Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
40,137
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 2]

BAB 2

Anak mata Ainul Husna terpaku pada papan tanda yang tertera di hadapannya. Buat seketika, kenangan lalunya kembali mengusik fikirannya. Itulah tempat, di mana dia pernah menabur khidmatnya saat dia diperlukan sewaktu ketika dahulu.

“Cik! Cik!” panggil satu suara.

Ainul Husna tersentak. Hilang sudah kenangan lamanya yang bermain di kotak ingatannya sebelum ini.

“Saya?”

Gadis itu tergamam dengan apa yang dilihatnya. Wajahnya juga sudah berkerut tebal.

“Er...cik kan yang bawak pesakit tadi?” tanyanya teragak-agak pada Ainul Husna.

“Ah, ya saya.”

“Cik boleh isi borang untuk daftarkan pesakit tu? Isikan nama pesakit itu serta maklumat peribadinya.”

Ainul Husna terdiam buat seketika. Sambil kepalanya cuba mencari alasan yang masuk akal.

“Macam mana ya? Saya tak kenal dengan lelaki itu. Saya terjumpa dia tak sedarkan diri,” terang Ainul Husna pula.

Giliran gadis itu pula terdiam dengan jawapan Ainul Husna. Macam mana ni? Sudah la pesakit itu tiada pengenalan diri.

“Kalau macam tu, cik isikan maklumat cik sajalah.”

“Maklumat saya?” tanya Ainul Husna dengan anak matanya yang sudah membulat.

Eh, dia tak pernah tahu pulak macam ni prosedur yang harus di laluinya? Patutlah pakcik itu cuma mahu menghantar saja dan tidak mahu menguruskan pendaftaran. Ah, buat malu saja mengakui diri pernah bekerja di jabatan ini. Benda sekecil ini pun dia tidak tahu.

“Ya, sebab pesakit tu tak ada pengenalan diri. Cik kena isikan maklumat cik sementara tunggu warisnya datang,” terang gadis itu lagi. Yang seakan dapat meneka riak terkejut Ainul Husna sebentar tadi.

“Eh, Doktor Husna? Buat apa kat sini?” tegur satu suara.

Tangan Ainul Husna yang tadinya begitu rancak menulis maklumat dirinya, terus terhenti.

Rasanya sudah lama dirinya tidak dipanggil dengan gelaran sebegitu. Itulah satu-satunya sebab mengapa dia tidak mahu menghantar lelaki itu sebentar tadi. Dia sudah dapat mengagak yang perkara ini akan berlaku.

Perlahan-lahan, Ainul Husna mengangkat wajahnya. Begitu juga dengan gadis yang berada di hadapan Ainul Husna. Dia turut membuang pandang pada pemilik suara yang menegur gadis yang membawa pesakit itu.

Tapi...Dr.Husna? Patutlah wajah tu rasa macamfamiliarsangat, gumam gadis itu lagi.

“Hai, Ziela. Tak sangka jumpa kat sini,” balas Ainul Husna perlahan. Dia memaksa dirinya untuk menghadiahkan senyuman kepada Ziela.

“Apa pulak tak sangka? Kan doktor tahu yang saya kerja kat sini?”

Ainul Husna menggigit bibir. Macam mana pulak dia boleh tersalah kata? Dah memang sah-sah Ziela bekerja kat sini. Lagi mahu tanya soalan macam tu?

“Ya ALLAH! Entah apa la yang saya cakap ni.”

“Doktor buat apa kat sini?” sekali lagi Ziela mengajukan soalan yang sama, setelah soalannya sebentar tadi tidak dijawab oleh Ainul Husna.

“Ataupun....doktor datang untuk berjumpa dengan Doktor Uzair ke?” duga Ziela lagi.

Dengar saja sebaris nama itu, membuatkan Ainul Husna terdiam. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan kejadian yang berlaku tidak lama dahulu. Melihat Uzair berpelukan dengan seorang gadis yang langsung tidak dikenalinya. Tetapi, Uzair menafikannya. Apa benar kata Uzair itu? Ataupun matanya yang tersilap memandang?

Ziela berkerut tebal. Hairan pula melihat Doktor Husna yang sudah termenung jauh itu.

“Doktor...” panggilnya perlahan.

“Eh? Maafkan saya. Sebenarnya saya datang bukan nak jumpa dengan Doktor Uzair. Tadi, saya bawak seorang lelaki yang saya jumpa tak sedarkan diri. Sekarang ni tengah daftarkan lelaki tu,” terang Ainul Husna dengan panjang lebar.

“Oh, ya ke? Patutlah ada kesan darah pada baju doktor ni,” komen Ziela lagi. Seraya dengan itu, dia menunjukkan baju yang dipakai Ainul Husna sudah terkena kesan darah.

Anak mata Ainul Husna turut terarah pada tempat yang ditunjukkan oleh Ziela itu. Terus anak matanya membulat. Langsung dia tidak sedar yang bajunya sudah kotor gara-gara lelaki yang dibantunya tadi.

