Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,377
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 12

Pin pin!!

“Mail!” jerit Zaki dari jauh apabila kelihatan kelibat Mail dengan motornya di jalan yang bertentangan. Zaki dari jauh mengangkat tangan sebagai tanda mendengar jeritan Zaki dan juga bunyi hon yang ditekan berkali-kali oleh Zaki.

            Zaki memberhentikan motornya di bawah sepohon pokok yang rendang. Redup sedikit pandangannya. Zaki menunggu ketibaan Mail yang sudah pun semakin hampir dengannya.

            “Wah, dari jauh dah nampak ceria benar je tu. Ada apa-apa ke?” tanya Mail sebaik sahaja berselisih dengan Zaki tanpa mematikan enjin motornya.

            “Ada berita nak bagitahu ni. Kau ada masa tak sekarang?” tanya Zaki semula mengharapkan agar Mail mempunyai sedikit masa terluang. Dapatlah dia berborak-borak kosong denganMail sambil membuka cerita yang memang tidak sabar untuk diberitahunya itu.SempatZaki melirik pandang kepada plastik yang terdapat di dalam bakul motor milik Mail. Agak jelas di sebalik plastik itu barang-barang dapur seperti bawang besar, bawang putih, halia dan lain-lain.

            Mail mengerut dahi seperti berfikir. Mungkin sedang memikirkan masa yang sesuai agar mereka berdua selesa berborak.

            “Maaflah Zaki. Sekarangni aku sibuk sikit. Baru lepas beli barang dapur ni sikit. Nak terus hantar kat orang rumah ni.  Malam ni pulak masjid kampung kita ni ada buat ceramah.”

            “Ceramah?” Zaki bertanya semula kepada Mail sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Nampak sangat Zaki agak ketinggalan mengetahui akan hal itu. Ada juga dia terdengar-dengar anak isterinya bercerita tentang hal ini tetapi dia tidak terlalu endahkan. Apa yang dia fikirkan ialah hari yang semakin dekat untuk mencuba peluang menjadi bintang ternama. Pelbagai petua diamalkan untuk mengekalkan kemerduan suara termasuklah tidak makan makanan bergoreng sehinggakan isteri dan anak perempuannya mula bising-bising kerana tidak makan makanan yang dihidangkan. Minuman berais jauh sekali.

            “Ye, ada ceramah. Tentang sedekah. Kau datang tak?” tanya Mail lagi tetapi Zaki semakin menggaru-garu kepalanya dengan lebih kerap ibarat ada kutu yang membuat sarang di atas kepalanya.

            “Yang kau tergaru-garu ni kenapa?” geli hati pula Mail dengan telatah rakannya yang seorang ini. Sudah tua tapi perangainya adakalanya melebihi orang muda.

            “Oh, tak apa la kalau kau sibuk. Lain kali la aku cerita. Pasal ceramah malam ni..” Zaki menghentikan ayatnya sambil matanya sekejap memandang ke arah  Mail dan sekejap memandang semula ke tanah.

            “Kalau boleh datanglah Zaki. Kita ni pun dah berusia ni.Waktu ni la kita makin kena kejar ibadah” Ajak Mail sempat menasihati rakannya itu yang masih teragak-agak untuk menjawab soalannya. Mail seolah-olah mengetahui jawapan Zaki walaupun Zaki tidak meluahkannya.

            “Yelah yelah.” Zaki menghidupkan semula enjin motornya. Hasratnya yang berkobar-kobar untuk memberitahu satu berita gembira kepada Mail terpaksa dilupakan ketika ini.Dalam masa yang sama sebenarnya Zaki agak malu dengan Mail apabila Mail menyebut tentang program masjid pada malam ini.

 

Nazrul pulang ke rumah hari ini dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur.Risau ada, gembira ada, gementar pun ada. Ada satu perkara yang ingin diberitahu kepada kedua ibu bapanya kali ini. Dia ingin melihat penerimaan kedua ibu bapanya pula tentang keputusan yang ingin dibuat. Dia tahu risikoyang bakal ditanggung. Tidak hairanlah keputusannya ini mendapat tentangan daripada sebahagian besar kawan-kawannya termasuk kawan sekampungnya Mat Yie.Mat Yie memang jelas-jelas tidak bersetuju dengan cadangannya yang mahu berhenti kerja dan menumpukan kepada kumpulan yang mereka tubuhkan bersama.

            Keterujaan Nazrul untuk mengikut gerak hatinya itu semakin membuak-buak lebih-lebih lagi apabila melihat rating views setiap nyanyian mereka bertiga mendapat sambutan yang luarbiasa. Malah ada yang memberikan kata-kata semangat supaya mereka terust mempertahankan kumpulan mereka agar tidak terkubur begitu sahaja. Ini membuatkan Nazrul semakin melonjak-lonjak jiwa remajanya menanam hasrat untuk mengembangkan lagi bakat terpendamnya kalau boleh sehingga ke luar Negara.

            “Memang bagus harapan kau tu Nazrul. Tapi jangan sampai korbankan kerjaya kau. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.” Pesan Mat Yie berkali-kali apabila dia membangkitkan hal itu. Seperti biasa Nazrul sekadar membisu sambil berfikir tentang jawapan kawan baiknya itu. Saiful pula lebih kepada menurut.

            Kepulangannya kali ini juga turut berkaitan dengan permintaan ayahnya tempoh hari yang beria-ia benar memintanya menuruti. Mengenangkan hal itu membuatkan dia mula berasa kasihan dan dalam masa yang sama juga berasa lucu. Mana tidaknya , ayahnya beria-ia meminta agar dibelikan baju ala-ala super star berkelip-kelipan termasuk pakej topi ala-ala koboi untuk tampil hebat dalam ujibakat suara emas yang bakal diadakan tidak lama lagi. Silapnya juga yang mengusulkan cadangan kepada ayahnya sehinggakan kini ayahnya tidak habis-habis berbicara tentang hal itu.Hampir selang dua hari ayahnya menelefonnya dan bertanya tentang hal itu sehingga adakala membuatkan dia cuak tetapi tetap dilayan ayahnya agar ayahnya itu tidak terasa hati.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.