Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,348
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 13

Nazrul memberhentikan motornya dihadapan rumah apabila kelihatan ayah dan ibunya sedang membicarakan sesuatu di ruangan balkoni luar rumah. Nampak gayanya seperti mereka sedang bertekak tentang sesuatu perkara.

            “Kan saya dah kata ujibakat tu untuk orang muda je. Abang kan dah tua, tak sesuai lagi.”Kedengaran suara Maznah yang agak jelas butir bicaranya di cuping telinga Nazrul sebaik sahaja menapak pada anak tangga ruangan balkoni.

            “Apa pulak untuk orang muda je? Habis tu awak ingat orang muda je yang boleh menyanyi?” balas Zaki sedikit sebanyak agak terhiris dengan kata-kata Maznah sebentar tadi.

            “Bukan saya kata orang tua tak boleh menyanyi. Tapi abang menyanyi dalam bilik air je pun cukup lah bang. Sekadar cukup syarat untuk katak panggil hujan pun jadi lah.”

            Zaki mengetap bibir.Melampau betul Maznah ni dalam usaha untuk menjatuhkan ‘karier’ impian Zaki.

            “Awak tak dengar lagi suara emas saya. Saya tak tunjuk boaster suara saya lagi tu..Kalau awak dengar entah-entah tak tidur malam awak rindukan suara saya.”

            Maznah ketawa mengekek.Baginya kata-kata suaminya itu hanya indah khabar dari rupa. Nazrul menggeleng kepala. Sudah dia agak topik antara kedua ibu bapanya ini memang berkaitan hobi ayahnya yang satu itu.  Kepulangannya juga tidak diendahkan oleh kedua ibu bapanya membuatkan Nazrul mengambil keputusan untuk masuk sahaja ke dalam rumah tetapi baru sahaja dia ingin berbuat demikian tiba-tiba Zaki memanggilnya. Langkah Nazrul terus mati disitu.

            “Along. Along sokong siapa dalam hal ni? Sokong mak ke sokong ayah?” pertanyaan Zaki membuatkan Along pening. Pening membuat keputusan bagi soalan yang dianggap agak mencabar ini.

            Maznah menjeling sambil memeluk tubuh memandang Zaki dan anak terunanya. Mestilah Nazrul menyokong ayahnya itu, Maznah membuat telahan. Anak kesayangan la kata kan. Berkongsi hobi pulak tu. Berkongsi rahsia.

            “Cakaplah Along.” Zaki meninggikan sedikit suara apabila melihat Nazrul teragak-agak untuk menjawab.

            Nazrul mula berpeluh,apa jawapan sesuai untuk soalan cepu emas ini? Nazrul memandang wajah Zaki dan Maznah silih berganti. Melihatkan wajah keduanya ibarat singa lapar semakin membuat kecut perutnya.

            “Kau jangan lupa janji kita tu. Jadi mesti kau kena sokong ayah. ” Tiba-tiba Zaki membangkitkan hal itu di hadapan Maznah dan jelas kelihatan Maznah mengerutkan dahi.

            “Ni janji apa pulak ni?Macam-macam rahsia kan sekarang ni yang saya tak tahu!” Maznah mula bising semula. Sedikit sebanyak dia berkecil hati kerana merasakan diri seperti dipinggirkan.

            Pin Pin!! Kedengaran hon motorsikal di bunyikan membuatkan tiga beranak itu berpaling serentak. Dalam masa yang sama terdengar derap kaki melangkah dari dalam rumah dan muncul wajah Sofea di balik pintu.

Posmen!

 ***

Sofea merenung surat yang baru sahaja dibaca isi kandungannya sebentar tadi. Berkali-kali Sofea membaca perkataan yang tertera di dalam surat dengan mata tidak berkelip. Mana la tahu jika dia tersilap baca tetapi jawapannya tetap sama. Kedengaran satu keluhan kecil dilepaskan oleh Sofea. Sofea mengubah kedudukannya daripada duduk kepada menelentang di atas katil. Sekali lagi surat itu dibaca.

            Ya, dia perlu terima hakikat bahawa dia tidak mempunyai rezeki untuk belajar di dalam bidang kulinari tetapi sebaliknya dia ditawarkan di dalam bidang pengurusan pejabat  pula.Bersungguh-sungguh Sofea berharap agar permohonannya untuk mengikuti pengajian dalam bidang kulinari menjadi nyata. Bahkan ibunya juga tahu tentang hasrat hatinya itu apabila dia sendiri berterus terang kepada ibunya tentang keinginannya itu. Nampaknya ibunya tidak membantah dan memberikan sokongan sepenuhnya tetapi kini nasib tidak menyebelahinya pula.

            Sofea menyimpan semula surat di dalam sampul. Hasrat hatinya untuk memberitahu kepada orang tuanya juga terbantut gara-gara pertelingkahan yang tercetus antara keduanya tadi.Pening juga kepala Sofea melihat kelakuan ibu bapanya sebegitu rupa. Hendak diberitahu kepada Nazrul pula membuatkan hatinya malas untuk berbuat demikian. Lagipun abangnya itu juga tidak berminat untuk menyambung pelajaran, jadi Sofea merasakan tidak perlu untuk dia berbincang hal itu dengan abangnya.

            Rakan-rakan sekampungnya juga kebanyakannya juga sudah berhijrah ke kota dengan membawa haluan masing-masing. Oleh itu Sofea membuat keputusan untuk mendiamkan dulu hal ini sehingga pertelingkahan ibu bapanya itu reda terlebih dahulu.

            Sofea melompat dari katil apabila melihat jam dinding. Sudah pukul 1.00 tengahari. Nasi masih belum di tanak. Lauk masih belum tersedia. Ini semua gara-gara akibat  memikirkan isi surat yang mula membuatkan hatinya kacau bilau.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.