Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,658
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 12

AMIR MELANGKAH LAJU DI HADAPAN. Dia membiarkan Maisarah dan rakannya mengekori dari belakang. Terasa janggal pula apabila keluar bersama orang lain. Selama ini dia cuma menemani Zahlia untuk ke bandar sahaja. Kebanyakkan masanya banyak dihabiskan bersendirian atau pun membantu Pak Ngah Jasin di kebun.

"Awak... awak memang orang sini ke?" Tanya Aina, cuba memecahkan suasana sepi di antara mereka bertiga.

Amir sekadar menggangguk mengiyakan soalan daripada sahabat Maisarah. Pelik pula Amir melihat penampilan sahabat Maisarah itu. Berbaju gaun separas lutut berwarna putih dengan topi bulat lebar berwarna krim. Lagaknya seperti Minah Saleh nak berkelah di tepi pantai pula.

"Awak, awak umur berapa ye? Kami ni baru 16. Tahun depan SPM. Awak pula macam mana?"

"Sama." Jawab Amir pendek.

"Oh... Awak ambil jurusan apa ye? Saya ambil Sains Tulen. Maisarah pun sama." Aina masih memancing Amir untuk berbual-bual. Maisarah pula hanya menggeleng. Malas menyampuk. Dia faham benar perangai Aina. Si Aina ini kalau dia berjumpa dengan orang yang berat mulut, memang dia akan kacau berhabis-habisan sampai la si berat mulut itu bersuara. Walau kena marah pun tak apa, janji dia boleh mendengar suara orang itu.

"Awak, jauh jugak ye tempat air terjun tu? Sampai sekarang tak sampai-sampai lagi."

'Jauh? Baru aje jalan 3 minit dah kata jauh? Dasar anak orang kaya.' Rungut Amir di dalam hati. Mereka baru sahaja meninggalkan kawasan rumah agam lama itu. Belum pun 500 meter mereka berjalan Aina sudah merungut kata jauh. Amir mengeluh perlahan.

"Kenapa? Awak letih ke? Nak air? Saya ada air. Nah." Aina menghulurkan botol airnya mineralnya kepada Amir. Amir menggeleng kepala tanpa tidak mahu. Maisarah menarik tangan Aina yang sedang cuba berjalan beriringan dengan Amir.

"Dah la. Jangan kacau dia."

"Mana ada aku kacau dia. Aku nak bagi air aje kat dia."

"Dia bukan nak air tu. Dia nak kau diam."

"Pandai je la kau ni. Dia tak cakap pun nak suruh aku diam. Kau tengok tu, dia diam je tak komen apa pun. Kau aje yang lebih."

"Elok la jugak dia diam. Kalau dia layan kau lagi banyak kau bercakap. Dah macam murai tercabut ekor dah aku tengok kau ni. Pot pet...pot pet..."

"Biarlah kalau aku cakap banyak pun. Dia tak kisah pun. Kau apa peduli. Oh... Kau suka dekat dia ek... Eh, Amir... Sarah suka dekat awak la..." Aina cuba mengenakan Maisarah. Merah padam muka gadis itu mendengar usikan Aina.

"Eh, Kau ni! Ingat aku tak ada taste sangat ke? Aku suka lelaki yang..."

"Hoi! Boleh diam tak? Sakit kepala la dengar kau berdua ni pot pet. Kita dah sampai." Akhirnya Amir bersuara juga. Sakit telinganya mendengar suara dua orang gadis remaja itu. Terasa menyesal pula dia menemani mereka berdua ke air terjun ini. Perjalanan yang mengambil masa 10 minit terasa seperti sejam.

"Eh? Awak boleh cakap? Saya ingat awak sakit tekak tadi." Usik Aina lagi. Akhirnya berjaya juga dia mendengar suara lelaki itu.

"Banyaklah kau punya sakit tekak..." Ucap Amir perlahan. Dia mengesat peluh dengan tuala kecil yang dibawa dari rumah.

"Apa? Awak cakap apa tadi?" Tanya Aina sambil membetulkan topi yang dipakainya.

"Tak ada apa."

"Aduh! Siang-siang pun ada nyamuk ke?" Aina menampar nyamuk yang cuba menghisap darahnya. Pehanya yang gatal digaru berkali-kali.

"Tu la, siapa suruh pakai dress macam ni. Dah elok-elok ada track suit tak nak pakai. Nak jugak jadi mainah saleh feeling, feeling tepi pantai." Kutuk Maisarah. Sudah beberapa kali dia menasihati AIna untuk menyarung pakaian yang lebih sopan ke tubuhnya tetapi gadis itu berdegil. Kononnya nak nampak cantik dan ayu di hadapan Amir.

"Biarlah! Cantik apa aku pakai macam ni?"

"Cantik dimata manusia tak semestinya cantik dimata Allah." Walaupun perlahan, tetapi Aina datang mendengarnya dengan jelas. Hatinya terasa sentap juga. Sebenarnya dia ingin menjawab kembali kata-kata pedas Amir itu tetapi Maisarah memegang erat tangan Aina. Isyarat agar jangan meningkah.

Maisarah tahu soal tentang amal ibadah merupakan sesuatu sangat sensitif untuk seseorang yang bernama Aina Syafiqah. Dia cukup pantang dinilai tentang urusannya dengan Tuhan hanya berdasarkan penampilan sahaja. Baginya siapakah manusia untuk menilai dimanakah pengakhiran seseorang itu nanti? Neraka atau syurga? Semua itu urusan Allah. Bukan dia menidakkan nasihat. Tetapi biarlah nasihat itu dengan cara yang baik. Dengan cara yang tidak menyakitkan hati.

Bagi Amir pula, bukan niat hatinya untuk menyakitkan hati Aina, jauh sekali ingin menunjukkan bahawa dia itu baik sangat, tetapi dia agak sakit mata melihat betis Aina, Bila ada angin pula, dress yang dipakai itu terselak sehingga ke bahagian peha yang licin. Tergugat juga imannya. Lagipun diakan lelaki. Itu juga merupakan salah satu sebab dia terpaksa berjalan mendahului dua orang gadis yang baru dikenalinya itu. Dia mahu menjaga mata dan juga hati daripada bisikan jahat.

"Air terjun tu dekat depan." Suara Amir memecahkan suasana yang semakin kekok diantara mereka bertiga.

"Wah! Cantiknya!" Aina berlari ke hadapan. Matanya bersinar-sinar melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Kehijauan flora dan fauna di sini sangat memukau. Sejuk matanya melihat kawasan yang indah tanpa sedikit pun pencemaran.

"Aina! Hati-hati!" Jerit Maisarah apabila melihat Aina sudah mula turun ke kawasan sungai. Si Aina, bukan boleh dibiarkan sangat. Aktifnya kadang boleh membuatkan orang sakit jantung. Dulu dah ada rekod hampir tergelincir jatuh gaung sewaktu program jungle tracking anjuran sekolah mereka di Pahang.

Puncanya, Aina hendak memetik bunga orkid hutan yang tumbuh ditebing bukit yang agak suram. Dia tidak perasan yang kawasan tanah disitu agak licin kerana hujan pada malam sebelumnya. Mujurlah Aina sempat berpaut pada batang pokok. Maisarah dan ahli kumpulan yang lain seramai 5 orang menarik pantas tangan Aina ke atas.. Kalau tak mungkin dah arwah agaknya. Mereka terpaksa menutup mulut tentang kejadian itu kerana tidak mahu didenda.

"Sarah! Cepatlah datang sini! Cantik tau. Air sungai ni pun sejuk!" Amir menutup mata apabila melihat Aina sudah pun menyinsing dress yang dipakai sehingga ke paras peha. Dalam hati dia mengucap istighfar. Pada masa yang sama menyumpah sedikit dengan kelakuan Aina. Tambahan pula mereka berada dikawasan yang dianggap keras bagi penduduk kampung.

Maisarah yang baru sampai di tepi Aina segera mencubit rakannya sehingga terjerit gadis itu. Aina mengosok-gosok lengan yang terasa bisa dengan cubitan Maisarah.

"Kenapa dengan kau ni!"

"Oi, Cik Kiah! Jaga la sikit kelakuan tu! Ini kampung tau. Bukannya bandar." Bisik Maisarah.

"Apa yang aku buat?"

"Apa kau buat? Yang kau angkat kain tinggi-tinggi tu kenapa? Kata nak belajar pakai-pakai tudung. Tapi hari ni pakai dress singkat-singkat pulak!"

"Aku cakap nak start belajar pakai tahun depan. Bukan tahun ni. Kau dah lupa ke?" Maisarah sekadar menjulingkan mata. Malas mahu melayan Aina yang kadang-kadang degil tak bertempat. Dia tahu Aina sengaja memprovok Amir yang disangka berpura-pura suci dari dosa.

"Oit, rambut karat! Jangan pergi jauh-jauh sangat. Tengah sungai tu dalam. Bahaya!" Laungan Amer menghentikan perang mulut yang baru sahaja hendak terjadi di antara dua orang sahabat itu. Amir megambil tempat duduk di atas batu besar di tebing sungai berhampiran dengan air terjun yang tidak jauh dari tempat dua orang gadis itu berdiri.

Matanya meliar melihat keindahan kawasan yang belum disentuh pembangunan itu. Kawasan ini sangat cantik dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan juga bunga-bungaan hutan yang berwarna-warni. Air sungai yang mengalir juga sangat jernih sehingga menampakkan jelas apa yang ada di dasarnya. Titisan air terjun pula kelihatan seperti butiran kristal yang jatuh dari langit.

Amir sangat rindu dengan tempat ini. Rindu dengan kenangan bersama insan-insan yang disayanginya. Rindu dengan arwah ayah, rindu dengan ibu. Juga rindu dengan abang Rayyan yang hilang entah ke mana. Sebak di dada cuba ditahan. Dia tak mahu gadis-gadis itu melihat air mata yang hampir menitis di pipi.

"Argh!!! Tolong! Amir! Tolong!!! Aina!" Jeritan kuat Maisarah mematikan lamunan Amir. Dia tergamam melihat Aina yang sedang tenggelam timbul di di tengah sungai. Kelihatan gadis bandar itu terkapai-kapai cuba mencari nafas di dalam air.

"Amir! Cepat la tolong Aina!" Suara kuat Maisarah menyentakkan Amir. Remaja itu segera terjun dari batu tempat dia duduk sebentar tadi. Gadis berambut karat itu harus diselamatkan.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.