Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,320
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

Vila Akasia, Shah Alam

“ Orang belum bersedia lagi,” putus Ara apabila ditanyakan hal itu buat kesekian kalinya. Dia merenung wajah Mak Da dengan pandangan yang cuba menunjukkan yang dia serius dengan keputusannya itu. Namun Mak Da seolah-olah tidak mendengar kata-katanya. Wanita itu berterusan membuat perancangannya walaupun kerap kali juga Ara mencelah memberitahu keputusannya.

“ Kau jangan nak buat fasal dengan aku. Zahar cakap korang ada berjumpakan minggu lepas?” Tinggi sekali nada Mak Da bersuara. Dengan kebayanya dan bercekak pinggang, entah mengapa Ara teringatkan Mak Dara yang berlakon dalam filem Ibu Mertuaku itu.

“ Memanglah orang jumpa dengan dia tapi tak ada sesiapa pun yang bincang pasal kenduri pelamin ni,” jawabnya pantas. Dalam hati berbakul sumpahan dilemparkan ke arah Zahar yang suka mengadu kepada Mak Da. Takkanlah setiap langkah dan perbuatan hendak dicanangkan kepada semua orang? Tak ada pendiriankah lelaki itu? Sikit-sikit hendak mengadu. Dia sendiri pun tidak berkata apa-apa mengenai pertemuan mereka kepada sesiapa pun. Atas perkara ini sahaja sudah tolak 150 markah untuk Zahar. Menjadikan lelaki itu ‘minus’ 50 dalam penilaiannya.

Sekali pandang, dia tidak melihat Zahar sebagai seorang yang suka mengadu ataupun membawa mulut. Orangnya nampak tenang dan sopan. Seorang lelaki ‘gentleman’. Jika tidak disetkan dalam kepala untuk menolak lelaki ini walau apa alasan sekalipun, rasanya dia boleh jatuh hati dengan lelaki bernama Zahar ini. Tetapi dengan perkembangan yang satu ini, pintu hatinya tertutup rapat.

Walaupun sesetengah orang mungkin menganggap ini sebagai perkara kecil sahaja tetapi bukan dia. Namun memikirkan manusia ini terdiri daripada pelbagai jenis dan ragam, dia terpaksa akur. Mungkin dia masih belum boleh membaca Zahar dengan lebih baik. Keadaan akan lebih baik begini. Dia tidak mahu terus memberi harapan palsu kepada Zahar jika benar lelaki itu sudah mula menyimpan perasaan.

“ Aku tak peduli. Kalau orang tua Zahar masuk meminang je, aku akan setuju.”

Ara tergamam. Tidak boleh jadi ni. Sampai bila dia harus membiarkan Mak Da berterusan membuat keputusan untuk dirinya. Dia sudah dewasa. Dan dia layak dan berhak membuat keputusannya sendiri.

“ Orang bukan nak kurang ajar Mak Da...tapi orang tak faham kenapa Mak Da nak sangat orang kahwin dengan Zahar tu. Dah macam tak ada lelaki lain. Kalau Mak Da nak sangat, Mak Da kahwinlah dengan Zahar tu?”

Panggggg....Ara jatuh terduduk sebaik sahaja lima jari Mak Da melekat pada pipinya. Perit dan sakit. Dia yakin efek tamparan itu pasti akan meninggalkan kesan pada wajahnya.

“ Puan...Ara?” Bibik yang sedang membersihkan habuk di kabinet almari, terperangah terkejut. Dia cuba menolong Ara bangun namun jerkahan daripada Zahrah mematikan niatnya. Dengan serba salah dia merenung wajah Ara yang nampaknya terkejut dengan tindakan itu. Ara hanya mengangguk padanya.

