Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,157
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

Bella Rosa II

Izz merenung Dzar yang sedang ralit memotong kayu. Buat seketika dia memerhatikan sahaja. Dia tidak mahu menganggu keasyikan itu. Dia tahu Dzar sememangnya minat bertukang semenjak dulu. Dia suka membina apa sahaja dengan menggunakan kudrat dan tangannya sendiri. Dan Izz terpaksa akui, hasil tangan Dzar sememangnya memuaskan hati. Kerjanya kemas dan teratur. Sememangnya kedatangan Dzar ke sini adalah satu rahmat baginya.

Dia menjeling Shera yang tersenyum malu-malu menghantar minuman untuk Dzar. Mungkin melihat Dzar yang hanya berseluar jeans tanpa baju itu yang membuatkan dia begitu. Izz menggeleng dan mengeluh perlahan. Sungguhpun dia gembira dengan kehadiran Dzar di sini namun dia tahu risiko yang akan turut sama hadir bersama empunya diri.

Risiko seperti inilah. Kehadiran yang menjadi tarikan staf-stafnya yang masih bujang dan baharu hendak mengenal hidup kata orang. Sebagai seorang lelaki, dia sendiri terpaksa mengakui tarikan lelaki bernama Dzar Thalha itu. Bukan dia tidak sedar. Semenjak mereka di Sheffield dulu, sememangnya Dzar menjadi rebutan. Kini dia terpaksa melihat proses yang sama berulang kembali. Dan dia mengharapkan, Dzar mampu menangani keadaan ini dengan baik.

Memikirkan ada perkara penting yang diperlu diberitahu kepada Dzar, dia merapati mereka. Dan Shera nampak pucat seketika melihat dia di situ. Mungkin tidak menyangka bahawa majikan juga berada di sini. Dengan wajah membahang dan kemalu-maluan, dia bergegas meninggalkan tempat itu.

Dzar yang sedang menghirup minuman menggeleng perlahan. Tuala good morning yang terselit pada jeans dicapai buat mengelap peluh di wajah.

“ Kau bawak hantu ke sampai semua staf nampak kau je depa pucat?” Keningnya terangkat penuh makna apabila melihat Shera berlari seperti tidak cukup tanah sahaja. Izz hanya ketawa namun dia tidak menjawab pertanyaan itu. Dia sendiri pun tidak mengerti apa yang membuatkan kesemua staf Bella Rosa memberikan respon sebegitu setiap kali ternampak wajahnya. Adakah kerana sikapnya yang ‘unapproachable’ itu yang membuatkan mereka lebih senang menjauhkan diri dan berurusan dengan Adni sahaja?

Adakah kisah silamnya yang membuatkan mereka berasa curiga? Dia tahu kebanyakkan stafnya masih muda dan mungkin tidak mengingati kes yang melibatkannya bertahun dulu. Atau mungkin sahaja mereka tahu namun mengambil sikap tidak kisah kerana kisah hitam itu sudah terlalu jauh ditinggalkan.

Dia pernah bertanyakan kepada Adni mengenai perkara itu, namun isterinya yang manis dan manja itu hanya menggeleng cuba meleraikan kekusutan hatinya. Mereka tidak takut, cuma mereka terlalu menghormatinya. Itulah sahaja alasan yang diberikan namun kadang kala dia sendiri tidak mempercayainya.

“ Pelan-pelan Dzar. Tak perlu nak kelam kabut siapkan tempat ni. Benda yang sepatutnya siap dalam 2 bulan kau siapkan 2 minggu. Jenuh aku nak bayar nanti,” usik Izz dalam melihat hasil kerja sahabatnya.

“ Sama ada siap awal atau tidak, harga aku tetap sama. Kau bagi aku tumpang kat sini pun, aku bersyukur sangat,” beritahunya sambil mengesat pasir di seluarnya.

“ Ya...tapi aku tengok sampai tengah malam kau tak tidur-tidur. Jaga diri. Kau sakit nanti siapa yang susah?” Tegur Izz apabila memikirkan sudah banyak kali dia melihat Dzar bekerja sehingga lewat malam seolah-olah mengejar masa.

Dzar diam seketika mendengar kata-kata itu. Dia sedar malah tidak sesekali mahu menafikan kenyataan itu. Ya..ada masanya dia sampai tidak tidur sehingga dua hari kerana mahu menghabiskan kerja. Macam mana hendak diterangkan sebenarnya?

“ Kau tak boleh tidur?” Duga Izz perlahan sambil memerhati rapat wajah teman yang muda tujuh tahun daripadanya itu.

Dzar mengangguk. Dia malas untuk berbohong lagi. Lagipun untuk apa kerana dia tahu Izz pasti tidak akan percaya.

“ Dah lama Izz, aku tak boleh tidur lena. Dah terlalu lama. Sebab tu aku suka kerja. Aku kerja sampai aku penat fizikal dan mental. Biar aku lelah sampai aku tak boleh fikir apa-apa pun. Sebab bila aku mahu lena, aku tak akan terfikirkan dia,” akuinya dengan nada perlahan.

“ Dia dah lama tak ada Dzar. Buat apa fikirkan dia lagi?” Nasihat Izz tanpa mempersoalkan siapa ‘dia’ yang sebenarnya.

“ Dia tak ada depan mata, tak bermakna dia hilang juga dari fikiran aku!” Dzar mempertahankan tindakannya.

“ Teruskan hidup Dzar. Kau ada hak untuk hidup bahagia. Jangan pandang belakang terlalu lama. Buang semua masa silam yang menyakitkan. Tumpukan pada apa yang ada di depan kau sekarang.” Nasihat Izz telus. Dia benar-benar inginkan kebahagian buat sahabatnya ini namun dengan gaya Dzar sekarang dia yakin harapannya akan hanya tinggal harapan. Semuanya tidak akan menjadi kenyataan jika Dzar masih kejap memegang tampuk masa silamnya.

“ Macam mana aku nak teruskan hidup Izz? Kau beritahu aku macam mana? Aku tak boleh lupa. Buat macam mana sekalipun aku tetap tak boleh lupa. ‘Dia’ musnahkan hidup aku...aku tak tahu macam mana nak anggap yang keadaan akan ok sedangkan aku tahu semuanya memang tak ok.”

“ Dzar?” Izz cuba menenangkan perasaan namun Dzar seakan-akan

He killed me that night too, Izz. Bila ‘dia’ mati, dia rampas segala-galanya daripada aku. Keluarga aku...hidup aku..maruah aku...kebahagian aku. Apa yang tinggal untuk aku lagi? Kau suruh aku teruskan hidup. Macam mana aku nak teruskan hidup? Macam mana bila semuanya dah tak ada?”

“ ALLAH ada, Dzar. ALLAH sentiasa ada. Kau kena ingat tu.”


Vila Akasia, Shah Alam

Zahrah merenung wajah suaminya di balik cermin. Tengku Hanafi yang sedang membaca itu seakan tidak sedar akan kelakuannya itu. Zahrah mendengus perlahan. Bukan dia tidak tahu, Tengku Hanafi jika sudah membaca memang tidak akan sedar dan peduli dengan orang di sekelilingnya. Zahrah sedikit jauh hati. Lebih seminggu mereka berpisah, kini walaupun dia sudah berada di depan mata, suaminya itu masih ralit melayan hobinya. Dirinya macam langsung tidak dipedulikan.

“ Moon telefon Zah semalam...” Dia tiba-tiba bersuara untuk memecahkan kesunyian.

“ Dia nak apa?” Dari atas tilam, Tengku Hanafi angkat muka bertanya. Buku berkulit keras itu diletakkan di atas paha. Dia mendengar keluhan isterinya sebentar tadi. Bukannya dia tidak sedar. Dia tahu, Zahrah terasa hati dengannya. Dan dia bukanlah terlalu dungu sehingga tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia tidaklah sampai terperap dalam dunianya sendiri sebaik sahaja buku berada di tangan seperti tanggapan Zahrah.

“ Abang ni, macam tak tahu pula kenapa Moon dok asyik telefon. Fasal Zahar dengan Aralah, apa lagi.” Zahrah bangun menghampiri suaminya. Hajat teman baiknya harus disampaikan dengan segera. Hajat dia juga sebenarnya.

“ Moon tanya, bila mereka sekeluarga boleh masuk meminang? Lagipun dah lama sangat mereka berhajat nak bermenantukan Ara tu. Kasihan pula, hampakan harapan orang.”

Tengku Hanafi ketawa mendengar kata-kata isterinya itu.

“ Harapan Moon ke harapan Zah?” Sindirnya masih dengan tawa.

“ Bukan abang tak tahu apa konspirasi Zah dengan Moon tu,” tambahnya lagi. Dia juga tahu di sebalik harapan itu, ada insan yang lain turut memainkan peranannya.

Zahrah yang mendengar menjadi manis-manis kelat wajahnya. Dia tahu dia tidak dapat menolak kata-kata suaminya itu. Semenangnya semenjak dahulu lagi dia dan sahabat baiknya Moon itu merancang perkahwinan anak mereka berdua. Dan rancangan itu semakin rancak hendak direalisasikan mengenangkan Zahar dan Ara masing-masing sudah dewasa.

“ Tak kisahlah harapan siapa pun. Pokoknya saya dan Moon dah tak sabar nak berbesan. Abang ada cakap tak dengan Ara fasal benda ni?” Desaknya lagi. Tidak sabar mahu mengatakan iya kepada teman baiknya sendiri. Dia tahu dia terpaksa mengharapkan suaminya untuk memujuk Ara kerana apa sahaja pujukan dan alasan yang diberikan Ara tidak akan mengubah keputusan yang telah diambilnya.

