Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,345
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

Melur & Thyme, Suria KLCC

Ara melirik jam di pergelangan tangan. Sudah lima belas minit dia menunggu namun bayang Zahar langsung tiada. Susah sangatkah untuk mendail nombor telefonnya dan beritahu jika terlewat atau ada halangan sekalipun? Bila mahu berjumpa pandai pula telefon berkali-kali mahukan kepastian.

Dan kini, sudah dapat apa yang dimahu, dirinya pula terkontang-kanting dibiarkan menunggu seperti buah tidak akan pernah gugur ini. Jika dia boleh menjaga masa dan berpegang pada janji, dia juga mengharapkan Zahar juga boleh memberikan komitmen yang sama.

Dia merenung jam sekali lagi. Jika dalam masa lima minit dia masih sendiri, dia berniat mahu pergi sahaja dari situ. Dan selepas ini, jika disembah pujuk rayu sekalipun dia tidak akan keluar dengan Zahar lagi. Huh! Lelaki munafik, kutuk Ara yang sememangnya berapi mengenangkan fiil Zahar. Seketika kemudian dia beristighfar berkali-kali.

Tidak mahu tewas kepada hasutan Syaitan. Manusia memang begitulah sikapnya. Kalau dah namanya benci...buat silap sikit pun berbakul-bakul sumpahan dikenakan. Cuba yang sedang dinanti itu adalah kekasih hati. Menunggu tiga jam sekalipun rasanya mampu tersenyum manis lagi.

“ Cik nak pesan sekarang ke? Ataupun minum dulu?” Tegur seorang pelayan bertudung dan uniform putih itu datang bertanya. Ara mahu menggeleng namun memikirkan sememangnya perutnya masih belum terisi, dia lantas mengangguk dan mengambil menu yang dihulurkan.

“ Set A, sup tomyam dan carrot juice,” pesannya tanpa mengambil masa yang lama. Pelayan tersebut mengangguk dan berlalu dari situ. Ara membetulkan tubuh dan duduk menyandar mahu menenangkan diri. Tidak kisahlah jika Zahar muncul ataupun tidak. Dia sudah tidak peduli. Macam mana Zahar ini boleh menjadi menantu pilihan abah dan Mak Da sedangkan jelas sekali lelaki ini langsung tidak boleh diharap. Beg sandang ditarik ke sisi dan dia mengeluarkan sebuah novel yang baru di beli semasa singgah di MPH sebentar tadi.

Buku Antalogi Jiwa Kacau itu ditatap dengan penuh perasaan. Ya..sesuai dengan moodnya petang ini yang sememangnya tengah kacau bilau jiwanya. Dan untuk seketika dia membaca penuh khusyuk lima kisah thriller yang terdapat di dalamnya. Dan dia terus larut dengan kisah-kisah tersebut.

Sorry...lama you tunggu I?” Tegur satu suara seraya menarik kerusi di hadapannya. Ara panggung kepala dan melihat wajah Zahar tersenyum memandangnya. Huh! Langsung tidak ada muka bersalah membiarkan dia menunggu lama.

“ Kita janji nak jumpa ke?” Soal Ara kepada lelaki tersebut. Zahar nampak tergamam dengan soalannya namun seketika kemudian dia kembali tersenyum mengenangkan Ara mungkin merajuk dengannya.

“ Ala sorry la dear. Tayar kereta I rosak masa I dalam perjalanan ke sini. Nak callyou tapi bateri I kong, dan nak call dari public I tak hafal nombor you pula...ini pun I datang juga dengan harapan you masih ada. I minta maaf ya?” Terang Zahar lancar seperti dihafal-hafal sahaja alasan dan penjelasannya itu.

Terbeliak mata Ara mendengar Zahar memanggilnya dear. Ewah ewah belum apa-apa sudah berani ya. Dan alasan yang diberikan...Ara menggeleng perlahan. Beristighfar dan mengira satu hingga sepuluh. Entah mengapa dia cukup rasa terhina dengan alasan yang diberikan. Sangat tipikal dan klise sekali. Tiada alasan lainkah yang boleh diberikan?

“ You tak percaya cakap I ya?” Zahar meminta kepastian apabila Ara berterusan memandangnya tanpa suara. Dan wajah itu sememangnya langsung tidak percaya dengan apa yang dikatakannya. Tidak perlu bertanya kerana semuanya jelas kelihatan.

