Air liur menitik-nitik ke lantai di halaman rumah yang dihuni oleh Kris dan Kein. Bunyi ketapan gigi kedengaran jelas di telinga. Seekor Karnivor yang bertubuh hampir mencapai atap halaman rumah itu mencari-cari mangsa yang dilihatnya. Dia memerhati tajam ke arah tingkap yang telah ditutup oleh Kein. Menyedari bahawa tersembunyi manusia di sebalik tingkap itu.
Kris dan Kein mendiamkan diri. Tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi yang kuat. Takut didengari oleh pemangsa yang berada di sebalik dinding, di belakang mereka. Namun, mereka tidak boleh menyorok selamanya. Seekor pemangsa yang paling ganas sedang mencari daging dan kulit. Bukan sahaja mereka, malah semua penduduk kampung.
Kris memberi isyarat jari kepada Kein. Dua lelaki itu bergerak dengan perlahan-pahan dan penuh berhati-hati ke arah bilik, cuba menjauhkan diri dari Karnivor. Walaupun dalam keadaan gelap dan hanya bertemankan cahaya bulan, mereka masih mampu melihat ruangan rumah itu dengan jelas.
Di hadapan bilik.
"Aku ada rancangan. Tapi, kau kena berani. Setuju?" cadang Kris dengan nada suara yang perlahan.
"Cakap jelah."
Beberapa minit kemudian, Kris keluar dari rumah melalui pintu dapur. Dia membawa lampu suluh bersama. Apabila tiba di halaman rumah, dia menyalakan lampu suluh ke arah Karnivor yang masih mencari bayang mereka.
Pak Su yang sedang memerhatikan tindakan Kris di sebalik pintu, mula naik angin. Dia tidak menyangka pula Kris akan berbuat demikian. Bahkan, dia segera masuk ke dalam bilik dan mencapai senapang patah bersama sebutir peluru.
Mak Su cuba menghalang suaminya tetapi lelaki tua itu berdegil untuk keluar. Senapang patah hanya boleh memuatkan sebutir peluru. Jika tembakan Pak Su tersasar, dia tidak ubah seperti menggali kubur sendiri. Lagipun, peluang untuk tembakannya tersasar adalah besar disebabkan kelakuan Karnivor yang ganas dan liar. Ditambah pula keadaan mata Pak Su yang rabun malam.
Tatkala Kris keluar dan menyuluh Karnivor, Kein pantas keluar dan berlari ke arah pokok mangga yang tumbuh di sebelah rumah Mek Yah. Pergerakannya tidak disedari. Pokok mangga yang setinggi Karnivor itu dipanjat. Kelihatan juga pisau belati pada tangannya.
"Aku tak tahu rancangan ni berjaya ke tak. Tapi, aku akan cuba tikam otak binatang tu. Aku harap, kau tak kena makan," gumam Kein ketika memanjat. Matanya juga sempat berpaling ke arah Kris.
Sekilas Kris menyuluh ke arah Karnivor sebelum menutup semula lampu suluh. Setelah menemui mangsanya, Karnivor pantas mengejar Kris yang mula berlari terus ke arah jalan atau lebih tepat, ke arah pokok mangga. Dia cuba membawa Karnivor ke sana manakala Kein pula akan terjun dari pokok dan menikam binatang liar itu sehingga tumbang seperti yang pernah dilakukannya.
Namun, larian Karnivor tidak boleh dibandingkan dengan larian manusia. Binatang pemakan daging itu lebih pantas daripada apa yang disangkakan. Akibatnya, Kris hampir digigit. Dia bernasib kerana sempat mengelak.
Disebabkan berada dalam keadaan yang bahaya, Kris terpaksa membuka semula lampu suluh dan melempar jauh ke arah kiri. Dengan pantas, dia berlari ke arah kanan. Cuba memasuki titik buta Karnivor.
Binatang itu tidak tertarik dengan cahaya yang baru sahaja dilempar. Namun, dia kehilangan mangsa.
Kris sedang menyorok di sebalik pokok rambutan yang berada di belakang rumah Mek Yah. Nafasnya tercungap-cungap. Ingin sahaja dia berpaling, melihat keberadaan Karnivor. Tetapi, dia takut jika binatang itu dapat melihatnya.
Pada masa yang sama, Karnivor sedang mencari-cari Kris. Dia berjalan mendekati pokok rambutan. Perlahan-lahan, pemangsa cuba melihat di sebalik pokok. Bunyi ketapan gigi binatang itu membuatkan jantung Kris berdegup kencang.
Lelaki itu perlu bertenang. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Lampu suluh digenggam rapat. Kris membawa dua buah lampu suluh. Sebuah milik Kein dan satu lagi miliknya. Khas untuk digunakan ketika tiba di tempat yang dituju.
Karnivor sudah dekat. Kris menyedarinya. Tatkala diterjah, lelaki itu segera berlari ke arah pokok mangga. Dengan laju, dia dikejar. Kali ini, larian Kris lebih pantas dari sebelumnya. Dia terfikir bahawa dia tidak akan mati dan dia akan selamat.
Tiba sahaja di sebelah pokok mangga, Kris berhenti berlari dan menyuluh ke arah kepala Karnivor. Cahaya itu membantu Kein untuk melihat jelas kedudukan kepala binatang tersebut. Hanya dengan sekali lihat, Kein segera melompat ke atas leher Karnivor lalu menikam otaknya. Darah memercik pada tangan. Sekali lagi, pisau ditarik dan diangkat untuk menikam. Namun, darah dan lendir yang melekat pada pemegang membuatkan pisau belati terlucut dari tangan.
Kris pula menjadi perhatian. Hampir sahaja lelaki itu dicakar. Namun, dia sempat melompat di atas jalan bertar untuk mengelak. Sikunya berdarah. Lututnya juga sama. Namun, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk meluahkan rasa sakit itu. Dia bingkas bangun.
Karnivor menggelupur kesakitan. Dia menggelepar, cuba membuatkan genggaman tangan Kein pada tulang belakangnya, dilepaskan. Ngauman binatang itu membuatkan askar yang sedang berjaga, segera berlari ke arah perkampungan.
Kein dilempar sehingga terjatuh ke dalam parit di sebelah jalan. Kepalanya terhentak kuat pada tanah, membuatkan dia pening seketika. Namun, dia tidak menjadi perhatian Karnivor. Sebaliknya, Kris yang sedang berdiri di atas jalan, cuba dicakar.
Jika kuku binatang itu menyiat kulit Kris, bukan sahaja kulitnya tercabut, bahkan segala usus perutnya juga akan terkeluar. Namun, Kris sempat mengelak. Tetapi, dia pula terjatuh di atas jalan. Lampu suluh yang dipegang, terlucut dari tangan. Cahaya lampu tidak menjadi tarikan binatang itu.
Kini, Kris berada dalam bahaya. Matanya terbeliak memandang kaki Karnivor yang diangkat tinggi, cuba mencakarnya. Ketika itu, dia menelan air liur sendiri dan akur menerima kematian.
Askar-askar yang sedang menuju ke arahnya, tidak akan sempat menembak binatang ganas itu. Tikaman Kein pada otak Karnivor juga seperti tidak membuahkan hasil. Semua yang dilakukannya hanya sia-sia. Kalaulah, mereka terus berdiam diri di dalam rumah, adakah nasib sebegini tidak akan menimpa mereka?
BANG!
Bunyi tembakan senapang patah yang kuat telah menggegarkan gegendang telinga Kris, Kein serta askar-askar yang baru sahaja tiba di perkampungan. Kepala Karnivor hancur ditembak oleh Pak Su. Lendir dan darah memercik masuk ke dalam mata Kris. Dia pula terpaksa mengusap-ngusap matanya, berusaha untuk membuka.
Karnivor yang ganas dan liar telah tumbang ke tanah. Pak Su memberitahu kepada para askar bahawa dia ialah anggota RELA yang berlesen untuk memegang senjata. Dengan itu, dia tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang ketika menggunakan senjata api.
Ucapan terima kasih diucapkan kepada Pak Su kerana tindakan yang berani itu telah menyelamatkan Kris. Namun, buat masa sekarang, Pak Su, Kein dan Kris akan diarahkan untuk berkurung di dalam rumah. Keselamatan penduduk kampung akan dijaga oleh beberapa orang askar untuk mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.
Kein mendaki tebing untuk keluar dari parit. Dia mengeluh. Tindakannya tidak mendatangkan hasil. Bahkan, dia hanya menyusahkan ayahnya untuk bertindak. Adakah dia akan dimarahi lagi?
"Kein! Kris! Balik!" tengking Pak Su sambil berjalan pulang ke arah rumahnya.
Kein berjalan ke arah Kris lalu mengambil lampu suluh yang masih bercahaya. Dia menutup sambil mengeluh kesah. Matanya cuba mencari-cari pisau belati yang terlucut dari tangan. Namun, dia tidak menemuinya. Kemudian, pandangannya beralih ke arah Karnivor yang sudah tidak bernyawa sebelum beralih ke arah Kris yang masih terduduk, mengusap-ngusap matanya.
"Woi, bangun cepat! Askar akan jaga tempat ni. Kita kena balik. Lagipun, aku ada benda nak bagitahu kau."
Kris tidak membalas. Dia masih mengusap-ngusap kedua-dua matanya yang terasa pedih. Lendir dan darah Karnivor masih melekat di wajah. Entah kenapa, tiba-tiba dia terasa sukar bernafas.
"Woi! Kau tak apa-apa ke?" soal Kein sambil mendekati Kris.
"Mata aku..."
Perlahan-lahan Kris membuka kedua-dua matanya. Tatkala dibuka, pandangannya membuatkan dia terkejut. Matanya terbeliak. Nafasnya tercungap-cungap. Kris nampak seperti ketakutan. Dia cuba menjauhkan diri daripada Kein.
Kein pula bingung.
"Woi? Kau ni dah kenapa? Tak ada masa nak bermain. Cepat bangun. Kita kena balik."
Bebola mata Kris terlihat merah seperti darah. Kein terkejut setelah melihatnya setelah menyuluh wajah lelaki itu dengan lampu. Adakah itu darah Karnivor yang masuk ke dalam matanya tadi? Tapi, kenapa Kris terlihat ketakutan?
Penglihatan Kris berubah. Perkara pertama yang dilihatnya tatkala matanya dibuka ialah haba. Wajah dan tubuh badan Kein yang sedang berdiri di hadapannya terlihat menjadi warna merah, kuning dan hijau. Kris pantas mengusap matanya. Tatkala dibuka semula, penglihatannya sekali lagi berubah. Kali ini, dia dapat melihat jantung Kein yang sedang berdetak. Kemudian, penglihatannya menjadi seperti biasa. Dia menarik nafas lega.
"Kau tak apa-apa ke? Mata kau nampak merah. Kau sakit mata ke?" tanya Kein sebelum menutup lampu suluh.
Kris bangun dan berjalan puoang ke rumah selepas membalas, "jom balik. Kau kata nak beritahu sesuatu kan? Aku pun sama."
Setelah membersihkan diri, mata Kris kembali kepada asal. Darah Karnivor yang masuk ke dalam matanya telah dibuang. Dia terfikir, adakah dia telah dijangkiti virus CWD-Rabies sehingga penglihatannya menjadi seperti itu? Tetapi, virus tersebut hanya menjangkiti binatang pemakan daging.
Seperti yang dikatakan oleh Kein sebelum ini, dia ingin memberitahu sesuatu. Ianya mungkin perkara penting. Kris yang bersandar pada dinding, membuka telinga untuk mendengar.
"Karnivor yang kita lawan tadi tu, binatang yang sama aku tikam ketika dalam kebun," kata Kein yang berada di sebelah Kris.
Kris pula terkelu.
"Macam mana kau tahu?"
"Masa aku tikam otak binatang tu, aku sempat tengok. Kat otak binatang tu dah ada kesan belahan yang aku buat. Satu lagi, kat gigi binatang tu ada cebisan baju aku. Sebab tulah aku tahu, ianya Karnivor yang sama."
"Jadi, dia datang sebab nak cari kau? Aku rasa, mungkin dia nak balas dendam sebab kau dah tikam otak dia."
"Kau ingat ni apa? Drama melayu pukul tujuh ke nak berdendam-dendam?"
"Kalau kau tahu, lebih baik kau cakap awal-awal. Tak payah nak panjangkan skrip."
"Ada benda yang pelik pasal Karnivor tu. Masa dia lempar aku ke dalam parit, dia tak baham aku. Sebaliknya, dia cari kau."
"Itu sebab aku lagi dekat."
"Tak. Karnivor tak kira jauh atau dekat, dia tetap akan makan mangsa yang dah jatuh. Lagipun, waktu tu, dia hanya nampak aku. Kau pula duduk kat bawah bayang pokok. Tak mungkin dia boleh nampak kau."
Kris tersentak seketika. Persoalan yang diluahkan oleh Kein sudah terjawab dengan kejadian yang berlaku terhadapnya. Mungkin, penglihatannya tadi ialah sama seperti pandangan Karnivor.
"Tadi, mata aku pedih. Tiba-tiba penglihatan aku berubah. Aku boleh nampak haba atau lebih tepat, aku boleh nampak benda hidup. Bila aku usap balik mata aku. Aku boleh nampak jantung kau. Aku rasa... aku dah dijangkiti virus tu dan penglihatan aku tadi... mungkin menjawab semua persoalan kau."
Kein terdiam seketika. Dia menjeling ke arah Kris dengan serius.
"Kau buat lawak ke? Kau ingat kau tu hero dalam cerita Hollywood, main-main dengan virus lepas tu dapat kuasa pelik-pelik? Hidup kita ni, realiti. Bukan fantasi. Jangan nak mengarut."
"Jadi, kau kata aku menipu ke?"
"Tak. Cuma kata-kata kau tu tak masuk akal. Virus CWD-Rabies dah disahkan, hanya dijangkiti pada haiwan karnivor. Kita ni manusia, bukannya haiwan. Lagipun, manusia tergolong dalam omnivor, bukannya karnivor. Virus tu juga mudah tersebar melalui udara. Bukannya darah dan lendir macam yang dah masuk kat mata kau tu."
"Jadi, apa benda yang aku nampak sebelum ni? Imaginasi ke?"
"Kau dah banyak sangat tengok ultraman. Sebab tulah kuat berangan."
"Aku dibesarkan tanpa TV. Satu lagi, ultraman tu apa?"
****
15 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.
Dua hari kemudian, kekecohan tentang kemunculan Karnivor dua hari lalu masih hangat di mulut-mulut penduduk kampung. Gerai Tok Ma sudah gempar. Ramai penduduk kampung sedang berkumpul di sana. Kris berhasrat untuk makan di gerai. Tetapi, setelah melihat terlalu ramai orang-orang lebih tua daripadanya sedang asyik berbual, dia tidak jadi untuk ke sana.
Kein pula sudah ke kebun seorang diri sejak matahari naik. Kris tidak ikut bersama. Tidak ada apa yang ingin dia lakukan jika berada di sana. Hanya menghabiskan masa melihat Zul, Eyman, dan Syakir bermain permainan video. Kein pula akan menulis tentang kelakuan Karnivor dan memikirkan cara untuk mengalahkan binatang itu. Semuanya bertentangan dengan sifat Kris. Disebabkan itulah, dia tidak ke sana.
Suara televisyen di gerai Tok Ma sengaja dikuatkan supaya semua penduduk yang berada di kawasan berdekatan, dapat mendengar berita terbaharu tentang perkembangan semasa kes Karnivor di Malaysia.
Menurut berita terbaharu, bandar Kuantan telah dikosongkan. Askar dan polis telah ditugaskan untuk membunuh beberapa ekor Karnivor yang masih menyorok di dalam bangunan. Perintah itu dikeluarkan setelah pusat pemindahan di ibu kota itu, diserang oleh Karnivor. Tiga orang mangsa yang masih hilang termasuklah kawan kepada Kris iaitu Violet, telah diisytiharkan sebagai mati.
Kris telah menerima berita itu dengan akur. Namun, dadanya masih sebak tatkala teringat akan Violet. Raven juga tidak dapat dihubungi. Sudah banyak kali dia menefon lelaki itu menggunakan telefon Eyman, tetapi tidak diangkat. Entah apa yang sudah terjadi kepadanya.
Mata Kris sempat menangkap imej pisau belati milik Kein yang berada di sebelah pondok di hadapan gerai Tok Ma. Dia yang berada di halaman rumah, berjalan untuk mengambil pisau tersebut. Namun, langkahnya terhenti.
Tiba-tiba, matanya terasa amat pedih. Kelopak dipejam. Mata diusap. Kris menahan sakit. Matanya berair. Bebola mata terasa seperti sedang berdenyut-denyut. Ketika dia membuka mata, sekali lagi penglihatannya berubah.
Kali ini, bukan imaginasi. Kris dapat melihat otot, otak dan jantung orang-orang kampung yang berada di gerai dengan jelas. Dia tersenyum sendiri. Gembira kerana ianya bukan fantasi. Kris mengusap-ngusap matanya lagi dan membuka kembali.
Kali ini, penglihatannya berubah. Dia dapat melihat haba. Namun, disebabkan pancaran cahaya matahari yang terang, matanya menjadi pedih dan sakit. Dia segera memejam mata dan mengusapnya lagi. Tatkala dia matanya dibuka, penglihatannya kembali kepada asal.
Kris tersenyum sinis. Dia sudah mengetahui sesuatu. Ianya mungkin perkara yang tidak pernah diketahui oleh mana-mana manusia di bumi ini. Mungkin juga, dia ialah orang yang pertama yang mengalami hal seperti itu.
"Darah mata binatang tu dah masuk dan sebati dengan mata aku. Jadi, sekarang ni aku dah ada penglihatan Karnivor? Menarik."
untuk cerita lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.