Mac 1997, Imbas kembali
Ujian
yang pertama untuk semester itu akan bermula lagi dua minggu. Cikgu-cikgu sudah
mula memberikan tajuk-tajuk yang perlu diberi penekanan. Lebih lebih lagi untuk
pelajar kelas yang Maryam sedang duduki waktu itu. Tamat sekolah rendah tahun
lepas, dia tidak ke asrama penuh. Malah tinggal di sekolah menengah harian
biasa. Belajar di tingkatan satu lebih mencabar. Malam semalam, Aliuddin
menghantar surat lagi kepadanya yang diletak dalam kasut sekolah atas rak. Dia
perasan ada lampu suluh kuning berkelip tiga kali di luar tingkap biliknya.
Tanpa menunggu lama, dia tahu
itu Aliuddin. Dengan berhati-hati, Maryam keluar dari biliknya. Kerja sekolah
subjek matematik ditinggal seketika atas meja belajar kayu. Kepala dijenguk
sedikit mengawasi andai ada sesiapa di luar. Dia mendengar suara abangnya
menyanyi dari bilik sebelah. Emak pun sudah di bilik. Ayahnya mungkin keluar
rumah. Langkahnya diatur menuju ke pintu utama rumah. Selak pintu dibuka,
berkeriut bunyi pintu kayu itu. Seketika, dia menunggu jika pintu bilik
abangnya terbuka kerana bunyi bising tadi. Tidak terbuka, dan abangnya masih
menyanyi. Kini, pintu dibuka luas dan dia berjalan berjengket-jengket ke rak
kasut. Setelah mengenal pasti kasut sekolahnya, dia mencapai kertas berlipat
yang ditinggalkan Aliuddin tadi. Belum sempat dimasukkan dalam kocek seluar
sukan yang dipakainya, suara ayahnya berdehem dari luar rumah kedengaran.
Maryam tersentak dan hampir surat Aliuddin itu terlepas ke lantai.
“Maryam. Buat
apa dalam gelap ni?”, ayahnya membuka selipar dan melangkah ke rak kasut.
Berniat meletakkan selipar jepunnya di situ.
“Ah Maryam ambik
stoking ayah. Tadi lupa nak ambik.”, tangan kiri yang tidak memegang surat
dikepalkan dan diunjuk kepada Abdul Aziz.
Dalam hati dia berdoa agar ayahnya percaya alasan itu.
“Dah cepat
masuk. Dah malam ni.”, selepas meletakkan selipar atas rak, Abdul Aziz
menjeling sedikit apa yang disimpan Maryam dalam tangan kanannya.
Namun, tidak kelihatan. Kemudian,
dia masuk ke dalam rumah. Maryam yang terpinga-pinga sebentar melihat ayahnya
melewati daun pintu rumah. Setelah tubuh ayahnya hilang disebalik pintu, dia
menoleh ke arah pokok kelapa di hadapan rumahnya. Ada cahaya lampu suluh warna
kuning. Berkelip tiga kali dan kemudian Maryam ternampak kelibat Aliuddin dalam
gelap malam menunggang basikalnya. Mengayuh pulang.
Dari sebalik tingkap, Abdul Aziz
terlihat cahaya lampu suluh itu di bawah pokok kelapanya. Maryam melihat ke
arah itu sambil tersenyum. Abdul Aziz tahu ada sesuatu yang disembunyikan
Maryam. Anak perempuannya itu bukan mengambil stoking di rak kasut. Ada sesuatu
yang berada dalam genggaman tangan kanannya. Dia hanya tidak tahu benda yang
tersembunyi itu dan dia akan mencari tahu. Sebelum Maryam masuk ke dalam rumah,
dia sudah menghilang ke dalam bilik.
Di sekolah,
waktu rehat tidak digunakan Maryam untuk ke kantin. Sebaliknya dia duduk di
luar kelas bersama dua kawan barunya. Tangan masing-masing memegang plastik
berisi makanan. Makanan yang dibeli tengah hari tadi di seberang jalan sebelum
masuk ke sekolah. Datang sekumpulan pelajar lelaki tingkatan dua melintas di
hadapan Maryam dan kawan-kawan. Salah seorangnya ialah Aliuddin. Tidak ada
sesiapa di sekolah yang sekelas dengan Maryam tahu hubungannya dengan Aliuddin.
Entah mengapa dia sahaja yang mendapat 5A dan akhirnya masuk ke kelas pertama.
Oleh sebab itu, dia masih belum kenal rapat dengan rakan sekelas yang lain.
“Aku tak berapa
sukalah budak-budak lelaki macam tu. Suka kacau budak perempuan.”, Laila yang
berkacamata berkata-kata saat Aliuddin dan rakan-rakannya berlalu.
Tadi, Azizi senior yang tinggi dan
dahulunya satu sekolah dengan Maryam merenung Laila dan kemudian ketawa
terbahak-bahak apabila Laila menggelabah.
“Lelaki kan
sepatutnya menjaga perempuan, bukan macam diorang tu.”, sambung Faizah sambil
duduk di kerusi batu dalam taman kecil.
“Aku hairan
macam mana budak-budak kelas belakang macam tu boleh ada perempuan yang nak.
Diorang tak fikir ke nanti lepas diorang habis sekolah, kahwin, beranak, duduk
kat rumah macam orang gaji.”, Maryam sudah rasa hatinya lain mendengar butir
bicara Faizah.
Dia tahu dia salah seorang
perempuan itu. Dia suka pada Muhammad Aliuddin bin Rashid itu. Budak lelaki
yang tua setahun daripadanya dan tinggal sekampung. Mulanya Aliuddin yang
memulakan dahulu.
Masa di darjah lima, Aliuddin
selalu menghantar surat cinta melalui kawan-kawan Maryam. Surat cintanya pula
berwarna-warni. Dilipat berbagai-bagai bentuk. Kadangkala dibentuk menjadi
origami. Namun, sejak Aliuddin sudah ke sekolah menengah, dia mula menghantar
surat dalam kasut sekolah Maryam. Mulanya, dia hanya suka-suka mahu melihat
kasut sekolah Maryam yang bertanda huruf M pada getahnya. Lagipun, kasut Maryam
kecil saiznya. Saiz 5. Kasut abang dan adik-adik lelakinya besar dan tidak
sebersih kasut Maryam. Sebab itulah dia senang mengagak itu kasut Maryam pada
mula-mula dia datang waktu malam dan memasukkan surat itu dalam kasut.
Paginya Maryam menyapu sampah dan
terlihat ada sesuatu dalam kasutnya dan apabila dibuka dia hanya tersenyum
tidak percaya. Mujur abangnya Firdaus yang belajar di tingkatan enam tidak
nampak.
Maryam melihat Faizah
menghabiskan makanannya manakala Laila masih merungut kerana diganggu Azizi
tadi. Jauh dalam hatinya, dia terasa dengan kata-kata Faizah. Mee siput sambal
tumis yang tinggal separuh dikunyah tanpa perasaan. Dia jadi takut andai
hubungannya dengan Aliuddin diketahui kawan sekelasnya. Dengan hati yang
kecewa, Mee Siput yang tidak habis itu dilepaskan pergi. Dia berfikir, perlukah
dia bincang hal ini dengan Aliuddin. ‘Ali,
macam mana dengan kita?’
“Sikit je
makan?”, Norjinah menegur Maryam yang sudah mengangkat pinggan ke sinki.
“Nak buat homework. Banyak cikgu bagi tadi.”,
sambil membasuh pinggan dia menjawab.
Pinggan kotor yang ditinggalkan ayah, abang dan adik-adiknya dicuci
sekali. ‘Aku paling tak suka orang suka
menyusahkan orang lain macam ni la. Makan tahu, basuh tak tahu.’ Sementara
itu dia mendengar gelak tawa abangnya yang sedang menonton televisyen. ‘Perempuan malang manalah yang kahwin dengan
kau ni nanti. Pemalasnya tahap gaban.’ Inilah satu sikap lelaki-lelaki
dalam rumahnya yang dia benci sangat. Suka mengarah perempuan dan menganggap
kerja-kerja rumah itu bukan kerja mereka.
Sedang mencuci dengan hati yang mendidih, pinggan yang sedang disabunnya
terlepas dan pecah berderai. Norjinah yang sedang membuat air gula terperanjat.
Dia tahu, anak gadisnya itu sedang marah.
“Buat kerja ni
dapat pahala Maryam.”, Maryam memang selalu mengungkit sebab dia yang selalu
membuat kerja rumah di rumah itu berbanding anak-anak lelakinya.
“Maryam tahu la
mak. Terlepas je. Kan licin ni.”, terasa mahu menangis apabila emaknya
menegurnya begitu.
Dia memang tidak suka menjadi
perempuan kampung ini. Hanya jadi kuli lelaki.
“Mak cakap yang
betul je. Kalau tak nak buat, tinggal. Nanti mak buat.”, tangannya masih
menggaul gula yang belum larut.
“Kenapa mak ni?
Mak dengan ayah memang sengaja manjakan abang. Manjakan Firhad. Manjakan
Raihan. Firhad dah darjah enam, mak tak suruh pun basuh baju macam Yam. Berat
tau tak seluar abang Firdaus tu. Nak patah pinggang ni.”, dia sudah tidak
tahan.
Ingatannya pada Aliuddin datang tiba-tiba.
Norjinah hanya diam. Dadanya berat tiba-tiba. Bahang api yang melarutkan
gula tidak dihiraukan. Dia tahu dia salah mendidik Firdaus dahulu. Dia dapat
menangkap bunyi nafas berat Maryam yang sudah mula menangis. Namun dia hanya
mendiamkan. Kalau berkata apa-apa waktu
itu hanya akan mengundang pergaduhan. Maryam yang kecewa apabila emaknya buat
tidak endah meninggalkan dapur. Berjalan laju menuju ke bilik.
Di hadapan tungku panas berapi, Norjinah perlahan-lahan menarik nafasnya.
Bimbang air matanya mengalir. Senduk diletakkan di tepi tungku dan dia berjalan
ke sinki. Melihat pinggan yang pecah dan sesuatu yang merah mengalir bersama
air. Jari telunjuknya menyentuh darah Maryam pada sinki itu. ‘Maryam jangan buat mak macam ni. Mak tahu
mak salah.’ Kemudian, dadanya mula menghamburkan emosi ganas yang terperuk.
“Mak tahu mak
salah.”. Norjinah menangis sendiri di dapur itu.
Abdul Aziz sudah
duduk atas kerusi dan melihat jam di dinding. Hari ini hari Sabtu dan Maryam
ada kelas mengaji di sekolah sampai waktu tengah hari. Jam pada dinding
dikerling sekali lagi. 12.13 tengah hari. Kemudian, dia terdengar bunyi basikal
disendengkan pada tiang bangsal rumah. Maryam sudah pulang. Pintu rumah sudah
sedia terbuka. Abdul Aziz nampak Maryam sudah menyusun kasut atas rak. Penyapu
lidi yang jatuh pada kaki lima disangkut pada paku tiang bangsal. Kemudian, dia
mendekati pintu.
“Maryam, sini kejap.”, Abdul Aziz membetulkan
duduknya.
Maryam yang sudah hendak sampai ke pintu biliknya berhenti berjalan.
Kemudian duduk di kerusi di tepi ayahnya. Ayahnya nampak marah.
“Ni apa?”,
origami rumah warna hijau itu ditarik keluar dari bawah peha Abdul Aziz.
Maryam kelu. Tidak berkutik. Jantungnya seakan-akan berhenti berdegup. Dia
amat tahu benda yang dikeluarkan ayahnya. Surat Aliuddin. Tetapi itu surat yang
baru. Dia belum pernah mendapat surat berbentuk rumah. Suara rendah dan
perlahan Abdul Aziz yang tidak memandangnya itu bagai petir yang menyambar
hatinya.
“Tak tahu.”, dia
tidak tahu sebab jawapan itu yang keluar daripada mulutnya.
Ayahnya sudah membuka kertas hijau itu dan membacanya senyap. Matanya
mencerlung ke arah Maryam. Tadi, sewaktu dia hendak ke kilang dan mengambil
kasutnya, dia terpandang kertas hijau dalam kasut sekolah Maryam. Dia jadi
marah serta merta apabila membaca surat itu. Lebih menyakitkan hatinya dia
tidak tahu nama orang yang menghantarnya.
“Ini apa! Kau jangan main-main dengan ayah.”,
Maryam tersentak dan memandang ayahnya sudah menengking.
Ayahnya marah. Sangat marah. Dia dipanggil ‘kau’ bukan ‘Maryam’ lagi.
Dia rasakan dunia di sekitarnya berhenti berputar. Tiada sesiapa di situ
melainkan dia dan ayahnya. Tiada emak dan tiada abang yang sebenarnya sudah
berdiri beberapa tapak daripadanya. Dia rasa mahu lari. Mahu lari dan mencari
Aliuddin. ‘Maryam.’ Suara Aliuddin
memanggilnya bermain dalam minda. Dalam samar pandangan yang sudah ditabiri air
mata, ayahnya sudah bangun dan mengambil tali pinggang di gantungan, tepi
pintu. Abdul Aziz masih menunggu jawapan Maryam. Norjinah sudah kelu dan pegun
dalam rasa tidak percaya. Firdaus pula mahu menghalang ayahnya.
“Maryam,
cakap.”, perlahan Firdaus berkata-kata. Berharap adiknya mendapat kekuatan.
Nafasnya turun naik tidak menentu, melawan ombak ganas perasaan marah
bercampur takut. Dia takut ayah memukulnya, tapi dia juga marah kerana ayah
memaksanya bercerita tentang Aliuddin. Apa lagi yang ayah mahu, dia sudah turut
kata ayah, bantu emak di rumah, belajar bersungguh-sungguh, dan menahan rasa
tidak puas hatinya di rumah itu. Apa lagi. Dia teringat waktu Aliuddin
menghantar surat yang pertama, waktu Aliuddin mencuri-curi pandang sewaktu
perhimpunan di sekolah rendah, sewaktu Aliuddin menemani dia pulang saat hujan
lebat.
“Kau pilih.”,
Maryam mendongak kepalanya melihat Abdul Aziz.
“Ayah, atau
budak tu.”, kemudian Abdul Aziz terus keluar dari rumah meninggalkan Maryam
yang tercungap-cungap mencari nafas kerana menahan tangis.
Pandangannya kosong. Emak masih
berdiri di tempatnya. Abangnya Firdaus pula menyambung membuat kerja atas meja
belajar. Sesekali Firdaus menoleh adiknya masih terduduk atas sofa. Diam dan
tidak berkutik. Akhirnya, Maryam bangun perlahan dan berjalan ke biliknya. Beg
sandangnya di seret masuk ke bilik. Tidak peduli al-Quran yang berada di
dalamnya. Dia kecewa. Kecewa kerana tidak ada sesiapa yang mahu membelanya.
Suratnya juga dibawa bersama ayah keluar tadi.
Pintu bilik tertutup perlahan,
Maryam menghilang disebalik pintu. Norjinah kemudian juga berjalan perlahan ke
kamarnya meninggalkan Firdaus yang keseorangan. Maryam duduk di tepi katil
bujangnya dan membuka tudung. Dia sedih. Terlalu sedih. Dia kasihankan
Aliuddin. Aliuddin yang baik hati. Aliuddin yang pemalu. Kata-kata Laila dan
Faizah mengimbau. Wajah Aliuddin sewaktu melewatinya minggu lepas sewaktu rehat
juga datang dalam hati. Dia pejam mata. Mengetap bibir. Dia bingung seminggu
dua ini tentang hidupnya. Tentang kawan-kawannya. Tentang hubungan dengan
Aliuddin. Dia pernah terfikir untuk meninggalkan Aliuddin. Tetapi, inikah
caranya. Inikah saatnya dia memutuskan hubungannya dengan Aliuddin. Namun, atas
sebab apa. Sebab Laila, Faizah atau ayah. Dengan berat hati, dia menarik kotak
kasut bawah katil. Membukanya dan membaca semula surat-surat Aliuddin. Merenung
gelang tangan besi bertulis ‘Maryam’ di
sebelah luar dan ‘Aliuddin’ di sebelah dalam. Nama itu ditoreh oleh Aliuddin.
“Ni Ali bagi. Nama dia kat dalam,
jadi nanti orang tak nampak. Hihi.”, itu kata-kata Nini sewaktu
menyampaikan gelang tangan itu kepadanya. Waktu itu hari terakhir Aliuddin di
sekolah rendah yang akan ke sekolah menengah. Bibirnya menarik senyum kelat.
Kemudian, dia mula menangis.
“Ali...”,
menangis lagi selepas menuturkan nama itu.
“Aliuddin.”
“Maafkan Maryam.
Maryam tak tahu nak buat apa.”, gelang tangan besi dimasukkan perlahan dalam
kotak kasut semula.
“Ayah marah
kita. Ayah marah Maryam.”, kali ini beberapa titik air matanya terkena surat
dan gelang besi itu.
“Maafkan Maryam.”,
kotak kasut sudah ditutup dan Maryam semakin laju menangis.
“Maafkan
Maryam...maafkan Maryam...”, sambil memejam mata Maryam baring di tepi katil,
atas lantai dengan kotak kasut tepat di hadapan matanya.
Menghantar Aliuddin dan
kenangannya pergi dengan pandangan yang terakhir sebelum dia tertidur kepenatan
tengah hari itu. Di dapur, tiada sesiapa yang selera untuk makan tengah hari.
Semua orang masih berkongsi kesedihan Maryam, dengan cara mereka sendiri.
Berdiam diri.