Home Novel Cinta Dia Lelaki Teragung
Dia Lelaki Teragung
Nkal
18/9/2017 11:06:59
110,677
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Bab 17

       Mereka memilih Taman Metropolitan Kepong sebagai destinasi untuk beriadah pagi ini. Macam biasa orang ramai memenuhi segenap taman ini. Biasalah hari minggu, warga kota akan keluar untuk melakukan riadah samaada bersama teman atau keluarga masing-masing. Tidak terkecuali Zahra dan Adam. Baru satu pusingan Adam berjogging pagi ini, namun badannya masih kuat untuk meneruskan pusingan seterusnya. Tapi tidak pada Zahra.

Badannya sudah terasa penat walaupun baru satu pusingan dia mengikut Adam berjogging. Itu pun tak sampai separuh dia dah minta Adam berhenti. Semput. 

“Sayang ok?” Soal Adam dengan nafas yang agak laju.

“Tak..Zahra dah tak larat. Rasa macam nak semput.” Beritahu Zahra cuba bersuara dalam keadaan nafas yang agak kencang kini.

“Sayang ada semput ke?” Selidik Adam.

Zahra menggeleng-geleng kepalanya.

“Zahra dah lama tak jogging macam ni.”

Adam tertawa. “Ini mesti kes dah lama tak excersise ni.”

Satu jelingan dihadiahkan buat Adam. Nasib baik kau suami aku Adam. Kalau tidak mahu aku tumbuk-tumbuk dada kau tu. Marah Zahra geram.

Memang sudah lama Zahra tidak keluar berjoging seperti ini. Apatah lagi melakukan senaman. Sejak ada kekasih dia lebih banyak menghabiskan masa bersama bekas tunangnya dengan keluar shopping atau makan. Nak jogging? Jauh sekali. Lagipun bekas tunangnya itu bukan jenis suka aktiviti yang mengeluarkan peluh.

“Tak baik marah-marah tau sayang. Nanti cepat berkedut muka sayang yang comel tu.” Pujuk Adam manis. Semanis senyumannya yang bisa mencairkan hati Zahra.

“Tengok. Tudung pun dah senget ini.” Adam menghampiri Zahra lalu membetulkan tudung Zahra. 

Zahra terkesima. Diam. Matanya melihat sahaja perlakuan Adam. Seolah-olah merelakan apa yang Adam lakukan.

“Um baru cantik isteri abang.”

Zahra bagai baru tersedar daripada lamunan setelah mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Adam. 

Ishh apa aku buat ni? 

“Err. Jom kita sambung jogging.” Ajak Zahra menahan rasa malu di hati. Entah apalah yang Adam fikirkan tadi bila dia hanya diam membiarkan Adam membaiki tudungnya? Biasanya dia akan cuba mengelak saat Adam mendekatinya.

“Sayang dah okey ke ni?” 

“Okey. Jom.” 

Zahra memulakan langkah yang terhenti seketika tadi. Pergi dengan perasaan malu yang menebal dalam diri.

“Sayang. Tunggu!” Adam mengejar Zahra.

Ke mana sahaja kau cuba melarikan diri aku tetap akan mengejarmu sayang. Detik hati Adam.

 “Sayang. Jap. Abang nak pergi sana.” Adam menunjuk ke arah tempat menjual makanan dan minuman.

Zahra hanya mengangguk dan menunggu di tempat mereka berhenti tadi. Zahra cuba menarik nafasnya melalui hidung lalu dihembuskan perlahan-lahan melalui mulutnya. Berulang kali dia melakukan sementara menunggu kedatangan Adam.

“Ini untuk sayang.” Adam memberikan sebotol air mineral buat Zahra. Tiba-tiba Zahra teringat detik pertemuan dia dengan Adam satu masa dahulu. Adam pernah memberi dia air mineral untuk melegakan keresahan di hati saat itu. 

Zahra tidak pernah menyangka yang pertemuan mereka saat itu akan menjadikan dia isteri kepada Adam. Sesungguhnya aturan dan rancangan Allah itu penuh dengan rahsia.

“Jom. Kita rehat bawah pokok sana.”

Zahra hanya menurutinya. Mereka mengambil tempat yang agak teduh di bawah sebatang pokok. Jauh sedikit daripada orang ramai.

“Abang. Zahra nak tanya sesuatu boleh?”

Entah kenapa dia terasa ingin bertanya tentang ini pada Adam.

“Apa dia sayang?”

“Sayang tengok banyak koleksi lukisan abang dalam bilik belakang rumah kita. Abang memang minat melukis ke?”

Adam tersenyum setelah meneguk air mineral di tangannya.

“Abang memang minat melukis ini sejak kecil. Lukisan-lukisan itu abang lukis untuk abang letakkan di galeri abang.” 

“Galeri?”

“Ya sayang. Nanti abang bawa sayang jalan-jalan ke galeri abang.” Janji Adam.

Secalit senyuman terukir di bibir Zahra. Sudah dua bulan dia mengahwini Adam tetapi dia tidak pernah tanya tentang Adam alias suaminya sendiri. Kalaulah ada soalan kuiz ‘Sejauh mana anda mengenali suami anda” pasti dia adalah orang pertama yang tersingkir.

“Melukis ini seronok sebenarnya. Semua rasa hati kita boleh diluahkan melalui lukisan. Kalau sayang tengok lukisan-lukisan abang, abang cuba untuk memberitahu sesuatu di dalam setiap satu lukisan itu. Hanya orang yang meminati seni lukisan yang faham abstrak seorang penulis cuba lakarkan.” Panjang Adam memberikan penerangan tentang hidup dan nilai sebuah lukisan yang bagai sudah sebati di dalam dirinya.

“Nanti abang bolehlah beritahu sayang makna setiap lukisan abang tu.” Zahra menawarkan dirinya untuk menjadi pendengar tentang hasil lukisan suaminya.

“Betul ke ni? Sayang nak belajar?” Teruja Adam mendengar penawaran yang diberikan Zahra.

Zahra hanya mengangguk sambil tersenyum.

“Okey. Kalau macam tu ada masa nanti abang ajarkan sayang tentang semua lukisan-lukisan itu.” 

Adam tidak pernah menyangka yang Zahra berminat untuk mengetahui tentang lukisan-lukisannya. Dalam erti kata lain Adam tidak menyangka yang Zahra cuba untuk mengenali hati dia. Walaupun Zahra tidak meluahkannya namun jauh di sudut hati Adam dia dapat merasa semua itu.

“Jom kita balik. Dah nak masuk tengahari ni. Nanti kita singgah makan tengahari dulu.” Ajak Adam bangun dari tempat duduknya.

Zahra turut bangun. Mereka beriringan ke tempat letak kereta.

“Zahra!”

******

“Apa abang buat ni?” Zahra segera mendapatkan Adam yang sudah tersungkur ke tanah akibat ditumbuk oleh Zariel.

“Siapa lelaki ini? Kenapa Zahra ikut dia dan buang keluarga kita? Zahra dah tak sayang mama ke?” Soal Zariel dengan suara yang agak tinggi.

“Zahra tak pernah buang keluarga kita abang. Papa yang buang Zahra.” Beritahu Zahra sebak. Tiba-tiba peristiwa malam itu muncul dalam fikirannya.

“Papa buang Zahra sebab Zahra dah conteng arang kat muka papa dan mama. Sanggup Zahra buat semua itu kan? Kerana lelaki ini Zahra buat mama sedih. Sampai hati Zahra.” Ujar Zariel yang ternyata kecewa dengan adiknya Zahra.

Melihat air mata mamanya, hatinya hancur. Adik yang diharap dapat membahagiakan dan menjaga papa dan mamanya membuat masalah saat dia tiada di pangkuan keluarganya.

“Abang. Biar saya jelaskan dulu.” Adam cuba bangkit. Dia tidak boleh membiarkan Zahra terus dituduh dengan tuduhan melulu.

“Kau nak terangkan apa? Sebab kau merosakkan adik aku? Kau memang lelaki tak guna!” Zariel cuba menumbuk muka Adam selagi lagi namun kali ini dihalang oleh Zahra. Kali ini dia tidak mahu lagi Adam dipukul hanya kerana dia.

“Tepi Zahra. Abang nak ajar lelaki yang dah rosakkan kau!” Marah Zariel tidak berpus hati.

“Abang. Please. Tolong dengar dahulu penjelasan daripada Zahra. Hanya abang yang Zahra ada untuk mempercayai Zahra. Please!” Rayu Zahra tegas.

Mujur kereta mereka agak jauh dan terlindung dari laluan orang ramai. Kalau tidak mahu viral kes pergaduhan mereka ini. Maklumlah sekarang ada sahaja perkara yang tercetus pasti akan diviralkan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab tanpa mengambil kira sama ada berita itu benar atau palsu.

Zariel cuba bertenang sambil menarik nafas sedalam-dalamnya.

Zahra menarik Zariel agak jauh daripada kereta Adam setelah memastikan keadaan Adam stabil semula. Adam hanya membiarkan Zahra bersama lelaki itu. Mungkin dia adalah abang kepada Zahra. Wajah mereka juga nampak seiras. Adam yakin Zahra boleh menyelesaikan masalah ini dengan baik.

Dari jauh Adam boleh melihat gelagat Zahra yang cuba menceritakan sesuatu pada lelaki itu.

“Tolong percaya pada Zahra abang. Zahra sumpah yang Zahra tak pernah buat perkara terkutuk tu. Semua ni fitnah. Tolonglah abang. Hanya abang satu-satunya orang yang Zahra ada untuk percayakan Zahra.” Sayu suara Zahra merayu pada Zariel.

Jelas terpancar kejujuran di balik keayuan mata kecil Zahra. Zariel bagai mendapat satu sinar tatkala menatap anak mata adik kandung kesayangannya itu. Mengapa terlalu berat beban yang terpaksa kau tanggung dik?

“Baiklah. Abang percayakan Zahra. Maafkan abang kerana berkasar dengan suami Zahra tadi. Abang betul-betul tak dapat kawal perasaan marah abang. Abang sedih melihat keadaan mama sekarang. Mama dah tak ceria seperti selalu.” Zariel terpaksa berterus terang tentang keadaan Datin Khadeeja.

“Zahra faham abang. Tapi Zahra tak mampu meyakinkan papa tentang perkara ni. Zahra dah cuba abang. Tapi…” Luah Zahra sedih.

Zariel menyetuh bahu Zahra perlahan. Cuba memberikan aura ketenangan buat adiknya. 

“Sabar Zahra. Abang percayakan Zahra.”

Kalaulah dia tahu siapa yang menabur fitnah pada adiknya, memang nahas orang itu. Zariel bertekad untuk menyiasat perkara ini. Nama baik keluarga mereka harus dibersihkan. Terutamanya nama Zahra Mawaddah. Adik kesayangannya.

“Jom. Kita ke sana. Suami adik pun dah lama tunggu tu.” Ajak Zariel.

Mereka beriringan menuju ke tempat Adam yang setia menanti di sisi keretanya. Bibirnya sudah tampak lebam bekas tumbukan padu yang dihadiahkan Zariel sebentar tadi.

“Maaf atas kekasaran aku tadi.” Pinta Zariel menghulurkan tangan.

Tanpa dendam Adam menyambut tangan Zariel.

“It’s ok. Saya faham perasaan abang. Kalau saya jadi abang pun mungkin saya akan bertindak seperti tadi. Atau mungkin lebih teruk lagi.” Balas Adam.

“Well. Zahra dah ceritakan semuanya pada aku pasal kau. Apapun aku ucapkan terima kasih kerana kau sudi menerima adik aku. Cuma aku harap kau tidak akan mengabaikan dia. Jangan sesekali kau sakitkan hati dia. Aku tak mahu tengok adik aku menderita.” Tegas Zariel mengingatkan Adam.

Adam faham maksud yang cuba disampaikan Zariel. 

“Insha Allah abang. Saya akan jaga Zahra lebih daripada nyawa saya sendiri.” Janji Adam sekilas matanya memandang Zahra.

Hanya senyuman yang mampu Zahra ukirkan. Dia yakin Adam akan mengotakan janjinya itu.

“Baguslah kalau macam tu. Hanya kau yang aku harapkan untuk menjaga adik aku.”

“Zahra. Abang minta diri dahulu. Jaga diri. Kalau ada apa-apa cepat-cepat beritahu abang.” Pesan Zariel sambil diperhatikan oleh Adam. Adam tahu Zariel sangat menyayangi adiknya itu. Adam berjanji pada dirinya sendiri untuk menjaga Zahra sebaik mungkin. Dia tidak akan sesekali mengabaikan wanita yang sudah diamanahkan buat dirinya itu. Semoga Allah memudahkan urusan dia.

“Baik abang. Sampaikan salam Zahra pada mama. Cakap kat mama Zahra minta maaf banyak-banyak.” Luah Zahra sebak. Kerinduaan dia pada Datin Khadeeja sangat mendalam. Seandainya dia diberi peluang untuk berjumpa dengan mamanya, pasti dia akan memeluk erat tubuh wanita yang sangat dirinduinya itu. Namun apakah daya Zahra?

“Zahra jangan risau. Abang akan betulkan keadaan dan tanggapan papa dan mama pada Zahra. Zahra banyakkan berdoa agar dilembutkan hati mereka untuk menerima Zahra.” Pujuk Zariel membelai lembut kepala Zahra.

Zahra mengangguk faham.

“Aku minta diri dulu. Tolong jaga Zahra sebaik mungkin.” Pesan Zariel lagi. Entah untuk keberapa kali. Itu tidak penting, apa yang penting Adam tahu yang dia sangat menyayangi adiknya Zahra. Dia tidak akan membiarkan sesiapa pun melukai hati Zahra termasuk Adam.

“Insha Allah abang.”




Jangan lupa follow saya di IG- nkal1610




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.