Dan dia yang tidak sanggup menyaksikan pertengkaran itu beranjak ke dapur. Minta-mintalah Tengku Hanafi pulang lekas. Dia takut sesuatu yang buruk berlaku memandangkan emosi puan besarnya itu selalunya tidak stabil. Sudah hampir 10 tahun dia berkhidmat dengan keluarga ini. Dan Ara itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Dia sendiri pun tidak mengerti mengapa Puan Zahrah beria-ia benar mahu mengahwinkan Ara dengan Zahar. Semacam ada sesuatu pula yang menyebabkan perkahwinan itu harus dilangsungkan.

“ Aku dah cakap, jangan sesekali kau kurang ajar dengan aku. Buruk padahnya.” Sebaik sahaja melontarkan kata-kata itu, dia terus berlalu naik ke biliknya. Bibik pula lekas-lekas mendapatkan Ara.

“ Ara tak apa-apa?”

Ara menggeleng sambil tersenyum nipis.

“ Sikit aje bibik. Pipi Ara ni kan tebal 40 inci.”

Bibik mengeluh. Ara...Ara...benda serius pun hendak dibuat main.

“ Jom...bibik tuam pipi tu. Nanti kalau tengku balik, nak jawab apa?”

“ Kalau abah tanya..Ara cakap bibik cium Ara sampai lebam.” Ara hanya ketawa apabila bibik menampar lengannya. Matanya mendongak ke atas seolah-olah mampu melihat bayang Zahrah di sana. Entah sampai bila hubungan mereka harus jadi begini?


Bake n' Flake, Shah Alam

'' Kenapa dengan pipi kau?”

Ara mendongak memandang Erin yang berdiri di muka pintu.

“ Assalamualaikum?” Perlinya sambil menyambung kerja meletakkan hiasan di atas permukaan kek. Pelanggannya sudah berjanji mahu mengambil jam empat nanti dan dia mempunyai masa selama 40 minit untuk menyiapkan segala-galanya. Erin masuk ke dalam dan berhenti di hadapannya.

“ Waalaikumussalam. Kenapa dengan pipi kau?”

“ Tak ada apalah. Saja aku nak pakai blusher pekat sikit hari ni tak boleh ke?” jawab Ara selamba.

“ Memang tak boleh sebab selama kita kenal dari zaman U lagi kau memang tak pernah nak mekap-mekap ni apatah lagi nak pakai blusher. Siapa punya kerja? Mak Da?” Seperti seorang pegawai sahaja Erin menjalankan siasatan. Melihat wajahnya yang penuh tekad mahu mendapatkan jawapan, Ara terpaksa akur. Piping beg diletakkan ke bawah. Dia sememangnya tidak boleh merahsiakan apa-apa langsung daripada teman baiknya itu.

“ Aku kurang ajar dengan dia semalam. Memang patut aku kena pun.” Akuinya yang turut berasa kesal dengan sikapnya sendiri. Tidak seharusnya dia mencari pasal memandangkan keadaan Zahrah yang tidak stabil.

“ Kau buat apa?”

“ Dia dok paksa aku suruh terima Zahar, aku tak nak. Last sekali aku suruh dia je kahwin dengan Zahar kalau dah suka sangat kat lelaki tu,” Dia bercerita tanpa perasaan. Melihat Erin yang seakan terkedu, dia hanya ketawa kecil.

“ Dah sudah..tak payah nak buat muka terperanjat. Aku pun tak sangka aku boleh cakap macam tu. Mak Da mesti marah sangat kan sebab selama ni apa yang aku buat dan cakap paling hebat pun dia menjerit je kat aku.” Ceritanya sambil menyentuh pipi yang masih terasa sengal. Mujur tidak meninggalkan kesan yang ketara jika dipandang hanya sepintas lalu.

“ Uncle Hanafi tahu?”

Ara menggeleng. Mujur juga ayahnya pulang lewat semalam dan dia seawal jam 7 pagi sudah terpacak di kedai kerana tempahan yang agak banyak bulan ini. Musim cuti sekolah...kenduri-kendara memang banyak. Ini bermakna kedainya juga sibuk dengan pelbagai jenis tempahan kek dan cupcakes. Erin yang memahami keadaan temannya itu hanya mampu mengeluh perlahan. Dia sendiri serba-salah bagaimana hendak menasihati Ara dalam berhadapan dengan ibu tirinya itu.

“ Mak Da kau tak sihat Ara...bersabarlah dengan dia.” Nasihatnya yang simpati dengan kehidupan yang terpaksa dilalui oleh temannya itu. Dia tahu apa yang telah menyebabkan ibu tiri Ara berubah sikap. Seperti Ara, dia juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk memulihkan keadaan.

“ Aku tahu. Sebab itulah aku tak kisah sangat apa yang dia cakap. Aku buat tak layan je. Kadang-kadang, aku pun jugak suka cari fasal dengan sengaja provok dia. Tapi...bukan dia seorang saja yang layak rasa sedih, Erin. Dia buat macam perkara ni tak ada efek pada aku. Pada abah. Kami juga rasa kehilangan. Bukan dia seorang saja.”

“ Aku tahu.” Giliran Erin pula yang termenung panjang. Entah mengapa keadaan yang mulanya ceria bertukar suram. Ada niat lain sebenarnya kedatangannya ke mari.

“ Ok..tukar topik. Tak mahu sedih-sedih. Depress je aku rasa walaupun bukan aku yang kena. Tell me about him. Aku dengar kau dating dengan dia minggu lepas.”

Mendengar soalan itu Ara membuat muka. Ini bukannya tukar topik kalau mereka masih berbual mengenai insan yang menyebabkan pipinya merah membengkak. Dia berpura-pura tidak mendengar soalan itu sehinggalah Erin mencubit lengannya. Ara mengaduh kesakitan. Dia memandang Erin dengan geram.

“ Tangan tu jangan merayap boleh tak?”

Erin hanya ketawa. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalahnya. Siapa suruh Ara berlakon lagi? Kan dah kena.

“ Macam mana dengan Zahar?'' Erin mengulangi soalannya sambil melabuhkan punggung di sebelah Ara yang sudah siap sedia mahu menyambung kerjanya. Dia sememangnya teruja apabila mendengar cerita itu daripada Ara namun hanya kini barulah dia berkesempatan untuk bertanya dan meminta laporan.

Ara tidak menjawab sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian membuat sentuhan terakhir pada kek dihadapannya. Kek yang agak sukar dibuat kerana pemiliknya mahukan kek yang berbentuk kereta. Sempena hadiah hari jadi untuk suami yang sememangnya mempunyai hobi mengumpul kereta. Mujurlah saiznya tidak sebesar kereta sebenar. Jika tidak ada yang meraung nanti.

“ Kak Ara...Puan Mazlin dah sampai.” Hani, pembantunya memberitahu.

“ Ok. Siap. Hani...tolong akak bawak kek ni ke depan.” Kedua mereka mengangkat kek kereta berkenaan dengan penuh berhari-hati. Jika sesuatu terjadi kepada kek itu tentulah Puan Mazlin dan dia berasa hampa. Kejutan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Erin terpaksa menunggu buat seketika. Salahnya juga datang ketika Ara sedang sibuk dengan tempahannya. Namun mengenangkan dia masih dalam bercuti, dia rela sahaja menunggu asalkan dia dapat mendengar kisah pertemuan itu nanti.

Beberapa minit kemudian setelah siap urusan, Ara kembali kepadanya.

“ Apa yang kau nak tahu?” akhirnya dia terpaksa mengalah. Dia tahu Erin tidak akan pergi selagi tidak mendapat apa yang dihajatkan.

“ Segala-galanya.” Balasnya dengan senyuman penuh makna. Dahi Ara berkerut melihat wajah Erin yang semacam sahaja. Kenapa Erin yang kelihatan lebih teruja daripada dia yang empunya badan?

'' Dia ok,'' jawabnya selamba seolah-olah tidak berminat untuk berbincang mengenai perkara itu.

