Hampir dua minggu Salmah bekerja di syarikat
tersebut. Semakin hari dia semakin serasi dengan suasana bekerja di ofis itu.
Para pekerjanya cukup ramah dan mesra. Masing-masing tidak lokek dalam
mengeluarkan ilmu yang dimiliki dalam meningkatkan mutu kerja Salmah.
Perkara
itu yang sewajarnya dicontohi oleh mana-mana pekerja di dalam mana-mana
organisasi. Sikap saling menindas atau tikam belakang bukan sahaja mampu
menjatuhkan sesebuah syarikat bahkan mampu menjahanamkan sesebuah empayar yang
telah lama bertapak.
Dalam
masa tersebut, Salmah masih dibelenggu dengan sikap rakan-rakan serumahnya yang
dilihat semakin menjadi-jadi. Hanna jarang pulang ke rumah. Begitu juga
keadaannya dengan Rita dan Tina. Kadangkala mereka pulang dalam keadaan mabuk.
Pelbagai nasihat telah dicurahkan namun keadaan mereka tetap sama dan tidak
berubah. Adakalanya dia berasa seperti ingin keluar daripada rumah tersebut dan
menyewa di tempat lain.
Tetapi
dia masih hijau di Kuala Lumpur ini. Bimbang jika tersalah langkah diri yang
akan binasa. Bahkan dia berasa sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing
mereka pulang semula ke pangkal jalan.
Salmah
tekun melakukan tugasnya. Wajahnya serius tanpa segarit senyuman. Timbunan
kerja tersebut perlu disiapkan segera kerana deadlinesemakin hampir. Tempoh waktu yang singkat yang diberikan
oleh pihak atasan kepadanya dalam menyiapkan kerja tersebut membuatkan Salmah
sedikit tertekan. Tetapi dia bertindak bijak dalam mengalirkan tekanan tersebut
sebagai satu cabaran kepada dirinya.
Jam
telah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Tetapi Salmah masih tetap duduk di
kerusinya sambil menyiapkan kerja. Waktu yang berjalan tidak disedarinya. Dia
begitu tekun dan bersungguh-sungguh untuk menyiapkan kerja tersebut.
“Belum
siap kerja lagi ke?”tegur Irah.
Wanita
itu kelihatan telah siap melakukan kerja. Dia sibuk mengoleskan mekap ke wajah
sambil berkaca di cermin bedak kompaknya.
“Belum
lagi.. Banyak lagi kerja yang aku kena settle
ni.”balas Salmah. Dia hanya melihat ke arah Irah sekilas sebelum menyambung
semula kerjanya.
“Rajin
betul kau kerja kan? Aku rasa tak lama gaji kau boleh naik ni.”puji Irah
bersungguh-sungguh tanpa ada niat terselindung.
Salmah
hanya tersenyum menerima pujian tersebut. Bukan gaji lumayan yang diharapkn
sebaliknya tanggungjawab yang digalas perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Dia tidak mahu menerima gaji pada kadar kerja yang tidak bermutu. Salmah berasa
berdosa dengan keadaan seperti itu.
“Sakan
kau bersolek padahal dah nak balik rumah. Nak keluar dating ke?”usik Salmah.
Irah
hanya tersengih mempamerkan sebaris giginya yang putih.
“Bukan
selalu pun. Hari ni dia ajak keluar jumpa. Lagi pun dah lama sangat tak
berjumpa dengan dia.”balas Irah.
Salmah
terangguk-angguk. Dia yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah tunang
Irah. Salmah mengerti tentang hal tersebut kerana telah beberapa kali tunang
Irah menjemput rakannya di ofis ini.
“Okaylah,
Salmah. Aku balik dahulu. Kau tu jangan kerja lewat sangat. Bahaya. Kalau
banyak sangat kerja better kau bawa
balik je siapkan dekat rumah.”sempat Irah menitipkan pesanan sebelum dia
melangkah keluar daripada ofis tersebut.
Salmah
hanya menghantar hayunan kaki Irah sehinggalah kelibat wanita itu lenyap
daripada pandangan mata. Lalu, Salmah menyambung semula kerjanya.
Jam telah menunjukkan hampir pukul 7.00 malam.
Pengawal keselamatan yang baru bertugas di situ menjalankan rondaan. Adalah
menjadi tugas pengawal keselamatan di situ bagi memastikan semua pekerja pulang
terlebih dahulu mengunci pintu utama bangunan tersebut. Setiap tingkat
diperiksanya secara teliti. Lazimnya jika ada pekerja yang pulang lewat, mereka
akan menghubungi pondok pengawal bagi memaklumkan perkara tersebut.
Lif
berhenti di tingkat 5. Azmir yang bertugas menggantikan Pak Samad pada malam
tersebut melangkah keluar daripada lif. Dia bersiul-siul sambil
memusing-musingkan cota di tangan. Dia yang baru dua hari bekerja di situ tidak
begitu faham dengan selok belok dan rahsia yang tersimpan di dalam bangunan
tersebut.
“Belum
pulang kerja lagi ke cik?”
Teguran
tersebut membuatkan Salmah tersentak. Tumpuannya terganggu. Dia mengalihkan
pandangan ke arah pintu masuk pejabat itu. Kelihatan seorang pengawal
keselamatan sedang berdiri sambil memegang cota.
“Err..
Saya balik kerja lewat sikit abang. Maybe
dalam pukul 9.00 malam.”jawab Salmah.
Bukannya
dia tidak teringat tentang nasihat dan pesanan yang dititipkan padanya tetapi
Salmah terpaksa demi menyiapkan kerja yang bertimbun. Kalau dibawa pulang ke
rumah belum tentu dia boleh menyiapkan kerja tersebut. Lagipun apa yang perlu
ditakutkan kerana bagi Salmah tiada bahaya yang berada di situ. Seluruh
bangunan tersebut dilengkapi dengam CCTV bahkan terdapat pengawal yang
menjaganya.
Azmir
akur lalu melaporkan perkara tersebut kepada rakannya yang menunggu di pondok
pengawal dengan menggunakan walkie talkie.
Setelah itu dia terus berlalu meninggalkan Salmah berseorangan.
Azmir
berjalan lagi meronda kawasan sekeliling sebelum terus berlalu menuju ke
tingkat 6. Di tingkat 6, kelihatan kebanyakan pekerja telah pulang. Suasana
tingkat tersebut sunyi dan sepi. Yang terdengar hanyalah derapan tapak kasutnya
sahaja. Seperti biasa, Azmir berjalan sambil bersiul-siul menjalankan rondaan.
Namun
siulan yang tadinya kuat mula mengendur dan terus terhenti. Dia mendengar
seolah-olah terdapat derapan tapak kasut di belakangnya. Azmir terhenti
melangkah. Dia berkalih tetapi kosong. Enggan mengusutkan fikiran Azmir
meneruskan perjalanannya. Tetapi sekali lagi dia dikejutkan dengan perkara yang
sama.
Hatinya
tidak semena-mena diburu dengan perasaan yang tidak enak. Azmir perlahan-lahan
memusingkan badannya ke arah belakang. Darahnya terasa berderau. Di belakangnya
kini berdiri seorang tentera Jepun lengkap berpakaian uniform sedang merenung
ke arahnya. Matanya hitam dan tidak terdapat latar putih sama sekali. Wajahnya
pucat membiru seolah-olah tidak berdarah. Tentera Jepun tersebut menderam
dengan suara yang garau dan menakutkan.
Azmir
terundur-undur ke belakang. Dia menelan liur berulang kali. Cota yang dipegang
digenggam kemas. Hanya itu satu-satunya senjata yang dimiliki olehnya. Peluh
mula terasa membasahi dahi. Dia tahu di hadapannya itu bukan seorang manusia.
Azmir berpusing untuk berlari. Namun tindakannya terhenti. Di hadapannya kini
pula sedang berdiri seorang lagi tentera Jepun yang lengkap memakai uniform.
Azmir
mula berasa cemas. Tiada ruang untuk dia melarikan diri. Bahagian belakang dan
hadapannya telah dikepung. Azmir terpusing-pusing cuba melarikan diri. Rasa
cemas dan takut saling berbaur. Tentera Jepun itu menggenggam kemas pedang
samurai yang tersisip di pinggang. Pedang dicabut dari sarungnya. Azmir menelan
liur. Dengan satu tempikan yang kuat dan garau, pedang itu diangkat tinggi dan
dilibas pantas ke leher Azmir.
Kepala
Azmir bercerai daripada badannya. Darah memancut keluar daripada batang
lehernya. Kepala Azmir tergolek di atas lantai dengan mata yang terbeliak dan
lidah yang terjulur keluar.
Badannya
pula perlahan-lahan jatuh rebah dengan darah menyimbah pekat. Tentera Jepun itu
mencapai kepala Azmir dengan menggenggam kuat di bahagian rambut. Seorang lagi,
memegang badan Azmir di bahagian kaki dan mengheretnya.
Salmah terhenti melakukan kerja. Baru sebentar tadi
dia terdengar seolah-olah suara lelaki yang sedang menjerit dengan jeritan yang
kuat dan kasar. Jeritan itu jelas hinggap di cuping telinganya. Salmah menolak
kerusinya ke belakang lalu bangun. Dia melihat kawasan sekeliling. Tiada siapa
yang berada di dalam pejabat tersebut melainkan hanyalah dirinya sahaja.
Dia
berjalan meronda kawasan sekeliling. Mana tahu masih ada rakan sepejabat yang
belum pulang bekerja. Tetapi sangkaannya meleset. Lantas Salmah berjalan menuju
ke pintu masuk ofis tersebut.
Pintu
tersebut ditolak sedikit ke luar. Dia menjengukkan kepala melihat ke arah luar.
Tiada apa yang singgah di pandangan matanya melainkan suasana yang kelam dan
suram.
Lantas,
Salmah kembali ke tempat duduknya. Fokusnya terasa terganggu dengan bunyi
jeritan tersebut. Salmah menarik nafas cuba menenangkan diri tetapi gagal. Jam
telah menunjukkan pukul 8.00 minit malam.
Salmah
bangun semula daripada kerusi lalu menuju ke pantri. Dia membancuh secawan
Nescafe panas lalu kembali ke meja kerjanya. Salmah mencapai ganggang telefon
lalu menghubungi Irah. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya kala ini.
Yatim menunggu Azmir di pondok pengawal. Puas dia
cuba menghubungi rakan sekerjanya itu melalui walkie talkie tetapi tidak berjawab. Yatim merengus kasar. Mahu
tidak mahu dia terpaksa meninggalkan pondok buat sementara untuk mencari
rakannya itu.
Yatim
melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Matanya mencari-cari Azmir di
tingkat bawah tersebut tetapi tidak terlihat olehnya. Lantas, Yatim berlalu
menuju ke lif. Punat ditekan dan dia menunggu pintu lif untuk terbuka. Lama
menanti tetapi pintu lif masih belum terbuka. Yatim merengus kasar dan
menghempas tangannya ke pintu lif tersebut dengan kuat sebelum berlalu menuju
ke tangga.
Pintu
yang menempatkan tangga di tolak dan Yatim melangkah masuk. Dia mendaki satu
persatu anak tangga dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Sempat dia
meronda setiap tingkat yang dilaluinya tetapi Azmir tidak jua kelihatan. Di
tingkat 5, dia terlihat seorang pekerja masih tekun melakukan kerjanya di dalam
ofis. Azmir berpatah balik menuju ke tangga dan berjalan menuju ke tingkat 6.
Terasa begitu lelah apabila terpaksa mendaki tangga setinggi itu.
Yatim
terperanjat apabila melihat cecair merah melatari lantai di kawasan tangga
tingkat 6. Dia menunduk lalu mencalit cecair tersebut dan menghidunya. Ternyata
ianya darah! Yatim memanggil nama Azmir tetapi tidak bersahut. Lantas dia
mendaki tangga secepat mungkin. Jantungnya terasa berdebar.
Di muka pintu untuk masuk ke tingkat 6, Yatim
terkejut sehingga jatuh terduduk. Di hadapannya kini, terlihat kepala Azmir dan
tubuhnya yang telah bercerai. Tanpa menunggu masa Yatim bingkas bangun dan
melarikan diri.
Ketika
dia berlari menuruni tangga, ekor matanya dapat melihat dengan jelas ada
sesuatu yang sedang mengejarnya dengan pantas. Yatim terasa lelah tetapi
digagahkan jua. Dia tidak mahu mati seperti Azmir. Sebaik tiba di pintu utama,
dia meluru keluar dan mengunci pintu tersebut.
Dia
benar-benar takut. Bayangannya yang mengejarnya tadi sedang berdiri sambil
memerhatinya. Pintu utama itu membatasi dirinya daripada keluar mendapatkan
Yatim. Yatim sempat menoleh ke belakang. Anak matanya membesar tatkala melihat
makhluk yang mengejarnya sebentar tadi adalah askar Jepun.
Yatim cepat-cepat mencapai motosikalnya lalu
dihidupkan. Gear dipijak kasar dan pedal minyak dipulas sehabis mungkin. Dia
tidak kisah lagi dengan kerjanya itu. Dia tidak pedulikan lagi pekerja yang
masih berada dalam bangunan itu.
Yang
penting sekarang adalah dirinya selamat. Diberi upah sejuta sekali pun, Yatim
tidak mahu lagi bekerja di bangunan itu. Dia nekad. Nyawanya adalah jauh
penting.