Home Cerpen Alternatif ANGAN
ANGAN
miazahra
18/9/2015 21:45:03
2,441
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Dia melihat ke luar jendela. Melihat pemandangan sawah padi yang terbentang luas. Sawah padi yang telah menjadi sumber pekerjaan turun temurun yang di warisi dari nenek moyang sebelah ayah. Sawah yang selama ini menjadi tempat permainannya sejak dari zaman kanak-kanak. Setiap kali matanya melihat ke arah sawah itu hatinya menjadi tenang.

Kadang kala terfikir juga adakah dia juga akan menjadi pesawah seperti ayahnya? Adakah dia sanggup menahan terik mentari sehingga menggelapkan warna kulitnya yang cerah itu? Adakah dia sanggup keringatnya bercampur dengan lumpur? Adakah dia sanggup berdepan dengan risiko kerugian akibat daripada bencana alam seperti hujan dan kemarau yang tidak menentu akhir-akhir ini? Dan sanggupkah dia tinggal di kampung ini melihat rakan seusianya berhijrah mencari rezeki di bandar?

Sungguh dia tak sanggup. Dia ingin kerja di bandar. Ingin bekerja di tempaat berhawa dingin. Dia ingin menjadi ketua, ingin menjadi pengurus. Dia mahu semua orang memandang tinggi kepadanya. Dia mahu orang hormat kepadanya. Dia mahu mendengar semua orang memanggilnya dengan gelaran ‘Tuan’. Dia mahu orang yang selama ini memandang rendah kepadanya menunduk setiap kali terpandang kelibatnya terutama sekali Zahid dan Ehsan. Ya, terutama sekali Zahid dan Ehsan.

Zahid dan Ehsan sebaya dengannya. Cuma mereka sudah berhenti sekolah. Sebetulnya diberhentikan sekolah kerana membuli dan memukul seorang pelajar tingkatan dua sehingga patah tangan. Mereka memang kali buli. Semalam dia ditampar ketika pulang dari sekolah oleh Zahid. Dia ditampar kerana tidak membeli rokok yang yang dipinta.

“Bukan aku tak nak beli. Aku tak boleh nak beli. Hari ni kedai tu Pak Bakar yang jaga bukan anak dia. Dia cakap kalau aku pergi lagi kedai dia beli rokok dia nak report dekat bapak aku.” Dia mengusap pipi kanan yang pedih di tampar Zahid. Selalu Zahid tidak pernah menampar atau memukulnya. Mungkin dia baru sahaja dimarahi bapanya kerana selalu merayap serta mengusik anak gadis kampung ini membuatkannya lekas naik angin lalu menampar dirinya.

“Bila aku cakap kau bodoh kau marah. Tapi bila aku tengok kau bengap macam ni baik kau berhenti sekolah aje. Jadi macam kami ni. Bebas. Tak payah nak penatkan otak belajar entah apa-apa kat sekolah tu. Lagipun kau pergi sekolah pun bukannya kau boleh jadi pandai pun. Lain kali kau pergilah beli deka kedai Ah Chong tu.” Zahid menolak kepalanya dengan hujung jari. Ehsan hanya diam dan bertindak sebagai pemerhati. Hatinya menahan marah.

Mahu sahaja dia menumbuk muka Zahid yang berjerawat dan menyepak perut buncit Ehsan. Tapi dia tetap cuba mengawal riak mukanya supaya mereka berdua tidak dapat melihat perasaan marah yang bersarang dalam hatinya ketika ini. Dia tidak boleh marah. Mereka berdua sahabat karibnya. Kerana mereka berdua, tidak ada siapa pun yang berani membuli atau mencari pasal dengannya disekolah. Dengan saiz badannya yang agak kecil itu dia sering menjadi mangsa buli. Tetapi setelah dia berkawan dengan Zahid dan Ehsan tidak ada siapa lagi yang berani menyentuh dirinya. Bila dia berkawan dengan mereka berdua dia merasa dirinya berkuasa.

“Alif, aku suruh kamu belajar! Bukan suruh kamu termenung berangan tepi tingkap tu!” Dia tersentak mendengar jerkahan dari bapanya. Dia tidak sedar bapanya telah berada di situ sejak tadi lagi memerhatikannya.

“Alah, abang ni… Bagilah budak tu berehat sekejap. Dari tadi saya tengok dia asyik mengadap buku tu. Dia pun tahu penat juga.” Ibunya menyampuk dari arah belakang. Dia sangat sayang dengan ibunya yang cantik itu. Ibu seorang yang memahami bukan seperti ayah yang garang dan hanya tahu memaksanya untuk belajar.

“Belajar apanya? Dari tadi saya tengok halaman buku tu tak berganjak pun. Beranganlah tu gamaknya.Apa nak jadi dengan kamu ni Alif? Belajar malas, Yang kamu tahu berangan. Kamu ingat berangan tu yang nak tanggung hidup kamu nanti? Ini semua awaklah, manjakan sangat budak ni.” Dia menundukkan kepala memandang lantai. Rasa bersalah kerana ibunya pula yang dimarahi.

Kenapa ibu harus berkahwin dengan ayahnya yang miskin dan jelik itu? Sedangkan ibunya seorang yang sangat cantik. Kalaulah ibunya jadi berkahwin dengan Omar orang kaya itu sudah tentu hidup mereka lebih baik. Di limpahi dengan kemewahan dan kemegahan. Pasti semua orang akan hormat kepada mereka anak beranak.

“Tengok tu… Saya tengah bercakap ni pun dia buat tak tahu saja. Kamu dengar tak apa yang ayah cakap ni? Kamu ni jangan la asyik berangan aje. Belajar. Kamu tak malu ke nanti bila tengok kawan-kawan kamu semua ke universiti? Kalau tanpa pelajaran, tanpa ilmu kamu nak buat apa? Nak ke kamu jadi macam ayah membanting tulang empat kerat setiap hati di sawah tu? Cubalah kamu ingat masa depan kamu tu sikit. Tengok anak-anak arwah Pak Ngah kamu tu, semuanya rajin. Si Sofea tu asyik pegang buku je. Tak lama lagi dia dah nak ke England sambung belajar.” Mendengar sahaja nama Sofea kepalanya terus diangkat melihat wajah bapanya.

“Hah, sekejap lagi abang pergi ambil Fatimah dekat airport ke?” Ibunya cuba mengalih perhatian ayahnya. Dia tahu ibunya juga sudah bosan setiap hari terpaksa mendengar bapanya meleteri dirinya. Tapi pertanyaan ibunya menarik perhatiannya. Mak Ngah Fatimah nak balik? Maksudnya Sofea juga pasti ikut pulang bersamakan?

“Tak. Dia cakap dia ambil teksi aje. Dahlah. Saya nak ke kedai beli barang dapur sikit untuk diorang.” Dia hanya melihat bapanya berlalu pergi ke muka pintu dan keluar menaiki motorsikal Honda Cup buruk yang selalu dinaikinya untuk ke sawah. Dia melangkah menuju kea rah ibunya yang sedang melipat kain baju mereka tiga beranak.

“Mak, Mak Ngah dengan anak-anak dia balik ke?” Dia mengambil pakaian sekolahnya. Pakaian itu akan digosok sendiri malam nanti. Kasihan melihat ibunya letih seharian di kebun kemudian pulang ke rumah menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

“Ya… Mereka nak ke Pulau Langkawi sebenarnya. Bercuti. Kebetulan lalu sini, singgahlah dulu semalam dua. Lagipun Sofea tu nak sangat menziarah kubur arwah ayahnya tu sebelum ke England.” Dia membayangkan sepupunya yang berkulit putih kemerahan itu. Pasti dirinya tampak lebih comel mengenakan woolen sweater dan juga skaf di dileher.

“Sofea ingat lagi ke dekat aku?” Dia cuba menyoal dirinya sendiri. Teringat sewaktu kecil dia, Sofea dan Amer abang kepada Sofea sering menghabiskan masa di tali air yang tidak jauh dari bendang bapanya. Kadang kala mereka memancing dan kadang kala mereka hanya mengisi masa dengan melakar impian masing-masing. Dahulu sebelum sepupu-sepupunya itu berpindah ke Bandar, mereka merupakan sahabat baik. Tetapi sekarang semuanya telah berubah. Sepupu-sepupunya itu lebih suka membuat hal sendiri setiap kali pulang ke kampung.

Dia menghentikan lamunan. Pakaiannya dibawa ke bilik. Dia meminta izin ibunya untuk keluar sebentar. Alasan ingin mengambil angin petang untuk menghilangkan stress belajar. Sebenarnya dia ingin bertemu dengan Sofea. Terasa rindu pula setelah lama tidak bertemu. Walaupun Sofea lebih tua 2 tahun daripada dirinya, namun dia tetap suka kepada gadis tinggi lampai berkulit putih kemerahan persis wanita Arab. Langkah kaki dihayun sambil kepalanya mengenang kembali zaman kanak-kanak mereka.

Sampai sahaja di rumah keluarga Sofea, dia mengambil keputusan untuk menyembunyikan diri di belakang pokok asam memerhatikan dahulu keadaan sekeliling. Melihat sekiranya bapanya ada disitu. Mujurlah bapanya tidak sampai lagi. Mungkin berhenti sebentar di warung berbual dengan rakan-rakannya. Dia melihat Sofea keluar menuju ke arah kereta Honda Civic milik ibunya, memunggah barang untuk dibawa ke dalam rumah. Tiada siapa di sampingnya ketika itu. Ahli keluarganya yang lain berada di dalam rumah. Dia menapak perlahan menuju ke arah Sofea.

“Biar Alif tolong.” Hampir terlepas beg plastik yang dipengang Sofea. Muka gadis itu pucat kerana terkejut.

“Alif? Buat apa kat sini?” Tanya Sofea sambil memerhati Alif mengangkat beg-beg plastik itu ke muka pintu.

“Saja datang nak jumpa Sofea. Sofia…” Belum sempat dia menghabiskan kata sebuah kereta BMW berhenti di hadapan rumah Sofea. Seorang lelaki berkaca mata keluar sambil menghadiahkan senyuman kepada gadis itu. Sofea berlari lalu memaut lengan lelaki dengan manja. Dia hanya mampu memandang kehairanan.

“Sayang… ingatkan you tak jadi datang tadi. Mesti you penat drivekan? Jom masuk jumpa family I. Alif terima kasih tolong Sofea. Sofea masuk dulu ye…” Sofea menarik tangan lelaki itu menuju ke dalam rumah meninggalkan Alif yang masih terpinga-pinga.

Siapa lelaki itu? Apa hubungannya dengan Sofea? Sejauh mana hubungan mereka? Pelbagai lagi persoalan bermain di benak fikirannya. Dia bergerak perlahan ke sebuah tingkap di rumah itu. Dari situ dia melihat kemesraan antara Sofea dan lelaki itu. Tak sanggup melihat kemesraan yang terjalin, langkah kaki dihayun ke rumah sambil tangan menggengam penumbuk.

Malam itu dihadapan meja belajar dia masih memikirkan Sofea. Sofea pasti menyukai lelaki kaya dan berpelajaran. Ya. Pasti semua gadis pun begitu. Siapa yang mahu bersama dengan orang miskin dan bodoh? Buku Sains dibuka. Dia mahu tekun belajar supaya dapat memegang jawatan tinggi dengan ilmu yang dimiliki. Selepas ini dia tidak perlu lagi mengejar Sofea kerana gadis yang lebih cantik lagi akan melutut untuk bersamanya. Sehingga pukul 2 pagi halaman buku Sains itu masih tidak berubah. Dia sibuk memikirkan bagaimana kehidupannya setelah menjadi orang kaya kelak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.