Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 2:Langit Tanpa Bintang

2007

Kisahnya bermula apabila Allah mahu mengajar beberapa hambanya yang berbuat salah terhadap diri masing-masing. Sebab hati-hati mereka ego dan keras. Tetapi, nanti mereka semua akan terjatuh, terlentang dan tersedar.

Pada penghujung tahun 2007 bulan Oktober, umat Islam di Parit Raja sedang bersenang hati kerana Hari Raya Aidilfitri bakal tiba. Bazar ramadhan sesak dengan manusia. Pasar malam juga begitu. Bagi Maryam binti Abdul Aziz, dia lebih memilih menyibukkan diri dengan longgokan surat khabar daripada bermacam jenis penerbit. Matanya hanya mencari cerita tentang angkasawan muda Malaysia yang pertama. Dr. Syeikh Muzhaffar Syukor. Setiap hari, disuruhnya abang sulung yang tua enam tahun mencari surat khabar waktu hendak pergi bekerja. Tahun 2007 itu tahun rahmat. Dia sudah di tahun akhir pengajian. Usianya pun sudah bertambah menjadi 23 tahun. Bulan Januari tahun hadapan, Maryam akan memulakan praktikal mengajar di Kedah. Segala yang dirancangnya berjalan baik.

Malam itu sudah malam ke 27 Ramadhan. Maryam sudah tidak ke masjid bersolat tarawikh. Dia datang bulan. Lalu, kesempatan itu digunakannya untuk mula menfail artikel dari surat khabar tentang projek angkasawan negara yang pertama.

“Kau nak buat apa dengan surat khabar ni? Banyak ni Maryam.”, Firdaus si abang sulung bertanya petang itu.

“Projek individu. Kan senang nanti nak mengajar pakai bahan ni. Current issues ni. ABM (Alat Bantu Mengajar) tahu, ABM.”, santai dia menjawab sambil menggoreng ikan.

“Iyolah Yam...”, lalu Firdaus menghilang ke bilik mandi.

Dari dalam bilik, Maryam mendengar ayahnya pulang dari masjid. Bunyi motor sahaja sudah dia dapat cam itu ayahnya. Fail putih berisi keratan akhbar diletakkan dalam rak. Kemudian, kedengaran ayahnya berborak dengan emak di dapur.

“Maryam kata tak nak mengajar lepas habis belajar nanti? Pasal apa Nah?”, hati Maryam tertarik untuk mendengar.

Dia keluar dari bilik dan pura-pura melihat adiknya, Raihan membuat kerja sekolah. Raihan hanya diam melihat kakaknya duduk disebelah.

“Dia nak sambung master.”, Norjinah yang menyendukkan nasi dalam pinggan suaminya menjawab.

Dia tahu, suaminya pasti melenting. Namun, kalau sudah anak perempuan sedegil ayahnya, dia mahu buat apa lagi. Maryam sejak kecil memang keras hati. Orangnya nampak pendiam dan lembut, tetapi sangat kuat percaya pada kemahuan. Sebenarnya daripada dia di tahun tiga lagi, dia sudah beritahu pada emaknya yang dia mahu sambung belajar. Tetapi, Norjinah selalu mengelak berbincang soal sambung master itu dengan Maryam. Dia tidak sampai hati kalau nanti suaminya tidak izinkan dan Maryam kecewa.

“Nah, saya tak nak dia pergi jauh sangat. Dia perempuan.”, selepas meneguk teh secawan, Abdul Aziz menyatakan pendiriannya.

Dia tahu anak perempuannya mahu menjauhkan diri daripada keluarga. Dia sudah menanti saat ini dari dulu. Abdul Aziz tahu kalau dibiarkan anaknya pergi kali ini, Maryam akan terus hilang daripada hidupnya. Hanya Allah mengetahui perasaannya andai itu terjadi. Maryam itu tidak seperti Firdaus, Firhad dan Raihan. Maryam itu ibarat bunga di taman larangan. Ada tiga kumbang menjaganya. Hanya dia sahajalah bunga dalam keluarga. Cuma Abdul Aziz tersilap percaturan dengan Maryam. Anak gadis yang secara fitrahnya lebih mengikut kata orang tua menjadi anak yang paling susah ditangani.

“Awak bagitahu dia, saya tak bagi.”, sekali lagi teh dihirup menghabiskan baki.

Abdul Aziz melangkah ke dalam bilik tidurnya.

Maryam menyorok di dalam bilik ketika ayahnya keluar dari dapur. Hatinya libang libu mendengar kata-kata ayahnya tadi. Dia berdiri dalam gelap yang hanya diterangi dengan samar cahaya dari luar bilik. Kedengaran bunyi pintu bilik ayahnya ditutup. Dia keluar dari bilik dan ke dapur perlahan-lahan. Dari pintu dapur, dia melihat belakang badan emak yang sedang mengemas pinggan dan cawan yang ayah guna tadi. Dibawa ke sinki dan dibasuh teliti. Sederas air yang sedang mencurah membilas tangan tua emak, begitu juga derasnya hujan dalam hati Maryam.

Norjinah menoleh ke belakang apabila dia merasakan ada yang sedang memerhatinya. Maryam. Daripada bentuk air muka anak perempuan tunggalnya itu, dia sudah tahu. ‘Dengarlah cakap ayah Maryam.’Matanya berkata dalam diam. ‘Maryam dah tahu mak, dah tahu’. Apabila anak gadisnya itu sudah berpaling dan berlalu pergi, Norjinah hanya mampu menunduk. Tangannya menyentuh air yang sejuk.

Dari dalam bilik, Maryam mendengar siaran radio dari telefon bimbit. Dia masih menangis. Air mata lesu masih basah pada kolam mata, pipi sehingga ke leher. Liputan secara langsung perjalanan ke ISS Dr. Syeikh Muszhaffar Syukor sedang bermain. Lampu dari luar bilik berdekatan dapur dimatikan emak yang terakhir di dapur. Maryam bangkit dari baring dan menarik langsir. Tingkap bilik dibuka.

Dari balik bukaan tingkap, dia melihat langit yang gelap pekat. Tanpa bintang. Sama seperti dirinya yang belum berbintang tika itu. Sama dengan hatinya yang gelap suram. Kapal angkasa Soyuz buatan Rusia sudah akan berlepas. Countdown sudah bermula. Sebaik countdown berakhir dan sorakan dari dalam konti radio gegak gempita, Maryam memejam matanya rapat. ‘Nah, saya tak nak dia pergi jauh sangat. Dia perempuan.’,ayat itu berulang tayang dalam minda. ‘Awak bagitahu dia, saya tak bagi.’. Esakannya yang sudah mereda datang lagi. Halus dan kemudian makin berat. ‘Ayah, maafkan Maryam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.