'' Ok? Ok sahaja? Kan aku nak dengar semuanya dari A sampai Z,'' soal Erin dengan nada tidak puas hati. Punyalah dia berkejar ke sini sebaik sahaja tiba dari Sabah dan ini sahaja jawapan Ara? Cis....buat penat sahaja. Kalau dia tahu, lebih baik dia singgah akan di rumah dahulu. Gulai ikan masin bersama nenas kesukaannya sudah lama terhidang di meja.

Tetapi dia bersabar kerana dia masih lagi ingat kata-kata Ara tempoh hari....

'' Aku rasa aku kena kahwin,” Nah setelah melepaskan bom yang mampu memporak-perandakan hatinya, boleh pula dia buat wajah selamba begini. Erin menahan sabar dalam hati. Kalau diikutkan rasa geramnya, mahu sahaja dia memiat telinga Ara biar jadi capang.

'' Dia berbeza....'' terangnya dengan ringkas. Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan bagaimana orangnya Zahar itu.

'' Maksud kau?'' Ara mengangkat bahu. Lalu menceritakan apa yang berlaku tanpa bertangguh-tangguh lagi. Dan Erin, entah mengapa mendengar cerita itu matanya yang sememangnya galak itu semakin bersinar-sinar. Memang teruja dia mendengar kerana jika tidak silap pada sangkaan, dia yakin jiwa Ara yang keras mulai cair.

'' Bila dia rancang nak masuk meminang?'' Biji mata Ara terbeliak mendengar soalan yang dirasakan tidak masuk akal itu. Baru sahaja berjumpa dan belum apa-apa kata putus diambil sudah tanya bila masuk meminang. Gila apa temannya ini. Ibarat, orang mahu datang merisik, mereka sudah siap menyembelih lembu untuk lauk kenduri sahaja lagaknya.

'' Kenapa salah ke soalan aku?'' soal Erin apabila melihat riak tidak senang hati di wajah sahabat karibnya itu. Ara hanya menggeleng.

'' Tidaklah salah tapi kurang sesuai kau tanya masa ni.”

Erin yang melihat sesuatu yang lain pada wajah rakannya diam memikirkan sesuatu. Sebagai sahabat yang mengenali Ara semenjak lima tahun dahulu, dia menyokong penuh apa sahaja yang mahu dilakukan Ara selagi apa yang ingin dilakukannya itu tidak akan mendatangkan kemudaratan. Walaupun hanya lima tahun, namun entah mengapa dirasakan mereka sudah mengenali antara satu sama lain berkurun lamanya. Cukup lama dan akrab sehingga dia boleh membaca isi hati yang tidak terluah itu.

“ Kau kalau tak bersedia lagi nak kahwin, jangan kahwin. Cakap dengan abah dan Mak Da kau. Terangkan kepada mereka apa yang kau rasa. Kalau kau diamkan diri macam ni, masalah tak akan selesai,” pujuknya yang tidak sanggup melihat wajah muram durja milik Azra Qairina lagi. Kerana sesungguhnya kemuraman dan kesedihan Ara itu turut dirasainya bersama.

Ara hanya menggeleng perlahan. Bukan itu masalahnya. Dia tidak pernah berasa terpaksa atau tertekan dengan kehendak ibu tirinya itu. Dia masih mampu berkata tidak. Dia masih lagi boleh menolak. Dia sudah dewasa. Dia berkemampuan membuat keputusannya sendiri.

Walaupun ayahnya yang sebagai wali mujbir itu mampu menikahkan dia tanpa persetujuannya, namun dia yakin masalah perkahwinannya itu tidak akan sampai ke tahap ini. Tidak akan ada istilah kahwin paksa dalam hidupnya. Dan itulah yang dikatakan kepada Erin.

“ Jadi, kalau itu bukan masalahnya, kenapa kau monyok macam tikus mondok ni?” Soal Erin yang tidak mengerti.

