PROLOGKuala Lumpur, 1979
Liar matanya memerhati ruang menunggu yang kelihatan
sunyi sepi itu. Hanya dia seorang sahaja di situ. Ruang yang hanya menempatkan
sebuah meja kayu yang kelihatan ringkas namun sangat halus buatannya. Dia tahu
tentu sahaja meja itu mahal harganya. Matanya berlari semakin galak cuba
membuang kebosanan yang mula menghuni diri.
Dia cuba bersabar dan bertenang walaupun hati seakan-akan
membuak-buak mahu segera menyampaikan khabar yang dibawanya ini. Namun, sebaik
sahaja dia tiba, dia hanya diminta untuk menunggu sebentar. Dan sebentar itu
sudah beranjak hampir ke setengah jam. Apa namanya temu janji jika tidak
ditepati? Jika tidak mengenangkan upah lumayan yang bakal diperoleh, tentu
sekali dia sudah angkat kaki.
Dia merenung maklumat yang sudah dikumpulkan di dalam
satu sampul surat berwarna coklat. Semuanya ada di situ dan dia yakin, segala
usahanya ini akan mendapat perhatian dan pujian daripada empunya diri. Hari ini
buat pertama kalinya dia akan menemui lelaki itu. Selama ini mereka hanya
berurusan melalui orang tengah sahaja dan kini mereka akan bertentang mata.
Harun menahan perasaan gugup. Bukan senang dia mahu berjumpa dengan orang
kenamaan.
“ Encik Harun, boleh masuk sekarang.” Harun tersentak
apabila tiba-tiba sahaja wajah pembantu peribadi yang genit berpakaian merah
itu bersuara tiba-tiba. Gadis manis dan genit itu bernama Ainul. Nama yang
diketahui apabila terlihat tanda nama gadis itu di atas mejanya yang cantik
tersusun.
Harun mengangguk sambil menghulurkan sedikit senyuman
namun wajah Ainul berterusan serius sahaja. Dalam hati Harun mencebik. Hilang terus rasa
manis bila wajah serius begitu. Cemuhnya tidak puas hati. Dia bangun
membetulkan pakaian dan sampul coklat itu juga dibawa bersama.
Dia menarik nafas seketika sebelum masuk ke dalam pejabat
yang cukup luas itu. Hanya jelingan tajam diberikan kepada pembantu genit itu
ketika dia menutup pintu. Perhatiannya kini terarah kepada insan yang sedang
merenung ke arah luar yang dibatasi oleh dinding kaca. Tanpa menoleh dan
menyapa kedatangannya, dia mendengar lelaki itu bersuara.
“ Apa yang kau dapat?”
Harun meletakkan sampul coklat itu di atas meja.
“ Saya dah tahu siapa perempuan tu, Tan Sri. Saya tahu
segala-galanya tentang dia.”
“ Hisham ada kat sana?”
Harun mengangguk namun memikirkan lelaki itu masih
membelakanginya, dia pantas bersuara.
“ Ada, Tan Sri. Dia ada dengan perempuan tu.”
Dia mendengar lelaki kaya dan berpengaruh itu mengeluh
panjang. Mungkin tidak menjangkakan berita yang dibawanya ini. Dua hari lepas
dia diarahkan untuk menjalankan siasatan ringkas mengenai dua individu
berkenaan. Syaratnya, dia akan mendapat bayaran yang lumayan sekiranya dia
sanggup melakukan apa yang diminta dan berahsia tentang perkara itu.
Dengan gajinya yang kecil, jumlah yang diberikan cukup
untuk dia bersetuju tanpa berfikir lebih panjang. Lagipun tugasnya mudah
sahaja. Dan yang penting, dia tidak diminta melakukan apa-apa jenayah atau
kesalahan. Sekadar diminta untuk mengunci mulut, tiada masalah besar baginya.
Dia sememangnya seorang yang pandai menyimpan rahsia.
“ Tan Sri perlukan apa-apa lagi? Kalau tak ada, saya
beransur dulu,” pinta seketika kemudian. Matlamat dan kerjanya sudah selesai.
Upah juga sudah diterima, jadi tidak ada alasan untuk dia berada di situ lebih
lama.
Tan Sri Hassan Basri menggeleng. Dia memandang wajah
Harun sekilas.
“ Jumpa Ainul sebelum balik...dan tunggu untuk arahan aku
yang seterusnya.” Tambahnya lagi. Harun berkerut kerisauan. Adakah khidmatnya
diperlukan lagi untuk masa akan datang? Namun segala soalan itu hanya tersekat
difikirannya sahaja. Tanpa berlengah, dia mengangguk dan terus keluar.
Tan Sri mendengus keras. Hisham....Hisham, walau dilarang
dan ditegah tetap tidak berubah. Masih tetap dengan kepala dia sendiri. Dia
tahu, dia tidak boleh mendiamkan diri. Jika dia mengikut kehendak Hisham, akan
musnahlah seluruh kehidupan mereka nanti. Jika Hisham berdegil, dia juga boleh
membuat perangai yang serupa. Hisham itu keturunannya, dan sebagai orang tua,
dia tahu bagaimana untuk dia mengawal rentak anaknya itu.