Dia melihat Ara mengjungkit bahu dan berkata “Whatever...” Dan dengan selamba terus menjamu selera. Steambot terus menggelegak di atas stove dan tanpa diminta, Zahar memperlahankan apinya.

“ Ara...jangan macam ni. Kalau you terus-menerus begini macam mana kita nak bincang tentang hal kita?” Dengan penuh kesabaran dia mula mengajak Ara berbincang. Sekali lagi dia melihat mata Ara terbeliak. Zahar menahan senyum. Dia kini tahu satu perkara, Ara suka terbeliakkan matanya.

“Hal kita?” Ara menyoal sambil meletakkan chopsticknya. Sesungguhnya hati semakin berasa tidak tenang apabila mendengar ayat ‘ Hal Kita’ itu. Sejujurnya niat utama dia bersetuju mengadakan pertemuan dengan Zahar di luar adalah untuk menegaskan pendiriannya yang tidak mahu berkahwin lagi buat masa terdekat ini.

Dan juga ingin memberitahu kepada lelaki yang sentiasa tersenyum ini bahawa dirinya bukanlah menjadi pilihan sekiranya sudah sampai saat dan ketika untuk dia berumah tangga.

Ya! Itulah yang mahu dia katakan dalam pertemuan ini, namun entah mengapa lidahnya menjadi kelu dan kaku. Dia hanya mampu memandang sahaja Zahar bercerita di depannya. Huh! Tidak boleh jadi ni, jika dia terus dungu begini, Zahar pasti menyangka diamnya ini tanda setuju.

Tidak! Tidak! Dia tidak mahu. Dia masih belum bersedia. Ara...beritahu dia. Beritahu dia segera. Bisik hati nalurinya namun seperti tadi dia hanya diam membisu. Dalam kepala Ara sudah membayangkan dia menusuk jantungnya sendiri dengan pedang.

“ You tahukan dengan rancangan orang tua kita mahu jodohkan kita berdua?” Zahar mengambil keputusan untuk terus kepada tujuan apabila melihat Ara sudah seperti disumpah menjadi patung mumia sahaja. Ara mengangguk mengiakan.

Ya...rasanya semenjak dari tahun lepas lagi orang tuanya sudah memberikan hinttentang niat mereka itu. Dan selama itu jugalah dia memberikan hint yang dia tidak mahu, namun kemahuan nekad kedua-dua ibu bapa mereka sememangnya sukar ditolak.

“ I nak you tolak...”

“ I nak you terima...” Mereka bersuara serentak dan masing-masing tergamam mendengar pendapat masing-masing.

“ You nak terima? You gila ke apa?” Ara bersuara nyaring sekali gus menyebabkan semua mata memandang ke arahnya. Namun dia tidak peduli dengan semua itu. Dan dia sesungguhnya tidak nampak sesiapa langsung melainkan lelaki di hadapannya ini. Dia ingin tahu sekali apa yang membuatkan Zahar bersetuju dengan rancangan orang tua mereka. Hatinya semakin kalut. Ya ALLAH matilah aku...Ara menggelabah. Rasanya mahu sahaja dia melarikan diri daripada situ. Dan Zahar pula kenapa dia boleh sebegini tenang? Ara tidak puas hati langsung.

“ You nak tolak? Kenapa?” Giliran Zahar pula bertanya namun suaranya kedengaran lebih lembut dan memahami. Ara meraup wajahnya. Kenapalah dia tidak mempunyai ketenangan seperti mana lelaki ini?

“ Zahar, I setuju jumpa dengan you hari ni bukan saja-saja tau. I setuju sebab I andaikan you mahu kita sama-sama menolak rancangan orang tua kita. I fikir, you mahu kita berbincang cara yang terbaik untuk menolak rancangan mereka,” jelas Ara yang sudah mula mampu mengawal perasaannya.

“ Kenapa I nak buat macam tu?” Soalan Zahar sekali lagi membuatkan Ara terkedu. Dia menarik nafas panjang sebelum membentangkan hujahnya.

“ Kenapa? You sedar tak, yang kita tak kenal satu antara lain. Haluan hidup kita berbeza. You tak kenal I dan I pun tak kenal siapa you.”

“ Kalau you tak kenal I, macam mana you boleh yakin yang haluan hidup kita berbeza?” Zahar menyampuk pantas kata-katanya.

