Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
40,127
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 4]

BAB 4

“Hai! Dah lama tunggu I?” sapa Julia sambil dengan wajah yang cukup ceria saat terpandangkan kekasih hatinya itu.

Terus sahaja tangannya melekap pada pinggang lelaki itu. Sehinggakan dia langsung tidak sedar, ada orang lain yang turut berada di situ

“Julia? I...

Jelas, kemunculan Julia yang secara tiba-tiba itu membuatkan Uzair gugup. Apatah lagi dalam keadaan sekarang. Di mana dia tidak keseorangan kerana Ainul Husna turut berada di sisinya.

Ah, mati aku!

Cepat-cepat Uzair menolak tangan Julia yang sudah melekap pada pinggangnya itu. Dan terus beralih tempat dan berdiri di sisi Ainul Husna. Dalam hatinya, dia berharap agar Ainul Husna tidak melihat semua itu. Namun semuanya sudah terlambat kerana ia sudah ditonton oleh Ainul Husna. Dia yakin akan perkara itu, lihat sahajalah riak wajah terkejut Ainul Husna sebentar tadi.

“Julia! Ini...I kenalkan...ini tunang I.” Uzair mengambil peluang itu untuk memperkenalkan Julia dengan Ainul Husna. Atau dalam kata lain, dia mahu Julia sedar siapa gadis yang sedang bersama mereka itu.

Riak wajah Julia terus berubah dengan kata-kata Uzair itu.

Tunang? Terus dia mengalihkan pandangannya pada seraut wajah yang berada di sisi Uzair. Tanpa sedar, dia terus memandang dari atas dan bawah Ainul Husna.

Oh, inilah tunang Uzair? Perempuan yang mahu merampas Uzair daripadanya?

“Er...Husna...kenalkan ini rakan sekerja saya yang baru ditukarkan ke sini. Julia ni....dulu dia belajar di luar negara, lepas tu kerja kat sana lama. Itu yang cara dia...sapa saya lain sikit...” terang Uzair dengan panjang lebar.

Bimbang jika Ainul Husna bersalah sangka kerana melihat cara Julia memeluknya sebentar tadi. Dalam waktu yang sama, dia sempat mengerling pada Julia yang hanya membatu di situ apabila dikenalkan siapa Ainul Husna yang sebenarnya. Sempat dia memberikan isyarat pada gadis itu saat anak mata mereka bertemu.

Julia yang melihat isyarat Uzair itu sudah menggigit bibirnya kuat. Dia mengerti apa maksud isyarat yang diberikan oleh lelaki itu. Jantan tak guna!

“Hai, Husna! Sorry kalau cara I tadi buat you tak selesa. I..masih lagi dalam usaha untuk sesuaikan cara hidup di Malaysia. Maklumlah, dah lama tinggalkan Malaysia,” ujar Julia yang turut memainkan peranannya untuk berbohong pada Ainul Husna. Tangannya terus dihulurkan kepada Ainul Husna sebagai salam perkenalan. Dalam hatinya sudah berbakul-bakul sumpah seranahnya diberikan kepada Uzair.

Ini ke cinta yang dikatakan oleh Uzair? Yang paksa dia berbohong di hadapan tunangnya.

Ainul Husna yang mendengar penjelasan daripada Julia itu hanya menganggukkan kepalanya. Dengan mudahnya, dia mempercayai kata-kata yang diberikan oleh Uzair dan Julia itu. Sedangkan, baru sekejap tadi dia melihat gelagat mereka berdua yang kelihatan mesra.

“Hai, saya Husna,” balas Ainul Husna ringkas sambil membalas salam perkenalan yang dihulurkan oleh Julia.

Anak matanya pula masih lagi menatap seraut wajah milik gadis yang baru diperkenalkan oleh Uzair itu. Entah mengapa, dia merasakan yang ini bukanlah kali pertama mereka bersua. Tapi, di mana dia melihat wajah itu?

“Hei! Kenapa dengan baju you?” tegur Julia pula. Kononnya prihatin.

Soalan Julia itu membuatkan anak mata Uzair turut terarah pada baju Ainul Husna. Baru dia perasan, ada kesan darah pada baju gadis itu. Tadi, dia tidak perasan semua itu kerana terlalu asyik memandang wajah Ainul Husna.

“Darah? Darah apa ni? Awak luka ke?” soal Uzair yang mula merasa bimbang apabila melihat kesan darah itu.

Spontan tangannya sudah melekap pada bahu Ainul Husna. Seketika kemudian, anak matanya memandang tubuh Ainul Husna dari atas hingga bawah. Mahu memastikan yang gadis itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Julia yang melihatnya sudah mula gelisah. Tiba-tiba sahaja dia dihambat dengan perasaan cemburu melihatkan sikap Uzair yang begitu prihatin terhadap Ainul Husna.

“Saya tak apa-apalah. Ini bukan darah saya. Tapi, lelaki yang saya tolong tadi,” terang Ainul Husna sambil tersenyum. Lucu pula melihat reaksi Uzair yang jelas kerisauan itu. Padahal, sudah lama juga dia berbual dengan lelaki itu. Tak kan tak perasan kot?

Perlahan-lahan, Ainul Husna menolak tangan Uzair yang masih lagi melekat di bahunya.

“Betul ni?” tanya Uzair lagi yang mahukan kepastian daripada gadis itu.

“Betul.”

Bunyi suara orang yang batuk kecil, membuatkan Ainul Husna dan Uzair menoleh pada Julia.

“Macam mana dengan I? Jadi tak keluar makan?” soal Julia yang sudah tidak dapat menahan rasa cemburunya dan cuaknya pada Ainul Husna. Kerana gadis itu, dia sudah diabaikan oleh Uzair.

Tanpa menjawab pertanyaan Julia, Uzair menoleh pada Ainul Husna.

“Awak datang dengan apa tadi? Jom, saya hantarkan awak balik!”

Lagi sekali Julia menghadiahkan sumpah seranah buat Ainul Husna dan Uzair. Soalan dia langsung tidak dijawab oleh Uzair, sebaliknya dia lebihkan perempuan tak guna tu lagi!

“Eh, tak apalah. Lagipun, awak dah janji dengan Julia tu. Saya boleh balik sendiri,” cepat-cepat Ainul Husna menolak pelawaan Uzair itu. Dia dapat melihat riak Julia yang sudah berubah bila Uzair mempelawa untuk menghantarnya pulang.

Eh, kejap! Uzair ni tunang aku ke dia? Asal dia nak buat muka macam tu, bila Uzair nak hantar aku pulang?

Penolakan Ainul Husna itu membuatkan Uzair menoleh pada Julia.

“Kita makan lain kali ya?”

“Uzair!” panggil Ainul Husna dan Julia serentak. Mereka berpandangan buat seketika.

Uzair tersentak apabila Ainul Husna menarik lengan bajunya. Meskipun begitu, dia tetap mengekori langkah Ainul Husna yang menjauhi Julia.

“Kenapa?” soal Uzair yang merasa hairan dengan tindakan Ainul Husna itu.

“Tak eloklah awak buat macam tu. Lagipun, awak kan dah janji nak makan dengan dia?” Ainul Husna merasa serba-salah pula. Kerana kehadiran dia yang tiba-tiba, dia sudah membuatkan Uzair seorang lelaki yang mungkir dengan janjinya.

“Tak ada apalah. Lagipun makan saja. Saya hantar awak balik ya? Kita pergi jalan-jalan dulu ke?” ajak Uzair lagi.

Ajakan Uzair itu membuatkan Ainul Husna terdiam buat seketika. Dia mengerling sekilas pada Julia yang sudah pun memeluk tubuh itu. Wajahnya juga sudah merah mencuka.

“Ginilah wak. Awak hantarkan saya balik, lepas tu awak pergilah makan dengan Julia.”

Cadangan Ainul Husna itu, membuatkan air muka Uzair berubah.

“Awak...suruh saya keluar makan dengan dia? Tak apa ke?” soalnya pula.

“Apa tak bolehnya?”

“Tak cemburu?”

“Tak kan keluar makan dengan kawan sekerja pun, saya nak cemburu?”

Sudahnya, Uzair yang terdiam. Kejujuran kata-kata Ainul Husna itu membuatkan dia dihimpit dengan perasaan bersalah. Agaknya, apa jawapan Husna jika dia tahu siapa Julia yang sebenarnya? Mahu kah dia izinkan aku keluar makan bersama Julia? Ataupun, cemburu kah dia?

Sampai sahaja pada kereta Uzair, Julia terus melangkah pada pintu penumpang di bahagian hadapan. Dengan selamba, dia terus melabuhkan punggungnya di situ. Tindakannya itu, membuatkan Uzair mengetap bibir. Dia benar-benar tidak menyangka yang Julia akan bertindak berani sebegitu.

“Julia! You buat apa ni?”

“Apa yang I buat?” tanya Julia yang berlagak tidak tahu apa-apa.

You duduk belakanglah, biar Husna yang duduk depan,” balas Uzair sambil menahan nada suaranya.

Dia bimbang jika Ainul Husna dapat mengesan apa sebenarnya yang sedang berlaku ketika ini. Tiba-tiba sahaja Uzair jadi malu untuk berhadapan dengan Ainul Husna. Entah apalah yang difikirkan gadis itu nanti.

OMG! Ilupa tunang you ada sini.”

Julia terus menutup mulut dengan tapak tangan kanannya. Konon-konon terlupa yang tempat itu sepatutnya diduduki oleh Ainul Husna yang merupakan tunang Uzair. Dan dia..hanyalah kekasih gelap lelaki itu sahaja. Statusnya hanya diketahui oleh Uzair sahaja. Bukan Ainul Husna ataupun orang lain.

Seketika kemudian, dia menoleh mencari wajah Ainul Husna.

“Husna, you nak duduk depan ke?” tanyanya pula pada Ainul Husna. Langsung dia tidak menghiraukan wajah Uzair yang sudah merah padam itu.

“Eh, tak apalah! Saya duduk mana-mana pun tak apa,” sahut Ainul Husna yang sudah pun melabuhkan punggungnya di tempat belakang.

Perasaan Uzair semakin membengkak dengan sikap Julia yang agak keterlaluan itu. Sudahnya, Ainul Husna pula yang terpaksa mengalah dengan gadis itu. Sedangkan, Ainul Husna ialah tunangnya. Dan Julia pula...bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Tanpa sedar, dia sudah pun menjeling tajam pada Julia yang berada di sisinya itu.

Sepanjang perjalanan, hanya kebisuan yang menemani mereka. Masing-masing seakan sedang melayan perasaan sendiri. Manakala Ainul Husna pula, kepalanya sedang berhempas pulas untuk mengingati sesuatu.

Rasanya dia pernah melihat wajah Julia. Di mana ya? Tapi, benarkah dia pernah melihat wajah Julia? Ataupun hanya perasaannya saja hanya kerana cemburu melihat dia bersama Uzair? Cemburu? Hish! Biar betul?

Ainul Husna terus menggelengkan kepalanya. Kononnya, mahu mengusir anasir-anasir jahat yang sedang bermain di fikirannya sebentar tadi. Seketika kemudian, anak mata Ainul Husna bersatu dengan anak mata Uzair yang sedang mencuri pandang padanya dengan menggunakan cermin pandang belakang. Bibir Ainul Husna terus mengukir senyuman buat lelaki itu. Lelaki yang selama ini selalu berada di sisinya, sewaktu senang dan susahnya. Dan lelaki itulah juga yang berjaya menambat sekeping hati miliknya. Tak salah bukan kalau dia turut mempunyai perasaan cemburu, jika melihat tunangnya itu rapat dengan perempuan lain?

Previous: [Bab 3]
Next: [Bab 5]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.