Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
40,130
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 5]

BAB 5

“Tuan Muda...” panggil Uncle Lim perlahan apabila melihat Muhammad Fattah mula bergerak-gerak.

Tanpa sedar, ada air jernih mula mengalir dari kelopaknya. Sejak dia mendapat tahu berita Tuan Muda ditimpa kecelakaan, hatinya tidak pernah tenang. Malah, dia tidak pernah jauh dari Tuan Muda sejak dia di masukkan ke hospital dan tidak sedarkan diri selama dua hari berturut-turut.

“Tuan Muda....” panggil Uncle Lim lagi setelah panggilannya tadi tiada sahutan daripada Muhammad Fattah.

Uncle?” soal Muhammad Fattah yang baru perasan Uncle Lim yang berada di sisinya itu. Seketika kemudian, anak matanya memandang keadaan sekeliling. Bau ubat yang tidak menyenangkannya juga dapat dihidunya.

“Saya kat mana ni?” tanya pula pada Uncle Lim.

“Hospital. Dah dua hari Tuan Muda tak sedarkan diri,” ujar UncleLim. Terus dia menghulurkan segelas air kosong buat Muhammad Fattah.

Kata-kata Uncle Lim itu membuatkan kening Muhammad Fattah bertaut.

“Hospital? Apa yang sudah berlaku pada saya?”

“Tuan Muda tak ingat?” soal Uncle Lim pula.

Kalau Tuan Muda tak ingat, siapa lagi yang dapat memberitahu apa sebenarnya yang sedang berlaku?

“Kata doktor, Tuan Muda dibelasah teruk. Tuan Muda ingat atau kenal siapa yang lakukan ni?”

Muhammad Fattah terdiam. Dia cuba untuk mengingati kejadian yang telah berlaku padanya. Dibelasah? Tapi...siapa pula yang membelasahnya? Seingatnya, selepas berjumpa dengan pakcik, dia keluar menjemput Zetty....

“Lantak youlah! Tapi, kalau dah kena belasah nanti, jangan kata I tak ingatkan you pulak!”

Zetty? Terus dia teringatkan kata-kata yang diberikan oleh gadis itu, sebelum dirinya dikejar oleh beberapa orang lelaki yang membawa parang dan kayu besbol.

Tak guna Zetty! Sebab kau, aku pula yang dibelasah! Dasar perempuan murahan!

“Tuan Muda dah ingat?” tanya Uncle Lim lagi setelah melihat wajah Muhammad Fattah yang sudah merah padam. Bagaikan sedang menahan rasa amarahnya.

“Teman lelaki Zetty,” balasnya ringkas. Menyebut sebaris nama itu juga membuatkan rasa marahnya pada gadis itu semakin meluap-luap.

“Zetty? Sia...pa tu? Teman wanita Tuan Muda?”

Perlahan-lahan Muhammad Fattah menganggukkan kepalanya. Mengiakan kata-kata Uncle Lim itu. Sekejap lagi, terpaksa tadah telingalah dia.

“Itulah Tuan Muda! Kan saya dah cakap, jangan main dengan perempuan ni. Bahaya! Tapi Tuan Muda tak dengar. Degil!” bebel Uncle Lim pula. Perasaan geramnya terhadap sikap Tuan Muda yang suka bertukar-tukar teman wanita itu akhirnya terluah juga.

Kan? Dah agak dah, getus Muhammad Fattah sambil menggorek-gorek lubang telinganya.

“Uncle Lim pergilah rehat, biar saya yang jaga Tuan Muda,” usul Mak Ani yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.

Uncle Lim angguk, tanda setuju dengan cadangan itu kerana badannya juga sudah penat. Dua hari bersengkang mata menjaga Tuan Mudanya itu.

*******************************************************************************

Sedikit sebanyak, Muhammad Fattah sudah boleh menarik nafas lega dengan penjelasan Mak Ani itu. Dia benar-benar tidak menyangka yang dirinya dibelasah sebegitu teruk sama sekali oleh teman lelaki si Zetty. Sehinggakan tangan kanannya retak, kaki kirinya patah, tangan kiri dan badannya pula sudah berbalut. Patutlah dia terasa sakit lain macam. Yang peliknya, baru sekarang dia terasa sakit. Tambah-tambah lagi jika dia terbatuk. Pasti rasa sakit itu semakin dirasai.

“Masa Tuan Muda mula-mula dimasukkan ke hospital, keadaan Tuan Muda agak teruk jugak. Doktor cakap, kalau Tuan Muda lambat dibawa ke hospital nyawa mungkin terancam.”

Muhammad Fattah terus memandang pada wajah Mak Ani. Nyawanya....mungkin terancam jika terlambat di bawa ke hospital? Nampaknya, dia terhutang budi pada insan yang telah menyelamatkan dirinya. Dan hutang budi itu harus di balas walau apa cara sekalipun. Itu nekad Muhammad Fattah.

“Mak Ani tau siapa yang selamatkan saya?”

Mak Ani terdiam. Cuba mengingati kembali kata-kata Uncle Lim tempoh hari. Rasanya, Uncle Lim pernah memberitahu padanya. Wajahnya juga sudah berkerut tebal.

“Mak Ani tau tak?” desak Muhammad Fattah lagi.

“Kalau tak silap Mak Ani. Seorang gadis yang selamatkan Tuan Muda.”

Muhammad Fattah terdiam seketika. Gadis?

“Tahu macam mana nak hubungi dia? Nama dia? Tempat tinggal dia?” bertalu-talu soalan itu terpacul dari mulut Muhammad Fattah.

Mak Ani yang mendengarnya, hanya mampu menggeleng lemah.

Muhammad Fattah mengeluh perlahan. Macam mana dia nak cari gadis itu, jika dia tidak pernah melihat orangnya?

“Mak Ani, Mazlan mana? Suruh dia datang sini, sekarang jugak!”

Kening Mak Ani sudah bertaut.

“Tapi, bukan ke...?” Kata-kata Mak Ani terhenti di situ. Wajah tegang Tuan Mudanya membuatkan dia teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.

“Ya! Nanti Mak Ani suruh Mazlan datang.”

“Sekarang Mak Ani!” arah Muhammad Fattah lagi.

“Ah, ya! Ya! Mak Ani panggil Mazlan sekarang jugak.”

Tanpa membuang masa, Mak Ani bergegas mahu meninggalkan bilik majikannya itu. Muhammad Fattah yang melihat gelagat Mak Ani sudah berkerut tebal.

“Mak Ani nak pergi mana tu?”

“Panggil Mazlan.”

“Telefonlah Mak Ani,” ujar Muhammad Fattah sambil menggelengkan kepalanya. Pelik dengan sikap Mak Ani yang kelihatan seperti menggelabah itu.

“Ah, ya tak ya jugak,” balas Mak Ani sambil tergaru-garu kepalanya. Seketika kemudian, dia mengeluarkan telefonnya untuk menelefon kepada Mazlan seperti yang diarahkan oleh Muhammad Fattah sebentar tadi.

********************************************************************************

“Tuan Muda panggil saya?” tanya Mazlan saat kakinya melangkah memasuki bilik Muhammad Fattah.

Buat seketika, anak matanya terpaku pada Muhammad Fattah yang terlantar di atas katil. Badannya pula penuh dengan balutan. Tidak cukup dengan itu, tangan kanan dan kaki kirinya pula bersimen.

Hui, teruk jugak Tuan Muda ni kena belasah.

Berita yang mengatakan Tuan Muda dibelasah pun baru diketahui oleh Mak Ani yang menelefonnya semalam. Entah apa yang dimahukan oleh Tuan Muda, sehinggakan mendesak Mak Ani untuk memanggilnya untuk berjumpa secepat yang mungkin.

“Ada tugas untuk kau,” ujar Muhammad Fattah ringkas.

Wajah Mazlan sudah berkerut tebal. Telinganya juga sudah pun dibuka sebesar yang mungkin. Dia tidak mahu terlepas arahan yang akan diberikan oleh Tuan Mudanya itu. Banyak tanya karang, confirm kena marah pula, gumam Mazlan sendirian.

Muhammad Fattah terus mengeluarkan telefon pintarnya. Dan terus menghantar gambar kepada telefon milik Mazlan. Mazlan terus membukanya. Anak matanya terarah pada gambar yang diberikan oleh majikannya itu. Siapa pulak ni?

“Itu gambar Zetty! Aku nak kau siasat teman lelaki betina tu. Lepas tu, aku nak kau tangkap dan bawak dia jumpa dengan aku!”

Mazlan telan liur. Seketika kemudian, dia mengorek-gorek telinganya pula. Tak salah dengar kah dia? Tangkap orang? Dah macam ahli kongsi gelap pulak aku ni.

“Err...Tuan Muda bergurau ke ni?” soal Mazlan dengan suara yang hampir-hampir tidak kedengaran.

“Kau nampak muka aku ni macam tengah bergurau ke?”

Mazlan terus menggelengkan kepalanya.

“Tuan...Tuan Muda nak buat apa dengan teman lelaki perempuan ni?" tanya Mazlan dengan berani. Yalah! Karang, Tuan Muda nak membunuh orang, naya aku. Tak fasal-fasal bersubahat dalam kes bunuh orang.

“Aku nak balas balik apa yang dia dah buat dekat aku.” Seraya dengan itu, anak mata Muhammad Fattah terarah pada tangan dan kakinya yang sudah bersimen.

Dah lah bersimen! Satu badan pulak tu terasa sakit. Tak guna!

“Aku tak kira apa cara sekalipun yang kau guna, kau mesti siasat perkara ini. Dan hanya laporkan kepada aku,” arah Muhammad Fattah lagi.

“Baik, Tuan Muda.”

Susah macam mana sekalipun, Mazlan terpaksa menerima arahan yang diberikan oleh majikannya itu. Asalkan tidak membunuh orang, sudahlah. Baru saja Mazlan menoleh untuk beredar. Tiba-tiba sahaja Muhammad Fattah bersuara.

“Satu lagi, Lan!”

“Apa dia Tuan Muda?”

“Aku nak kau carik orang yang dah selamatkan aku. Kau mesti carik dia sampai dapat! Ini arahan aku!”

Mazlan telan liur. Tuan Muda ni dah gila ke lepas kena belasah? Tak kan orang yang dah tolong dia pun, dia nak marah?

“Tuan Muda nak belasah dia jugak ke?” duga Mazlan pula.

Anak mata Muhammad Fattah sudah membulat.

“Kau dah gila ke Lan? Tak kan aku nak belasah orang yang dah selamatkan aku. Tentulah aku nak balas budi baik dia tu,” marah Muhammad Fattah pula. Apahal dengan si Lan ni? Merepek yang bukan-bukan. Jahat sangat kah dia sampaikan nak membalas tuba pada orang yang sudah berbudi padanya?

Mazlan yang mendengar kata-kata Muhammad Fattah itu, sudah tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tak fasal-fasal, aku pulak yang dikatakan gila.

“Tapi...mana saya nak cari orang yang dah selamatkan Tuan Muda tu?” soal Mazlan spontan pada Muhammad Fattah.

Satu maklumat pun tak ada, macam mana dia nak cari? Ingat ini cari pelakon glamour ke yang senang jumpa dengan bertanya?

“Manalah aku tau. Itu kan kerja kau. Kalau kau tanya aku, buat apa aku upah kau kerja dengan aku?”

Sudahnya Mazlan terdiam dengan sindiran dari majikannya itu.

“Hah, cuba tanya Uncle Lim. Dia pernah cakap dengan gadis tu. Ataupun, kau tanya nurse.”

Tuan Muda pun satu hal! Dah sakit macam tu pun, mulut bising lagi. Patutnya, orang yang belasah Tuan Muda tu belasah sekali mulut Tuan Muda. Barulah tak bising. Ini tak, tanya sikit nak marah, bebel Mazlan dengan panjang lebar.

Tanpa dia sedar, reaksi mukanya juga turut berubah sewaktu hatinya membebel marahkan majikannya. Dan ia dapat dilihat dengan jelas oleh Muhammad Fattah.

“Kau membebel marahkan aku ke Lan? Dah tak nak kerja dengan aku?”

Mazlan tersentak. Anak matanya terus terarah pada wajah Muhammad Fattah yang sedang memandang dirinya. Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya.

“Eh? Ma...mana ada Tuan Muda! Saya...er saya....pergi buat kerja dulu ya...”

Tanpa menanti balasan daripada Muhammad Fattah, Mazlan segera beredar dari bilik yang sungguh menyesakkan nafasnya itu.

Previous: [Bab 4]
Next: [Bab 6]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.