Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 6; SAIFUL ANUAR AZIZI, (NORA ISMA FUAD)

Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.
6
Sesudah panggilan ditamatkan, situasi terasa sunyi, sepi. Hujan yang turun dari angkasa yang luas, berbunyi seolah semakin lebat. Bunyi titisan hujan yang berembesan di luar sana, berbunyi indah, umpama irama yang berdendangan sayu sebenarnya. Sesayu hatiku tanpa mereka yang aku sayangi. Seisi rumah yang biasanya sendat dengan suara Sara dan Pia seakan menjadikan rumahku sesunyinya. Sepi. Dingin.
Biasanya kepulanganku akan disambut dengan suara manja Pia, yang masih kadangkalanya berbunyi pelat. Perkataan popularnya, “Papa bucuk, macam…,” merujuk kepada ‘busuk dan masam’, perkataan biasa kami lebelkan kepadanya apabila dia malas untuk mandi. Itulah juga perkataan yang dia simpan dalam memori mindanya dan seringkali dikembalikan perkataan itu kepada kami.
Tindakanku seolah mati akal. Ku mencuba membuka siaran televisyen. “Hmm, tak ada yang menarik pun.” Bercakap sendirian rupanya aku ini. Bayangkan dalam setiap program, setiap 10 minit program siaran, akan diselangi 10 minit iklan pula. Bermakna setiap satu jam siaran, kita juga terpaksa membayar elektrik selama dua jam.
Semuanya seakan tidak logik kepada pengguna. Syarikat penerbitan mendapat bayaran untuk siaran iklan, pengguna terpaksa melihat siaran iklan dengan dikenakan bayaran elektrik yang semakin hari semakin meningkat. ‘Cantik!’, sekadar mengeluh sendirian. Syarikat media meraih keuntungan, setiap tahun barangkali boleh senang-senang mendapat bonus dua tiga bulan, malah mungkin menjangkau sepuluh bulan. Yang kerugian adalah pengguna, kita perlu membayar lebih bil elektrik, dan dan yang lebih merugikan, menonton merugikan banyak masa kita!
Aku juga rindu akan cerita puteriku Sara, yang sentiasa sibuk bercerita, a, b dan c. Cerita sekolah yang biasa. Cerita tentang gurunya yang bergaya sakan atau cerita tentang teman-teman sekelasnya yang berjaya ke mendapat cemerlang atau berpeluang berjalan ke sana-sini. Atau, sekadar memandang ke wajah Kat, dan aku akan merasa terhibur sepanjang malam.
Dan di saat ini, aku menjadi mengerti, mereka adalah insan terpenting dalam hidupku ini, walaupun tidak pernah aku nyatakan. Tiga hari Kat dengan anak-anak tiada di rumah, seakan sepurnama lamanya. Semuanya terasa sifar. Kosong dengan sepi dan sunyi. Sifar dengan rasa kebosanan!
Esok, Majlis Perasmian terowong yang kami bina. Dan aku bangga aku menjadi sebahagian sejarahnya. Setiap detik malam ini, terasa begitu panjang sekali. Dengan iringan segelas air suam yang terasa seolah kelat di tekak, aku berbaring bermalasan.
Teringat akan Kat, mungkin perlu aku menelefon kepadanya lagi, sekadar mengucapkan selamat malam, tetapi hati masih bimbang, Kat mungkin lagi merajuk panjang. ‘Ah, biarkanlah dia.’ Sekadar bercakap sendiri. Dan terbayang waah Kat yang bertocang dua lagi, manis dan semakin manis, mengiringi malam yang kelam.
Pagi ini dingin sekali. Barangkali, sekadar sesejuk cuaca winterdi luar negara. Berada tenang di pagi ini sambil menghirup teh panas bancuhan sendiri, yang tentunya tidak sesedap bancuhan kat, menjadikan aku segera terbayang akan sejarah bandar ini. sekeping roti bakar disapu dengan kaya bagaikan melekat di kerongkong, pahit dan tidak sedap.
Barangkali tiada sentuhan kat di sini yang menjadikan semuanya tidak enak. Cinta barangkali tiada di sini bagi menjadikan makanan seenak cinta dan kasih sayang yang dicurahkan daripada jemari Kat!
Taiping ini merupakan tempat yang agak terkenal di Malaysia dengan tempat yang menerima purata maksima hujan di Malaysia, dengan taburan 320 hari setahun. Jadi tidaklah menghairankan jika Taiping ini sentiasa hujan! Jarang sekali Taiping tidak disimbahi hujan! Taiping yang terletak di koordinat 4.8 darjah utara dan 104.7 darjah Timur, merupakan juga ibukota kepada daerah Larut, Matang dan Selama.
