Home Cerpen Alternatif Terancang
Terancang
miazahra
15/11/2015 11:15:04
2,463
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

“Tok! Tok! Tok!” ketukan dimuka pintu yang bertalu-talu mengejutkan Julia dari tidurnya. Dengan mata yang berpisat-pisat dia bergegas ke muka pintu. Mata sempat mengerling melihat jam dinding. Jam menunjukkan pukul 3 pagi.

“Kau buat apa, hah? Kenapa lambat sangat? Penat aku berdiri dekat luar tu!” Bentak lelaki bertubuh kekar. Badan Julia ditolak kasar. Bau busuk air kencing syaitan menusuk hidung Julia. Lelaki itu duduk bersandar malas di sofa merah yang sudah lusuh warnanya itu.

“Mak kau mana?” Tanya lelaki itu. Matanya liar melihat ke dalam bilik tidur ibunya yang gelap tanpa cahaya.

“Mak tak balik lagi…” Jawab Julia perlahan. Matanya dielak daripada bertentang dengan mata lelaki itu. Mata merah lelaki itu sering menakutkannya. Kadang kala Julia merasakan mata itu liar memandang tubuh kecilnya.

“Rajin pulak mak kau kerja… Pagi tadi kata tak sihat sangat. Tapi bagus la jugak. Dapat la jugak duit kan…” Lelaki tertawa sinis. Julia faham maksud disebalik ketawa lelaki itu. Dia tahu lelaki itu sedang menghina pekerjaan yang dilakukan oleh ibunya. Pekerjaan yang sungguh hina dimata masyarakat. Julia segera ke bilik tidurnya lalu mengunci pintu. Dia berasa tidak selamat apabila berdua dengan lelaki itu tanpa ibunya.

Lampu dibiarkan terbuka. Matanya memandang siling. Sejak kejadian 3 bulan lepas Julia takut untuk tidur didalam gelap. Takut peristiwa itu berulang kembali. Matanya ditutup rapat. Tiba-tiba dia merasakan ada sepasang tangan yang merayap ke seluruh tubuhnya. Dia segera menepis kasar dan cuba menjerit tetapi tangan kasar itu terlebih dahulu menutup mulutnya. Julia bergelut untuk melepaskan diri dar genggaman lelaki itu. Bola Kristal yang berada dikabinet kecil bersebelahan katil segera dicapai lalu dihentak kuat ke kepala lelaki itu. Lelaki itu mengerang kesakitan. Julia menolak tubuh lelaki itu lalu segera berlari keluar. Lelaki itu cuba menangkap tangannya.

“Argh!!!” Julia menjerit. Tubuhnya dibasahi peluh. Jam loceng menunjukkan pukul 6 pagi. Dia meraup wajahnya. Air matanya menitis lagi. Kenangan 3 bulan lalu itu sukar dilupakan. Lelaki yang sedang tidur di ruang tamu rumahnya itu pernah cuba untuk meragut kehormatannya namun mujurlah nasib menyebelahi dirinya.

Bukannya Julia tidak pernah cuba mengadu kepada ibu. Tapi wanita 40-an itu lebih mempercayai kekasih hatinya itu. Pernah dia berlari ketakutan lalu memeluk ibunya, tetapi lelaki itu lebih pantas membuka kata.

“Aku excidentjatuh motor tadi… Sampai aje rumah anak kau ni terpekik terlolong tengok aku. Takut agaknya…” Lelaki itu menghadiahkan senyuman kepada ibunya. Julia hanya mampu melihat ibunya melepaskan pelukan Julia dan berlari ke arah lelaki itu dengan mulut menggumankan kerisauan mengenai kecederaan yang dialami lelaki itu.

“Dah, jom masuk, aku sapu ubat dekat kepala kau ni. Takut nanti melarat pulak. Esok kita pergi klinik, okey?” Ibunya melihat kepala lelaki itu dengan penuh kerisauan. Tangan lelaki itu dibimbing masuk ke dalam rumah

“Tapi mak…” Julia cuba memprotes.

“Tapi apa lagi? Dah jom masuk dah malam ni… Ke kau nak tidur luar?” Julia mengetap bibir. Lelaki itu menjeling sambil menghadiahkan senyuman sinis. Julia terpaksa akur. Hatinya geram, hampa bercampur sedih. Dia tahu ibunya tidak akan percaya apa bakal diceritakannya. Ibunya lebih mempercayai lelaki itu. Mata ibunya telah dibutakan dengan cinta lelaki itu.

Julia mengeluh perlahan. Dia kalau boleh tidak mahu lagi kenangan itu. Yang penting difikirannya sekarang adalah ilmu. Dia ingin segera keluar dari rumah ini. Dia ingin memulakan hidup baru. Dengan itu dia perlukan ilmu untuk membuatkan dia bertahan di dunia yang penuh dengan tipu muslihat ini.

Baju tidur yang dipakai diganti dengan T-shirt sekolah. Pakaian seragam sekolah pula dimasukkan ke dalam beg. Sejak kejadian hitam itu dia sering keluar awal untuk mandi di bilik air sekolahnya. Dia berasa tidak menggunakan bilik air rumahnya dengan kehadiran lelaki itu. Setelah siap mengemas keperluan sekolah dia pergi ke dapur. Hati mengeluh hampa. Ibunya lupa untuk meninggalkan duit belanja sekolahnya lagi. Dia ke sekolah dengan hati yang bengkak.

Sesi sekolah telah pun tamat. Tapi Julia masih belum pulang. Dia terus berjalan kaki menuju ke perpustakaan awam yang terletak 15 minit dari sekolahnya. Peluh yang menitik di lap dengan lengan baju. Tiba-tiba sebuah kereta kancil berwarna merah berhenti dihadapannya. Dia cam nombor plat kereta itu. Itu kereta Cikgu Catherine guru kesayangannya. Julia tersenyum gembira.

“Diana nak ke libraryke? Mari Cikgu hantarkan.” Diana nama yang sering digunakan oleh Cikgu Catherine untuk memanggil dirinya. Nama sebenar Julia ialah Diana Julia tetapi hanya Cikgu Catherine yang memanggilkan dengan nama Diana. Kata Cikgu Catherine nama itu mengingatkan dirinya kepada mendiang adiknya yang juga bernama Diana.

“Sebelum ke library kita makan dulu ya. Jangan risau Cikgu belanja…” Julia hanya mengangguk. Sebetulnya dia berasa segan kerana Cikgu Catherine begitu mengambil berat keadaan dirinya. Dia sering mengajak Julia makan bersamanya di taman berhadapan dengan perpustakaan sekolahnya kerana tahu Julia sering tidak membawa duit atau bekalan makanan ke sekolah.

“Julia. Cikgu sebenarnya ada sesuatu nak bagi tahu kamu.” Cikgu Catherine memandang tepat ke wajah Julia. Lidah guru kesayangannya itu masih tebal dengan accent Amerika. Julia menanti gurunya itu untuk menghabiskan kata-katanya.

“Lagi dua bulan Cikgu akan berpindah ke Pulau Pinang.” Julia tergamam. Wajahnya menunduk sayu. Selepas ini dia sudah tidak punya tempat untuk mengadu. Selama ini Cikgu Catherine yang banyak memberi dorongan kepadanya disaat orang lain memandang hina terhadap dirinya. Cikgu Catherine bukan sekadar guru tetapi juga sahabat buat Julia. Julia tidak mempunyai sahabat selain Cikgu Catherine.

“Kalau boleh Cikgu nak bawa kamu sekali tapi kamu tahu kan semua tu mustahil?” Cikgu Catherine mengenggam erat tangan Julia. Dia sendiri sudah menganggap Julia seperti adiknya sendiri.

“Kenapa pula tak boleh? Cikgu dah tak sayangkan saya lagi?” Ucap Julia sayu.

“Diana… Kamu kan masih ada ibu kamu. Dia penjaga kamu yang sah. Dia tak akan benarkan kamu ikut Cikgu. Takkan kamu nak tinggalkan ibu kandung kamu?” Cikgu Catherine cuba memujuk. Mujurlah keadaan di restoran itu lengang, kalau tidak pasti mereka berdua akan menjadi tontonan pelanggan disitu,

“Kalau saya ikut pun ke tak ikut ke… Tak ada bezanya pun. Mak lebih pentingkan lelaki tu. Dia bukan kisah pun dengan apa yang saya buat.” Air matanya mula mengalir laju. Petang itu mereka tidak ke perpustakaan. Cikgu Catherine membawa Julia ke taman untuk memujuknya sekaligus menghabiskan masa yang tinggal di antara mereka.

Malam itu semasa Julia leka mengulangkaji pelajaran, dia dikejutkan dengan jeritan ibunya diluar rumah. Julia menjenguk ke luar tingkap. Ibunya sedang bertengkar dengan lelaki itu. Ini kali pertama ibunya bertengkar teruk dengan lelaki itu.

“Kau tipu aku! Kau cakap kau pergi kerja tapi sebenarnya kau keluar dengan perempuan lain! Jantan tak guna!” Jerit ibunya sambil tangan cuba memukul dada bidang lelaki itu. Lelaki itu menggenggam erat kedua tangan ibunya untuk mengelakkan ibunya bertindak ganas.

“Hei! Suka hati aku la aku nak keluar dengan siapa pun. Kau tu bukan bini aku. Selama ni kau melacur pun aku tak pernah kisah pun tahu tak!” Lelaki itu menggoncang kasar tubuh ibunya.

“Kau memang tak guna selama ni aku dah banyak berhabis duit untuk kau, kau tahu tak!” Ibunya menggunakan sepenuh tenaga untuk menolak lelaki itu sehingga terjatuh ke tanah. Lalu ibunya segera berlari masuk ke dapur lalu mencapai pisau di atas meja.

“Sekarang aku nak kau keluar dari rumah ni. Pergi! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Aku cakap pergi!!! Kalau tak aku bunuh kau dengan pisau ni!!!” Ibunya menjerit histeria. Jiran-jiran yang berdekatan dengan rumahnya telah mula keluar melihat apa yang berlaku. Lelaki itu segera pergi sambil menyumpah seranah. Setelah itu ibunya terus masuk ke bilik mengunci diri. Julia menarik nafas lega. Akhirnya lelaki itu pergi dari hidupnya.

“SEORANG PELACUR DISABIT KESALAHAN MEMBUNUH KEKASIH”

Julia melihat keratan akhbar 5 tahun lepas. Walaupun ibunya tidak mengaku bersalah tetapi ramai saksi mengakui melihat ibunya mengacu pisau ke arah lelaki itu. Bahan bukti yang lain juga menunjukkan ibunya bersalah.

“Diana… dah siap?” Suara Catherine menghentikan lamunan Julia.

“Sekejap… Nak turun dah ni…” Jerit Julia dari dalam bilik. Keratan akhbar itu dimasukkan kedalam sebuah kotak bersama-sama dengan buku-buku fiksyen jenayah dan penyiasatan kesayangannya. Buku-buku yang membantunya supaya dia dapat keluar dari kehidupannya bersama ibu yang tidak bertanggungwab itu. Buku-buku yang telah membantu dalam menjayakan rancangan untuk membunuh lelaki itu.

Kotak itu ditolak ke bawah katil. Bibir mengukir senyuman. Siapa sangka seorang budak berumur 10 tahun berjaya merancang sebuah pembunuhan tanpa tertangkap. Setelah memperbetulkan rambut, dia segera turun ke bawah untuk bertemu Catherine, Penjaganya yang sah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.