Home Novel Thriller/Aksi DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
kenhendri
12/6/2021 09:15:59
25,625
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

11 JUN 2022

Pagi itu, cuaca sangat nyaman. Suhu juga sederhana. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ianya seperti hari-hari biasa. Namun, pagi itu ialah hari yang terakhir bagi anak-anak yatim di Rumah Kebajikan Al-Baqarah yang terletak di kawasan pedalaman yang berdekatan dengan sawah padi. Mereka akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan dan Perlindungan yang berdekatan setelah menerima arahan daripada kerajaan disebabkan isu semasa yang dialami oleh negara.

Lima puluh satu anak-anak yatim yang tidak mengira umur dan jantina sedang berkumpul di pintu pagar. Seorang demi seorang akan dipanggil oleh anggota Pertahanan Awam untuk dibawa pergi. Disebabkan, kebanyakan pusat perlindungan sudah penuh, mereka akan dibawa ke pusat yang berlainan. Dengan kata lain, mereka semua akan terpisah.

Setelah sebuah kereta APM berlalu pergi membawa dua orang anak yatim, tiba satu lagi kereta. Seorang anggota Pertahanan Awam lelaki keluar bersama dengan sekeping kertas di tangan. Dia akan memanggil dua orang anak yatim untuk dibawa bersama ke pusat pemindahan yang berlainan dengan kereta sebelumnya.

"Haziatul Violet dan Raiqal Kris. Masuk ke dalam kereta sekarang."

"Kakak dah nak pergi ke? Jangan lupakan kami ya," kata seorang budak perempuan yang berusia enam tahun sambil memeluk Violet. Bukan dia sahaja, bahkan semua gadis kerana Violet lebih tua. Sehingga, Violet dianggap kakak oleh mereka.

"Kakak takkan lupakan korang. Bila semuanya dah selesai, kakak kita jumpa kat sini lagi ya?"

"Okey, kak!" balas mereka.

Berat hati Violet untuk meninggalkan mereka. Sejak kecil lagi mereka dibesarkan di Rumah Kebajikan Al-Baqarah. Bahkan, mereka sangat rapat seperti sebuah keluarga. Tetapi, dia terpaksa meninggalkan adik-adiknya atas arahan kerajaan. Ingin sahaja dia mengalirkan air mata tetapi dia tidak mahu. Perpisahan ini perlu diakhiri dengan senyuman.

Kris pula bersalaman dengan semua lelaki. Sehinggalah tiba giliran rakan baiknya. Dia memeluk erat dan mengucapkan salam perpisahan. Lelaki itu seumur dengan Kris. Mereka berkawan sejak kecil lagi. Sebak baginya untuk berpisah.

"Jaga mereka, Raven."

"Kau pun, Kris. Jaga Violet. Kau akan tinggal kat tempat yang sama dengan dia sekarang. Kalau kau bosan, bila-bila masa je kau boleh telefon aku!" balas Raven.

"Terima kasih. Kami pergi dulu, ibu. Jumpa lagi," ucap Kris kepada penjaganya yang dianggap sebagai ibu walaupum tiada hubungan darah.

Violet memeluk wanita itu sebelum bersalam dan mengucapkan selamat tinggal. Ibu terlihat sebak tatkala dua orang yang paling tua dalam kalangan anak-anak yatim, akan pergi meninggalkan mereka.

"Jumpa lagi, korang! Bye-bye! Jaga diri!" ucap Violet seraya melambai tangan dan memberi senyuman manis. Ucapannya dibalas dengan lambaian oleh adik-adiknya.

Dia dan Kris masuk ke dalam kereta, berada di tempat duduk belakang. Beg pakaian dibawa bersama. Dua orang anggota Pertahanan Awam berada di hadapan mereka. Kereta tersebut bergerak meninggalkan kawasan rumah kebajikan. Kris dan Violet melambai tangan buat kali terakhir sambil tersenyum pahit.

Mereka akan dibawa ke pusat pemindahan yang sama. Namun, pengetahuan mereka tentang isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara masih cetek. Di rumah kebajikan, mereka tidak didedahkan dengan televisyen. Bahkan, mereka hanya memiliki telefon bimbit biasa, bukannya telefon pintar.

"Pak Cik, jauh ke pusat pemindahan tu?" tanya Violet dengan berani.

"Pak Cik? Panggil je abang Hazim. Jauh la juga. Sebab dah banyak pusat pemindahan yang penuh. Kami hantar kamu ke tempat yang masih ada kekosongan, kalau tak ada, kami akan cari tempat yang lain. Jangan risaulah, semua pusat pemindahan dijaga oleh polis dan tentera. Semuanya selamat," balas Hazim yang sedang memandu kereta..

"Korang nampak masih muda. Berapa umur korang?" tanya Malik yang berada di sebelah Hazim.

"Lapan belas," balas Violet setelah Kris berdiam diri. Entah kenapa lelaki itu nampak murung. Mungkin, disebabkan mereka terpaksa berpisah dengan kawan-kawan yang dianggap seperti keluarga.

"Maaf bertanya, tapi, apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa kami perlu berpindah?"

"Kamu tak tahu ke tentang masalah yang dunia kita alami sekarang ni?" jawab Malik dengan pertanyaan.

"Tak. Kami tak didedahkan dengan televisyen. Telefon pun kami pakai telefon bimbit biasa je."

"Kat tempat kamu tu terpaksa dikosongkan atas arahan kerajaan sebab kampung sebelah kawasan tu ada kes kematian. Jadi, untuk keselamatan, kamu semua terpaksa dipindahkan."

"Kes kematian? Maksudnya?"

"Susah nak terangkan. Nanti, kamu tahulah sendiri."

Setelah hampir setengah jam, akhirnya mereka tiba di sebuah pusat pemindahan. Ianya pusat pemindahan yang kedua setelah pusat pertama dikatakan sudah penuh. Kris dan Violet duduk di dalam kereta sementara Malik dan Hazim bertemu dengan ketua di sana untuk bertanya jika ada kekosongan.

"Kris. Kau okey ke? Dari tadi lagi kau tak bercakap dengan aku. Aku ada buat salah ke?" tanya Violet.

"Tak la. Aku cuma aku rindu. Selalunya, pagi-pagi lagi kita dan buat senaman dengan ibu tapi, hari ni rasa macam mimpi. Lain dari hari yang lain."

"Ni kan untuk kebaikan kita juga. Kan ibu cakap, setiap perpisahan pasti ada hikmahnya. Jangan risaulah, kita pasti akan jumpa dengan mereka balik lepas semua ni berakhir. Lagipun... aku kan ada."

Violet cuba menaikkan semula semangat Kris. Lelaki itu pula membalas dengan senyuman manis sebelum berterima kasih.

Pada masa yang sama, Malik dan Hazim datang ke arah kereta. Dia memberitahu bahawa masih ada satu kekosongan. Bermakna, salah seorang daripada mereka harus tinggal di pusat tersebut manakala seorang lagi akan dibawa ke tempat lain. Jadi, mereka akan berpisah.

Kris pula berat hati tatkala mendengar berita itu. Dia meminta supaya mereka dibawa ke pusat pemindahan yang masih ada sekurang-kurangnya dua kekosongan. Namun, permintaan itu tidak dilayan. Bukan kerana tidak berhati perut tetapi, mereka tidak tahu jika masih ada pusat pemindahan yang terdapat kekosongan.

Violet memberitahu Kris supaya tinggal di pusat pemindahan itu sementara dia akan ke pusat pemindahan yang lain. Namun, lelaki itu membantah. Dia tidak sanggup lagi untuk berpisah. Setelah keluarga, kini Violet pula terpaksa ditinggalkan.

"Kris... ibu pernah cakap, jangan susahkan orang. Terima je. Kamu tinggal kat sini. Biar aku ke tempat yang lain, ya?"

Kris diam seketika sebelum membalas, "kamu yang tinggal kat sini. Biar aku yang ke tempat lain."

"Kau serius ke?"

"Ya."

"Kalau macam tu. Selamat tinggal. Jumpa lagi, suatu hari nanti. Jaga diri, ya. Jangan lupa telefon aku."

Hazim membawa Kris ke pusat pemindahan yang lain. Violet melambai tangan ke arahnya, namun, Kris berat hati untuk melihat. Violet hanya tersenyum pahit. Dia juga tidak sanggup untuk berpisah tetapi, dia terpaksa. Malik yang bersama dengan Violet, menolong gadis itu mendaftar nama dia pusat pemindahan.

Setelah hampir tiga jam Kris berada di dalam kereta. Sudah banyak pusat pemindahan yang dilalui oleh mereka tetapi semuanya telah penuh. Akhirnya, Kris tiba di sebuah kampung yang berada di kawasan pedalaman. Lelaki itu tercengang kehairanan.

Dia bertanya kepada Hazim, tentang kenapa dia dibawa ke kampung yang jauh dengan pusat pemindahan. Hazim menyatakan bahawa, semua pusat pemindahan yang dilalui oleh mereka telah penuh jadi, dia akan dibawa ke kampung, akan tinggal bersama dengan orang kampung yang telah bersetuju untuk menjaganya.

Hazim memberitahu Kris supaya tidak perlu risau kerana orang kampung di sana telah membuat persetujuan. Jika ada apa-apa yang berlaku terhadap Kris, mereka akan dipersalahkan. Lagipun, penduduk kampung di sana, semuanya orang baik-baik. Mereka akan melayan tetamu dengan ramah.

Kereta APM yang dipandu oleh Hazim melalui sebuah jalan. Di simpang jalan, di sebelah kiri, terdapat sebuah rumah kayu bercat putih. Kelihatan, seorang lelaki sedang memberi makan kepada ayam di dalam reban.  Di sebelah kiri dan kanan jalan itu terdapat kebun getah dan pokok-pokok balak.

Mereka berhenti di sebuah pondok kecil di sebelah rumah batu berwarna hijau. Terdapat beberapa orang yang kelihatan sudah di pertengahan umur sedang berbual di pondok. Di hadapan pondok itu, terdapat sebuah gerai makan. Kelihatan, ramai penduduk kampung sedang berkumpul di sana.

Kris yang melihat mereka pula berasa janggal. Sebelum ini, dia tidak pernah bertemu dengan orang lain selain orang yang berada di rumah kebajikan.

Hazim dan Kris keluar dari kereta. Beg pakaian dibawa bersama. Mereka menjadi tatapan mata penduduk kampung. Kris dibawa oleh Hazim ke pondok untuk bertanya akan sesuatu. Namun, tidak sempat untuk Hazim membuka mulut, seorang lelaki menegurnya dengan ramah.

"Assalamualaikum! Ada apa datang ke sini?"

"Waalaikumsalam! Nak hantar orang. Siapa yang dah buat persetujuan untuk jaga tetamu? Ada kan?" jawab Hazim.

"Ouh! Tetamu! Yang baru berpindah tu ke? Sayalah! Panggil je Pak Su! Ni ke orangnya?" balas Pak Su sambil melihat ke arah Kris.

"Ya. Dialah. Tolong jaga dia elok-elok ya. Tak tahu sampai bila negara ni bebas dari isu semasa ni. Bila semuanya dah aman, saya akan datang balik ke sini."

"Tak apa! Tak apa! Orang-orang kat sini semuanya baik-baik! Pak Su boleh jaga dia! Jangan risaulah!"

Setelah itu, Hazim meninggalkan Kris bersama dengan penduduk kampung. Terasa sangat janggal baginya untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, Kris akan tetap cuba untuk berinteraksi seperti orang biasa.

"Kamu ni nama apa? Berapa umur kamu?" tanya Pak Su.

"Nama saya, Raiqal Kris. Tapi, orang panggil saya dengan panggilan Kris. Umur lapan belas tahun."

"Lapan belas tahun? Mak Su ada seorang anak yang sama umur dengan kamu. Dia lelaki. Bolehlah kamu berkawan dengan dia. Tapi, dia tu tak suka sangat bergaul dengan orang," balas Mak Su yang merupakan isteri kepada Pak Su.

"Mari-mari, Pak Su bawa kamu ke rumah. Kesian pula, sebab terpaksa berjalan jauh sampai ke sini."

Pak Su dan Mak Su membawa Kris ke rumah batu yang berada di sebelah rumahnya. Rumah itu ialah rumah arwah ibunya. Buat masa sekarang, tidak ada orang yang tinggal di rumah tersebut melainkan Kris.

Kris melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah itu tidaklah terlalu besar namun, ianya sudah cukup membuatkan hati Kris gembira kerana dilayan dengan ramah sekali.

"Maaflah, rumah ni berhabuk sikit. Nanti, Mak Su sapu."

"Eh, tak apa! Tak apa! Saya boleh buat semua tu. Susah-susah je."

"Kalau macam tu, Mak Su nak siapkan makanan kejap. Mesti kamu tengah lapar sekarang ni."

"Terima kasih."

Mak Su berjalan keluar dari rumah. Kris pula menggapai sebatang penyapu lalu mengemas rumah serta bilik tidurnya. Beg pakaiannya disandarkan pada dinding. Dia tersenyum sendiri. Tidak menyangka pula akan dilayan sebegitu.

Setelah selesai mengemas rumah tersebut, dia dijemput oleh Mak Su dan Pak Su untuk makan bersama di rumah sebelah. Kris menerima pelawaan itu dengan hati terbuka.

Pak Su dan Mak Su mempunyai seorang anak lelaki yang seumur dengan Kris. Namun, Kris tidak pula melihat dan bertemu mata dengan lelaki itu ketika sedang makan. Mak Su memberitahu, anak lelakinya tidak suka bergaul. Jadi, mungkin dia ada di suatu tempat sekarang. Mungkin, sedang tidur di dalam bilik.

Pak Su memberitahu bahawa, ini ialah Kampung Tengah Selatan. Ianya terdapat di kawasan pedalaman dan dekat dengan kawasan larangan atau pagar tentera. Di belakang rumahnya pula, terdapat kebun rambutan. Di belakang kebun itu, ada sebatang sungai dan padang rumput yang luas. Jika Kris bosan, dia boleh meluangkan masa di sana.

Setelah selesai makan, Kris menunaikan solat Zohor sebelum melelapkan mata. Dia tertidur sehingga jam enam petang. Ketika itu, dia tergesa-gesa bangun dan melakukan solat Asar.

Mak Su yang menyedari bahawa Kris sudah bangun dari tidur, segera menjemput lelaki itu makan di rumah. Setelah selesai, dia berhasrat untuk ke sungai yang dikatakan oleh Pak Su. Kris ke sana seorang diri, melalui kawasan kebun rambutan yang penuh dengan semak-samun.

Akhirnya, tiba di sebatang sungai yang kelihatan agak cetek. Dia duduk dia atas rumput sambil menatap air sungai yang mengalir perlahan. Matanya terpandang ke arah kawasan larangan yang dipagari oleh pagar tentera, jauh di sebelah kirinya. Di sana, hanya terdapat hutan yang tebal.

Kris mengeluarkan telefon bimbit. Dia cuba menghubungi Raven tetapi lelaki itu tidak mengangkat panggilan. Sudah berkali-kali Kris cuba menghubunginya tetapi tidak diangkat juga. Setelah putus asa untuk menelefon lelaki itu, Kris cuba menghubungi Violet. Gadis itu mengangkat panggilan dengan pantas.

"Assalamualaikum!"

"Waalakumsalam!"

"Kris! Kau bosan eh? Kau ada kat mana sekarang ni?"

"Aku ada kat Kampung Tengah Selatan."

"Jauhnya! Macam mana kau boleh tercampak ke sana? Jauh dari tempat aku!"

"Nak buat macam mana. Lepas je hantar kau, semua pusat pemindahan yang aku pergi, dah penuh. Jadi, diorang hantar aku ke kampung ni."

"Kau okey ke kat sana? Ramai kawan?"

"Aku tak ada kawanlah kat sini. Tapi, diorang layan aku dah macam raja. Untung juga aku ada kat sini. Kau macam mana? Okey tak?"

"Aku okey je! Baru je sampai, dah ada yang nak berkawan dengan aku. Maklumlah, aku kan cantik! Hahaha!"

"Perasan."

"Hahaha!"

"Kau ada telefon Raven tak? Dah banyak kali aku telefon dia tapi tak angkat. Entah apa yang mamat tu tengah buat. Aku nak tanya dia ada kat mana pun susah."

"Dia sibuk kot. Tak pun, dia dah tidur. Tak pun, telefon dia dah habis bateri. Husnuzon je."

"Hey, Violet."

"Ya?"

"Kau nak kahwin dengan aku tak?"

"Kau ada minum air daun ketum ke kat sana?"

"Aku serius la! Bila semua ni dah selesai dan kita jumpa balik, aku nak lamar kau."

"Kita muda lagi la. Kau pun, tak kerja lagi. Macam mana nak sara anak dara orang?"

"Kalau aku dah ada kerja dalam tiga tahun akan datang, kau terima tak?"

"Hm... kejap. Terima. Tak. Terima. Tak. Terima. Tak..."

"Kau tengah buat apa tu?"

"Tengah bilang dengan jari."

"Macam tu je kau tentukan masa depan? Aku serius ni."

"Kalau kau dah ada kerja dan kita jumpa semula, aku terima."

"Serius?"

"Kau nak aku tarik balik kata-kata aku ke?"

"Eh, tak-tak!"

"Okla... bye-bye."

"Bye."

Pada masa yang sama, kelihatan, dua buah truk tentera darat memasuki kampung. Mereka bergerak ke arah kawasan pagar. Itu sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung. Mereka sudah terbiasa melihat pasukan tentera darat berkampung di pagar askar.

Namun, jika truk tentera tiba, itu petanda bahawa semua orang perlu masuk ke dalam rumah. Dilarang sama sekali untuk keluar. Kanak-kanak yang sedang bermain, dipanggil oleh ibu dan ayah mereka untuk pulang ke rumah dengan segera.

Senja juga telah tua. Matahari akan terbenam, tidak lama lagi. Bekalan elektrik diputuskan. Semua rumah bergelap. Bahkan, bukan semua rumah malah, seluruh kampung bergelap.

Mak Su ke rumah sebelah untuk mencari Kris tetapi lelaki itu tiada. Dengan kelam kabut, dia memaklumkan perkara itu kepada Pak Su.

"Mana budak tu dah pergi? Dia tahu tak dah nak malam ni?" soal Pak Su dengan nada marah.

Pada masa yang sama, anak lelaki mereka menjejakkan kaki ke dalam rumah. Dia sedang memegang sebilah pisau belati pada tangan kanan. Badannya juga kelihatan agak comot. Pakaiannya pula dibasahi peluh.

"Kein, kamu ada nampak Kris tak?" tanya Mak Su.

"Kris? Siapa?" balas Kein dengan bingung. Dia masih tidak tahu bahawa penduduk kampung menerima tetamu yang bakal tinggal bersama dengan mereka.

"Biar saya jelah yang cari dia. Rasanya, dia ada kat sungai," kata Pak Su. Dia bergegas merentasi kebun rambutan untuk ke sungai.

Kris masih lagi duduk di sungai. Dia baru sahaja selesai berbual dengan Violet melalui telefon. Lelaki itu tersenyum gembira setelah Violet menerimanya. Pandangannya yang pada mulanya menatap air sungai yang cetek, beralih ke arah langit yang sudah hampir gelap.