“Ya ALLAH, kotornya baju saya. Saya pergi tandas kejap ya,” ujar Ainul Husna sebelum mohon untuk beredar dan membersihkan pakaiannya yang sudah kotor itu.

“Doktor, tak nak suruh saya kirim salam sayang rindu pada Doktor Uzair ke?” usik Ziela pula.

Langkah Ainul Husna terhenti. Dipandang wajah Ziela yang sudah tersenyum nakal itu. Perangai Ziela yang suka mengusik dirinya, langsung tidak berubah.

“Boleh jugak kalau awak berani,” balas Ainul Husna pula sambil membalas senyuman nakal Ziela itu.

Dia sedar, Ziela itu hanya tau bercakap saja dan belum tentu gadis itu akan mengatakannya pada Uzair. Dia faham sangat yang gadis itu terlalu takutkan Doktor Uzair.

“Oh, cabar saya ye? Saya dah tak sama dengan Ziela yang dulu,” balas Ziela yang jelas tidak mahu mengalah.

“Tapi kan Ziela, saya tak boleh bayangkan memek muka awak bila berdepan dengan Doktor Uzair tu nanti. Mesti pucat macam mayat kan?”

“Doktor!” Ziela ketap bibir. Dia yang mahu mengusik Doktor Husna, alih-alih dirinya pula yang diusik. Tak patut betul!

Ainul Husna mengekek ketawa apabila melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Ziela itu. Hilang sudah rasa perasaan risau yang bersarang di hatinya sebelum ini. Sangkanya, dia akan dihambat kenangan lalu jika berlama-lama di situ.

Seketika kemudian, Ainul Husna meminta diri untuk membersihkan bajunya yang sudah kotor. Hilang sahaja bayang Ainul Husna daripada pandangan mereka. Bahu Ziela dicuit oleh Siti yang sedari tadi hanya memasang telinganya.

“Siapa tu Kak Ziela?” tanya Siti dengan penuh minat. Apatah lagi apabila mendengar Ziela memanggil gadis itu dengan pangkal nama ‘doktor’. Lagilah hatinya berminat untuk mengetahuinya.

Ziela terus memandang pada Siti. “Siapa? Yang tadi tu? Itu Doktor Ainul Husna.”

“Doktor Husna?”

“Ya! Dia dulu pernah kerja kat sini.”

Mata Siti sudah membulat. Jadi, tidak salahlah pandangan matanya yang terasa seakan mengenali seraut wajah itu. Doktor Husna...Doktor Uzair? Tiba-tiba sahaja dia teringat pada sesuatu. Jangan-jangan...itulah doktor yang dikatakan tunang Doktor Uzair dan ada kaitan dengan kejadian yang pernah berlaku di Jabatan Kecemasan dahulu.

“Oh, itu ke doktor yang sebabkan kejadian...”

“Tak payahlah cakap fasal tu lagi,” potong Ziela pantas yang seakan dapat mengagak soalan apa yang mahu ditanya oleh gadis itu.

“Inikan tempat kerja, tak payahlah nak bergosip pula,” sambungnya lagi. Dalam diam, sempat juga dia menyindir Siti itu. Pada Ziela, orang yang tak tahu apa-apa seperti Siti tidak layak untuk bercakap tentang kejadian itu. Noktah!

Tanpa mereka sedari, perbualan mereka itu turut didengari oleh Ainul Husna yang kebetulannya mahu berpatah balik pada mereka. Niatnya, untuk memberi telefon milik lelaki yang dibantunya tadi turut terbantut. Tanpa disedari, satu keluhan kecil dilepaskan oleh Ainul Husna. Skrin telefon pintar yang sudah retak itu, dipandang lagi.

Ainul Husna menarik nafas panjang. Cuba memberikan kekuatan untuk dirinya sendiri. Kemudian, dia terus melangkah ke arah kaunter pertanyaan. Langsung terlupa niatnya yang mahu membersihkan bajunya yang kotor.

“Er...hai! Ziela mana ye?” soal Ainul Husna apabila tidak melihat kelibat Ziela di kaunter tersebut.

“Katanya nak cari Dr.Uzair.”

“Hah?”

Biar betul si Ziela ni? Tak kan dia nak pergi kirim salam sayang rindu pada Uzair? Mati aku!

“Ni telefon milik lelaki yang saya bawakan tadi. Warisnya pun saya dah hubungi. Kejap lagi dia sampai,” pesan Ainul Husna pada Siti sebelum dia cepat-cepat meminta diri untuk beredar. Niatnya mahu mencari Ziela dan menghalang gadis itu daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Apa kata Uzair nanti bila dia dengar pesanan nakal daripada Ziela tu? Ah, malunya aku! Kirim salam sayang rindu? Walhal depan Uzair, payah sekali dia hendak mengatakannya.

Previous: [Bab 1]
Next: [Bab 3]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.