Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
2,689
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 11

"APA? TEMANKAN MAISARAH?" Amir membulatkan mata. Masalah besar ni. Dia dah la tak sukakan perempuan sombong itu. Inikan pula nak temankan perempuan itu bersiar-siar dikawasan air terjun. Satu kawasan yang memang menjadi tempat puaka bagi dirinya dan Zahlia. Sejak tragedi yang menimpa Zahlia dan Rayyan, mana pernah Amir menjejakkan kaki di situ. Walaupun sebelum ini hampir setiap hujung minggu dia akan ke sana untuk mandi atau menangkap ikan.

Tapi peristiwa yang menimpa kakaknya menyebabkan dia dilarang keras untuk menghampiri tempat itu. Orang-orang kampung juga tidak mahu berada di situ. Kata mereka tempat itu keras, berpenunggu. Cuma dahulu arwah ayah, Uncle Howard dan Tok Batin sahaja yang berani ke sana. Selepas kehilangan Rayyan di kawasan itu, penduduk di situ tidak mahu lagi menghampiri kawasan itu.

"Tapi mak cik..." Dia cuba mencari alasan untuk menolak.

"Amir tolong mak cik ye? Mak cik kesiankan Maisarah. Dia dah lama terperap dalam rumah ni. Mak cik dengan pak cik tak sempat nak bawa dia bersiar-siar di kampung ni. Nak biarkan dia pergi sendiri risau pulak. Lagipun dia perempuan, tak biasa pulak dengan kawasan ni. Tolong ye?" Rayu Shima bersungguh-sungguh.

Dia berasa kasihan melihat Maisarah asyik terkurung di dalam rumah besar ini. Dahulu dia dengan suaminya pernah berjanji untuk memberikan sedikit kebebasan kepada Maisarah apabila mereka berpindah ke rumah baru ini.

"Tapi tak maniskan saya temankan Maisarah. Saya ni lelaki, dia perempuan. Kami ni bukan muhrim. Lagipun kawasan air terjun tu sunyi sikit mak cik. Tak elok kalau orang kampung nampak." Amir cuba berdalih. Tak mahu dia bersama dengan anak orang kaya yang berlagak sombong itu walaupun hatinya meronta-ronta untuk ke tempat kenangan dia bersama arwah ayah.

"Tak apa. Lagipun kawannya Aina ada bersama jugak. Kesian Aina, datang rumah mak cik tapi terpaksa berkurung dalam rumah dengan Sarah. Mak cik dengan pak cik pun sibuk lagi dengan urusan nak pindah-pindah barang." Hati Amir berbolak balik. Rasa bersalah pula jika menghampakan harapan wanita yang melayan dirinya dengan baik itu. Tapi dia benci dengan Maisarah!

"Baiklah mak cik. Tapi sekejap aje ye. Saya takut orang kampung buat mulut pulak nanti." Katanya ikhlas. Dia sayang kepada Shima dan Mikael. Dia tidak mahu orang kampung berkata yang bukan-bukan tentang pasangan suami isteri itu. Mulut mak cik-mak cik bawang disini boleh tahan bisanya. Biarlah keluarganya sahaja yang dikeji orang kampung. Dia tidak mahu keluarga itu menerima nasib yang sama seperti keluarganya.

"Terima kasih Amir. Nanti kalau Pak Cik Mikael tu balik awal, mak cik suruh dia menyusul kamu ke sana ya?" Lega hati Shima. Kalau Amir bersama Maisarah dan Aina tidaklah hatinya risau sangat.

MAISARAH yang sedang memerhati Amir dan mamanya berbual dari balik jendela melepaskan keluhan kasar. Entah apa yang dilakukan Amir sehingga mamanya benar-benar percaya kepada lelaki itu. Sebelum ini mamanya susah nak memberikan kebenaran kepada Maisarah untuk keluar bersama-sama rakan-rakannya walaupun rakannya itu perempuan. Tapi kali ini, walaupun baru beberapa hari Amir ke sini, mamanya sudah memberi kepercayaan kepada remaja itu untuk menemaninya bersama Aina.

"Sarah, kau ni dah kenapa? Monyok je dari tadi." Tanya Aina sambil membelek-belek dirinya dihadapan cermin. Mindanya sedang fokus memikirkan baju apa yang patut dipakainya untuk ke air terjun itu nanti.

"Isy, kau ni! Sibuk pilih baju macam nak pergi dating dengan boyfriend kenapa? Kita nak pergi jalan-jalan dekat kawasan air terjun tu aje la!" Panas pulak hatinya melihat kelaku Aina yang sejak dari tadi sibuk memilih pakaian untuk keluar sebentar lagi. Macamlah Maisarah tidak tahu, Aina ingin menarik perhatian Amir yang dikatakan hot guy itu.

"Kau ni kenapa? Aku tengok kau macam tak suka je dengan mamat tu." Aina meletakkan baju-baju yang dipegangnya ke atas katil. Dia kemudian menuju ke tingkap tempat dimana Maisarah sedang berdiri.

"Entah, aku tak suka la dekat dia. Cara dia pandang mak aku tu pelik. Malam kenduri masuk rumah tu aku tengok dia tenung aje mama macam nak telan. Isy, aku tak tahu la. Macam psiko je. Lagi satu, kau tak rasa pelik ke? Mama aku tu senang-senang aje bagi dia teman kita. Padahal mama bukan kenal sangat dengan mamat tu. Dulu waktu aku tinggal dekat rumah lama, susah mama nak bagi aku keluar dengan Sherlene. Kau tak ingat?" Rungut Maisarah.

"Kau ni selalu buruk sangka. Aku tengok dia okey je. Tak ada apa yang pelik pun."

"Back up nampak? Tahu la kau suka dekat dia."

Maisarah kemudian melabuhkan punggungnya ke atas tilam empuk. Sebal rasa hatinya apabila kawan baiknya sendiri turut menyebelahi lelaki itu.

"Sarah, mungkin dia tengok mama kau macam tu sebab dia rindukan arwah mak dia. Kau dengarkan tadi, mama kau cakap dia dah tak ada mak dengan ayah. Semalam waktu kau mandi, aku saja la mengendap dia dekat tingkap ni. Aku nampak macam mana dia tengok mama kau Sarah. Lepas mama kau masuk, aku nampak dia kesat air mata dia Sarah. Kami yang kehilangan mak atau ayah ni, senang sangat tersentuh hati bila jumpa dengan orang yang ada ciri-ciri macam orang kesayangan kami Sarah. Macam kau, kau rindu mama kau, kau boleh telefon, kau boleh tatap wajah dia. Kau pun masih mampu peluk mama kau Sarah. Macam kami anak yatim ni? Kami cuma mampu kirimkan doa aje Sarah." Perlahan sahaja Aina menuturkan kata-kata.

Maisarah terdiam. Rasa bersalah mula bersarang di dalam hati. Dia terlupa yang Aina juga telah kehilangan ibunya yang tersayang. Maisarah turut rasa bersalah terhadap Amir. Mungkin betul apa yang dikatakan Aina. Mungkin Amir hanya rindukan arwah ibunya.

"Aina, aku minta maaf sangat-sangat kalau buat kau rasa sedih."

"Tak apa. Aku tau kau tak ada niat. Tapi lepas ni kau janji dengan aku, hargailah mama dengan papa kau selagi mana mereka bernafas. Dan lagi satu, jangan cepat buruk sangka dengan orang. Tak baik tau."

"Okey, aku janji. Kau senyum la balik. Aku risau tengok muka kau mendung macam ni." Pujuk Maisarah. Rasa bersalah masih menebal dalam dirinya.

"Choi! Jangan sebut mendung-mendung. Aku nak pergi dating dengan Abang Amir aku dekat air terjun tu. Sekarang tolong aku pilih baju cepat. Pink ke, merah? Ke purple? Tak pun yang corak bunga ni?" Cepat benar gadis tinggi lampai itu menukar mood. Seperti menukar siaran TV.

"Amboi! Semangatnya. Abang Rizki nak letak mana?"

"Ala... Abang Rizki, Abang Rizki la. Lepas ni dia dapat sambung Master dekat oversea tinggal aku sorang-sorang. Bagi la aku kenal Abang Amir pulak. Mana la tahu boleh masuk universiti sekali dengan Abang Amir nanti."

"Ya, ALLAH, Ya Tuhanku... Kau berikanlah taufik dan hidayah kepada sahabatku ini. Kurangkanlah kegatalannya hendak berlaki ini Ya Allah..." Maisarah menadah tangan dan membaca doa dengan kuat supaya didengari Aina. Tetapi Aina sekadar menjungkitkan bahu.

'Okey, aku pilih baju pink ni la. Topi pulak, Topi bulat ni ke, Cap NY hitam ni? Ke tak payah pakai topi? Kita guna payung? Baru nampak ayu sikitkan?"

"Ikut suka kaulah Aina..." Maisarah merebahkan badannya ke atas katil.Malas mahu melayan perangai Aina yang makin bertambah gediknya dari hari ke hari.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.