Dia masih ingat kedatangan Zahar beberapa hari lepas. Dia melihat Ara melayan Zahar dengan baik. Keduanya memang nampak secocok. Bagai pinang dibelah dua. Dia tidak tahu kenapa Ara seakan berkeras dan sukar dipujuk sedangkan dia tahu Zahar itu bukan calang-calang lelaki. Kaya dan berketurunan baik. Keluarganya juga amat berpengaruh. Apa lagi yang Ara mahu? Dia sendiri tidak dapat memahaminya.

Menurut apa yang dikatakan oleh Moon kepadanya tadi, Zahar seperti sudah jatuh hati. Mungkin pertemuan itu mendatangkan kesan yang positif kepada mereka berdua. Mungkin juga Ara tidak mahu kelihatan mudah di mata Zahar jadi dia berpura-pura dingin dan jual mahal. Namun benar juga kata pepatah yang mengatakan hati perempuan ini seperti kerak nasi. Dijirus air maka lembutlah dia.

“ Berjaya juga hasrat saya nakkan Zahar sebagai menantu, bang,” luahnya dengan senyuman mekar di bibir.

Sekali lagi Hanafi ketawa melihat keyakinan jitu isterinya. Pengantin belum berkata iya, kompang sudah berbunyi. Tinggi sungguh harapan Zahrah. Dia takut kalau-kalau impian menggunung itu terhempas jatuh ke bumi. Sakitnya tidak terperi nanti.

“ Zah...jangan kerana guruh gempita di langit, air dalam tempayan dicurahkan. Abang tak nak Zah yang kecewa nanti. Lagipun Ara tak cakap apa-apa pun dengan kita. Abang tak rasa dia setuju dengan tindakan Zah tu. Tengoklah gaya dia setiap kali kita sebut nama Zahar. Buat endah tak endah aje. Ara dah besar. Biarlah dia cari jodoh dia sendiri. Kalau dia tak mahukan si Zahar tu, buat apa kita nak paksa dia?” Tengku Hanafi tetap tidak setuju dengan campur tangan Zahrah dalam menentukan soal hidup Ara.

Dia faham jodoh tidak boleh dipaksa dan dia sendiri sebagai bapa sanggup memberikan kebebasan kepada Ara memilih lelaki yang boleh menjadi pelindungnya dunia dan akhirat. Dia sanggup menerima sesiapa sahaja asalkan lelaki itu mampu membahagiakan anaknya. Tetapi Zahrah juga degil dengan matlamatnya. Dan dia takut tindakan itu akan membuatkan Ara akan bertambah jauh daripada mereka semua.

“ Macam mana dia boleh tak nakkan Zahar. Zahar tu baik budaknya. Hormat orang tua. Kita sendiri dah kenal Zahar tu dari kecil lagi. Saya dah lama teringin nak bermenantukan Zahar tu. Abang kena pujuk juga Ara untuk terima keputusan saya ni. Tak boleh tidak. Selama ni saya tak pernah masuk campur pun macam mana abang nak besarkan anak abang tu. Saya biarkan saja sebab saya tak nak Ara benci saya. Tapi abang tahukan apa yang berlaku. Kalau tak kerana ‘perkara’ dulu, saya pun tak paksa Ara, bang.”

Tengku Hanafi menggeleng perlahan apabila Zahrah menyebut tentang ‘perkara’ dulu. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Perkara yang menyebabkan marah Zahrah terhadap Ara seakan tidak pernah surut. Tidak mahu merumitkan keadaan dia hanya mendiamkan diri. Apa yang boleh dikatakan lagi bila isterinya sudah mula mengungkit tentang peristiwa silam?

“ Zah...benda tu dah berlaku 7 tahun lepas. Sampai bila Zah terus nak salahkan Ara? Sampai bila Zah nak terus hukum dia? Ara sendiri pun tak pernah minta semua ni berlaku...lepaskan Ara...lepaskan dia dari hukuman yang tak berpenghujung ni....”

Mata Zahrah tajam mencengkam merenung suaminya. Lepaskan? Tidak! Dia tidak akan melepaskan Ara semudah itu. Ara telah memusnahkan hidupnya. Masakan Ara hendak dilepaskan begitu sahaja. Tidak! Tidak sesekali. Sampai mati pun dia tetap mahu Ara membalas atas dosa yang telah dilakukannya. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus bangun keluar bilik. Tidak sanggup dia duduk berlama-lama di dalam bilik ini mendengar suaminya membela Ara. Kenapa hanya dia yang menderita? Kenapa dia yang harus menerima kesannya?

Terpejam mata Tengku Hanafi melihat kelakuan isterinya. Ya ALLAH...sampai bilakah semua ini akan berakhir? Terikat dan berbelah bahagi simpatinya antara anak dan isteri sendiri. Antara kedua mereka, mana satu pilihannya? Dia buntu. Benar-benar buntu. Sayangnya tetap tidak berganjak buat Ara namun simpatinya tetap hadir pada isteri yang tidak sihat jiwanya. Tenangkan hati dia Ya ALLAH...berilah dia ketabahan dan kekuatan untuk terus reda dengan apa yang telah berlaku.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh