Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,339
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 4

“Hai bang, baru balik?” sapa Maznah yang sudah pun siap bertelekung untuk mengabdikan diri kepada Pencipta.

            Hanya tinggal waktu beberapa minit lagi untuk azan Maghrib berkumandang. Mujur juga Zaki tiba ketika azan masih lagi belum berkumandang. Zaki cuma membisu. Ya, dia tahu ini salahnya kerana terlalu asyik berbual dengan Mail sehingga tidak menyedari masa yang terus berlalu. Untuk tidak memanjangkan cerita, Zaki bertindak dengan hanya mendiamkan diri. Bukannya Zaki tidak mahu memberitahu perkara sebenar,kerana Maznah pasti akan bertanya lebih lanjut tentang tujuannya ke sana dan akhirnya pasti Maznah akan merajuk tanpa sebab.

            Maznah terus sahaja memerhatikan langkah suaminya yang bersahaja. Lagak Maznah seolah-olah seperti anggota polis yang sedang memerhatikan pesalah pula manakala Zaki pula masih tetap membisu dan terus sahaja mencapai kain tuala yang disangkutkan di tingkap.Melihatkan suaminya yang tidak memberikan sebarang reaksi membuatkan Maznah berasa jauh hati. Entah kenapa makin kerap pula perasaan itu datang,mungkin disebabkan faktor usia yang membuatkan dia cepat tersentuh.

            Zaki terus sahaja berlalu keluar untuk menuju ke destinasinya iaitu ke bilik air. Sebelum tiba kebilik air, Zaki perlu melintasi ruang dapur terlebih dahulu dan ketika itu dia terbau sesuatu di atas dapur.

            Zaki sudah dapat meneka pasti anaknya yang seorang itu yang memasak sesuatu di dapur sehingga menerbitkan aroma yang memenuhi ruang ini. Zaki faham benar tentang obsesi anak daranya itu terhadap dunia masakan. Sama juga seperti dirinya yang turut mempunyai hobi dan minat terhadap nyanyian tetapi kenapa ramai yang tidak mengerti minatnya itu lebih-lebih lagi apabila tentangan itu daripada isterinya sendiri.

            “Ayah!”

            Baru sahaja Zaki ingin masuk ke dalam bilik , dia dipanggil seseorang yang cukup dikenali suaranya itu.

            Nazrul terkocoh-kocoh keluar dari biliknya yang kedudukannya hanya bertentangan dengan sudut dapur.Nazrul yang berbaju T Shirt putih dan berkain pelikat itu memandang ke kiri dan kanan  terlebih dahulu sebelum berlari-lari anak menuju ke arah ayahnya yang masih lagi melopong.

            “Ha, yang kau ni sekejap pandang sana sekejap pandang sini ni dah kenapa? Nak lari dari siapa ni?”

            Nazrul segera meletakkan salah satu  jari tangan di mulutnya menandakan isyarat supaya ayahnya itu tidak berkata apa-apa buat masa sekarang.

            “Kenapa ni? Kenapa?”jelas kelihatan Zaki terpinga-pinga dengan perlakuan anaknya itu yang mula membawanya ke satu sudut yang agak tersorok.

            “Ayah, ayah ada baca surat khabar tak hari ni?’ tanya Nazrul memulakan mukadimah yang masih lagi samar-samar untuk difahami oleh Zaki.

            “Kenapa pulak dengan surat khabar? “ tanya Zaki kembali.

            “Sebenarnya..”

            “Bisik-bisik apa pulak tu?’ Muncul Maznah tiba-tiba yang ingin ke tandas sebenarnya dan perlu melintasi ruang keberadaan Nazrul dan Zaki saat itu. Pelik pula Maznah lihat dua beranak itu berbisik-bisik seperti ada rahsia besar sahaja.

            Nazrul dan Zaki lantas berpaling kepada Maznah yang juga tertanya-tanya dengan perbuatan mereka.Nazrul sekadar tersengih-sengih manakala Zaki pula gelabah apabila melihat jam dinding dan terus sahaja masuk ke dalam bilik mandi.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.