Taiping dan hujan! Barangkali jika di rumah tiada pengering sendiri, baju sukar dikeringkan begitu sahaja. Dan Taiping ini barangkali begitu sinonim dengan kembar Eropah.
Cuma bezanya, di sini tiada winter, spring, summerdan autumn. Yang ada cuma, hujan, hujan, hujan dan hujan.Sementara nama lama bandar ini adalah Klian Pauh, dengan Klian yang bermaksud lombong. Pauh pula bermaksud buah mangga yang kecil saiznya. Aku bagaimanapun sukakan maksud ‘Taiping’ dalam Bahasa Hakka yang bermaksud ‘aman’ atau ‘kedamaian’.
Semuanya aman dan tenteram di sini, seperti mana juga bandar-bandar lain di Malaysia. tentu sukar dipercayai sebelum tahun 1937, Taiping adalah ibu negeri kepada Perak Darul Ridzuan ini.
Perkataan Taiping dicetuskan akibat pertelingkahan antara dua kumpulan penguasaha lombong atau kongsi gelap yang paling popular diperkatakan dalam sejarah. Semua tahu sejarah dua kumpulan ini iaitu kumpulan Hai San dan Ghee Hin sentiasa bersengketa. Dan setelah mereka mencapai kata sepakat untuk sama-sama berdamai, perkataan ‘Taiping’ ternyata memang kena pada gelarannya.
Dan barangkali mungkin ramai yang tidak tahu, Perak merupakan negeri pertama yang terlibat dengan campurtangan British secara tidak langsung apabila termeterainya Perjanjian pangkor pada tahun 1874, yang aku ingat lagi, disebut buku sejarah lama sebagai Tiga P. Pangkor! Perak dan HMS Pluto, kapal Inggeris yang megah sekali. Dan perjanjian ini merupakan kesilapan terbesar apabila Inggeris dijemput secara langsung ke sini. Dan Taiping merupakan penglibatan keselamatan pertama di Tanah Melayu apabila polis Negeri-negeri Selat, diketuai oleh Kapten Speedy telah dihantar ke sini untuk mendamaikan puak-puak kongsi gelap yang bersengketa. Dan askar-askar Gurka dari India dibawa masuk untuk mendamaikan kongsi-kongsi gelap ini. Dan hasilnya situasi yang lebih damai dan tenteram.
Damai dan tenteram! Cuma yang ‘tidak damai’ dan ‘aman’ sekarang ini adalah hatiku sendiri, tanpa Katrina, Kaisara Kamila dan Sophiellea Kamila.
Segera keluar menuju ke arah motorsikal jaguh untuk segera ke tempat kerja. Di Bukit Berapit atau Terowong Bukit Larut, suasana meriah mulai terasa. Bendera kecil berwarna warni yang dipasang sepanjang jalan menuju ke khemah yang disediakan Syarikat Garuda.
Khemah yang berwarna putih dengan deretan kerusi-kerusi untuk para tetamu yang akan memeriahkan Hari Perasmian Terowong ini atau lebih dikenali dengan nama Breakthrough Ceremony. Wajah-wajah ceria memenuhi persekitaran yang sudah warna-warni, secerah langit membiru dia angkasa sana. Memerhatikan sekeliling, bagai terlupa aku berdiri di pintu terowong yang seolah bagaikan mimpi. Bentuk ladam kuda yang besar, diwarnai dengan warna seakan aluminium dan warna kemerahan dan jingga, warna granit dan jenis batuan yang indah! Mempersona! Seolah warna cinta yang indah! Warna Jingga tandanya ceria!
“Abang, apa yang abang angankan? Ni mesti Kak Kat tak ada di rumah ni?” Suara di belakangku menyapa mesra! Segera memalingkan mukaku ke arah dia.
Wajah pemuda yang mempunyai ketinggian 172 cm ini kutenung lagi. Wajahnya hampir empat segi, tersenyum lagi. Bercermin mata, berkumis nipis di dagu, menampakkan lagi kematangannya lagi, walaupun baru berusia pertengahan usia dua puluhan. Rambutnya yang bersisir rapi, nampak bersedia untuk majlis kami nanti.
“Tak la berangan, lega melihat terowong kita ni. Zie mana?” Soalan yang sengaja mengubah tajuk perbaualan kami. Tidak mahu dia terus mengasak minda dan jiwa dengan persoalan kat, Sara dan Pia, sementelah aku pun sudah rindu benar dengan mereka!
Dia ketawa, mengejek. “Beranganlah tu namanya. Kalau tak berangan tak boleh ke bang?”
“Ala, kau mana tahu. Wan belum dilanda angau satu badan lagi. kalau angau barulah tau.”
Dia ketawa terus. “Kalau macam ni ‘angin angau’, tak payah angaulah bang, susahkan hidup je.” Dia terus ketawa. Terasa dengel juga dengan ketawanya.
“Mana Zie?”
Dia ketawa lagi, entah apa yang lucu dengan soalan aku kali ini.
“Sejak bila abang ada skandal dengan Zie pulak. Asyik tanya Zie je. Ramai lagi orang lain yang boleh abang tanya?” Itulah agaknya yang dia pelikkan atau bahan ketawanya tadi.
“Ada ka Zie pula ada skandal dengan abang ni, Wan. Kalau Wan, logik la. Solo dengan solo. Okay apa Zie tu, cantik, molek, budi bahasa.”
Dia hanya ketawa terus tanpa jawapan. “Zie sibuk di khemah. Checkmakanan, periksa itu dan ini.” Aku sekadar mengangkat kening, masih menunggu jawapannya mengetai Zie yang aku perkatakan tadi.
“Saya belum kena penangan angau mahupun bangau lagi dengan dia bang ooi.” Dan dia menyambung ketawa.
“Abang tentu belum sarapan kan, isteri tak de, entah tak lalu makan kot. Di khemah ada disediakan sarapan tau. Jom kita ke sana.” Kami segera beredar ke khemah. Sepotong sandwish sardin dan sepiring bihun goreng segera mengisi perut yang kelaparan. Dilengkapkan pula dengan secawan kopi yang panas.
Tangan pantas mengeluarkan telefon daripada poket seluar. pagi tadi sempat aku layangkan sms memberitahu kak tentang hari penting kami hari ini. Nampaknya dia belum membalas sms aku lagi. Resah dan sedikit gelisah.
Kedengaran riuh rendah di luar khemah, rupanya mereka memanggil kumpulan kami untuk bergambar bersama. Kumpulan pemberita dan juru gambar nampaknya bersedia mengabadikan gambar kumpulan bersama-sama.
Sambil memegang bendera Jalur Gemilang kebanggaan negara, kami beratur beramai, warna-warni baju yang dipakai menggambarkan kemeriahan suasana bersama. Cahaya lampu daripada kamera seolah menggambarkan kerdipan bintang yang menyemarakkan dada langit takkala malam bulan terang. Berpakaian lengkap dengan jaket keselamatan, bertopi seolah separuh topi keledar berwarna putih, jingga atau ungu, bergantung kepada kumpulan yang diwakili oleh individu adalah pakaian rasmi sebagai mengambil langkah keselamatan di dalam terowong.
Jaket berwarna jingga ini mempunyai lampu terang bagi memudahkan penglihatan di dalam terowong yang gelap seumpama gua batu. Berkasut boottahan lasak berwarna jingga sebagai langkah keselamatan, maklum sajalah, kasut getah atau kulit biasa tidak akan memberi daya tahan dan jaminan akan keselamatan dalam terowong.
Kebiasaannya kami gelar kasut ini sebagai Kasut Pua Chu Kang, walaupun kasutnya dan but kami diperbuat daripada material yang berbeza, dan warna juga berbeza, tetapi nama Pua Chukang membuatkan bootini menjadi popular.
Semuanya menjadi tenang dan lega apabila Majlis perasmian yang dirancang berjalan lancar, dirasmikan dengan jayanya oleh Menteri pengangkutan iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha.
Langit kelihatan tenang setenang perasaanku, apatah lagi setelah telefon yang berada di dalam poket bergetar perlahan. Di kaca telefon tertera perkataan Kat. Aku menerima sms daripada Kat berbunyi,
Kami sudah sampai di rumah.
Perasaan menjadi lega. Tepat jam 10.00 pagi semasa majlis sedang berlangsung. Cuaca nampaknya secerah jiwaku juga. Lega. Kat sudah kembali ke pangkuan. Cintaku sudah kembali. Kasihku sudah kembali.
Dan tiba-tiba, terasa bagaikan M.Nasir sedang berlagu di sisi dengan lagunya Falsafah Cinta, mendayu dan merdu sekali.Benarlah kata senikata lagu ini, cinta menciptakan rindu. Juga membuat kita sendu.
Dan hati jantanku hanya terbayang wajah Katrina! Sesungguhnya, hanya wajah dia! dan sesekali terbayang wajah Hana yang bersembunyi di sebalik wajah Katrina! Sumpah! Aku semakin rindu kepada Hana!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail