BAB 7
“Apa dia? Macam mana kau buat kerja ni?” jerkah Muhammad Fattah kuat.
Seraya dengan itu, dia membaling gelas yang berada di hadapannya.
Prang!
Bunyi gelas yang pecah jelas sekali kedengaran. Seketika kemudian,
tangannya mula meraba-raba barang yang berada berhampirannya. Lagaknya seperti
mahu melemparkan barang buat kali kedua. Tapi, hampa apabila tiada apa yang
boleh dijadikan sebagai ‘bola’ untuk membaling kepada pembantunya itu.
Kepala Mazlan juga sudah ditundukkan. Dia lebih rela memandang kakinya
sendiri daripada memandang wajah tegang Muhammad Fattah. Tambahan pula, dia
sedar yang anak mata majikannya itu masih lagi terarah tepat kepadanya.
“Sa...saya dah buat macam yang Tuan Muda suruh....” dalam takut-takut,
Mazlan bersuara. Bimbang jika dia terus membisu, amukkan majikannya itu semakin
mengganas.
“Habis tu, mana dia?” soal Muhammad Fattah pantas.
Suruh buat kerja yang mudah pun tak boleh nak uruskan. Pemalas! Gaji mahu
tapi kerja tak nak buat, bebel Muhammad Fattah.
“Dia cakap, dia tak nak jumpa dengan Tuan Muda,” jawab Mazlan spontan,
gara-gara terkejut dengan suara Muhammad Fattah yang kuat itu.
“Tak nak jumpa?” soal Muhammad Fattah.
Keningnya juga sudah bertaut. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru
didengarinya itu. Seingatnya, inilah kali pertama dia menerima penolakan
daripada seseorang. Tak sangka, dalam Malaysia ni masih ada yang tidak kenal
dengan sebaris nama yang dimilikinya itu.
Mazlan pantas menganggukkan kepalanya.
“Kenapa?”
“Tak tahu, tapi...” kata-kata Mazlan terhenti di situ.
“Tapi apa?” desak Muhammad Fattah yang semakin tidak sabar untuk mendengar
kata-kata Mazlan yang selanjutnya.
“Dia nampak marah sangat. Siap halau saya dengan penyapu,” sambung Mazlan
lagi.
Mulut Muhammad Fattah sudah melopong. Tak kan suruh dia jumpa dengan aku
pun, naik angin macam tu sekali? Siap pakai penyapu pulak tu.
“Apa yang kau cakap, sampai dia marah macam tu?”
Mazlan tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Seketika kemudian, dia
menggelengkan kepalanya. Tanda dia sendiri tidak tahu apa yang sudah dibuatnya.
“Err...saya pun dah lupa apa yang saya cakap pada dia,” kata Mazlan pula
sambil tersengih seperti kerang busuk.
“Tapi, saya dah buat macam yang Tuan Muda suruh. Saya desak dia untuk jumpa
dengan Tuan Muda...” ujar Mazlan dengan tiba-tiba. Dia tidak mahu Tuan Muda
terus menyalahkan dirinya, sedangkan dia sudah bertindak mengikut arahan yang
diberikan.
Muhammad Fattah terus menampar wajahnya dengan tangan kirinya yang masih
lagi berbalut. Seketika kemudian, dia meraup wajahnya pula. Apalah nasibnya,
dapat pembantu yang langsung tak membantu.
“Kau desak dia buat apa? Dah sah-sah dia tak akan ikut kau. Nak lagi, dia
bukannya kenal kau. Tentu dia ingat kau ni nak culik dia, bodoh!”
Sengihan yang terukir di wajah Mazlan, terus mati dengan kata-kata
majikannya itu. Sedar, ini bukanlah waktu yang sesuai untuk tayang reaksi
sebegitu. Takut nanti, ada lagi barang yang melayang.
“Kau pasti ke dia penyelamat aku?”
Pertanyaan Muhammad Fattah itu, dijawabnya dengan anggukkan kepala saja.
Sudah tidak berani untuk bersuara setelah dipanggil ‘bodoh’ sebentar tadi.
“Tahu namanya? Tempat tinggalnya? Di mana dia kerja?” bertubi-tubi soalan
itu terpacul dari mulut Muhammad Fattah.
“Tau Tuan Muda,” balas Mazlan sambil menganggukkan kepalanya.
Nasib baik dia dah siasat semuanya. Kalau tidak, sah kena marah lagi.
Seketika kemudian, Mazlan mengeluarkan telefon pintarnya dan terus menghantar
maklumat mengenai Ainul Husna kepada Tuan Muda.
“Namanya Ainul Husna....” ujar Muhammad Fattah sambil membaca maklumat yang
diberikan oleh Mazlan sebentar tadi.
“Kerja di...kedai kek?” tanyanya pada Mazlan. Nadanya itu seakan terkejut
dengan maklumat itu.
“Ya, Tuan Muda.”
“Boleh tahan samsengnya, siap halau kau pakai penyapu,” komen Muhammad
Fattah pula. Sambil anak matanya terarah pada maklumat yang seterusnya.
Beberapa keping gambar pula yang kelihatan.
“Ini ke dia?” soal Muhammad Fattah lagi sambil memandang pada Mazlan
sekilas.
“Ya, itulah Ainul Husna,” balas Mazlan sambil menganggukkan kepalanya.
Seketika kemudian, anak mata Muhammad Fattah kembali terarah gambar seorang
gadis yang bertudung. Kemudian, pandangannya terarah pula pada anak mata gadis
itu. Cantik, bisik hatinya lagi. Anak matanya terus menatap hidung dan seraut
wajah gadis itu yang kelihatan begitu cantik dan ayu. Walaupun gambar itu
diambil secara curi-curi, kecantikan yang dimiliki oleh gadis itu masih lagi
terserlah.
Ternyata, gadis di dalam gambar itu berbeza sekali dengan cerita yang
disampaikan oleh Mazlan sebentar tadi. Seolah-olah ia merupakan dua orang yang
berbeza sahaja. Dari gambar itu, Muhammad Fattah langsung tidak dapat mengagak
yang gadis itu seorang yang garang dan berlagak seperti samseng.
“Cantiknya,” ujar satu suara. Betul-betul di tepi telinga Muhammad Fattah
yang sedari tadi begitu asyik menatap gambar itu.
Muhammad Fattah tersentak. Lantas, telefon yang berada di tangannya turut
terlepas dari pegangannya. Tanpa membuang masa, dia terus menoleh di sisinya.
“Uncle?” soal Muhammad Fattah yang terkejut apabila melihat Uncle Lim
berada di sisinya.
Uncle Lim yang menyedari Muhammad Fattah yang
terkejut itu, hanya tersenyum tipis. Seketika kemudian, dia tunduk untuk
mengambil telefon Muhammad Fattah yang terjatuh sebentar tadi. Buat seketika,
anak matanya terarah pada gambar seorang gadis yang lengkap bertudung di dada
skrin telefon itu.
“Cantik,” ujar Uncle Lim lagi sambil menyerahkan telefon
itu kepada Muhammad Fattah.
“Tapi....dia bukan cita rasa Tuan Muda,” sambung Uncle Lim
lagi.
Anak mata Muhammad Fattah sudah pun membulat dengan kata-kata Uncle
Lim itu. Hai, sejak bila pulak UncleLim ni ambil tahu gadis ini
cita rasa aku ke tak?
“Cita rasa Tuan Muda kan seksi, pisau cukur dan yang paling penting mesti
pandai menggoda,” komen Uncle Lim lagi apabila perasan riak
wajah Muhammad Fattah yang seakan terkejut dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Eh, uncle ni? Saya diam makin sedap mengata ya?”
“Tak betul apa yang unclecakap?”
Muhammad Fattah terdiam. Malas hendak berbalas kata dengan orang tua tu
kerana sudah tentunya dia yang kalah. Apa yang dikatakan oleh Uncle Lim
sebentar tadi, memang ada benarnya juga. Tapi, hairan...kenapa dia masih mahu
menghabiskan masanya dengan mereka jika dia sudah mengetahui yang semua gadis
itu hanya inginkan kemewahannya saja?
“Ini penyelamat sayalah,” beritahu Muhammad Fattah yang mahu mengelak dari
menjawab soalan yang diajukan oleh Uncle Lim itu.
Giliran Uncle Lim pula yang terkejut dengan kata-kata Tuan Mudanya itu.
“Itu gadis yang menyelamatkan Tuan Muda?” tanya Uncle Lim sambil
menunjukkan pada telefon Muhammad Fattah.
“Ya.”
“Bila Tuan Muda nak jumpa dengan dia?” soal Uncle Lim lagi.
Wajah Muhammad Fattah sudah berkerut tebal. Terus dia mengalihkan
pandangannya pada Uncle Lim.
“Mana uncle tahu yang saya nak jumpa dengan dia?”
Seingatnya, hanya Mazlan sahaja yang tahu perihal itu.
“Tuan Muda kan tak suka terhutang budi, sudah tentulah Tuan Muda arahkan
orang untuk mencari penyelamat tu kan? Kalau tidak, mustahil Tuan Muda berjaya
dapatkan gambar dan maklumat dia ni.”
Muhammad Fattah tergelak dengan kata-kata Uncle Lim itu. Ternyata, dalam
dunia ni hanya Uncle Lim sahajalah yang memahami dirinya itu.
“Saya tak pasti dapat jumpa dengan dia ke tak.”
“Kenapa? Ada juga orang yang tak mahu berjumpa dengan Muhammad Fattah?”
soal Uncle Lim yang seakan tidak percaya dengan jawapan yang diberikan oleh
Tuan Mudanya itu.
Biar betul? Tak mahu berjumpa dengan Tuan Mudanya, umpama orang itu juga
menolak tuah.
Muhammad Fattah tidak terus menjawab pertanyaan Uncle Lim itu. Sebaliknya,
dia terus menatap seraut wajah yang berada di dada telefonnya itu.
“Macam tak percaya kan, uncle? Tapi, itulah hakikatnya.”
Satu keluhan berat dilepaskan. Seketika kemudian, dia mengalihkan
pandangannya pada Mazlan.
“Saya tak tahulah apa yang Mazlan ni cakapkan, sampai dia halau si Lan ni
dengan penyapu,” ujar Muhammad Fattah dengan tiba-tiba. Sedikit sebanyak, dia
menyalahkan pembantunya itu.
Mazlan yang mendengar kata-kata majikannya itu hanya mampu membisu. Tidak
berani untuk melawan bersuara, meskipun dia merasakan tuduhan itu tidak berasas
sama sekali.
“Uncle ada idea. Tapi, tak tahulah Tuan Muda setuju atau tidak,” ujar Uncle
Lim secara tiba-tiba. Senyuman juga sudah mula terukir di wajah tua itu.
Anak mata Muhammad Fattah dan Mazlan terus terarah pada Uncle Lim itu. Hati
mereka sudah mula digaru dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Entah
idea apalah yang dikatakan oleh Uncle Lim itu sehinggakan dia sudah tersenyum
lebar seperti itu.