26
‘Sesudah subuh’, barangkali kita biasa mendengar ucapan begitu, yang
digunakan oleh orang-orang lama kita dahulu. Bermakna, mereka meninggalkan
rumah sebegitu awal, seawal, semasa matahari mulai terbit. Ibu dan ayah pun nampaknya
meninggalkan rumah sesudah subuh, sesudah ayah yang pulang dari masjid,
berjemaah. Natrah tersenyum sendiri. Agaknya, kedua-dua ayahbondanya begitu
bersemangat sekali ingin menyambut pulang anak lelaki mereka yang sudah
beberapa bulan tidak pulang ke kampung halaman. Dan ‘semangat’ begitu, bukan
kepada mereka sahaja, malah telah ‘berjangkit’ kepada Natrah sendiri.
Natrah segera bergerak ke bilik Katrina, dia membersihkan lantai dengan
penyapu, dan menyudahkan dengan menggunakan mop dan membasahkan lantai bilik
dengan air bersih dan sedikit campuran dettol. Dia seterusnya membuka cadar dan
sarung bantal yang digunakan adiknya sebelum ini, dan menggantikan dengan
sarung cadar dan bantal yang baru. Sebenarnya, tidak perlu bersusah payah pun,
bilik ini masih bersih dan baru sahaja digunakan Katrina dan Pia. Bilik ini
nanti akan digunakan oleh Ersyad, lebih sesuai dengan kedudukan bilik Katrina
yang bersebelahan dengan bilik Natrah, sementara bilik Ersyad biarlah digunakan
oleh tetamu mereka nanti. Dia merenung gambar tiga adik-beradik mereka yang
digantung di dinding bilik Katrina. Setiap seorang daripada adiknya mempunyai
kelebihan tersendiri.
Berbual dengan katrina, dia boleh berbicara tentang apa sahaja. Darimana
makanan, perasaan atau keluarga. Berbeza dengan Ersyad, satu-satunya adik
lelakinya ini, akan berkongsi banyak pengetahuan, baik dari segi perubatan dan
juga pengetahuan Islamik. Dia rasa
‘hormat’ dengan konsep adiknya. Biarlah pengetahuan sains selari dengan konsep
Islam, kerana agama Islam itu sendiri mencakupi semua bidang yang ada dalam
dunia ini. Dia teringat lagi akan kata-kata Ersyad, “Biarlah kita menjadi
saintis yang bukan sahaja pakar dalam bidang sains, kita juga pakar dalam
bidang agama. Sama seperti para ilmuan dalam zaman keagungan Empayar Umayyah,
Abbasiyah dan Uthmaniah.”
Natrah bergerak ke bilik Ersyad, perlu dikemaskan dengan lebih sedikit,
maklumlah, sudah dua minggu dia tidak masuk ke bilik ini. Dia menyapu lantai
dan mengemop lantai sebelum menggantikan cadar dan sarung bantal baru. Dia
membakar lilin wangian Lavender dan meletakkan kaca tabungan lilin, dengan
membiarkan api itu menyala lebih lama, mewangi dan menyegarkan bilik untuk
tetamu mereka nanti.
Dia masih ingat, pesanan Ersyad semasa balik dahulu, katanya, “Lavender
ini gunanya untuk merehatkan badan dan otot. Tetapi bauan ini tak boleh
digunakan untuk orang mengandung kak, otot dan badan akan menerima isyarat ‘rehat’ sehingga boleh menyebabkan otot
kandungan pun berehat sama, jadi kesannya bahaya untuk kandungan.” Dia melihat
lagi, dan merasa puas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dia lakukan.
“Dah habis bersih Natrah?” Suara menyapa dari belakang.
Dia tersenyum. “Dah mak.”
“Tak payah beriya sangat Natrah, tak pernah kotor pun bilik-bilik tu.”
Natrah hanya dapat melihat senyuman senang mak. Apa tidaknya, hujung minggu
bersama Katrina, Pia dan Sara, dan hari ini bersama Ersyad pula. Tetapi tentu
lebih indah, kalau semua dapat berkumpul sama.
“Ayah nak ke kebun. Isikan nasi lemak dalam bekas. Mak nak potong daging,
buat rendang.” Mak Natrah segera meminta agar bekalan ayah Natrah dan ekerja
kebun disiapkan.
“Baik mak. Ada
daging hari ni?”
Mak Natrah tersenyum lagi. Hidangan daging rendang Rawa merupakan signature dishkeluarga mereka. Siapa yang tidak akan jatuh hati
dengan hidangan itu! Mereka sama-sama bergerak ke arah dapur.
“Kebetulan Natrah, di pasar ada orang sembelih kerbau baru, tentu sedap.”
