Home Cerpen Keluarga Babah Lara
Babah Lara
BERUKA MAKINO
22/7/2015 14:31:23
2,643
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga


Sepatutnya malam itu akan ada gerhana bulan. Cicak yang lalu lalang selang beberapa saat itu tiba-tiba jatuh ke atas meja warna perak berkilat. Lalu, lamunan yang sudah jauh ke tanah seberang itu pecah. Kelepek. Cicak seekor itu berjalan laju, meninggalkan ekornya yang masih terloncat-loncat. Dengan malas, jari diangkat menjentik ekor itu ke bawah meja. Esok sahajalah disapu, fikirnya.

Dalam otaknya masih ligat dengan satu persoalan. Berfikir tentang sebab Babah tidak izinkan dia menyambung PhD. Sudah dikhabarkan yang dia akan tetap tinggal di rumah, menemani Babah. Bukan jauh mana universiti itu dengan rumahnya. Buka pintu sudah terjongol atap perpustakaan.

Telefon bimbit atas meja yang sedang bercaj diambil, membuka mesej perbualan bersama Babah petang tadi. “Tak boleh. Ini final.”, taip Babah berserta tanda seru.

Tingkap bilik yang dibuka luas itu membiarkan wajah bulan yang sudah separuh tertutup terbias pada tingkap. Penat berfikir, dia mengangkat kaki atas kerusi dan memeluk lutut. Leka dia perhatikan bulan itu tertutup. Ada cahaya yang mula membesar terbentuk daripada biasan pada cermin. Semakin besar dan besar hingga dia menjadi silau. Cahaya terang. Terang sekali sebelum dia membenam wajah dalam pelukan pada lutut. Lama.

“Lara, gosok gigi dulu.”, bahunya digoyang orang perlahan. Televisyen siaran rosak dimatikan Babah. Babah menekan butang warna hitam besar pada televisyen lalu televisyen menjadi gelap. Sunyi rumah itu.

Kemudian ada bunyi kereta masuk ke halaman, diikuti lampu kuning terik. Lengannya diangkat menutup muka. Terjuntai gelang sementara warna putih ‘Wetworld-Kid Ticket’ pada pergelangan tangan. Dibacanya tulisan itu penuh keliru sebelum lampu terpadam. Bunyi tapak kasut tumit tinggi menapak mendekati rumah. Ketak, ketuk, ketak, ketuk. Pintu terbuka, terjengul tubuh seorang wanita. “Eh, Lara tak tidur lagi? Tunggu Mama?”, pipi Lara dicium kiri dan kanan. Lara makin keliru. Siapa dia ini?

“Lara tak gosok gigi lagi.”, Babah muncul dari dapur. Tangannya masih mengelap piring. Laju sekali. Lara melihat wajah Babah sekali imbas. Kumisnya masih ada, hitam lebat. Rambutnya juga. “Jom. Mama hantar.”, wanita itu menggendong Lara selepas memberi beg tangannya pada Babah yang masih mengelap piring. Dalam gendongan itu, mereka melewati kawasan dapur yang masih terang. Babah melipat surat khabar menjadi separuh saiz A4. Tetapi, Lara sempat mengintai. Babah banyak membulat-bulat iklan dengan pen merah.

Dalam terbuai-buai dalam gendongan, Lara melihat Babah mengelap tangan pada apron. Wajahnya diraup beberapa kali, surat khabar diletak atas meja. Kemudian di tepi sinki dan beralih pula ke dalam kabinet.

Lara disuruh wanita itu berdiri atas kerusi plastik warna hijau kecil. Ada gambar Mickey Mouse di situ. Dia menurut. Cermin dihadapan mata dipandang. Kemudian, dia kaget. Kelopak matanya berkedip-kedip beberapa kali. Wajah dalam cermin dipandang. Ini bukan wajahnya. Bukan! Rambutnya panjang. Bukan pendek. Telinganya bertindik dengan subang bentuk bintang warna hitam. Kini, wajah dihadapannya itu tidak ubah seperti wajah kanak-kanak umur lima tahun.

