia mempersoalkan tindakan mereka.


Bagaimana tidak, rancangan mereka ialah untuk mencari maklumat tentang Kampung Tengah Selatan. Tetapi, setelah banyak kesusahan untuk menjayakan rancangan itu, mereka hanya mendapatkan fail yang tidak ada kaitan dengan daerah mahupun negeri mereka.


Namun, Kris menjelaskan bahawa Eyman tidak menemui fail tersebut. Tetapi, mereka berjaya mendapatkan maklumat yang lebih penting dan ianya bersangkut-paut dengan nasib kampung serta daerah mereka.


Ketika Eyman menunjukkan gambar-gambar yang berjaya diambilnya, Kein terkejut besar. Gambar itu memaparkan data-data tentang jumlah Karnivor yang pernah muncul di daerah mereka. Jumlah yang paling banyak ialah di Kampung Tengah Selatan. Ianya sebanyak lima belas ekor.


"Lima belas ekor? Betul ke apa yang kau ambil ni?" soal Kein yang teragak-agak untuk mempercayainya.


"Aku yakin, ni data yang sebenar. Tapi, pihak tentera tidak beritahu perkara yang sebenar kepada penduduk kampung. Aku tak tahu kenapa," balas Eyman.


"Aku syak, pihak kerajaan merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan kita semua. Data-data ni tidak dicetak dan tidak difailkan, tapi ianya ada dalam komputer. Bermakna, askar-askar yang jaga kampung ni, mungkin berkomunikasi terus secara online dengan kerajaan. Mungkin juga, askar-askar kat sini juga berkomunikasi dengan askar di kampung-kampung sebelah," celah Kris pula. Penerangannya nampak munasabah.


"Tapi, kenapa?"


"Kein, aku pun tak tahu kenapa. Tapi, aku tahu apa yang aku nak buat lepas ni."


"Kau nak buat apa, Kris?" tanya Eyman.


"Kita kumpulkan semua maklumat daripada askar-askar tu sebanyak yang mungkin. Ianya mungkin makan masa yang agak lama tapi, selagi kita bersabar dan teruskan usaha kita, kita boleh lari dari semua kepalsuan ni."


"Kau maksudkan, curi maklumat tentera dan kerajaan?" soal Kein.


"Ya."


"Aku tak tahu nak cakap apa, tapi aku suka idea tu," balas Kein sambil tersenyum sinis.


Eyman pula yang rasa tidak senang hati. Dia risau sekiranya mereka tertangkap. Walaupun rancangan Kris tadi telah berjalan dengan lancar tanpa meninggalkan sebarang bukti, namun, dia masih terfikir sekiranya mereka tersilap langkah. Lagipun, tindakan mereka telah melanggar undang-undang negara. Kini, mereka tidak ubah seperti penjenayah.


****


25 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.

Beberapa hari kemudian, di hujung kebun rambutan, kelihatan Kein sedang menampal beberapa helai kertas pada batang pokok. Terpapar data-data yang dicuri daripada tentera serta maklumat tentang Karnivor yang dikumpulnya.


Eyman hanya memerhati dari atas pokok. Pada masa yang sama, dia sedang menunggu kedatangan Kris. Malam ini, mereka akan ke khemah tentera untuk mencuri lagi maklumat sehingga jawapan tentang sebab pihak tentera merahsiakan maklumat yang sebenar, ditemui.


Tatkala Kein menatap data tentang jumlah Karnivor yang pernah muncul di setiap kampung, tiba-tiba kepalanya sakit. Kesakitan itu berdenyut-denyut sehingga membuatkan kakinya lemah. Dia duduk terlutut sambil menekup kepala. Ketika itu juga, dia terdengar ngauman dan ketapan gigi Karnivor. Ianya seperti berada berhampiran dengannya. Kein memandang ke kiri dan ke kanan, mencari-cari arah datangnya bunyi tersebut.


Eyman yang berada di atas pokok, terpaksa terjun, turun untuk melihat keadaan Kein.


"Woi, Kein! Kau dah kenapa ni? Apa yang kau cari?"


"Man, kau ada dengar bunyi Karnivor yang sedang mengaum tak?"


"Huh? Tempat ni sunyi dari tadi lagi. Kalau ada bunyi, dah lama aku dengar."


"Tapi, aku ada dengar tadi."


"Halusinasi kot. Kau okey tak ni?"


Kein menarik lalu menghembuskan nafas untuk bertenang. Dia menerima kata-kata Eyman. Mungkin, dia sedang berhalusinasi kerana asyik memikirkan tentang Karnivor. Tetapi, Kein masih kelihatan gelisah seperti sedang memikirkan sesuatu. Bahunya yang pernah digigit oleh Karnivor, diusap.


Setelah itu, Kris datang. Mereka membincangkan tentang rancangan untuk mencuri maklumat daripada tentera. Kein dan Eyman berharap setiap rancangan yang mereka lakukan, akan berjalan dengan lancar.


Setiap malam Ahad pada setiap minggu mereka akan mendapatkan maklumat-maklumat serta rahsia tentera tentang perkembangan semasa kampung dan daerah mereka. Semua rancangan Kris berjalan dengan lancar tanpa diketahui oleh mana-mana askar kerana mereka tidak meninggalkan sebarang bukti.


Malah, Fail Kuantan yang ditukarkan oleh Eyman, masih tidak disyaki oleh kerani tentera. Dia menganggap itu ialah kesilapannya kerana tersalah cetak kertas yang kosong. Disebabkan itu, dia mencetak maklumat-maklumat tentang Bandar Kuantan dan memfailkan semula.


****


28 JANUARI 2023,
Kampung Tengah Selatan.

Seminggu demi seminggu. Sedar tidak sedar, sudah tujuh bulan berlalu dan kegiatan mereka masih tidak dikesan dan tidak dicurigai. Kebijaksaan Kris dalam merancang sudah tidak dinafikan lagi oleh Kein dan Eyman. Ada kalanya mereka berjaya mendapatkan maklumat dan ada kalanya mereka gagal. Tetapi, gagal tidak bermaksud mereka tertangkap.


Hujung kebun rambutan yang menjadi tempat rahsia mereka sudah penuh dengan kertas-kertas yang ditampal oleh Kein. Ianya maklumat-maklumat yang berjaya dikumpul. Kein telah menyusun maklumat-maklumat tersebut mengikut kategori setiap kali mereka berjumpa.


Eyman yang bersandar pada pokok, kini sudah menginjak usia lapan belas tahun. Dia setahun lebih muda daripada Kris dan Kein. Rambutnya yang sebelum ini panjang, sudah dipotong. Begitu juga dengan Kein. Tetapi, matanya tidak selesa tatkala memandang Kris.


Rambut lelaki itu sudah panjang menutupi leher. Sudah berkali-kali Eyman menyuruhnya untuk memotong rambut, tetapi dia tidak mahu. Baginya, dia lebih selesa berambut panjang. Lagipun, dia selalu mengikat rambutnya ke belakang namun, rambut hadapan akan dibiarkan menutupi dahi dan mata.


"Sejak tujuh bulan yang lalu, tak ada kes kemunculan Karnivor yang dilaporkan di daerah ni melalui televisyen. Tak logik kan? Sedangkan, maklumat yang kita dapat dari khemah tentera menunjukkan yang dah lebih dari tiga puluh ekor Karnivor yang muncul kat kampung ni. Kalau daerah pula, dah cecah seratus dua puluh tiga Karnivor. Aku tertanya-tanya, kenapa kerajaan merahsiakan hal ni?" soal Kein.


"Kalau kita tengok dengan teliti, kawasan kita tak seteruk kawasan sekitar. Di Sabah dan Sarawak dah diisytiharkan darurat. Dah berpuluh ribu orang mati kat sana. Kat semenanjung pula, hanya Pahang yang diisytiharkan darurat. Kawasan yang paling teruk ialah Kuantan. Kawasan kita, masih terkawal. Ianya tidak seteruk yang kau sangkakan. Tapi, aku boleh kata, yang suatu hari nanti, tempat ni akan hancur kalau terus dibiarkan macam ni," balas Kris pula sambil menatap kertas yang terpapar data yang dibacanya.


"Aku takut yang Malaysia akan hancur disebabkan benda ni, seperti yang dah jadi kat beberapa buah negara yang lain. Kekurangan bekalan makanan, kejatuhan ekonomi, kematian yang mendadak, bahan api pun dah semakin berkurang disebabkan berperang dengan Karnivor. Ianya macam tak ada kesudahan. Virus tu terus dan terus merebak tanpa ada vaksin dan sebarang halangan," celah Eyman pula.


"Tapi, kat negara yang pertama kali muncul virus ni, nampak macam dah terkawal," balas Kris pula.


"Amerika Syarikat?"


"Ya. Penurunan kes kematian dan kes kemunculan Karnivor yang mendadak kat sana. Mungkin, akan jadi negara pertama yang akan bebas daripada virus CWD-Rabies. Britain pula yang kedua. Tapi, baru-baru ni masuk berita, kalau Karnivor masih tak hilang dalam setahun atau dua tahun lagi, negera-negara besar akan campur tangan untuk selesaikannya. Entah dengan cara apa. Tapi, dengarnya macam tak bagus."


"Lupakan dulu dengan apa yang jadi kat luar negara. Sekarang ni, fokus kat kampung kita. Apa yang kita nak buat lepas ni? Curi lagi maklumat dari tentera atau dedahkan maklumat yang kita dapat ni kepada orang-orang kampung?" soal Kein.


"Aku rasa, kita akan terus curi maklumat tu. Tapi, kali ni kita cari tentang Karnivor. Setakat ni, kita hanya tahu yang Karnivor ada kategori. Tapi, hanya dua jenis saja. Karnivor Bawahan dan Karnivor Induk. Aku nak tahu, apa yang dimaksudkan dengan Karnivor Induk ni... yang pasti, ianya tak sama dengan Karnivor yang lain," jawab Kris.


"Karnivor Bawahan tu karnivor yang selalu kita nampak berkeliaran kat kampung. Ada yang dulunya ular, tapi bila terkena virus, ular tu jadi lebih besar dan ganas. Ada juga burung. Bila dah terkena virus, dia jadi lebih besar dan ganas. Tapi, yang ni boleh terbang. Pernah muncul kat Kuantan dua bulan yang lalu. Itu kali pertama dan terakhir setakat ni. Karnivor Induk ni aku tak pernah dengar. Ada orang cakap yang ianya ibu Karnivor yang dah beranak-pinak dan ada juga yang kata ianya Karnivor yang paling ganas. Entah betul atau tidak," balas Eyman panjang lebar.


"Apa pun jenis Karnivor tu, kita kena dapatkan maklumat tentangnya," kata Kris.


Setelah Kris menjelaskan rancangan, pada malam itu, mereka bersedia untuk mencuri maklumat seperti biasa. Namun, ada sesuatu yang tidak kena dengan Kris. Tiba-tiba sahaja matanya terasa sakit ketika mereka hendak keluar dari rumah.


"Kris, kau tak apa-apa ke?" soal Eyman.


Kris terduduk sambil menekup mata. Entah kenapa matanya terasa sangat pedih. Bahkan, sakit itu berdenyut-denyut sehingga ke kepala. Setiap kali matanya dibuka, pedih yang dirasainya. Dia mengerang kesakitan. Matanya langsung tidak dibuka. Itu satu-satunya cara untuk mengurangkan rasa pedih.


"Kau overuse penglihatan Karnivor. Mungkin, ianya beri kesan pada mata. Kau duduk kat sini je, biar kami yang pergi," simpul Kein.


"Kalau korang terserempak dengan Karnivor macam mana? Korang tak boleh nampak Karnivor dalam gelap," bantah Kris pula.


"Kami tak nak asyik bergantung dengan mata kau. Biar kami buat kerja. Jangan risaulah, aku dan Kein akan dapatkan maklumat tentang Karnivor tu macam biasa," balas Eyman pula.


Kein berjalan keluar diikuti oleh Eyman melalui pintu dapur rumah. Waktu itu sudah hampir jam dua belas tengah malam. Sudah tentu, tidak ada sesiapa yang mengetahui gerak-geri mereka. Mereka berjalan melewati belakang rumah Kein dengan senyap sebelum tiba di rumah Eyman yang berhampiran dengan sungai dan kebun rambutan. Jauh di sebelah rumah Eyman ialah pagar tentera yang disebelahnya ialah semak-samun.


Mereka berjalan sehingga tiba di kawasan semak-samun. Namun, langkah Kein terhenti. Matanya terbeliak. Tindakannya menimbulkan kehairanan kepada Eyman. Lelaki itu bertanya kepada Kein akan keadaan yang berlaku. Sebelum menjawab, Kein menarik nafas berat dan menggetap gigi. Dia menyuluh seekor Karnivor yang berada di sebalik semak-samun dengan lampu suluh.


Eyman terkejut besar. Dengan tergagap-gagap dia membalas, "Ka-Karnivor!"


Karnivor terus mengejar mereka setelah menyedari kehadiran mangsa. Namun, dia tidak membuat sebarang bunyi seperti mengaum ataupun menggetap gigi kelaparan. Binatang ganas itu menuju ke arah mangsanya dengan tenang.


Kein melempar lampu suluh untuk menarik perhatian Karnivor tetapi ianya sia-sia. Binatang itu tidak tertarik dengan cahaya. Kein agak terkejut. Pada masa yang sama, Eyman menarik tangannya untuk melarikan diri. Namun, Kein menepis. Lelaki itu berlari untuk mendapatkan lampu suluh dalam keadaan Karnivor yang sedang mendekat.


"Bodoh, apa yang kau nak buat!" soal fikiran Eyman akan tindakan Kein.


Kein mengambil lampu suluh. Dia juga mengeluarkan sebilah pisau dari dalam beg sandang. Tatkala ingin dicakar, Kein menusuk pisaunya pada kaki Karnivor menyebabkan binatang itu meraung dengan kuat.


Pada masa yang sama, Kein dan Eyman melarikan diri. Dia menjauhkan diri dari kawasan perumahan agar pemangsa tidak menyerang penduduk kampung.


Ngauman yang kuat itu didengari oleh askar-askar. Tanpa menunggu arahan, mereka segera berlari ke arah bunyi tersebut walaupun agak jauh.


Tatkala berlari, Kein sempat menoleh. Di bawah cahaya bulan, dia melihat pisau pada kaki Karnivor dicabut dengan gigitan. Seterusnya, binatang itu mengejar mereka tetapi lariannya agak perlahan akibat ditikam.


Setelah jauh dan tidak ada harapan untuk mengejar, Karnivor mengambil segenggam tanah lalu digumpal sebelum melempar ke arah Kein dan Eyman. Balingan itu mengena menyebabkan mereka jatuh tersungkur.


"Apa benda tadi tu?" soal fikiran Kein. Dia berpaling ke arah Karnivor. Mata terbeliak tatkala melihat binatang ganas itu menggenggam gumpulan tanah dan membentuknya seperti bola untuk dilempar.


Eyman tidak sempat untuk menoleh. Dia bingkas bangun dan membantu Kein. Pada masa yang sama, askar-askar tiba di tempat kejadian bersama dengan cahaya lampu. Karnivor menyedari akan hal itu. Dia segera masuk ke dalam semak untuk melarikan diri daripada kumpulan tentera. Kein melihat kejadian itu dengan jelas sebelum berlari pulang ke rumah bersama Eyman.


Rancangan untuk mencuri maklumat dibatalkan.


Kris yang masih menutup mata, menunggu kepulangan Kein dan Eyman. Namun, kedatangan mereka pula terasa amat cepat. Kris sudah menjangkakan akan hal itu. Dalam benaknya, terfikir bahawa Kein dan Eyman dikejar oleh Karnivor kerana tanpa matanya, mereka tidak dapat bergerak dalam gelap.


Kein dan Eyman masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu dapur dengan nafas tercungap-cungap. Mereka berjalan ke ruang tamu. Kelihatan, Kris sedang bersandar. Lelaki itu tidak membuka mata kerana apabila dia membuka mata, hanya kesakitan yang dirasainya.


Kein dan Eyman duduk di atas kerusi, menghadap Kris.


"Aku dah agak korang akan balik awal. Korang bertembung dengan Karnivor kan? Tanpa mata aku, kita tak boleh buat apa-apa untuk dapatkan maklumat."


"Hampir-hampir je tadi. Tapi, apa benda yang hempap belakang kita tadi sampai jatuh?" soal Eyman.


Kein diam seketika. Dia terfikir sesuatu.


"Tunggu je mata aku pulih. Lepas tu, kita ikut rancangan macam biasa."


"Lupakan rancangan tu."


Terkejut Kris dan Eyman tatkala mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Kein. Ingin sahaja Kris membuka mata untuk menumbuk wajah Kein, tetapi dia tidak mahu sakit pada matanya memburuk.


"Apa yang kau cakap ni? Dah banyak maklumat yang kita dapat, kau cakap lupakan?" soal Eyman.


"Aku hanya cakap lupakan rancangan untuk ambil tahu tentang Karnivor sebab aku dah tahu sesuatu."


"Aku ingat apa la tadi. Kalau kau putus asa, aku dah tumbuk muka kau. Jangan nak lari lepas apa yang kita sama-sama buat."


"Apa yang kau tahu, Kein?" tanya Kris.


"Karnivor yang kejar kami tadi bukan Karnivor biasa. Maksud aku, dia bukan Karnivor Bawahan."


"Jadi, dia Karnivor Induk?" soal Eyman.


"Aku tak pasti tapi... kau tengok sendiri kan tadi? Dia langsung tak tertarik dengan cahaya. Waktu askar datang dengan lampu suluh pun, dia tak tertarik. Pisau aku yang melekat kat kaki dia pun, dia buang. Bahkan, masa dia dah tak ada harapan nak kejar kami, dia buat sesuatu."


"Buat apa?" tanya Eyman lagi.


Kris hanya mendengar.


"Kalau kau nak tahu, benda yang hempap belakang badan kita tadi ialah gumpalan tanah."


"Gumpalan tanah? Karnivor tu ke..."


"Ya, Kris. Karnivor tu yang ambil tanah, gumpal dan baling ke arah kami. Satu lagi, bila askar-askar datang dengan lampu suluh, dia lari. Kau nak tahu kenapa dia lari?"


"Kenapa?" tanya Eyman lagi.


"Sebab dia tahu, askar-askar tu akan tembak dia sampai mati. Sebab tulah dia lari. Cahaya lampu yang aku sangka semua Karnivor akan tertarik sebelum ni pun dia endahkan."


"Jadi, apa yang kau nak cakapkan?" tanya Kris.


"Aku bukan saintis atau apa tapi, aku yakin, Karnivor yang kami jumpa tadi ada akal dan boleh berfikir."














untuk membaca cerita penuh, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.