Natrah senyum lagi. “Mak, minggu ni kita asyik makan daging. Kena pulak
dengan durian. Panas nanti badan.”
“Oh ya, sebut pasal panas, rendam bali, nanti kita masak air bali,
sejukkan badan. Mak pun ada beli cincau juga di pasar tadi. sejukkan badan
sikit. Kalau gamak panas, pergi je lah berendam di sungai belakang tu.” Mak
Natrah tergelak kecil. Natrah menyiapkan bekalan ayahnya, dan meletakkan ke dalam raga. Dia seterusnya meletakkan
bekalan itu di hadapan pintu rumah. Dia kemudiannya masuk semula ke ruang dapur
dan membantu ibunya memasak.
“Nasi lemak ada lagi Natrah, Ersyad suka dengan nasi lemak.”
Natrah memulangkan senyuman ibunya, “Tak de mak, Nat masak lain. Syad tak
suka yang lemak sangat, dia kan
jaga kesihatan. Nanti Nat letak sikit saja santan.” Ibunya mengangguk.
Maklumlah, bakal doktor, menjaga kesihatan sebahagian daripada keperluan
individu.
Selesai memasak dan mengemas, Natrah dan ibunya bersiap menunggu zohor.
Mereka berhasrat menanti Ersyad tiba untuk menikmati makan tengah hari bersama,
lagipun mereka sudah menikmati nasi lemak untuk sarapan mereka. Natrah masih
ingat lagi akan rencana yang dibacanya mengenai zohor, kebetulan ibunya
bertanya lagi mengenai info ini, dalam menanti azan zohor berkumandang. Jika
tiada azan pun, waktu solat zuhur boleh bermula apabila matahari tergelincir ke
barat dan berakhir dengan ukuran bayangan sesuatu benda seperti kayu panjang
itu sama betul panjangnya dengan kayu tersebut. Atau disebut juga bayangan
matahari panjang segalah’ pesan orang-orang tua lama.
“Apa mak? Pasal cahaya waktu zohor?” Natrah bertanya lagi, mempastikan
soalan ibunya sebelum dia menjawabnya.
“Warna alam seterusnya berubah daripada
warna biru muda kepada warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian bertukar
lagi kepada warna kuning mak.”
Natrah menerangkan bagaimana warna ini berfungsi dengan bahagian
penghadaman manusia. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi
aura atau warna spektrum yang sesuai dengan fungsi perut dan hati yang amat
berkaitan dengan sistem penghadaman manusia. Warna kuning ini juga mempunyai
rahsia yang berkaitan dengan aspek
psikologi manusia iaitu keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau
terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di
perut dan hilang sifat cerianya.
“Itulah rahsa solat yang kita
kena fahamkan Natrah. Ajaran islam murni sekali ajarannya. Semuanya ada
penjelasan yang jelas. Cuma, kita sahaja yang tidak faham dan tahu. Banyak
rahsia yang kita kena pelajari.”
“Betul mak. rasanya sudah dengar azan tu mak.” Mereka mendiamkan diri
sambil ‘menjawab’ azan secara perlahan dan kemudiannya melangsaikan zohor
dengan berjemaah bersama.
“Mak, nanti Syad balik dengan kawan kan. Biar je lah mereka makan bersama,
seganlah Nat nak makan sama.” Natrah meluahkan kepada ibunya. Ibunya tersenyum
sahaja, itulah sifat gadis pingitan, malu untuk berhadapan dengan lelaki yang
tidak mereka kenali.
Seperti dijangka, pada lewat jam 2 petang, sebuah kereta Camry berwarna kelabu mulai memasuki lorong jalan
ke rumah Natrah.
Ibu Natrah memperbetulkan tudung di kepalanya sambil menanti tetamunya
turun daripada kereta. Natrah masuk ke biliknya, menutup pintu biliknya dan
sekadar mengintai daripada tingkapnya yang separuh terbuka, dengan harapan,
mereka tidak akan menoleh kepadanya.
Ersyad yang turun daripada tempat duduk hadapan kereta, segera turun,
bersalam dan berpelukan dengan ibunya.
“Mak, kenalkan ini Jonathan, Erving
dan ini Dr.Saiful Daniel.” Ibu Maimunah hanya mengangguk, menghormati
tetamu yang datang.
“Mak cik, terima kasih menerima saya di sini.” Dr Daniel segera
mengucapkan terima kasih.
“Ya mak cik, terima kasih.” Jonathan yang digelar dengan nama mesranya
Jon, berketinggian 176cm, berbangsa Thionghua, dengan susuk tubuh bersaiz kecil, segera mengucapkan terima
kasih. Adatnya, tetamu yang dihormati mestilah mengucapkan terima kasih sebagai
tanda penghargaan tuan rumah menerima tetamu.