“Ni cepat gosok gigi. Basuh muka, basuh kaki, lepastu masuk tidur.”, arah wanita itu. Dengan penuh rasa keliru itu, Lara masih menggosok gigi. Membiarkan air yang keluar laju daripada pili dibuka wanita itu, dikumpul dalam cawan perak berkilat. Wanita itu melihat wajah dalam cermin. Bibirnya merah bergincu, tudung bawalnya berselimpang ke bahu dengan kerongsang warna biru muda. Lara melihat ke bawah pula. Tubuh wanita itu ramping dengan baju kebaya warna kuning berbunga biru tersarung. Pada pergelangan tangan ada dua utas gelang tangan emas yang besar. Mesti mahal ni, sempat dia berbisik dalam hati. Saat wanita itu membuka tudungnya dia melihat rambut wanita itu terurai lembut jatuh atas bahu dan kemudian lepas ke bawah. Wanita itu cukup cantik. Gayanya sangat kemas dan profesional. Dia ibarat sukar didekati, tidak percaya Lara yang wanita itu menggendongnya tadi.

Oh ya! Dia membahasakan dirinya Mama tadi. Jangan-jangan itulah ‘puan besar’ yang kadang-kadang Babah sebut dalam bicaranya. Inikah ‘puan besar’ yang membawa perubahan ‘besar’ hidup Babah kini? Inikah orangnya? Inikah emaknya?

“Dah siap? Jom, Mama letih ni.”. Lara angguk sahaja. Wanita itu ralit memerhati diri di cermin tadi. Sampai dia tidak perasan yang Lara tidak membasuh kaki. Sedang selalunya Babah akan pastikan dia gosok gigi, membasuh muka, buang air kecil dan membasuh kaki sebelum tidur. Wanita itu tidak seperti Babah. Dia cuai!

Saat dia berjalan dipimpin ‘puan besar’, dia dapat mendengar perbualan singkat wanita itu dengan Babah. “I’ll talk to you later. I’ll put her on bed first.”, kata ‘puan besar’.

“I have nothing to discuss. Please stop it!”, nada Babah sedikit meninggi.

“You stop it. You don’t want her to know, aren’t you?”, ‘puan besar’ mengugut.

Tiba di bilik, Lara sayu sekali. Ini bilik lamanya. Katil saiz bujang itu masih ada. Dengan kereta warna merah sebesar Lara terletak di tepi katil. Di satu sudut, ada almari dua pintu warna hijau bergambar dua ekor arnab putih tertulis ‘Happy Friends’ dengan tulisan besar berwarna kuning. Ada cap tangan comot-comot dengan warna biru, putih, merah, dan coklat pada pintu almari itu. Entah kenapa, mata Lara berkaca-kaca. Bersebelahan dengan katil, ada meja tulis kayu dengan beberapa buku cerita atas rak. Ada juga, papan hijau atas meja. Beberapa batang kapur warna-warni terpatah-patah berserakan atas meja. Dalam bakul sampah bawah meja pula kertas-kertas melambak sehingga terkeluar dan mengelilingi bakul sampah, bagai anak pokok pisang. Bawah katilnya ada kotak-kotak kasut bersusun. Dia tahu setiap isi kotak-kotak itu. Dia cukup tahu. Rindunya pada bilik itu rupanya sebegitu hebat.

“Tidur. Mama ada kerja.”, dia berbaring perlahan. Mengapa ya, dia tidak merindui wanita ini sebagaimana dia merindui biliknya ini? Lampu bilik padam dan pintu tertutup rapat. Dalam gelap, ada beberapa pelekat glow-in-the-dark bentuk geometri pada dinding. Itu hadiah ‘atuk rumah besar’ kepadanya waktu dia ke eropah. Cantiknya!

Lara cuba menutup matanya. Dia tahu kini, dia terperangkap dalam tubuh lima tahunnya. Tadi, kalendar pada meja tepi katil tertulis tahun 1982. Sedang dia sebenarnya sudah berusia 30 tahun. Dan dia tahu, sepatutnya malam itu akan ada gerhana bulan dalam tahun 2007. Dia juga tahu tadi, dia sedang membaca surat tawaran PhD di meja belajar warna perak berkilat. Tiba-tiba dia sudah sampai di sini, rumah lama Babahnya ini. Mimpi buruk apa pula yang datang kali ini? Berfikir yang dia akan kembali ke zamannya sebaik terjaga, Lara belaikan tubuhnya atas tilam empuk itu. Menunggu matanya terpejam.

“Jangan ungkit balik benda tu boleh tak! Awak yang nak tanggung saya dulu!”, ‘puan besar’ menjerit kuat.

Suasana bungkam sunyi lagi. Agak lama sebelum ada bunyi kerusi berkeriut di luar bilik. Lara bangkit dan duduk menyandar. Cahaya bentuk garisan bawah pintu direnung. Berharap, ada bunyi yang akan masuk lagi.

“Saya dah banyak berhabis untuk awak tau tak. Jagalah sikit maruah saya. Ayah awak asyik tanya saya bila saya nak kerja. Awak pun tak percaya suami awak sendiri sekarang ni...sabarlah. Sikit masa lagi, saya dapat kerja, awak sambung...ya...”, suara Babah sayu dan lemah. Bagai berputus asa dan merayu.

“Saya dah tak boleh tunggu. Ayah akan support waktu ni je. Kalau saya tak pergi sekarang, peluang ni dah takkan datang lagi. Siapa yang tanggung kos, awak? Awak kerja ke?”, sekali lagi ‘puan besar’ berkata-kata. Pedasnya kata-kata! Sampai hati dia.

Babah sedang cari kerja rupanya. Dia saja yang tidak tahu tentang ini dahulu.

“Kalau awak tak bagi, saya keluar. Kita cerai. Awak boleh ambil Lara.”, ‘puan besar’ melontar peluru lagi.

Kali ini Lara menggenggam erat jarinya. Jantungnya jadi laju. Dia tidak tahu tentang ini. Dia memang tidak tahu yang emaknya sebenarnya tidak mahu kepadanya. Sebab itu Babah yang mendapat hak jagaan. Dia memeluk lutut. Dia jadi buntu dan sedih.

“Awak cakap apa ni! Eh ingat balik waktu kita kahwin dulu. Saya sanggup drop school sebab nak tanggung awak. Awak tak ingat ke kenapa kita kahwin? Dulu awak cakap sanggup susah senang dengan saya. Sekarang apa ni?”, Babah bersuara. Tinggi dan kemudian menjadi mula bergetar.

“Ya, saya yang bodoh waktu tu. Saya bodoh. Tuli.”, senyap lagi seterusnya.

“Sabiha...”, Babah menutur lemah. Nama itu!

Kemudian, terdengar bunyi ‘puan besar’ menangis. Mendayu-dayu suara tangisannya. Bagai sudah terlalu lama menyimpan perasaan. Bagai melepaskan angin ganas dalam hati keluar. Bagai air terjun Nicaragua menyimbah dasar tanpa belas.

Lara berperang dengan dirinya. Dia mahu keluar dan memarahi mereka berdua kerana menipunya selama ini. Tetapi, dia juga takut andai mereka tahu yang dia bukan Lara yang berusia lima tahun. Dia memeluk lutut lagi, semakin erat.

“Sabiha, saya janji. Saya akan jaga keluarga kita. Samad dah dapat kerja balik. Razak pun. Sekejap lagi, saya pun mesti kena panggil kerja. Sabarlah...sekejap je lagi.”

“Maafkan saya, Zam. Saya tak boleh. Akhirnya ayah terima saya balik. Lepas dia buang saya dulu. Tak boleh Zam. Tak boleh. Saya kena buat PhD tu juga. Tak boleh tidak.”, dalam tersekat-sekat, ‘puan besar’ mula berdiplomasi. Ayatnya sudah tidak seperti peluru sesat dalam perang Amerika-Vietnam lagi.

“Awak suami yang baik. Sangat baik. Saya yang tak baik untuk awak. Please, lets end it. Saya hidup cara saya. Awak cara awak. Kita balik macam asal. Ok?”, ada bunyi kerusi berkeriut lagi. Kali ini bunyi kerusi berkeriut itu tidak sekasar yang pertama tadi.

Lama Lara merenung cahaya segaris bawah pintu itu. Menanti jawapan Babah.

“Saya cintakan awak. Sangat cintakan awak.”, lafaz Babah.

Kerusi berkeriut lagi. Dan suara lelaki dan wanita menangis kedengaran. Berpadu bersama. Tertahan-tahan dan lemah bunyinya. Waktu itu, Lara memberanikan diri membuka pintunya sedikit. Sedikit sahaja. Dia lihat, Babah dan Mama berpelukan. Erat sekali dan wajah masing-masing terbenam pada bahu antara mereka. Lara menutup pintu dihadapannya. Mencuri pandang wajah Mama yang cantik.

Lara baring dan menarik selimut. Kemudian, pintu terbuka. Bayang Mama masuk mendekati. Mencium dahinya lama. Terhidu olehnya harum bau Mama. “Lara jaga Babah baik-baik sayang. Mama tak pandai jaga Babah.”, lalu Mama pergi.

Selang beberapa minit, ada bunyi kereta dan lampu kuning terang terbias di tepi tingkap bilik. Mulanya kuat dan kemudian semakin perlahan. Jauh dan menghilang terus.

Sebaik Lara menyeka air mata yang lesu jatuh pada pipi, pintunya terbuka lagi. Kali ini dia tahu itu Babah. Dia menanti Babah datang ke arahnya. Babah berjalan perlahan-lahan dan duduk di sisi katilnya secara membelakangi. Kemudian, Lara nampak bahu Babah turun naik, sambil diiringi bunyi teresak-esak. Lara hanya membiarkan Babah begitu. Babah sedang sakit. Selsema hati.

“Jangan tinggalkan Babah, Lara.”, Babah berkata-kata perlahan sambil mengusap rambut halus Lara yang terjuntai di dahi. Tangan Babah lembap dan sejuk. Sejuk terasa pada kulit muka Lara.

Itu kali pertama dia melihat Babah menangis. Lelaki yang hebat di gelanggang debat mahkamah itu rupanya pernah jadi selemah ini. Pernah jadi serendah ini. Pernah kecewa sebegini. Hanya Lara yang tidak tahu selama ini. Lara memejam matanya rapat-rapat. Begitu rapat sehingga dirasakan dahinya berdenyut-denyut dan ada cahaya yang begitu silau datang dalam pejam. Begitu silau sehinggakan dia menjadi begitu pening. Cahaya itu terang.

Seekor cicak berbunyi dari atas siling. Kuat sekali. Bagai mahu mengawan. Dari atas kerusi, Lara sedang memeluk lutut. Matanya dipisat-pisat. Dia tertidur. Telefon bimbit dicapai. Melihat tarikh. Di luar bilik, remang-remang oren gerhana bulan mula terlihat di antara jeriji tingkap. Cantik sekali! Secantik Sabiha. Sabiha. Mama.

Matanya berkerdip beberapa kali. Telefon bimbit dicapai lagi. Nombor seseorang dihubungi. Lama dia menunggu baru ada yang menyahut.

“Babah. Lara takkan tinggalkan Babah macam Sabiha.”, dan di hujung talian, Babah senyap dan kedengaran nafasnya menjadi berat. Babahnya yang dulu masih sama rupanya.

Dan bulan yang di luar itu sudah tertutup gelap.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.