Seterusnya, dengan tidak sengaja, dia berpaling ke sebelah kiri. Terbeliak matanya. Terkaku lidah. Dia juga terpaku melihat makhluk yang berada di sebelahnya.

Makhluk itu terlihat, dua kali ganda lebih besar daripadanya. Tulang-tulang rusuk pada dada makhluk itu terkeluar. Bahkan, tengkoraknya juga pecah. Otak yang berada dalam tengkoraknya dapat dilihat dengan jelas. Kulit berwarna hitam manakala giginya tajam dan dan mulutnya pula berair.

Makhluk itu mengeram seperti ingin membaham Kris. Lelaki itu pula terkelu. Dia terdiam seribu kata. Akalnya tidak mampu berfikir untuk bertindak. Itulah kali pertama dia melihat makhluk itu.

Jika Kris tidak lari, dia akan menjadi santapan makhluk itu. Dia akan mati.

Makhluk berkaki empat itu cuba membaham Kris, namun, tanpa sedar, kakinya bergerak sendiri. Dia mengelak daripada diterkam. Namun, dia pula terbaring di atas tanah. Nafasnya tercungap-cungap. Tangannya terketar-ketar. Makhluk aneh itu mendekatinya. Air liur yang berlendir menitis ke tanah.

Pada masa yang sama, Pak Su tiba di sungai. Dia terkejut melihat situasi yang berlaku di hadapan mata. Tidak ada apa yang mampu dia lakukan selain meluahkan jeritan 'lari' sekuat hati.

BANG!

Kepala makhluk itu ditembak. Darahnya memercik pada pakaian Kris. Tubuhnya jatuh ke tanah. Sudah tidak bergerak. Pandangan Pak Su beralih kepada seorang anggota tentera yang menembak tepat makhluk itu. Pak Su segera berjalan ke arah Kris.

"Apa yang kau buat di luar rumah waktu macam ni? Nasib baik aku meronda kat kawasan ni, kalau tak. Kau dah mati," soal anggota tentera itu dengan kasar.

Kris yang bingung, tidak tahu hendak membalas apa. Bahkan, dia masih tidak memahami keadaan yang berlaku. Makhluk yang dilihatnya tadi, bukannya binatang yang pernah wujud sebelum ini.

"Maaf sebab melanggar peraturan. Dia ni masih baru kat kampung. Dia tak tahu apa-apa lagi. Tolong maafkan dia," rayu Pak Su yang cuba mempertahankan Kris.

"Kali ni, aku lepaskan kau. Kalau aku jumpa kau berkeliaran waktu-waktu macam ni, aku akan tahan kau. Sekarang, cepat balik ke rumah. Ni kali pertama Karnivor muncul kat tempat ni. Entah berapa banyak lagi yang sedang menyorok dalam hutan."

Kris bangun. Dia mengikuti Pak Su dari belakang yang berjalan meninggalkan kawasan sungai. Mereka tidak merentasi kebun rambutan untuk pulang ke rumah. Sebaliknya, Pak Su menggunakan jalan perumahan yang agak jauh jika dibandingkan dengan laluan di kebun rambutan.

"Maaf Pak Su. Saya tak tahu pun benda macam tu boleh berlaku."

"Kamu ni, tahu tak? Kerajaan dah arahkan semua rakyat untuk berkurung bila matahari terbenam. Nasib baiklah ada askar yang meronda kawasan sungai, kalau tak, entah apa dah yang jadi."

"Saya tak tahu pun. Kat rumah anak yatim, saya dibesarkan tanpa pendedahan kepada televisyen. Jadi, saya tak tahu isu semasa."

"Kamu tahu tak makhluk apa yang cuba makan kamu tadi?"

"Tak."

"Bila sampai di rumah, Pak Su ceritakan semuanya kepada kamu."










follow kenhendri di wattpad untuk cerita penuh.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.