HOSPITAL
BERHANTU
Pagi itu seperti kebiasaan, Raiman bersiap-siap
untuk ke tempat kerja dengan menunggang motosikal. Era 70-an sebegitu
sememangnya sangat popular dengan motosikal Yamaha dua lejang. Raiman menyisir
rambutnya yang ikal dan mengenakan pakaian yang rapi. Sempat jua dia melihat
penampilan diri di cermin dengan memastikannya benar-benar kemas sebelum
berlalu keluar dari bilik setelah menyembur pewangi.
Raiman
memakai kasut dan menggalas beg sandang. Lalu enjin motosikal dihidupkan dan
ditunggang membelah kesunyian jalan raya. Jam masih menunjukkan pukul 8.00 pagi
dan masih terlalu awal kerana Raiman akan bermula kerja pada pukul 9.00 pagi.
Oleh itu, kesempatan waktu yang terluang digunakan oleh Raiman untuk singgah
sebentar di warung Pak Selamat untuk menikmati roti canai bersama teh tariknya
yang cukup popular itu.
Sambil
menunggang motosikal, Raiman bersiul-siul riang. Sejak Fatimah masuk kerja di
ofis tersebut hatinya sentiasa berbunga-bunga. Manakan tidak, kejelitaan wanita
itu cukup memikat hatinya. Fatimah sememangnya memiliki keayuan wajah Melayu
asli. Jarang dia bertemu dengan wanita yang memiliki rupa paras sebegitu rupa.
Sehingga menjadi igauan kepada dirinya siang dan malam. Mengingatkan wanita itu
membuatkan Raiman tersenyum sendirian. Bukan apa, sehingga saat ini dia masih
menyimpan perasaan terhadap wanita itu dalam diam.
Bahkan
tidak pernah sekali pun, Raiman berbual dengan Fatimah atau menegurnya. Raiman
akui dirinya seorang yang sangat pemalu untuk memikat perempuan. Yang dia tahu
hanyalah melihat Fatimah dari jauh. Andai wanita itu melihat kepada dirinya,
cepat-cepat Raiman berkalih ke arah lain atau berpura-pura melakukan kerja.
Hanya itu yang mampu Raiman lakukan. Dia terlalu malu untuk memulakan perbualan
dengan Fatimah walaupun hatinya kini hanya dipenuhi dengan wajah wanita itu.
Raiman
berhenti di simpang jalan. Matanya dilingaskan ke sebelah kiri dan kanan jalan
bagi memastikan tiada kenderaan yang lalu sebelum dia melintas jalan. Sebaik
memastikan jalan tersebut selamat, Raiman pun memecut motosikalnya. Namun
malang tidak berbau apabila sebuah kereta yang baru keluar daripada simpang
berhadapan tidak sempat mengelak apabila melihat Raiman sedang meluru laju ke
arahnya. Raiman sempat menekan brek dan cuba mengelak namun telah terlalu
lewat. Motosikal yang dinaiki menghentam bonet hadapan kereta tersebut. Raiman
terpelanting dan mendarat di atas bumbung kereta sebelum tergolek beberapa kali
dan jatuh terhempas di atas tanah. Dia cuba bangun tetapi kesakitan yang
dialami terasa merenggut tenaganya. Raiman jatuh semula di atas jalan. Dia
tidak sedarkan diri.
Raiman membuka matanya perlahan-lahan. Pelupuk mata
terasa berat namun digagahkan jua. Sebaik matanya terbuka, suasana putih
mentabiri pandangan. Raiman tertanya-tanya pada dirinya sendiri di manakah dia
berada sekarang. Dia melihat keadaan dirinya sendiri. Terdapat satu jarum yang
tercucuk di atas belakang telapak tangannya dan bersambung melalui tiub yang
mengalirkan air melalui bungkusan air yang tergantung di besi. Raiman termenung
sejenak memikirkan bagaimana dia boleh berada di hospital. Akhirnya dia mula
mengingati yang dia telah terlibat dengan kemalangan sebentar tadi. Raiman
mengeluh berat.
Selimut
yang membaluti tubuh di singkap. Kelihatan kaki sebelah kirinya berbalut dengan
kain berwarna putih. Raiman meraba-raba wajahnya. Tiada kesan luka yang
dirasai. Tidak tahu sekiranya ada lebam yang berada di situ. Kedua-dua
tangannya terdapat kesan calar dan luka yang tidak begitu serius. Sekujur
tubuhnya terasa sakit dan sengal-sengal. Raiman mengetap bibir menahan kesakitan.
Dia melingaskan kepala melihat keadaan di dalam wad tersebut.
Kebanyakan
katil adalah kosong dan kalau diikutkan hanya dia seorang sahaja yang berada di
dalam wad itu. Katilnya terletak bersebelahan dinding. Tetapi..Raiman
mengalihkan pandangan ke sebelah kanannya. Kelihatan tirai berwarna hijau
ditutup menghadang pandangannya. Tirai tersebut sesekali terbuai-buai seperti
ditiup angin. Sesekali kedengaran bunyi berkeriuk yang datang daripada besi
katil. Seolah-olah terdapat orang yang sedang bergerak di atasnya. Raiman
terasa lega apabila memikirkan dia tidak berseorangan di dalam wad tersebut.
Terdetik
di hati Raiman untuk melihat penghuni di katil bersebelahannya itu. Desakan
tersebut semakin lama semakin kuat. Akhirnya, Raiman terpaksa mengalah. Dia
mengengsot perlahan-lahan ke birai katil. Tangannya cuba dipanjangkan untuk
menggapai tirai tersebut untuk menyelaknya. Terasa jauh, Raiman merapatkan
sedikit tubuhnya. Katilnya turut bergerak ke kanan sedikit. Tangannya
terketar-ketar cuba menggapai tirai. Jari jemarinya semakin hampir untuk
menggapai tirai tersebut. Hanya jarak beberapa inci sahaja yang memisahkan
tirai tersebut dengan jarinya.
“Encik..”
Raiman
tersentak. Teguran tersebut telah mematikan hasrat Raiman. Dia mengalihkan
pandangan. Seorang jururawat muda yang cantik sedang tersenyum manis ke
arahnya.
“Nampaknya
encik dah terjaga daripada pengsan. Hampir enam jam encik pengsan selepas
kemalangan itu.”jelas jururawat itu.
Raiman
melihat tag nama yang tertera di dada jururawat tesebut.
“Apa
yang dah terjadi pada kaki saya ni..err cik Aini?”
“Hmm..
Menurut laporan perubatan, kaki encik disyaki patah. Tetapi doktor belum
sahkannya lagi. Jadi mungkin kami akan menjalankan beberapa imbasan. Jika benar
patah, mungkin kaki encik terpaksa disimen bagi mempercepatkan ia pulih.”terang
Aini sambil melihat laporan perubatan yang tergenggam kemas di tangannya.
“Err..
Kalau begitu agak-agak berapa lama saya boleh kembali sembuh?”tanya Raiman.
“Sebenarnya
tempoh tersebut adalah tidak tentu sebab bergantung juga sejauhmana kecederaan
yang dialami oleh encik Raiman. Kalau serius..memang mengambil masa yang agak
lama juga.”Aini menjelaskan hal yang sebenar.
Raiman
mengangguk-angguk faham. Dalam fikirannya kini menerawang memikirkan soal
kerja. Pasti dia akan dibuang kerja kerana bercuti terlalu lama. Tambahan
dengan sikap majikannya yang kadang kala kurang bertimbang rasa.
“Encik
Raiman tak perlu risau. Pihak kami akan menelefon keluarga dan majikan encik
untuk memberitahu tentang keadaan encik.”ujar Aini seolah-olah mengerti dengan
desakan yang bertakung di dada Raiman.
Raiman
tersenyum hambar. “Kalau boleh jangan beritahu keluarga saya. Mereka tinggal
jauh. Saya tak mahu mereka risau.”
“Jangan
bimbang encik. Saya akan lakukan seperti yang encik pinta. Ada apa-apa lagi
yang boleh saya bantu?”tanya Aini dengan penuh berhemah.
Raiman
mengalihkan pandangan ke sebelah kanan melihat tirai yang menghadangi katil di
sebelahnya. Lantas dia mengalih semula ke arah Aini sambil tersenyum dan
mengggeleng kepalanya.
Aini
hanya mengangguk. Sebelum berlalu, Aini memastikan tirai di sebelah Raiman
tertutup rapi tanpa terselak di mana-mana sebelum berlalu pergi. Raiman hanya
memerhati dengan tanda tanya yang bersarang di minda. Siapa penghuni katil sebelah aku ni? Kata-kata tersebut hanya
bermain-main di fikirannya tanpa terluah melalui bicara.