“Jon ni mak, dia tak ada kampung. duduk di bandar, teringin nak tengok
kampung.”
“Tak ada masalah Jon. Nanti bawa dia ke sungai lepas makan Ersyad.”
“Canteekkk mak cik. Tentu best
mandi sungai.”Jonathan menyambuk, tersenyum. Udara di kawasan kedesaan yang
dipenuhi dengan tanaman segar yang menghijau ternyata member rasa udara yang
berbeza sekali dengan kawasan bandar!
“Ialah, tentu seronok. Lama sangat tak mandi sungai.” Erving yang
berketinggian setinggi 156 cm, bakal graduan dalam bidang kejuruteraan kelihatan
teruja dengan suasana kedesaan yang dilihatnya. Mata kecilnya, sinonim dengan
mata bersaiz kecil milik orang Thionghua, kelihatan besar melihat suasana
kehijauan yang berada di sekelilingnya. ‘Padanlah orang-orang di kampung lebih
baik kesihatan mereka. Mereka berada dalam ‘zon hijau’ yang lebih selesa, dan
banyak oksigennya.’ Dia berfikir sendiri, melayani kedamaian rasa yang dia
sedang alami. Kepenatan berada dalam kenderaan pensyarah mereka, seakan hilang
dalam redup pohom mangga di halaman rumah Ersyad.
“Ialah, lepas makan durian, panas-panas, kita mandi.” Ersyad tersenyum
lagi. Seronok membayangkan dirinya bermandian di sungai.
“Jemputlah masuk, kita makan dulu.”
“Eloklah mak, kami dah singgah masjid hujung kampung tadi, untuk solat
zohor. Perut pun berkeroncong dah ni.” Mereka sama-sama melangkah masuk ke
rumah menimati makan tengah hari. Ersyad tiba-tiba teringatkan kakaknya, Kak
Natrah.
“Kak Nat mana mak?”
“Ada. Kat
bilik, dia rasa malu nak keluar.” bunya segera membisikkan ke telinga
Ersyad.Ersyad tersenyum sendiri.
“Makan Dr.Daniel, Jon, Erving, jangan malu-malu pulak.”
Jonathan tersenyum lagi. “Sedap rendang mak cik ni. Nasi lemak pun sedap.
Ni makanan kesukaan saya ni, nombor dua durian.” Pemuda berkaca mata yang
berbeza jurusan dengan Ersyad ini, bakal akauntan, berkaca mata ini nampaknya
menikmati makanan yang disediakan.
Erving mengangguk sama. Menikmati hidangan tengah hari yang enak, terasa
bagaikan membazir dengan menghamburkan banyak kata-kata. Lebih baik rasanya berdiam
diri dengan menikmati keenakan masakan yang berada di hadapan mata mereka.
Dr Daniel yang sejak tadi hanya memdiamkan diri, menikmati makanan dengan
khusyuk mula berbicara, “Ini rendang apa ni makcik, unik rasanya.”
“Rendang Rawa.”
“Rawa? Ini pertama kali saya makan.”
“Sebelah keluarga mak cik, keturunan Rawa. Pak cik pula Jawa. Jadi Jawa
campur rawa, jadi, Ersyad ni keturunan Wawa.” mereka semua tertawa sahaj
mendengar celoteh Ibu Maimunah.
“Selepas makan, kita rehat sekejap, nanti, lepas tu pergi sungai, mandi.
Lepas asar kan,
kita pergi kebun durian. Malam nanti tidur sana nak tak?”
“Boleh, asalkan ada makanan.” Jawab Jonathan sambil ketawa.
“Itu bisa diatur,” disambut Ersyad ketawa.
Erving kelihatan terkejut. Dia memikirkan teman-temannya sebelum ini
hanya bergurau mengenai situasi ‘tidur’ di dusun durian. Dia hanya memandang
dengan ‘anak mata’ yang besar ke arah Ersyad dan Jonathan yang berada
bertentangan dengan tempat duduknya. “Er makcik, di dusun tak ada harimau kan? Hantu pun tak ada kan?”
Ibu Maimunah tergelak lagi, “Mana pulak ada harimau. Kalau dulu-dulu ada
lah. Kalau hantu, makcik rasa, hantu durian ada lah.” Dan dia tergelak lagi.
Mereka yang lain sengaja ketawa kuat bagi menakut-nakutkan Erving lagi.
“Haiya kawan, mana ada hantu di dusun durian. Hantu pun takut kena hempap
dek durian tau.” Jonathan mengusik lagi, menjadikan bahan ketawa mereka semakin
kuat.
Makan tengah hari mereka ditamatkan dengan potongan mangga enak bersama
teh nipis. Dr Daniel segera bangun dan mengucapkan ucapan terima kasih, “Saya
balik rumah saya dulu, awak semua enjoylah ke kebun durian tu nanti. Lusa saya
datang ambik awak semua.”
“Jadi Doktor tak pergilah ke kebun durian nanti?”
Dr Daniel tersenyum sambil berkata, “Terima kasih atas perlawaan awak
semua. Petang ni saya mahu ke Hospital Ipoh, mahu jumpa dengan kawan saya,
mungkin balik lambat sikit. Kami perlu berbincang kes.” Penjelasan Dr Daniel
melegakan hati Jonathan dan Erving. Agak terganggu juga aktiviti mereka jika
pensyarah yang dalam lingkungan usia akhir tiga puluhan ini hadir bersama-sama
dengan aktiviti ‘bermalam di dusun nanti’.
Dr. Saiful Daniel segera berlalu dengan kereta Camrynya setelah selesai menjamu
selera bersama-sama keluarga Ersyad. Dan Natrah pun segera keluar dari biliknya
dan bertemu adiknya. Dia tidak kekok bertemu Jonathan dan Erving yang hanya
sebaya Ersyad dibandingkan dengan Dr. Saiful daniel yang merupakan pensyarah
kepada adiknya.
“Eh, kakak ada rupanya. Saya Jon.”
“Saya Erving.”
“Kak Natrah. Panggil saja Kat Nat.” Kedua-duanya tersenyum memandang
wajah mulus Kak Natrah. Erving leka memandang Kak Natrah, segera fikirannya
membandingkan antara Ersyad dan Kak Natrah, ‘jauh sekali berbeza dengan Ersyad.
Kak Nat berkulit mulus, putih bersih kulitnya, berbeza dengan Syad yang berkulit
bertona sawo matang. Yang sama antara keduanya adalah berhidung mancung’. Dia
tersenyum lagi. Jonathan
juga merenung Kak Natrah yang
berdiri di hadapan mereka, dalam fikirannya hanya memuji kakak Ersyad ini dalam
diam. Dia berfikiran nakal juga, ‘Andailah Kak Natrah ini, adik Ersyad, tentu
seronok, ada peluang dia memenangi hati Natrah.’ Dan dia juga tersenyum
sendiri.
Ersyad terpandangkan wajah-wajah teman-temannya yang masing-masing
tersenyum sendiri. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Benarlah kata kajian
psikologi, lelaki akan kalah dengan pandangan mata mereka. Sekali pandang
sahaja, deria mata itu akan menjadikan naluri kejantanan terus berkata-kata.
Atas dasar inilah lelaki selalunya tewas ‘nafsu’ dengan perempuan cantik yang
menggoda mereka. Ersyad sempat melihat wajah kakaknya yang merona kemerahan,
terasa malu dengan tenungan dua lelaki yang jauh lebih muda daripada usianya.
Ibu Ersyad hanya tersenyum, mengetahui rasa malu yang tersimpan di dalam
hati anak perempuannya.
“Okaylah. Kak Nat mahu kemaskan meja. Pergilah berehat.”
Natrah mengangguk lagi, mengiyakan perkenalan diri teman-teman Ersyad.
Semalam adiknya telah menyatakan nama teman-temannya. Melihat mereka beredar ke
bilik untuk berehat, Narah mengemas meja makan di ruang dapur. Di hatinya,
bagai menyimpan perasaan suka sendiri. Sempat dintai tetamu mereka daripada
tingkap biliknya. ‘Boleh tahan Dr Daniel tadi tu’. Tidaklah kacak sangat. Wajah
yang biasa. Rambut yang bergelombang. Macam orang filem lama-lama dahulu.
Klasik. Wajah orang Melayu tulen, ada sepasang mata, telinga, dan bibir.
Segelumit janggut yang disimpan rapi. Dahi yang agak melebar, tandanya
bijaksana. Ketinggian di paras sederhana, dan kulit sawo matang. Mata yang
sederhana besarnya, tetapi pandangan yang tidak melingas, bermakna orang yang
tidak ‘kaki perempuan’.
Dia tersenyum lagi. Sendiri. Dalam senyuman Natrah mengandungi rahsia
pandangan matanya sendiri. Hanya dia yang tahu. Solo. Sendiri. Hati
perempaunnya terusik lagi. Walaupun dalam hatinya berteka sendiri, barangkali
silelaki itu sudah beristeri, dia tidak peduli. Sekadar ‘jatuh hati’ sedikit,
apa salahnya. Hatinya bernyanyi kecil lagi.