Motor
yang sudah masuk ke perkarangan rumah dimatikan enjinnya. Bimbang bayi kedua
kakaknya terjaga. Kemudian disorong sehingga ke bangsal. Songkok hitam atas
kepala dibuka dan dia melangkah ke pintu rumah. Sebaik meletakkan selipar atas
para-para, dia mengetuk pintu beberapa kali dan memberi salam. Selepas beberapa
ketika, kedengaran bunyi pintu dibuka dari dalam.
“Ayah dengan
Fatah tak balik sekali Ali?”, emak bertanya perihal suami dan menantunya.
Muhammad Aliuddin meletakkan songkok dalam kabinet tepi meja televisyen
separas pinggang. Kemudian membuka dua butang baju melayu cekak musang warna
hijaunya.
“Tadi nampak
diorang keluar kampung. Tak sempat nak tanya pulak.”, perutnya yang sebu
selepas moreh tadi ditepuk-tepuk sekali.
“Nanti mak call je lah. Perut kau kenapa?”, Zaleha
sudah berjalan hendak ke bilik sebelum berhenti apabila anak bujangnya
menepuk-nepuk perut.
“Masuk angin.
Tunggu nak sendawa ke kentut je ni.”, Aliuddin duduk di kerusi malas belang
putih, merah, dan biru.
Ikatan kain pelikat dilonggarkan pada pinggang. Sebaik melabuh punggung,
sendawa yang kuat keluar dari mulut. Zaleha yang melihat terus menganggap
anaknya sudah tidak apa-apa.
“Dah OK la tu. Dahlah,
mak nak telefon ayah.”
Aliuddin sengih sekali dan menekan punat buka pada alat kawalan jauh
televisyen. Kakaknya di bilik menidurkan si kecil. Adik-adik pula tidak
kelihatan. Mungkin bermain di rumah jiran atau ke pasar malam.
“Saya nak kirim
alas kaki bang. Nak buat alas kat dapur tu. Dah buruk.”, emaknya keluar sekali
lagi bersama telefon bimbit.
Kemudian, bunyi adiknya berlari-lari dari luar rumah semakin hampir. Dia
yakin, Arifah bermain bunga api kerana tadi semasa melintasi rumah sebelah dari
masjid, dia terlihat kanak-kanak berkumpul di lampu pelita.
“Ayah nak cepat
tadi. Dia dah janji dengan kawan dia nak jumpa kat Parit Raja. Patutlah kau tak
sempat tanya tadi.”, emaknya membuat perkiraan yang hanya Aliuddin tahu salah
dan betulnya.
Sebenarnya tadi, dia keluar lewat
dan tidak sempat bertemu ayah dan abang iparnya yang memandu kereta ke masjid.
Ada sesuatu yang mahu dia cari tadi. Sesuatu yang sudah lama tidak dia temui.
Telefon bimbit dalam kocek baju
melayu dikeluarkan. Tangannya ligat membuka mesej rakannya dan mencari pesanan
yang mempunyai lampiran MMS gambar. Pesanan bergambar seseorang dibuka dan
dilihat perlahan-lahan. Gadis dengan selendang warna hitam itu ditatap
wajahnya. Matanya, hidungnya, bibirnya. Dia masih sama. Hanya penampilannya
lebih matang. Bibirnya sudah bergincu dan matanya sudah bercelak. Nombor
telefon gadis itu dicari dan dia sudah menaip beberapa huruf. A-s-s-a-l-a-m. Ibu jarinya sudah mahu
menekan ikon hantar. Namun, kemudian dia memadam pesanan itu. Telefon bimbit
digelapkan. Matanya merenung skrin telefon bimbit yang sudah gelap. Dalam diam,
hatinya ingin bertanya khabar.
Lewat malam itu, dia masih
berjaga dan sukar melelapkan mata. Fikirannya masih terfikirkan gadis yang dia
lihat memakai telekung putih menaiki tangga ke ruangan solat wanita beberapa
hari yang lalu. Sudah dua hari dia tidak melihat gadis itu. Semalam dia
berkira-kira mungkin gadis itu punya hal tertentu, namun melihat sudah dua hari
berturut-turut keretanya tidak ada di kawasan parkir, dia fikir mungkin gadis
itu tidak boleh bersolat. Hati Aliuddin jadi gelisah. Dia tidak tahu mengapa
jantungnya berdegup laju sekali ketika terlihat gadis itu semula. Bukankah
gadis itu hanya sejarah zaman kanak-kanak dan awal remajanya. Bukankah perasaan
itu sepatutnya sudah mati. Berkubur.
Malam itu tiada bintang di
langit. Sunyi sahaja. Laci meja belajar di sebelah katilnya dipandang sayu.
Hatinya akan sakit kalau dia membuka laci itu semula. Tetapi, dia tahu kalau
yang namanya memori itu tidak akan hilang. Kita hidup bersamanya. Lantas tanpa
sedar dia sudah duduk bersila di hadapan laci itu. Membuka dan menarik sesuatu
dalam kantung kanvas sebesar muka. Dibuka kantung itu dan isinya dituang atas
lantai. Ada telefon bimbit Nokia model lama, kertas berlipat yang renyuk
seribu, dan getah rambut berhias buah strawberi.
Aliuddin membuka lipatan kertas
dan membaca semula isi kandungannya. “Ali, kenapa Ali suka saya?”, ayat pertama
berbunyi dengan tulisan tangan bulat-bulat. Warna tulisan daripada pensil kian
pudar. Dia melihat tulisan BALAS dengan huruf besar selepas itu. Kemudian dia
mengenali tulisan seterusnya. Itu tulisannya berbelas tahun dahulu.
“Sebab awak
cantik, Maryam.”. Aliuddin mengoyak senyum kecil.
Zaman kanak-kanaknya indah. Kemudian, surat cinta zaman kanak-kanaknya
itu dilipat semula. Getah rambut dengan buah strawberi plastik tergantung itu
diambil. Didekatkan pada hidung. Berharap harumannya masih ada. Haruman
daripada pemiliknya yang begitu cantik pada mata Aliuddin dahulu. ‘Maryam, Maryam apa khabar.’