Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,148
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Prolog
PROLOG

Kuala Lumpur, 1979

Liar matanya memerhati ruang menunggu yang kelihatan sunyi sepi itu. Hanya dia seorang sahaja di situ. Ruang yang hanya menempatkan sebuah meja kayu yang kelihatan ringkas namun sangat halus buatannya. Dia tahu tentu sahaja meja itu mahal harganya. Matanya berlari semakin galak cuba membuang kebosanan yang mula menghuni diri.

Dia cuba bersabar dan bertenang walaupun hati seakan-akan membuak-buak mahu segera menyampaikan khabar yang dibawanya ini. Namun, sebaik sahaja dia tiba, dia hanya diminta untuk menunggu sebentar. Dan sebentar itu sudah beranjak hampir ke setengah jam. Apa namanya temu janji jika tidak ditepati? Jika tidak mengenangkan upah lumayan yang bakal diperoleh, tentu sekali dia sudah angkat kaki.

Dia merenung maklumat yang sudah dikumpulkan di dalam satu sampul surat berwarna coklat. Semuanya ada di situ dan dia yakin, segala usahanya ini akan mendapat perhatian dan pujian daripada empunya diri. Hari ini buat pertama kalinya dia akan menemui lelaki itu. Selama ini mereka hanya berurusan melalui orang tengah sahaja dan kini mereka akan bertentang mata. Harun menahan perasaan gugup. Bukan senang dia mahu berjumpa dengan orang kenamaan.

“ Encik Harun, boleh masuk sekarang.” Harun tersentak apabila tiba-tiba sahaja wajah pembantu peribadi yang genit berpakaian merah itu bersuara tiba-tiba. Gadis manis dan genit itu bernama Ainul. Nama yang diketahui apabila terlihat tanda nama gadis itu di atas mejanya yang cantik tersusun.

Harun mengangguk sambil menghulurkan sedikit senyuman namun wajah Ainul berterusan serius sahaja. Dalam hati Harun mencebik. Hilang terus rasa manis bila wajah serius begitu. Cemuhnya tidak puas hati. Dia bangun membetulkan pakaian dan sampul coklat itu juga dibawa bersama.

Dia menarik nafas seketika sebelum masuk ke dalam pejabat yang cukup luas itu. Hanya jelingan tajam diberikan kepada pembantu genit itu ketika dia menutup pintu. Perhatiannya kini terarah kepada insan yang sedang merenung ke arah luar yang dibatasi oleh dinding kaca. Tanpa menoleh dan menyapa kedatangannya, dia mendengar lelaki itu bersuara.

“ Apa yang kau dapat?”

Harun meletakkan sampul coklat itu di atas meja.

“ Saya dah tahu siapa perempuan tu, Tan Sri. Saya tahu segala-galanya tentang dia.”

“ Hisham ada kat sana?”

Harun mengangguk namun memikirkan lelaki itu masih membelakanginya, dia pantas bersuara.

“ Ada, Tan Sri. Dia ada dengan perempuan tu.”

Dia mendengar lelaki kaya dan berpengaruh itu mengeluh panjang. Mungkin tidak menjangkakan berita yang dibawanya ini. Dua hari lepas dia diarahkan untuk menjalankan siasatan ringkas mengenai dua individu berkenaan. Syaratnya, dia akan mendapat bayaran yang lumayan sekiranya dia sanggup melakukan apa yang diminta dan berahsia tentang perkara itu.

Dengan gajinya yang kecil, jumlah yang diberikan cukup untuk dia bersetuju tanpa berfikir lebih panjang. Lagipun tugasnya mudah sahaja. Dan yang penting, dia tidak diminta melakukan apa-apa jenayah atau kesalahan. Sekadar diminta untuk mengunci mulut, tiada masalah besar baginya. Dia sememangnya seorang yang pandai menyimpan rahsia.

“ Tan Sri perlukan apa-apa lagi? Kalau tak ada, saya beransur dulu,” pinta seketika kemudian. Matlamat dan kerjanya sudah selesai. Upah juga sudah diterima, jadi tidak ada alasan untuk dia berada di situ lebih lama.

Tan Sri Hassan Basri menggeleng. Dia memandang wajah Harun sekilas.

“ Jumpa Ainul sebelum balik...dan tunggu untuk arahan aku yang seterusnya.” Tambahnya lagi. Harun berkerut kerisauan. Adakah khidmatnya diperlukan lagi untuk masa akan datang? Namun segala soalan itu hanya tersekat difikirannya sahaja. Tanpa berlengah, dia mengangguk dan terus keluar.

Tan Sri mendengus keras. Hisham....Hisham, walau dilarang dan ditegah tetap tidak berubah. Masih tetap dengan kepala dia sendiri. Dia tahu, dia tidak boleh mendiamkan diri. Jika dia mengikut kehendak Hisham, akan musnahlah seluruh kehidupan mereka nanti. Jika Hisham berdegil, dia juga boleh membuat perangai yang serupa. Hisham itu keturunannya, dan sebagai orang tua, dia tahu bagaimana untuk dia mengawal rentak anaknya itu.

Next: Prolog II

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh