Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,336
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 6

“Betul ke ni?” Zaki seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengar daripada mulut Nazrul. Walaupun hatinya masih ragu-ragu tetapi wajahnya sudah pun menguntum senyum lebar.

            “Betul la ayah. Takkan Along nak tipu ayah pulak.Ni buktinya, takkan la surat khabar pun nak menipu.”Jawab Nazrul yang sememangnya menunggu masa yang sesuai untuk memberitahu hal ini kepada ayahnya dan nampaknya ini ialah masa yang sesuai ditambah pula ketika ibu dan adiknya masih di dapur.

            Zaki tersenyum lebar. Wah,impiannya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi dan dia tak akan lepaskan peluang ini. Peluang yang  tidak selalu tiba ini perlu direbut dengan sebaik mungkin. Jika tidak, mungkin impian selama ini akan terkubur begitu sahaja. Patut la beria benar Nazrul ingin memberitahu hal ini kepadanya sehingga perlu memberitahu secara rahsia. Apa yang pasti,buat ketika ini, dia perlu merahsiakan terlebih dahulu daripada pengetahuan Maznah kerana jika hal ini diketahui oleh Maznah, pasti Maznah akan menentang habis-habisan dan dia memang tidak mahu hal itu terjadi.

            Apa yang bermain di benak Zaki sekarang ialah untuk memberitahu kepada Mail yang merupakan sahabat setianya itu. Dia ingin berkongsi rasa kegembiraan ini bersama Mail dan dia tidak sabar untuk melihat reaksi Mail apabila mengetahui pengkhabaran ini.

 

“Haa, tengok lah tu. Entah apa lah agaknya yang dibualkan tu. Senyum semacam je tu.” Maznah memuncungkan mulut menghala ke arah suami dan anak sulungnya dan dipandang oleh Sofea yang masih lagi memegang dulang. Jelas kelihatan Zaki yang tersengih-sengih sambil di tangannya memegang akhbar.Nampaknya Zaki dan Nazrul tidak perasan tentang keberadaan mereka di balik pintu yang sedikit tertutup.

            “Mak, entah-entahkan..” Sofea senyum meleret sambil mendekatkan badannya dengan Maznah yang masih lagi menghalakan pandangan ke arah dua beranak itu. Tiba-tiba timbul satu akal di fikiran Sofea untuk mengusik ibunya ketika ini.

            “Apa dia?” kini pandangan Maznah dihalakan kepada Sofea yang meleret-leret senyumannya persis seperti ingin membodek sesuatu. Tiba-tiba jantung Maznah berdetak laju seolah-olah dapat meneka apa yang ingin dikatakan oleh anaknya itu.

            “Mak, entah-entah kan ayah nak nikah satu lagi.” Laju sahaja Sofea berkata begitu dan sepantas kilat juga Maznah menjerit dengan laungan yang cukup menggemakan ruang. Sofea lantas menutup telinga dengan sebelah tangan. Mujur dia masih ingat bahawa dia kini sedang memegang dulang dan tidak melepaskan kedua-dua belah tangan. Kalau tidak…berderailah pinggan-pinggan dan cawan ke lantai.

            “Kenapa ni?” muncul Zaki yang masih tidak melepaskan surat khabar di tangan meluru ke arah Maznah dan Sofea. Maznah terus sahaja berpaling ke arah Zaki yang jelas masih terpinga-pinga dengan kelakuan Maznah. Seketika kemudian muncul pula Nazrul yang turut tertanya-tanya.

            “Tak ada apa-apa ayah.”Sofea tergagap-gagap sambil membetulkan cawan yang sudah sedikit senget kedudukannya.

            “Dah kalau tak ada apa-apa yang menjerit macam mak lampir tu kenapa? tanya Zaki lagi tetap tidak berpuas hati dengan jawapan Sofea . Maznah mengetap bibir manakala Sofea pula menekup mulut cuba menahan ketawa. Nazrul pula sekejap-sekejap memandang ke arah ibu dan adiknya silih berganti.

            “Tak ada apa-apa. Mak terkejut sebab tiba-tiba tikus melintas tadi.” Kini Sofea  menjawab dengan  penuh semangat cuba meyakinkan ayah dan abangnya yang sudah tercegat di hadapan mereka berdua.

            Maznah menggeleng kepala dan mengurut-urut dada. Dalam masa yang sama dia mengetap bibir tanda geram dengan kata-kata Sofea sebentar tadi. Mahu sahaja dia menonyoh mulut anaknya itu dengan cili padi.

            “Alahai..tikus melintas pun dah terkejut macam itu. Kalau gajah yang melintas, agaknya apa la yang jadi ya.” Zaki sengaja mengusik isterinya yang sejak tadi menarik muka masam. Kali ini Sofea ketawa berdekah-dekah tetapi apabila melihat jelingan tajam ibunya cepat-cepat dia melarikan diri ke arah meja untuk meletakkan dulang yang sejak tadi tidak lepas dari pegangannya.

            Nazrul pula sudah mula mencurigai sesuatu.

            “Entah-entah mak dengan Pea dah terdengar agaknya.” Nazrul berbicara sendiri dan jantungnya mulai berdebar.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.