Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
10,402
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
34


       Penjaga pintu berpakaian seragam di hotel The Berkeley menyapa mesra sewaktu membukakan pintu utama untuk kami melangkah masuk.  Aku menanggalkan jaket kulit.  Hampir seharian kupakai sewaktu bermesyuarat dan sewaktu melawat model pembangunan rumah komuniti persaraan mewah yang diselenggarakan oleh RV Group.  Terasa agak letih serta berlengas.  Kalau diikutkan hati aku ingin terus pulang ke hotel penginapanku di London Euston.

       Namun Rizal telah terlebih dahulu mengaturkan perjumpaan seterusnya dengan Tan Sri Effendy.  Aku cuba membantah tetapi memandangkan ini adalah urusan kerja, aku turutkan jua mengekori Rizal memasuki ruang lobi mewah hotel lima bintang ini.  Sekurang – kurangnya aku selesaikan urusan ini secepat mungkin dan boleh menumpukan perhatian kepada perkara lain.  Dua hari lagi aku akan bertemu Amelia kembali.  Di kotaraya London ini.  Janjinya sudah disimpul semalam.  Sewaktu suaranya yang lembut berbisik di corong telinga.  Hampir sahaja aku terlena dengan telefon bimbit di kepala. 

      Lengan kemeja putih ini kulipat sambil terus mengekori Rizal menuju ke bilik air tetamu untuk membasuh muka.  

      “Tan Sri baru habis mesyuaratnya.  Dia hendak berjumpa kita di bilik suitenya,” ujar Rizal sambil menyikat rambut. 

      Aku mengikuti Rizal memasuki pintu lif menuju ke tingkat atas.  Setibanya di atas, kami berjalan di koridor yang berkarpet mewah lembut memutih.  Tiba di sebuah pintu besar berwarna putih, Rizal mengetuk dan pintu dibuka dari dalam.  Seorang lelaki muda berpakaian kemeja dan bertali leher mempersilakan kami masuk.  Menurutnya, Tan Sri Effendy masih dalam perjalanan dan akan tiba dalam tempoh sepuluh minit.  Aku menganggap dia adalah pembantu eksekutif Tan Sri melihatkan caranya yang seperti sudah biasa berinteraksi dengan Rizal.

      Kami dibawa ke ruang tamu suite ini.  Menerusi koridor yang menghubungkan kamar bilik tidur dan kamar bilik mandi.  Ruang tamu ini luas dan mempunyai aras siling yang tinggi.  Dinding fabriknya berwarna putih krim.  Begitu juga siling dan set sofa berserta dua buah kerusi duduk utama.  Permaidani malah meja kopinya juga diperbuat daripada fabrik putih lembut.  Memberi kontras yang elegan kepada lantai kayu dan bingkai kayu di sekeliling ruang tamu ini.  Aku menjenguk ke jendela Peranchis yang terbuka menghadap ke taman Hyde Park.  Dari aras yang tinggi ini, aku tidak dapat membezakan rimbunan pokok dan padang rumput di bawahnya.  Semuanya gelap melainkan kawasan laluan pejalan kaki yang diterangi lampu landskap.

      “Aku belum makan lagi, Rizal.  Kau tak laparkah?” tanyaku sambil memerhati lampu – lampu terang yang menghiasi kota London pada malam ini.

      “Lapar juga.  Nantilah kita selesaikan dengan Tan Sri dulu.  Selepas itu kita keluar makan fish and chips,” balasnya.  Kot birunya itu sudah pun ditanggalkan dan dibiarkan bersama beg kecil LV di atas salah sebuah kerusi sofa itu.

      Aku mendiamkan diri.  Terfikir rencana hidupku di London untuk minggu ini.  Lama juga aku akan memakan fish and chips.  Sepanjang penginapan aku di sini nampaknya.  Sehingga bertemu papa dan mama Amelia.  Dan.  Dan.  Selepas itu.  Ah, berdebar pula memikirkannya.

      “Mamat.  Apa ceritanya pasal projek kampus universiti kau tu?  Tadi pejabat telefon aku untuk sokongan penggunaan utiliti jaminan bayaran bank.  Bukankah kita sudah selesai?” Rizal bertanya.  Dia juga turut melipat lengan kemejanya sepertiku.  Lengannya lebih berisi.  Badannya pun lebih bulat dan berisi.

      “Sudah.  Tetapi Dato’ Megat ada masalah sedikit.”

      Rizal memandangku hairan.

      “Dia gagal menyiapkan kontraknya.”

      “Eh, itu masalah dialah.  Kenapa kita pula kena bersusah?”

      “Tak boleh, Rizal.  Lima juta ringgit duit kita sangkut sebagai jaminan projek.  Kita kena siapkan projek ini untuk tebus duit itu semula,” aku jelaskan kepada Rizal.

      “Mamat, aku dengar macam – macam cerita pasal Dato’ Megat ini.  Nama dia dalam pasaran dah teruk.  Aku dengar dia ini hutang keliling pinggang,” Rizal bercerita lagi.  Kami masih berdiri di tepi jendela Peranchis menunggu kedatangan Tan Sri.

      “Yang tidak sedapnya, aku dengar duit dia berhabis ikut lain.  Jenis yang gali lubang, tutup lubang.  Kau faham tak?” Rizal memastikan maksudnya sampai padaku.

       Aku tidak menjawab.  Agak terlewat untuk dia berkata begitu apabila projek sudah hampir ke garisan penamat.  Perjanjian usahasama ini telah dimeterai hampir empat tahun yang lepas.  Semasa semuanya indah dan seronok belaka.  Maklumlah, Dato’ Megat merupakan salah seorang kenalan ayah.  Kenalan keluargaku juga.

      “Dia ada hartanah di London.  Aku dah minta peguamnya aturkan sebagai cagaran,” balasku memandang Rizal.  Aku pun tidak gemar menyelesaikan masalah orang lain dan membebankan syarikatku sendiri.  Tetapi aku tidak boleh lari daripada tanggungjawab.  Susah atau senang, aku tempuh sahajalah.  Selebihnya aku harus bertawakal.  Lagipun rezeki ini urusan Tuhan.  Kita hanya berusaha semampu yang boleh.

      “Bagus.  Sebab nama dia sudah tak laku untuk buat pinjaman bank,” Rizal menggelengkan kepala.

      Aku dengarkan sahaja percakapan Rizal.  Semua orang boleh berkata macam – macam semasa masalah melanda.  Tetapi yang harus menanggungnya aku juga.  Baiklah aku membatu sahaja dan berfikir cara terbaik untuk mengatasinya.  Cakap banyak tidak guna.  Sakitnya tidak beransur sedikit pun.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.