Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,351
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 7

“Kau dah fikir masak-masak?” sudah masuk kali kedua Mat Yie  mengajukan soalan kepada Nazrul yang kelihatanbegitu bersemangat menerangkan hala tuju kumpulan mereka.

            Nazrul mengangguk pasti tanpa memandang wajah Mat Yie. Nazrul kelihatan leka menaip sesuatu di atas papan kekunci laptop yang dibawanya dari rumah. Seperti yang dijanjikan hari ini Nazrul membawa laptop pula dan sengaja meninggalkan gitarnya di rumah. Lagipun tugas mereka sudah selesai.

            Mat Yie menghela nafas sambil pandangannya dibuang sebentar kepada beberapa pasangan yang baru tiba dengan motor yang mengeluarkan bunyi ekzos yang sedikit membingitkan telinga. Pasangan tersebut kelihatannya masih muda benar dan mereka tidak menghiraukan keberadaan Nazrul dan rakan-rakannya yang kedudukannya tidak jauh dengan mereka. Mereka nampaknya terus sahaja mencari kedudukan yang sesuai untuk menikmati pemandangan laut yang berombak halus. Masing-masing melakukan hal sendiri.                            

            Mat Yie merupakan rakan sekampung Nazrul yang beza dua tahun dengan Nazrul dan mereka berkawan sudah agak lama. Masih belum berkahwin dan masih bujang trang tang tang. Belum mempunyai kekasih hati dan masih mencari. Begitu juga dengan Saiful yang merupakan adik kepada Mat Yie yang masih juga belum berpunya walaupun begitu sesekali ada juga Saiful cuba-cuba berkirim salam kepada Sofea iaitu adik Nazrul.

            Nazrul senang berkawan dengan Mat Yie dan juga adiknya Saiful yang sebaya dengannya. Bagi Nazrul kedua beradik itu senang di bawa berunding dan apa yang seronoknya ialah mereka bertiga berkongsi hobi yang sama!

            “Aku bukannya apa,nanti apa pulak keluarga kau fikir pasal kami ni.. Tak nak la nanti ada yang kata kami ni pandai-pandai menghasut kau. Lebih-lebih lagi  kami ni kan jobless.” Sambung Mat dengan suara yang sedikit kendur.

            Nazrul sebenarnya tidak suka Mat Yie berkata begitu seperti menunjukkan bahawa dirinya terlalu hina.Apa yang hinanya? Jobless? Bila pula Mat Yie tidak mempunyai pekerjaan?       Hanya kerana Mat Yie bekerja di kampung sahaja, Mat Yie sudah mengandaikan dirinya jobless? Merepek. Nazrul menggeleng-geleng kepala.

            “Kenapa kau suka sangat rendah diri macam ni? Bukannya kau jadi pengemis kan.” Nazrul meninggikan sedikit nada suaranya. Sengaja dia berbuat begitu untuk menunjukkan kepada MatYie dan Saiful bahawa dia tidak menyukai hal tersebut disebut-sebut.

            “Kau kerja bagus di bandar,sedangkan kami tidak bernasib baik seperti kau.” Pintas Saiful seperti mengiyakan kata-kata abangnya.

            Nazrul terdiam.Bukannya mereka yang tidak bernasib baik, tetapi mereka sendiri yang tidak mahu berhijrah. Seperti dirinya pula, selepas tamat tingkatan enam, dia terus mencuba nasib mencari pekerjaan di kota. Bukannya nasibnya terus baik,beberapa kali juga dirinya ditolak oleh majikan sehinggalah akhirnya dia diterima bekerja di salah sebuah syarikat komputer. Itu pun sebenarnya jiwanya masih terlalu kuat dengan muzik sehingga membuatkan dia sanggup meluangkan masa bersama Mat Yie dan Saiful apabila berkelapangan pulang ke kampung. Ketika inilah mereka akan bersama-sama membincangkan perihal berkaitan lagu sehinggalah mereka sepakat menubuhkan kumpulan khusus untuk mereka bertiga.

            “Cuba tengok ni.”Nazrul mula mengubah topik agar mereka tidak lagi membahaskan perihal pekerjaan kerana dia sendiri sebenarnya ingin mencari ketenangan apabila berada dikampung dengan melakukan aktiviti yang digemarinya bukannya menambahkan lagi beban berkaitan kerja.

            Mat Yie dan Saiful menghalakan pandangan kepada skrin laptop yang ditunjukkan oleh Nazrul. Nazrul meletakkan laptopnya di salah sebuah batang kayu yang agak besar tidak jauh dari kedudukan mereka. Sengaja Nazrul meletakkannya di situ kerana cahaya matahari sedikit menghalang pandangannya terus kepada skrin laptop.

            “Kan aku dah kata.Ramai yang sukakan lagu kita.” Sambung Nazrul yang mula tersenyum.

            Tangan Nazrul ligat ‘berjalan’menggerakkan mouse. Nazrul menukarkan saiz paparan kepada full size apabila melihat kedua-dua rakannya itu berusaha melihat skrin laptop sehingga terteleng-teleng kepalanya.

            “Wah, ramai juga peminat kita kan.” Mat Yie tersengih-sengih dan cuba meninggikan lagi volume suara.

            Mereka bertiga tidak menyangka bahawa percubaan mereka mempromosikan diri dan karya nyanyian di alam maya mula mendapat perhatian. Jika dilihat kepada jumlah views mungkin masih terlalu jauh untuk dikategorikan sebagai hebat tetapi cukuplah sekadar permulaan yang baik.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.