Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 8:Buku Baru Aliuddin dan Maryam


Aliuddin sudah menyimpan beg pakaian dan beg laptop dalam kereta. Emak di dapur masih membungkus makanan untuk anak-anak buah di pejabat Aliuddin.

“Mak, banyak sangat ni.”

“Takpe, orang lelaki kan banyak makan. Nanti kau lapar kat dalam kereta, boleh makan. Semua ayam bite size.”, Latifah senyum menepuk bahu Aliuddin.

Sudah besar anak bujangnya ini.

“Kirim salam Syahira.”, Aliuddin mengangguk.

“Pergi dulu mak.”

Seluruh ahli keluarga disalami. Kakak yang masih menggendong bayi dipeluk erat. Jarang dia dapat bertemu kakaknya ini.

“Makan banyak sikit kak. Makin kurus.”, dia menyengih.

Dibalas dengan cubitan di pipi oleh kakaknya. Ayah datang dari arah bilik sambil menghulur sampul duit raya. Aliuddin menanti penuh sabar. Di hadapan televisyen, Arifah baring terbongkang menonton Upin Ipin.

“Ni, ayah derma kat Yayasan.”, dimasukkan sampul itu dalam poket seluar Aliuddin.

“OK yah. Berapa ni?”

“500 ratus.”, Aliuddin mengangguk.

Dia malas mahu mengira. Sambil mengerling Arifah, dia berjalan ke muka pintu. Menyarung kasut dan membetulkan seluar yang berlipat di hujung kaki. Ayahnya memekik memanggil Arifah.

“Fah...abang nak balik ni. Salam abang. Nanti ayah tutup TV.”

Dengan berat punggung Arifah bangun, wajahnya mencuka. Upin Ipin di TV masih dikerlingnya walaupun tangan sudah dihulur kepada abangnya. Sedar-sedar, pipinya sudah dicubit perit.

“Aarhh....sakit la.”, dia menumbuk perut Aliuddin kuat.

“Aduh....sakitnya Fah tumbuk...tak sia-sia badan bulat. Patah tulang abang.”

“Dah balik sana...”

“Nak balik la ni.”, Latifah menyelitkan rambut Arifah ke tepi telinga. ‘Berpeluh.’

“Fah...tak sayang abang eh? Huh?”, ditepis tangan abangnya yang singgah di kepala.

“Fah sayang abang Raihan.”, seluruh ahli keluarga merenungnya bulat.

Latifah dan Rashid saling berpandangan. Kakak Aliuddin juga terdiam berfikir. ‘Raihan mana ni?’. Aliuddin pula mengecilkan matanya. Dia mahu mengusik.

“Ayah tengok yah...anak dara ayah dah ada boyfriend.

Arifah itu baru sebelas tahun. Siapa pula yang sudah mencuri perhatiannya ini? Aliuddin fikir adiknya itu tiada perasaan. Sudahlah ganas, bulat pula tu. Siapa saja yang dipujanya itu?

“Fah...cakap dengan ayah Raihan mana ni?”

“Kampung sebelah.”

“Kampung sebelah?”

Arifah mengangguk. Dia sudah mula malu dan menyesal. Dia mula mengelus-ngelus tangan tua Latifah. Berharap dia diberi perlindungan andai ayahnya marah. Mulutnya selalu sahaja khianat. Abangnya juga sudah melengah-lengah hendak pulang. Dia yakin, Upin Ipinnya juga sudah habis di TV. Kakak dan baby juga diam. Macam mengerti sahaja baby itu.

“Anak siapa Fah? Bagitahu ayah.”, Rashid sudah mencekak pinggang.

Dia bukan mahu marah, tetapi dia perlu ambil tahu. Tidak dia sangka, Arifah bukan lagi budak-budak walaupun perangainya masih sama. Sisi gadisnya makin menjelma.

“Abdul Jalil.”, dibalas Arifah dengan sedikit gugup.

Arifah mengintai daripada ekor mata wajah ayahnya. Ayahnya tenang namun pandangan ayahnya tepat ke arah Aliuddin. Seketika kemudian, dia faham bahawa kakak dan emaknya juga membuang pandang ke arah Aliuddin. Abangnya pula seakan-akan hilang roh. Wajahnya kosong. Dia tidak tahu bahawa ketika itu ada awan hitam yang bertandang dalam hati seorang Aliuddin.

Tanpa sedar, nama ‘Raihan Abdul Jalil’ itu membuat raksasa dalam hati abang, ayah, emak dan kakaknya hidup semula. Takdir apakah ini?

Aliuddin sudah melepasi papan tanda Rehat dan Rawat Dengkil. Kereta diparkir di bawah pokok, meneduhinya daripada panas mentari. Telefon bimbitnya dikeluarkan daripada kocek seluar. Enjin kereta masih bekerja dan lagu-lagu di radio masih bermain. Aliuddin mencari nama Maryam. Namun, belum sempat dia sampai ke huruf ‘M’, nama ‘Love’ muncul.

“Syahira.”

Dia dirundung rasa bersalah pada wanita itu. Pada tunangnya itu. Dia tidak dapat membohongi dirinya yang sejak sebulan ini, fikirannya agak terganggu dengan ingatan terhadap Maryam. Dia malah pernah ada niat untuk menghubungi gadis itu lagi. ‘Tak, tak. Bukan gadis lagi. Dia isteri orang sekarang ni.’.

Aliuddin capai bekas donat di kerusi sebelah pemandu. Dibukanya dan dikunyah donat sebiji. Direnung jalan di hadapannya. Kata-kata ayah padanya sewaktu dia sedang menghidupkan enjin kereta di hadapan rumah tadi mengimbau.

“Jangan terbawa-bawa dengan benda dah lama Li. Ingat siapa dengan Li sekarang.”

Syahira. Sekarang ini dia dengan Syahira. Pada mulanya dia hanya ingin bertanya khabar saat dia terlihat Maryam di masjid. Hatinya tercuit mahu tahu kehidupan gadis itu sekarang. Waktu itu, dia memang seakan terlupa adanya Syahira si tunang. Dia juga kecewa waktu dia dapat tahu Maryam sudah bersuami. Yelah, sudah bertahun dia tinggalkan kampung ini. Masakan dia tahu kalau-kalau ada kawan-kawan sebayanya yang sudah beranak bini.

Malam ketika dia menemani Syahira ke rumah terbuka Azwa itu, dia terkejut lagi. Tidak dia sangka yang dia akan bertemu Maryam di situ. Dia mencari-cari juga kelibat suami Maryam, namun tidak kelihatan. Malah, dia juga sudah tidak melihat Maryam selepas wanita itu minta diri ke dapur mengambil lengkong. Namun, dia hairan wanita itu seperti cuba lari daripadanya. Bibirnya pucat dan Maryam nampak gelisah. Aliuddin sedikit risau sebenarnya andai kisahnya dan Maryam terbocor malam itu. Bimbang sekali dia akan penerimaan Syahira sedangkan dia lihat Syahira ramah sekali. Bukanlah dia tidak canggung, namun sukar dia mencari mata Maryam saat wanita itu berbicara. Nadanya juga ada sedikit sedih. Masakan Maryam sedih melihat dia bersama Syahira. ‘Mustahil!’

“Tuala!”, tuala pada petang itu.

Sungguh dia lupa fasal tuala. Payung juga. Namun, barang-barang itu ada di but kereta. Dia masih simpan kerana dia pernah ingin memulangkan semula pada Maryam. Namun, hatinya tidak kuat hendak memberi salam rumah pakcik Abdul Jalil. Dia juga tidak kuat andai terlihat Maryam bersama suaminya. Bimbang, emosinya bercelaru. Lantas, akhirnya tetaplah kedua-dua barang Maryam itu di dalam but.

‘Biarlah. Mungkin satu hari nanti adalah waktunya aku bertemu dia lagi. Waktu tu aku pulangkan. Kau harus belajar terima kenyataan. Maryam itu keretapi yang sudah kau terlepas waktu kau sibuk dengan urusan kau sendiri. Kemudian Syahira datang, jangan kau terlepas keretapi yang satu ini. Kau sudah terlalu dewasa untuk mengenang kisah cinta pertama kau semula. Hidup dan pandanglah realiti! Titik!’

Lalu, Aliuddin pun mengenakan cermin mata gelapnya semula. Dia menukar gear D dan keretanya meluncur pergi daripada teduhan yang sementara itu. Teduhan sementara yang menemukannya semula dengan Maryam itu akan ditinggalkannya. Sudah tiba masa dia kembali pada realiti, menuju mentari.

‘Maryam saya dah kata selamat tinggal pada kita. Berbahagialah.’

Malam itu Maryam bermimpi lagi.

Al-Quran yang sudah terlungkup atas dadanya dikutip. ‘Allah, aku tertidur.’. Jam pada dindingnya sudah menginjak ke waktu sepertiga malam. Kebetulan. Maryam bangkit membuka telekungnya dan berjalan ke tandas. Sejuk air pili waktu pagi begitu terasa. Selesai wudhu dia tunaikan solat malam dan kemudian duduk memeluk lutut tanpa membuka telekung atas katil. Bunyi-bunyi cengkerik jadi teman di pagi itu.

Sudah seminggu dia begitu. Selalu sahaja tidurnya terganggu. Emak kata mungkin dia gelisah kerana naik semester baru nanti, dia sudah perlu pergi mengajar di sekolah. Tetapi, dia tahu bukan itu puncanya. Maryam jadi begini selepas malam dia pulang daripada rumah Azwa. Selepas dia terjumpa Aliuddin dan Syahira. Syahira tunang Aliuddin.

‘Malunyalah Maryam. Sanggup kau berani terfikir-fikir tentang Ali selepas dia tolong kau dalam hujan haritu. Dia dah tunang Maryam! Abang malah kenenkan dia dengan Ali supaya dia dapat sambung master.’

Dia serba salah terhadap Syahira. Mesti Syahira sedih kalau dia tahu tentang Maryam dan Aliuddin. Maryam mencari kotak besi bawah katilnya. Jumpa. Lantas dibuka tutup yang hampir berkarat. Sebaik terbuka, dia cari gelang tangan yang Aliuddin pernah beri padanya lebih sepuluh tahun dulu. Masih elok. Tidak berkarat pun. Dia kenakan pada lengannya. Muat-muat sahaja. Kalau dulu apabila dipakai gelang itu longgar. Namanya masih terukir. ‘Maryam.’. Bertahun-tahun dulu Aliuddin hidup dalam hatinya. Mewarnai zaman awal remajanya. Surat-surat Aliuddin yang berwarna warni dan pelbagai bentuk dalam kotak besi itu nampak uzur. Dulu, dia fikir masa akan buat dia lupa pada Aliuddin. Ternyata salah sama sekali. Sekarang ini juga dia masih tidak boleh membuang kotak besi itu dan kenangan-kenangannya pergi. Kalau orangnya sudah pergi, dia mahu kenangannya hidup.

Bukan seorang dua pakcik makciknya sudah bertanya bila dia mahu menikah. ‘Diorang tak tahu.’ Kata-kata itu ditutur dalam hati sahaja. Sampai masanya dia sudah lupa Aliuddin dia akan kahwin. Tidak perlulah semua orang risaukan. Adilkah kalau dia berkahwin tetapi hatinya masih teringat pada Aliuddin? Maryam tidak sampai hati pada lelaki yang malang itu nanti.

Surat terakhir yang Aliuddin kirim padanya ialah surat yang sudah disita ayahnya. Maryam tidak pernah sempat membaca surat itu. Selepas itu Aliuddin berpindah sekolah. Jauh dari sekolah yang ada dekat-dekat kampung. Maryam kirimkan surat terakhirnya sebelum Aliuddin berpindah sekolah. Dia katakan ayahnya sudah tahu dan dia mahu putus. Surat itu dia letakkan dalam beg Aliuddin waktu kelas lelaki itu kosong. Itulah sahaja. Tiada balasan daripada Aliuddin. Setiap hari Maryam jenguk kasut sekolahnya. Namun hampa. Akhirnya selepas seminggu menunggu, dia lihat tempat duduk Aliuddin di baris paling belakang kelas itu kosong. Maryam sudah tidak pernah melihat Aliuddin lagi selepas itu walaupun sekali sehinggalah peristiwa mengangkat kain dalam hujan itu.

Selepas Aliuddin, dia tidak pernah bercinta lagi. ‘Itulah kali pertama dan terakhir.’ Lantas, mana mungkin dia boleh lupa. Cuma, setelah dia tahu Aliuddin sudah wujud Syahira dalam hatinya kini, Maryam mula berubah. Kalau bukan jodohnya, buatlah apa sahaja, tidak akan pernah jadi miliknya. Lalu, Maryam fikir jalan yang terbaik ialah memilih untuk melupakan. Ceritanya dengan Aliuddin ini begitu banyak halangannya!

‘Kau masih tidak nampakkah Maryam betapa Allah mahu jauhkan kau dengannya. Bahawa dia bukan jodoh untuk kau.’

Dia angguk-angguk kepalanya pagi itu. Berat sekali dia mahu mengaku kata hatinya itu benar. Ayahnya tidak suka pada Aliuddin. Kini setelah dia bertemu Aliuddin, lelaki itu sudah bertunang. Mahu apa lagi kau Maryam? Jangan tangguh lagi. Lupakan saja! Kau pun sudah tak akan bertemunya lagi. ‘Baiklah. Aku lupakan dia. Aku lupakan.’ Gelang Aliuddin pada pergelangan tangannya ditanggal. Dimasukkan semula dalam bekas besi. Setelah ditutup bekas besi itu ditolak jauh terperosok bawah katilnya. Dia buka tali telekungnya dan menarik selimut.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.