“ Amboi sedap sungguh cakap muka aku macam tikus mondok ya. Apa...kau memang pernah tengok muka tikus tu masa tengah monyok ke?” Melengking Ara bersuara namun Erin hanya ketawa sahaja.

“ Iyalah, dah dapat jodoh yang baik macam Zahar pun kau boleh monyok lagi.”

Ara menggeleng sekali lagi. Entah mengapa ketika ini dia sukar meluahkan apa yang dirasakan kepada sahabat baiknya ini. Adakah memang benar dia sudah tertawan dengan Zahar sehingga menjadi keliru dengan perasaan sendiri?

Adakah ini hanya keegoannya yang sebelum ini begitu tegar mengatakan tidak akan ada mana-mana lelaki yang akan membuatkan hatinya cair dalam sekelip mata.

“ Aku rasa nak bercutilah. Dah sebu kepala otak aku ni dok fikir benda alah ni. Jom...kita cuti nak?” Ajak Ara tiba-tiba mengubah topik perbualan. Ya... Sudah lama rasanya dia tidak bercuti ke mana-mana. Mungkin ketika ini adalah waktu yang sesuai untuk dia memikirkan semua ini dengan sebaik-baiknya.

Mendengar saranannya itu Erin menjerit sehingga mengejutkan staf-stafnya yang lain. Ara pantas berkerut muka. Erin ni memang tau. Dalam dok diam-diam bercakap, kan semua orang sudah perhatikan mereka.

“ Kau ni apa hal nak jerit-jerit ni? Nak jadi drama queen?” Perli Ara sedikit malu menjadi perhatian seperti itu. Walaupun bukan dia yang menjerit, namun bagi pihak Erin, dia tumpang sama berasa malu walaupun Erin sendiri seperti tidak mempunyai perasaan.

Erin menampar lengannya dengan kuat.

“ Kau memang saja nak sakitkan hati aku kan. Dah tahu aku baru balik bercuti dari Sabah, kau nak ajak aku cuti lagi. Kau ingat, company tu bapak aku punya nak cuti sesuka hati?” Balas Erin dengan nada yang cukup tidak puas hati.

Sebelum ini, bukan tidak diajak Ara bercuti bersama namun atas hal yang tidak dapat dielakkan, Ara terpaksa menarik diri lalu tempatnya itu digantikan dengan teman mereka yang lain.

“ Kalau bukan bapak betul pun, tapi bakal bapak mentua kau kan?” Ara pantas memulang paku buah keras. Bukan dia tidak tahu tentang ‘skandal’ Erin dengan anak teruna syarikat perkapalan yang dia bekerja ketika ini. Mendengar kata-kata itu, Erin hanya tersenyum malu.

“ Ala...bapak mentua aku tu, masih tak tahu aku ni bakal jadi anak menantu dia. Kalau dah tahu benda ni senanglah aku nak deal dengan dia.”

Ara mencebik mendengarnya.

“ Cik Kak Erin ooi, bukan setakat bapak dia saja. Masalahnya anak dia yang konon-konon bakal suami kau tu pun tak tahu. Sudah-sudahlah berangan ya. Dahlah. Aku nak sambung kerja aku balik ni. Ada kau pun bukan boleh tolong,” selamba sahaja dia menghalau Erin pulang.

“ Iyalah...aku balik ni. Tapi kau nak pergi mana?” Masih dalam topik percutian, dan Ara tahu Erin tidak akan berganjak selagi tidak mendapat jawapan daripadanya.

Ara mengangkat bahu setelah berfikir seketika.

“ Hmmmm...Pulau Perhentian, mungkin.”

“ Pulau Perhentian? Apa tujuan kau sebenarnya ni?” Erin mendesak ingin tahu. Namun Ara hanya tersenyum nipis. Sengaja mahu mengusik temannya.

“ Tak ada tujuan apa-apa pun. Mana tahu kan aku bertemu jodoh di sana?” Balasnya penuh misteri. Dan tanpa mengendahkan Erin yang buntang biji mata, Ara terus melakukan tugasnya.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh