Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,494
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 13

Amir berenang laju ke arah Aina. Dia cuba menarik tubuh Aina ke tebing. Tetapi batang tubuh Aina dirasakan sangat berat seolah-olah ada yang turut memaut gadis itu dari dalam sungai. Amir menyelam ke dasar sungai yang keruh. Dia melihat kaki Aina terbelit pada akar kayu. Akar kayu itu cuba dirungkaikan dari pergelangan kaki gadis malang itu.

Namun suatu keanehan berlaku. Selepas Dirungkai, akar itu kembali bergerak untuk menarik kaki Aina sekali lagi! Amir mencuba untuk meleraikan pautan akar itu sekali lagi, tetapi perkara yang sama berulang kembali.

Amir kembali ke permukaan air. Dia menjerit ke arah Maisarah supaya melemparkan parang yang dibawa ke arahnya. Dengan pantas Maisarah mencampakkan parang yang kebetulan ada disebelah kakinya ke arah Amir. Remaja lelaki itu kembali semula ke dasar sungai. Sarung parang dibuka. Belum sempat Amir mencantas akar itu dengan parang tajamnya, akar itu melepaskan kaki Aina lalu mengundur ke kawasan asalnya. Dalam kebingungan, Amir menarik tubuh Aina yang hampir lemas ke kawasan tebing.

Maisarah turut membantu menarik Aina lalu membaringkannya ke atas tanah. Maisarah menggunakan kaedah CPR seperti yang pernah dipelajarinya sebelum ini. Dalam pada masa yang sama, hatinya berdoa agar tiada apa yang buruk berlaku pada Aina. Kalau tidak pasti dia akan menyesal seumur hidup.

"Uhuk...uhuk..." Alhamdulillah. Aina sudah kembali bernafas. Maisarah menolak tubuh sahabatnya itu supaya berada dalam kedudukan mengiring untuk memudahkannya bernafas. Gadis itu terbatuk-batuk mengeluarkan air yang tertelan tadi.

"Macam mana boleh jadi macam ni? Kan aku dah cakap hati-hati! Yang kau gatal sangat berenang ke tengah sungai tu buat apa? Dah la dengan pakaian pun tak senonoh. Ni bukan tempat sebarangan tau!" Amir menghamburkan marahnya kepada dua orang gadis itu. Debar dihatinya masih belum hilang. Tambahan lagi dengan peristiwa di dasar sungai tadi.

"Kau jangan nak hina kawan aku! Kau tak tahu pun apa yang jadi!" Badan Amir sedikit tersentak apabila diherdik begitu. Tangannya menggenggam penumbuk. Kalaulah Maisarah itu lelaki, sudah lama mukanya lebam ditumbuk Amir.

"Apa yang aku tak tahu? Kau berdua datang ke kampung ni, buat macam kampung ni bandar! Buat semua sesuka hati. Tak tahu nak jaga adab langsung. Mentang-mentanglah keluarga kau berdua ni kaya, semua benda buat ikut kepala kau orang aje!" Amir sudah mula meninggikan suara.

Pang!

Satu tamparan hinggap di pipi Amir. Remaja itu tergamam. Begitu juga dengan Aina. Muka Maisarah merah padam menahan marah. Sudah puas dia cuba bersabar dengan kerenah lelaki dihadapnnya itu. Tetapi, entah kenapa Amir terus-terusan juga menyakitkan hatinya. Apa yang lelaki itu tidak puas hati sangat dengan dirinya, dia pun tak tahu.

"Aina, dah jom balik." Maisarah membantu gadis tinggi lampai itu untuk bangun. Dia kemudian memimpin sahabatnya pulang ke rumah. Kaki melangkah tanpa mempedulikan Amir yang masih terpaku di situ.

"Sarah... Tak baik kau tampar dia. Diakan dah selamatkan aku." Ucap Aina lembut. Kepalanya di toleh ke belakang melihat Amir yang kekal berdiri di tempatnya tadi.

"Biarlah. Dia tu kurang ajar sangat. Dia pandang kita ni macam kita ni teruk sangat. Aku ingat orang kampung ni semua berbudi bahasa. Tapi aku salah."

"Sebenarnya memang kita jugak yang salah. Kita seronok sangat tadi. Opah aku pun pernah pesan kalau kita ke tempat macam ni, jangan seronok sangat. Tengok apa yang jadi? Kalau aku di tempat dia pun mesti aku melenting. Datang tempat orang tapi tak jaga adab." Aina cuba memujuk gadis berkulit putih gebu itu.

"Kalau kita salah pun, tak boleh ke dia cakap elok-elok sikit? Kita ni tak ada hati dan perasaan ke?"

"Dah la Sarah, mungkin dia kasar sikit dengan kita. Tapi aku yakin dia baik. Dia melenting tadi mungkin sebab dia risau. Bayangkan kalau aku lemas tadi? Mesti dia pun kena sekali. Sebab dia yang teman kita ke sana. Mama kau pun dah amanahkan dia untuk tengok-tengokkan kita. Kalau jadi apa-apa kau ingat senang ke mama kau nak percayakan dia semula? Silap hari bulan dia boleh kena dengan mama kau, tahu tak?"

Aina cuba memujuk sekali lagi. Lagipun dia juga terhutang budi dengan Amir kerana menyelamatkannya. Dia tidak mahu Aina terus bermusuhan dengan lelaki itu. Dan yang paling penting dia ingin tahu cerita mengenai kawasan air terjun itu. Pasti ada kisah mistik dan misteri yang berlaku di sana. Dia ingat lagi bagaimana raut wajah Amir apabila mama Maisarah memintanya menemani mereka berdua ke kawasan itu.

"Hurm... Iyalah. Nanti kalau dia datang rumah kita minta maaf kat dia okey?"

"Kau je minta maaf sebab kau yang lempang dia."

"Kau ni..." Maisarah memuncungkan mulut. Rasa bersalah kembali bersarang di dalam hatinya. Aina pula hanya tersengih bagaikan kerang busuk melihat reaksi wajah sahabatnya itu.

"Aku gurau je la... Nanti aku teman kau minta maaf sebab aku pun kena minta maaf jugak sebab pergi macam tu je, tak ucap terima kasih pun."

"Betul tu betul! Kau memang kena minta maaf. Tak patut betul kau blah macam tu. Nampak sangat kurang ajar. Dasar tak kenang budi."

"Amboi! Lebih-lebih pulak ek?" Aina menepis tangan Maisarah yang masih memimpinnya. Maisarah hanya ketawa. Seronok dia mengusik Aina.

"Alah... gurau sikit pun takkan tak boleh?"

"Boleh... Boleh mendatangkan marah..."

"Hahaha... Eh? Ni, kita nak balik macam mana? Baju kau tu lencun. Kalau mama nampak habislah kita." Maisarah mengubah topic. Terbayang wajah mamanya yang menyinga jika tahu kejadian Aina yang hampir lemas tadi. Mahunya mama mengurung mereka berdua di dalam rumah sepanjang cuti sekolah kali ini.

"Alah tak apa, Tadikan mama kau cakap yang dia nak ke pekan sekejap. Nak beli hiasan rumah katanya. Dia mesti tak balik lagi. Kita ke air terjun tu pun sekejap je. Ni mesti mama kau tak sampai rumah lagi." Aina cuba menenangkan Maisarah.

"Eh? Mana kau tahu?" Dahi Maisarah berkerut. Seingatnya, mama tak beritahu apa-apa tentang itu.

"Aku dengar mama kau borak dengan papa kau. Dia pujuk papa kau teman dia ke pekan sebab malas drive."

"Cekap kau ye?"

"Biasalah. Akukan telinga lintah..."

"Apa? Apa? Telinga apa? Telinga lintah? Amboi! Dah pandai berperibahasa pulak sekarang?" Maisarah meletuskan tawanya. Terasa lucu pula dengan kawannya yang seorang itu. Sebelum ini kertas Bahasa Melayu Aina paling bagus pun dapat B. Kalau tak C memanjang. Peribasa, perumpamaan, semuanya ke laut.

Dia ingat lagi dulu di dalam kelas Bahasa Melayu Puan Syamsiah, Aina terpaksa berdiri sehingga tamat kelas kerana salah memberikan maksud perumpamaan. Ada ke patut 'bagai sireh pulang ke gagang' dikatakan maksudnya seseorang yang bakal berkahwin? Satu kelas riuh dengan bunyi ketawa.

"Well, nilah hasil ajaran Abang Rizki aku..." Maisarah membuat mimik muka hendak termuntah. Tak habis-habis dengan cikgu Bahasa Melayunya itu.

"Bilalah gedik kau ni nak sembuh?"

"Bila aku kahwin dengan abang Rizki..." Maisarah menggeleng. Malas melayan gatal kawannya itu.

Dua orang sahabat itu melangkah ke kerusi batu yang ada di halaman rumah setelah memastikan kereta papa Maisarah tiada di situ.

"Tapikan Sarah? Kau perasankan apa yang jadi tadi?" Aina cuba menukar topik.

"Maksudkan? Kejadian dekat kawasan air terjun tadi?" Tanya Maisarah.

"Iya la... dekat mana lagi? Aku rasa lain macam la. Macam ada sesuatu yang tak kena dengan kawasan tu. Kau tau tak? Tadi waktu aku dalam air, aku rasa macam ada benda yang tarik aku. Mujurlah Amir datang nak selamatkan aku. Kalau tak, dah arwah agaknya aku ni." Aina menggeleng.

Gerun pula perasaannya ketika ini. Sungguh dia masih belum bersedia untuk mati. Masih banyak perkara yang ingin dia capai. Masih banyak benda yang ingin dia kejar dalam hidupnya. Dan yang paling penting. Dia masih mahu memperbetulkan dirinya. Dia sedar, amal ibadatnya masih kurang.

"Ish, kau ni. Bersyukurlah sebab Tuhan bagi kau peluang untuk bernafas lagi. Tapi, aku pun pelik dengan apa yang kita tengok tadi. Hurm... Jom masuk, lepas tu kau mandi dan salin baju. Aku ada benda nak tunjuk dekat kau." Maisarah menyeluk kocek seluar untuk mengambil kunci.

"Kau nak tunjuk apa?"

"Ada la... Dah, jom." Maisarah menarik lengan Aina supaya gadis itu mengikutinya. Dari kejauhan, ada sepasang mata yang memerhatikan gerak geri mereka berdua.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.