Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,349
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 9

Sofea mengetuk pintu bilik ibunya berkali-kali sehingga kedengaran dari dalam suara ibunya yang memberi keizinannya untuk masuk. Sofea lantas membuka pintu dan kelihatan Maznah baring di atas katil membelakangi pintu masuk.

            “Mak dah makan?” Sofeamenghampiri Maznah lalu mengusap-usap bahu Maznah dengan lembut.

            Maznah tidak bersuara tetapi sekadar menggeleng. Beberapa detik kemudian Maznah mengalihkan kedudukannya dan mengadap kepada Sofea.

            “Ayah kata mak diet. Betul ke?” tanya Sofea lagi.

            “Percaya sangatlah kata ayah kau tu.” Bidas Maznah lalu bangun dari katil dan menuju ke laci.

            “Ayah dan Along ada ke tu?” tanya Maznah apabila menyedari keadaan di dalam rumah agak sunyi.Kebiasaannya ada-ada sahaja kedengaran suara Zaki mendendangkan lagu mengikut alunan irama di dalam radio.

            Sofea menggeleng. Baru sahaja sebentar tadi ayahnya itu keluar tanpa memberitahu ke mana hala tujunya.Nazrul pula nampaknya sedang berada di dalam biliknya ketika ini. Mungkin sedang bersiap-siap mengemas  kerana malam ini dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Sofea geram juga dengan abangnya itu yang menonong sahaja masuk ke dalam bilik sedangkan sudah bersetuju untuk menceritakan perihal keceriaannya hari ini apabila syarat membasuh pinggan sudah dikotakannya. Mungkin Nazrul sengaja mengelat. Bukan dia tidak kenal dengan perangai abangnya itu.

            Maznah mengambil  lembaran akhbar yang dijumpai di hujung katil tadi dan sengaja diletakkan di dalam laci peribadinya. Memang dia ingin menceritakan hal ini kepada Sofea tetapi apabila dilihatnya Zaki yang asyik berulang alik masuk ke bilik seolah-olah mencari sesuatu, Maznah terus mendiamkan diri. Maznah perasan suaminya itu menggaru-garu kepalanya yang hampir botak itu sambil sesekali mengangkat bantal. Maznah juga sudah dapat mengagak apa sebenarnya yang dicari oleh suaminya itu kerana awal-awal lagi Maznah sudah menyorok ‘barang’ yang dicari suaminya itu. Biar dia mencari sampai esok pagi, desis Maznah.

            “Tengok ni.” Maznah menghulurkan akhbar kepada Sofea. Sebelum itu Maznah sudah pun menutup pintu,mana la tahu tiba-tiba terpacul muka suaminya di depan pintu seperti hal tengahari tadi.

            “Eh, hensemnya..” Sofea tersengih-sengih apabila terpandang wajah hero kesukaannya terpampang di muka akhbar yang diberikan oleh ibunya.

            “Bukan yang ni lah!”Marah Maznah apabila kelihatan seperti Sofea mahu mempermainkannya.

            “Mak ni marah pulak.”

            Maznah menunjukkan satu tajuk di akhbar dengan lebih jelas kepada Sofea. Biar anaknya itu tidakmelalut-lalut kepada tajuk yang lain pula. Melihatkan sahaja tajuk akhbar itu membuatkan Sofea cuba menahan ketawa tetapi apabila melihatkan wajah ibunyayang agak serius itu membantutkan hasratnya untuk berbuat demikian.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.