BAB 1
Ainul Husna
mengenakan blaus yang berwarna hijau pucuk pisang dan digayakan dengan jeans yang tersarung di badannya. Sesekali,
tangan kanannya membetulkan tudung yang dipakainya. Dia lebih selesa untuk
berpakaian ringkas serta sopan sebegitu. Tanpa mempedulikan orang lain yang
masih lagi menanti bas, dia pula terus melemparkan pandangannya ke hujung sana.
Sesekali, dia mengeluh kecil. Meskipun begitu, pandangan matanya langsung tidak
berganjak dari terus menatap bangunan tinggi itu. Sehinggakan kesibukan jalan
raya di hadapannya juga, tidak berjaya untuk mengganggu tumpuannya itu.
Ainul Husna
tersentak. Perlahan-lahan, dia mengangkat tangannya. Lalu, hujung jari
telunjuknya menyentuh air yang baru menitis pada wajahnya. Hujan?
Perlahan-lahan, kerutan tebal mula terukir di wajah Ainul Husna. Air yang sudah
melekat pada hujung jari telunjuk digosok-gosok pula dengan ibu jarinya.
“Air apa pula
ni? Merah betul, macam darah saja,” komennya perlahan.
Darah? Dengar
saja perkataan itu, Ainul Husna terus mengangkat wajahnya. Mahu mencari dari
mana datangnya darah itu.
Pandangan
Ainul Husna kini terarah pada seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya.
Tangan lelaki itu pula dilihatnya sedang memegang erat pada tiang perhentian
bas itu. Seperti mahu menampung tubuhnya. Wajah lelaki itu pula tidak dapat
dilihat dengan jelas kerana terlindung pada lengannya yang sedang memegang
tiang.
Darah tadi,
milik dia ke? Terlontar persoalan itu di hati Ainul Husna.
Anak matanya
terus terarah pada lelaki itu. Lama dia memerhatikan lelaki itu. Sehinggalah pandangannya terhenti pada tangan lelaki itu. Darah...? Banyaknya darah!
Ainul Husna
telan liur. Tiba-tiba sahaja dia jadi bingung dan tidak tahu apa yang harus
dilakukan dalam keadaan sebegini. Malah, perasaannya juga sudah mula
bercampur-baur. Di antara rasa takut, bimbang dan juga kasihan. Semuanya
bergabung menjadi satu.
Seketika
kemudian, dia mengalihkan pandangannya pada keadaan sekeliling. Mengharapkan
ada insan yang tampil untuk membantu lelaki itu kerana dia sendiri tidak tahu
apa yang harus dilakukannya. Sekali lagi, anak mata Ainul Husna membulat.
Kosong? Mana perginya orang ramai tadi? Yang tinggal sekarang hanyalah dia dan
lelaki itu sahaja.
Ainul Husna
telan liur lagi. Apa yang harus aku buat? Tanpa membuang masa, dia terus
mengalihkan pandangannya pada lelaki itu yang langsung tidak bergerak.
“En...encik...tak
apa-apa ke?” soal Ainul Husna dengan suara yang hampir-hampir tidak kedengaran.
Gara-gara perasaan takut yang dirasainya ketika ini, melebihi segalanya.
Senyap! Tiada
jawapan yang diberikan oleh lelaki itu.
“Encik....”
panggil Ainul Husna lagi. Kali ini, dia memberanikan diri untuk mencuit lelaki
itu. Gara-gara tindakannya, pegangan lelaki itu pada tiang turut terlepas. Dan
tubuh lelaki itu mula terhuyung-hayang, seperti menanti masa untuk tumbang.
“Eh?”
Ainul Husna
yang terkejut dengan keadaan itu, terus bangkit. Secara spontan, tangannya juga
sudah dihulurkan pada lelaki itu. Kononnya mahu menyambut tubuh lelaki itu.
Padahal, saiz badan lelaki itu dua kali ganda lebih besar darinya.
Namun begitu,
lelaki itu sempat mengawal tubuhnya dari tumbang. Tangannya kembali menggapai
tiang perhentian bas itu. Ainul Husna tarik nafas lega. Sangkanya tadi, lelaki
itu tumbang gara-gara dia.
Karang, tak
fasal-fasal pula dia kena marah.
Pak!
Ainul Husna
tersentak buat kali kedua. Lengannya sudah dipegang oleh lelaki itu. Erat. Dia
mula menggelabah. Perasaan bimbang mula dirasainya. Terus dia teringat akan
kes-kes jenayah yang sedang berleluasa. Wajah orang tuanya juga sudah tergambar
di fikirannya.
Dengan
pantas, Ainul Husna menepis tangan lelaki itu daripada terus melekat pada
lengannya. Kemudian, dia menolak tubuh lelaki itu dengan sekuat yang mungkin.
Tanpa membuang masa, Ainul Husna mula membuka langkah seribu. Dia mahu
cepat-cepat beredar dari situ. Dia sudah tidak sanggup menanggung sebarang
risiko lagi. Nyawanya juga mungkin menjadi taruhan.
Namun begitu,
baru beberapa langkah yang diambil. Dia berhenti. Tiba-tiba sahaja dia rasa
seperti ada yang tidak kena. Seketika kemudian, dia menoleh untuk melihat
lelaki tadi. Dilihatnya lelaki itu yang sudah pun jatuh terlentang, gara-gara
ditolaknya sebentar tadi. Malah, sikit pun tidak bergerak.
“Alamak! Dah
mati ke? Bukan aku tolak kuat pun.”
Jantung Ainul
Husna mula berdegup kencang. Pelbagai jenis andaian mula bermain di benaknya.
Dengan
teragak-agak, Ainul Husna terus mengatur langkah untuk menghampiri lelaki itu.
Dilihatnya tubuh lelaki itu dipenuhi dengan luka dan darah. Malah, pakaian
lelaki itu juga tidak terkecuali menjadi mangsa. Sehinggakan, koyak sana-sini.
Daripada pemerhatian Ainul Husna, lelaki itu seperti baru sahaja terlibat dalam
pergaduhan yang teruk.
“Encik...”
panggil Ainul Husna. Seperti tadi, tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki
itu.
“Encik....!”
panggil Ainul Husna lagi. Kali ini nadanya lebih kuat dari tadi.
Malah, Ainul
Husna juga menepis kaki lelaki itu dengan hujung kakinya. Beberapa kali juga,
dia melakukannya gerakan yang sama. Seperti tadi, tiada respons yang diberikan
oleh tubuh kaku itu. Ainul Husna mula rasa tidak senang dengan keadaan itu.
“Apa yang harus
aku buat ni?”
Ainul Husna
pandang kiri dan kanan. Mencari orang yang mungkin dapat membantu lelaki itu.
Kosong! Maknanya, hanya dia sahaja yang dapat membantu lelaki itu. Dia menarik
nafas panjang, kemudian dia melutut di sisi lelaki itu. Tangan lelaki itu,
segera digapainya. Kemudian, dia meletakkan jarinya pada pergelangan tangan
lelaki itu.
Masih ada
denyut nadi, bisiknya perlahan.
Tanpa
membuang masa, Ainul Husna terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Belum pun
sempat dia membuat panggilan, dia dikejutkan dengan suara yang menegurnya.
“Kenapa ni,
nak?” tanya seorang yang agak berusia. Sambil anak matanya terarah pada tubuh
kaku di sisi Ainul Husna.
Saat itu
jugalah, baru Ainul Husna sedar yang dirinya sekarang tidak keseorangan lagi.
Malah, sudah ada beberapa orang yang sedang mengelilingi dirinya. Masing-masing
bagaikan berminat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
“Kenapa
dengan dia?”
“Banyaknya
darah.”
Meskipun
begitu, Ainul Husna tetap kesal dengan apa yang sedang berlaku. Mereka cuma
berminat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Malah, tidak ada seorang pun
yang mahu menghulurkan bantuan buatnya. Tidak ada juga insan yang sudi
menelefon pihak yang sepatutnya.
“Dia tak
sedarkan diri. Pakcik ada kereta? Boleh hantarkan ke hospital?” soal Ainul
Husna pada pakcik itu pula.
“Hah, ada.
Jomlah, kita bawak dia ke hospital. Tapi, anak kena ikut juga. Nanti urusan
pendaftaran semua, anak yang kena buat,” usul pakcik itu pula sambil
melontarkan pandangannya pada Ainul Husna.
Riak wajah
Ainul Husna terus berubah.
“Tapi, saya
tak kenal dengan dia.” Ainul Husna cuba beralasan. Bukan dia tidak mahu
membantu lelaki itu. Tetapi, dia mempunyai alasannya sendiri mengapa dia
berkata begitu.
“Pakcik pun
tak kenal dengan dia,” balas pakcik itu lagi. Jelas, dia juga tidak mahu
mengalah dengan Ainul Husna.
Sudahnya,
Ainul Husna terdiam seribu bahasa.
“Yalah
pakcik,” ujarnya dengan berat hati.
“Boleh tolong
angkat dia?” soalnya pada orang ramai.
Dengan
bantuan orang ramai, mereka berjaya mengangkat tubuh lelaki yang kaku tidak
sedarkan diri itu. Lalu, dibawanya pada kereta yang dimiliki oleh pakcik yang
memperkenalkan dirinya sebagai Pak Musa itu.
“Perlahan-lahan,”
pesan Ainul Husna, saat orang ramai mahu meletakkan tubuh lelaki itu ke dalam
kereta. Kepala lelaki itu pula diletakkan pada ribaan Ainul Husna yang sudah
pun menanti di dalam kereta.
Terus Ainul
Husna menggapai lengan lelaki itu. Dan seperti yang dilakukan tadi, dia
meletakkan jarinya pada pergelangan tangan lelaki itu. Sambil anak matanya
terarah tepat pada jarum jam yang terlilit kemas di pergelangan tangannya.
Sesekali,
anak mata Pak Musa mencuri pandang pada tindakan Ainul Husna itu. Apa yang dia
buat tu?
“Pak Musa!
Kita kena cepat!” jerit Ainul Husna dengan tiba-tiba.
Pak Musa yang
tadinya mengelamun panjang, tersentak.
“Kenapa?”
soal Pak Musa.
“Denyutan
nadinya semakin perlahan. Kita kena cepat Pak Musa,” ujar Ainul Husna lagi.
Seketika
kemudian, Ainul Husna mengalihkan pandangannya pada lelaki yang kaku di atas
ribaannya itu. Sedikit sebanyak, perasaan risaunya turut tertumpah buat lelaki
itu. Dan jauh di sudut hatinya, dia berdoa agar tiada apa yang berlaku pada
lelaki itu.
Dalam waktu
yang sama, dia turut tertanya-tanya apa yang sudah berlaku pada lelaki itu
sebenarnya. Bergaduh? Ataupun dipukul? Dia pandang wajah lelaki itu lagi.
Jangan-jangan....lelaki itu memang terlibat di dalam dunia kongsi gelap?
Samseng?
Gulp! Ainul
Husna telan liurnya bila perkataan ‘samseng’ itu mula bermain di benaknya. Bala
apa pula yang aku cari ni?