“ Tak...” Ara menggeleng lagi. Dia tidak percaya ini yang berlaku ke atasnya. Macam mana hendak diterangkan kepada Zahar bahawa...Tidak! Dia masih belum bersedia. Untuk berbicara dengan lelaki ini, dia masih belum bersedia lagi. Bukan ini yang dimahukannya.

“ I balik dulu...fikiran I tengah kacau dan I takut I tak mampu berbincang secara rasional. So....” Ara segera bangun mencapai beg sandangnya untuk berlalu dari situ. Zahar yang kelihatan hampa, hanya mampu menurut. Dia sedar, dia tidak boleh terlalu mendesak dan memaksa.

Mahu menarik rambut di dalam tepung perlu kena dengan caranya. Rambut tidak boleh putus dan tepung tidak boleh berselerak.

“ Marilah. I temankan you ke kereta,” pelawanya yang turut sama bangun. Tidak mengapalah. Masih ada masa lagi untuk mereka berbincang. Jika Ara masih belum bersedia, dia sanggup menunggu.

Mereka beriringan sepanjang perjalanan ke tempat parkir. Sepatah perkataan langsung tidak keluar daripada mulut kedua-duanya. Hanya apabila tiba di tempat kereta itu barulah Ara menoleh ke sebelahnya.

“You parkir kat mana?” Zahar tersenyum mendengar soalan itu. Dia merenung wajah Ara penuh makna sehingga tertunduk malu gadis itu

“ You langsung tak dengar ya penjelasan I tadi atau you tak percaya cakap I?”

Ara bingung seketika sebelum dia teringatkan penjelasan Zahar ketika tiba lewat sebentar tadi. Dia menepuk dahinya tiba-tiba.

“ Oh...jadi memang betul kereta you rosak?” Soalnya dengan rasa bersalah. Tidak fasal-fasal dia berdosa hari ini. Nampaknya dia harus meminta maaf dengan lelaki ini.

Zahar hanya ketawa.

“ I dah agak dah you memang tak akan percaya bila I cakap kereta I rosak. Tapi tak mengapalah...memang salah I pun sebab datang lambat kan?”

“ Iyalah..alasan you tu klise sangat. Macam tak ada alasan lain...” Ara mengusik dan dia sudah mula tersenyum kini.

“ I minta maaf ya sebab bersangka buruk terhadap you,” sambungnya lagi.

“ Tak apa. I tak salahkan you.” Zahar cuba meringankan rasa bersalahnya.

“ Habis tu you datang sini naik apa?”

“ Teksi.” Pendek sahaja jawapannya itu dan Ara terkesima. Tiba-tiba dia rasa terharu dan rasa bersalahnya jatuh bertimpa-timpa lagi.

“ I minta maaf.”

Hey it’s ok dear...I faham. Lagipun untuk jumpa you, jalan kaki pun I sanggup,” balas Zahar masih dengan senyumannya. Ara mendengar lagi ayat deardari mulutnya dan yang anehnya ayat itu dirasakan lebih manis berbanding penerimaan pertamanya tadi.

“ Jom, I hantar you balik,” pelawanya cuba menebus kesilapan.

Zahar menggeleng.

It’s ok. I naik teksi saja. Lagipun arah rumah kita bertentangan.”

“ Zahar, janganlah buat I rasa bersalah lagi. Marilah I hantar you balik. Bukannya jauh sangat pun,” pujuk Ara yang sememangnya tidak mahu rasa terhutang budi dengan orang. Namun Zahar tetap bertegas menolak ajakannya.

“ Kalau I minta sesuatu boleh?” Soal Zahar ketika Ara menghidupkan enjin keretanya. Ara mengangguk senang. Ketika ini dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar hukum agama.

“ Boleh you fikirkan fasal benda ni? Perkara yang sepatutnya kita bincangkan hari ni?” Melihat wajah Ara yang berubah tiba-tiba, serta-merta dia menyambung pantas.

“ I bukan nak mendesak you, cuma I minta kalau boleh you lapangkan fikiran untuk fikir, adakah ruang untuk kita hidup bersama. Bolehkan?” Balasnya lembut. Dan Ara hanya mampu mengangguk sebelum dia berlalu dari situ dengan perasaan yang bercampur aduk.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh