Aliuddin
sudah menyimpan beg pakaian dan beg laptop dalam kereta. Emak di dapur masih
membungkus makanan untuk anak-anak buah di pejabat Aliuddin.
“Mak, banyak
sangat ni.”
“Takpe, orang
lelaki kan banyak makan. Nanti kau lapar kat dalam kereta, boleh makan. Semua
ayam bite size.”, Latifah senyum
menepuk bahu Aliuddin.
Sudah besar anak bujangnya ini.
“Kirim salam
Syahira.”, Aliuddin mengangguk.
“Pergi dulu
mak.”
Seluruh ahli keluarga disalami.
Kakak yang masih menggendong bayi dipeluk erat. Jarang dia dapat bertemu
kakaknya ini.
“Makan banyak
sikit kak. Makin kurus.”, dia menyengih.
Dibalas dengan cubitan di pipi
oleh kakaknya. Ayah datang dari arah bilik sambil menghulur sampul duit raya.
Aliuddin menanti penuh sabar. Di hadapan televisyen, Arifah baring terbongkang menonton
Upin Ipin.
“Ni, ayah derma
kat Yayasan.”, dimasukkan sampul itu dalam poket seluar Aliuddin.
“OK yah. Berapa
ni?”
“500 ratus.”,
Aliuddin mengangguk.
Dia malas mahu mengira. Sambil
mengerling Arifah, dia berjalan ke muka pintu. Menyarung kasut dan membetulkan
seluar yang berlipat di hujung kaki. Ayahnya memekik memanggil Arifah.
“Fah...abang nak
balik ni. Salam abang. Nanti ayah tutup TV.”
Dengan berat punggung Arifah
bangun, wajahnya mencuka. Upin Ipin di TV masih dikerlingnya walaupun tangan
sudah dihulur kepada abangnya. Sedar-sedar, pipinya sudah dicubit perit.
“Aarhh....sakit
la.”, dia menumbuk perut Aliuddin kuat.
“Aduh....sakitnya
Fah tumbuk...tak sia-sia badan bulat. Patah tulang abang.”
“Dah balik
sana...”
“Nak balik la
ni.”, Latifah menyelitkan rambut Arifah ke tepi telinga. ‘Berpeluh.’
“Fah...tak
sayang abang eh? Huh?”, ditepis tangan abangnya yang singgah di kepala.
“Fah sayang
abang Raihan.”, seluruh ahli keluarga merenungnya bulat.
Latifah dan Rashid saling
berpandangan. Kakak Aliuddin juga terdiam berfikir. ‘Raihan mana ni?’. Aliuddin pula mengecilkan matanya. Dia mahu
mengusik.
“Ayah tengok
yah...anak dara ayah dah ada boyfriend.”
Arifah itu baru sebelas tahun.
Siapa pula yang sudah mencuri perhatiannya ini? Aliuddin fikir adiknya itu
tiada perasaan. Sudahlah ganas, bulat pula tu. Siapa saja yang dipujanya itu?
“Fah...cakap
dengan ayah Raihan mana ni?”
“Kampung sebelah.”
“Kampung
sebelah?”
Arifah mengangguk. Dia sudah
mula malu dan menyesal. Dia mula mengelus-ngelus tangan tua Latifah. Berharap
dia diberi perlindungan andai ayahnya marah. Mulutnya selalu sahaja khianat.
Abangnya juga sudah melengah-lengah hendak pulang. Dia yakin, Upin Ipinnya juga
sudah habis di TV. Kakak dan baby
juga diam. Macam mengerti sahaja baby
itu.
“Anak siapa Fah?
Bagitahu ayah.”, Rashid sudah mencekak pinggang.
Dia bukan mahu marah, tetapi dia
perlu ambil tahu. Tidak dia sangka, Arifah bukan lagi budak-budak walaupun
perangainya masih sama. Sisi gadisnya makin menjelma.
“Abdul Jalil.”,
dibalas Arifah dengan sedikit gugup.
Arifah mengintai daripada ekor
mata wajah ayahnya. Ayahnya tenang namun pandangan ayahnya tepat ke arah
Aliuddin. Seketika kemudian, dia faham bahawa kakak dan emaknya juga membuang
pandang ke arah Aliuddin. Abangnya pula seakan-akan hilang roh. Wajahnya
kosong. Dia tidak tahu bahawa ketika itu ada awan hitam yang bertandang dalam
hati seorang Aliuddin.
Tanpa sedar, nama ‘Raihan Abdul
Jalil’ itu membuat raksasa dalam hati abang, ayah, emak dan kakaknya hidup
semula. Takdir apakah ini?
Aliuddin sudah
melepasi papan tanda Rehat dan Rawat Dengkil. Kereta diparkir di bawah pokok,
meneduhinya daripada panas mentari. Telefon bimbitnya dikeluarkan daripada
kocek seluar. Enjin kereta masih bekerja dan lagu-lagu di radio masih bermain.
Aliuddin mencari nama Maryam. Namun, belum sempat dia sampai ke huruf ‘M’, nama
‘Love’ muncul.
“Syahira.”
Dia dirundung rasa bersalah pada
wanita itu. Pada tunangnya itu. Dia tidak dapat membohongi dirinya yang sejak
sebulan ini, fikirannya agak terganggu dengan ingatan terhadap Maryam. Dia
malah pernah ada niat untuk menghubungi gadis itu lagi. ‘Tak, tak. Bukan gadis lagi. Dia isteri orang sekarang ni.’.
Aliuddin capai bekas donat di kerusi sebelah pemandu. Dibukanya dan
dikunyah donat sebiji. Direnung jalan di hadapannya. Kata-kata ayah padanya
sewaktu dia sedang menghidupkan enjin kereta di hadapan rumah tadi mengimbau.
“Jangan terbawa-bawa dengan benda dah lama
Li. Ingat siapa dengan Li sekarang.”
Syahira. Sekarang ini dia dengan
Syahira. Pada mulanya dia hanya ingin bertanya khabar saat dia terlihat Maryam
di masjid. Hatinya tercuit mahu tahu kehidupan gadis itu sekarang. Waktu itu,
dia memang seakan terlupa adanya Syahira si tunang. Dia juga kecewa waktu dia
dapat tahu Maryam sudah bersuami. Yelah, sudah bertahun dia tinggalkan kampung
ini. Masakan dia tahu kalau-kalau ada kawan-kawan sebayanya yang sudah beranak
bini.
Malam ketika dia menemani
Syahira ke rumah terbuka Azwa itu, dia terkejut lagi. Tidak dia sangka yang dia
akan bertemu Maryam di situ. Dia mencari-cari juga kelibat suami Maryam, namun
tidak kelihatan. Malah, dia juga sudah tidak melihat Maryam selepas wanita itu
minta diri ke dapur mengambil lengkong. Namun, dia hairan wanita itu seperti
cuba lari daripadanya. Bibirnya pucat dan Maryam nampak gelisah. Aliuddin
sedikit risau sebenarnya andai kisahnya dan Maryam terbocor malam itu. Bimbang
sekali dia akan penerimaan Syahira sedangkan dia lihat Syahira ramah sekali.
Bukanlah dia tidak canggung, namun sukar dia mencari mata Maryam saat wanita
itu berbicara. Nadanya juga ada sedikit sedih. Masakan Maryam sedih melihat dia
bersama Syahira. ‘Mustahil!’
“Tuala!”, tuala
pada petang itu.
Sungguh dia lupa fasal tuala.
Payung juga. Namun, barang-barang itu ada di but kereta. Dia masih simpan
kerana dia pernah ingin memulangkan semula pada Maryam. Namun, hatinya tidak
kuat hendak memberi salam rumah pakcik Abdul Jalil. Dia juga tidak kuat andai
terlihat Maryam bersama suaminya. Bimbang, emosinya bercelaru. Lantas, akhirnya
tetaplah kedua-dua barang Maryam itu di dalam but.
‘Biarlah. Mungkin satu hari nanti adalah waktunya aku bertemu dia lagi.
Waktu tu aku pulangkan. Kau harus belajar terima kenyataan. Maryam itu keretapi
yang sudah kau terlepas waktu kau sibuk dengan urusan kau sendiri. Kemudian
Syahira datang, jangan kau terlepas keretapi yang satu ini. Kau sudah terlalu
dewasa untuk mengenang kisah cinta pertama kau semula. Hidup dan pandanglah
realiti! Titik!’
Lalu,
Aliuddin pun mengenakan cermin mata gelapnya semula. Dia menukar gear D dan
keretanya meluncur pergi daripada teduhan yang sementara itu. Teduhan sementara
yang menemukannya semula dengan Maryam itu akan ditinggalkannya. Sudah tiba
masa dia kembali pada realiti, menuju mentari.
‘Maryam saya dah kata selamat
tinggal pada kita. Berbahagialah.’
Malam itu Maryam
bermimpi lagi.
Al-Quran yang sudah terlungkup
atas dadanya dikutip. ‘Allah, aku
tertidur.’. Jam pada dindingnya sudah menginjak ke waktu sepertiga malam.
Kebetulan. Maryam bangkit membuka telekungnya dan berjalan ke tandas. Sejuk air
pili waktu pagi begitu terasa. Selesai wudhu dia tunaikan solat malam dan
kemudian duduk memeluk lutut tanpa membuka telekung atas katil. Bunyi-bunyi
cengkerik jadi teman di pagi itu.
Sudah seminggu dia begitu. Selalu sahaja tidurnya terganggu. Emak kata
mungkin dia gelisah kerana naik semester baru nanti, dia sudah perlu pergi
mengajar di sekolah. Tetapi, dia tahu bukan itu puncanya. Maryam jadi begini
selepas malam dia pulang daripada rumah Azwa. Selepas dia terjumpa Aliuddin dan
Syahira. Syahira tunang Aliuddin.
‘Malunyalah Maryam. Sanggup kau
berani terfikir-fikir tentang Ali selepas dia tolong kau dalam hujan haritu.
Dia dah tunang Maryam! Abang malah kenenkan dia dengan Ali supaya dia dapat
sambung master.’
Dia
serba salah terhadap Syahira. Mesti Syahira sedih kalau dia tahu tentang Maryam
dan Aliuddin. Maryam mencari kotak besi bawah katilnya. Jumpa. Lantas dibuka
tutup yang hampir berkarat. Sebaik terbuka, dia cari gelang tangan yang
Aliuddin pernah beri padanya lebih sepuluh tahun dulu. Masih elok. Tidak
berkarat pun. Dia kenakan pada lengannya. Muat-muat sahaja. Kalau dulu apabila
dipakai gelang itu longgar. Namanya masih terukir. ‘Maryam.’. Bertahun-tahun
dulu Aliuddin hidup dalam hatinya. Mewarnai zaman awal remajanya. Surat-surat
Aliuddin yang berwarna warni dan pelbagai bentuk dalam kotak besi itu nampak
uzur. Dulu, dia fikir masa akan buat dia lupa pada Aliuddin. Ternyata salah
sama sekali. Sekarang ini juga dia masih tidak boleh membuang kotak besi itu
dan kenangan-kenangannya pergi. Kalau orangnya sudah pergi, dia mahu
kenangannya hidup.
Bukan seorang dua pakcik
makciknya sudah bertanya bila dia mahu menikah. ‘Diorang tak tahu.’ Kata-kata itu ditutur dalam hati sahaja.
Sampai masanya dia sudah lupa Aliuddin dia akan kahwin. Tidak perlulah semua
orang risaukan. Adilkah kalau dia berkahwin tetapi hatinya masih teringat pada
Aliuddin? Maryam tidak sampai hati pada lelaki yang malang itu nanti.
Surat terakhir yang Aliuddin
kirim padanya ialah surat yang sudah disita ayahnya. Maryam tidak pernah sempat
membaca surat itu. Selepas itu Aliuddin
berpindah sekolah. Jauh dari sekolah yang ada dekat-dekat kampung. Maryam kirimkan
surat terakhirnya sebelum Aliuddin berpindah sekolah. Dia katakan ayahnya sudah
tahu dan dia mahu putus. Surat itu dia
letakkan dalam beg Aliuddin waktu kelas lelaki itu kosong. Itulah sahaja. Tiada
balasan daripada Aliuddin. Setiap hari Maryam jenguk kasut sekolahnya. Namun
hampa. Akhirnya selepas seminggu menunggu, dia lihat tempat duduk Aliuddin di
baris paling belakang kelas itu kosong. Maryam sudah tidak pernah melihat
Aliuddin lagi selepas itu walaupun sekali sehinggalah peristiwa mengangkat kain
dalam hujan itu.
Selepas Aliuddin, dia tidak
pernah bercinta lagi. ‘Itulah kali
pertama dan terakhir.’ Lantas, mana mungkin dia boleh lupa. Cuma, setelah
dia tahu Aliuddin sudah wujud Syahira dalam hatinya kini, Maryam mula berubah.
Kalau bukan jodohnya, buatlah apa sahaja, tidak akan pernah jadi miliknya.
Lalu, Maryam fikir jalan yang terbaik ialah memilih untuk melupakan. Ceritanya
dengan Aliuddin ini begitu banyak halangannya!
‘Kau masih tidak nampakkah Maryam betapa
Allah mahu jauhkan kau dengannya. Bahawa dia bukan jodoh untuk kau.’
Dia angguk-angguk kepalanya pagi
itu. Berat sekali dia mahu mengaku kata hatinya itu benar. Ayahnya tidak suka
pada Aliuddin. Kini setelah dia bertemu Aliuddin, lelaki itu sudah bertunang.
Mahu apa lagi kau Maryam? Jangan tangguh lagi. Lupakan saja! Kau pun sudah tak
akan bertemunya lagi. ‘Baiklah. Aku
lupakan dia. Aku lupakan.’ Gelang Aliuddin pada pergelangan tangannya
ditanggal. Dimasukkan semula dalam bekas besi. Setelah ditutup bekas besi itu
ditolak jauh terperosok bawah katilnya. Dia buka tali telekungnya dan menarik
selimut.