PROLOG II
2010
Kg Sg Akar, Batu Kurau
“ Eh... Pak Mat, lama tak nampak. Pergi mana?” Razak yang
lebih selesa dipanggil Ajak itu menegur ketika Pak Mat meletakkan barang-barang
yang diambil di atas kaunter.
“ Biasalah...rezeki anak ramai. Aku baru balik dari Alor
Setar, rumah Siti.”
“ Dengar kata, Siti baru bersalin ya Pak Mat?” Ajak
bertanya apabila teringatkan Siti yang dulu satu sekolah dengannya. Namun
menetap di Alor Setar mengikut suaminya yang bekerja sebagai tentera.
“ Ha’ah. Ni aku pi sana sebab nak tengok dia la. Anak
lelaki. Alhamdulillah. Dah tiga kali beranak perempuan, dapat lelaki pulak kali
ni,” jelas Pak Mat yang kelihatan cukup gembira dengan perkembangan dalam hidup
satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Tujuh anak semuanya lelaki
sehinggalah lahirnya Siti yang bongsu sekali.
Sedang Ajak mengira jumlah barangan, pintu kedainya
ditolak dari luar. Dia dan Pak Mat masing-masing mengangkat muka. Sekujur tubuh
yang kelihatan agak lesu dan kusut masai menghampiri mereka. Semakin dekat
semakin tengik hidung mereka menghidu bau yang kurang menyenangkan. Pak Mat
menahan rasa loya. Kalau tidak ditahan, mahu rasanya perutnya ini menghambur
keluar nasi lemak yang menjadi santapan paginya ini.
“ Dah makan Deris?” Tegur Ajak dengan penuh simpati.
Lelaki lesu dan kotor bernama Idris itu hanya menggeleng perlahan.
“ Dah...pergi belakang. Nanti aku suruh Usin bawakkan
nasi untuk kau.” Tanpa suara, Idris hanya menurut. Pak Mat hanya menggeleng kesal
melihat anak muda yang sebaya dengan anaknya itu. Entah apa silapnya nasib
Idris malang begitu.
“ Selalu dia datang makan kedai kau ni, Ajak?” Pak Mat
menyoal merenung bayang tubuh Idris yang kini sudah menghilang di balik pintu.
Sememangnya kedai runcit Ajak ini bersambung dengan kedai makan yang diuruskan
oleh keluarganya.
“ Selalu Pak Mat. Kalau tak datang waktu pagi, dia datang
petang,” terang Ajak sambil memasukkan barangan ke dalam plastik.
“ Untung dia dapat makan free selalu,” sindir Pak Mat sekali gus membuatkan pergerakan Ajak
terhenti. Dia merenung lelaki yang sebaya ayahnya dalam pandangan yang sukar
dimengertikan.
“ Rezeki dia, Pak Mat. Biarlah, saya tak kisah pun.
Banyak mana sangat dia makan pun. Ini hari dia. Hari kita nanti, kita pun tak
tahu macam mana. Saya tolong dia...mudah-mudahan dapat bantu tambah ‘bekalan’
saya di akhirat nanti.” Ajak membalas jujur. Walaupun orang bercakap
macam-macam tentang Idris itu namun yang ada dalam hatinya hanya simpati yang
menggunung tinggi.
“ Kamu tak takut dia mengamuk macam hari tu? Bila datang
gilanya, teruk kamu nanti. Kalau tak tak adalah orang panggil dia Deris Gila.”
Pak Mat ngeri memikirkan peristiwa yang berlaku dua bulan lalu apabila Idris
mengamuk dan mencederakan anak Cu Ripin sehingga kepalanya terpaksa dijahit 15
jahitan.
“ Memang patut dia mengamuk pun Pak Mat. Dah budak-budak
tu kacau dia buat apa? Dia tak pernah ganggu orang kampung pun. Dia buat urusan
dia..kalau orang tak kacau dia...dia tak kacau orang.” Ajak pantas membela
Idris. Dia tahu apa yang berlaku dan dia nampak segala-galanya.
“ Mhmmm...kamu ni membela dia pula. Sepatutnya dia duduk
kat dalam tu lama-lama. Ni boleh pula pihak hospital lepaskan dia.”
“ Biarlah Pak Mat..kesian Deris tu. Dia pun tak minta
diri dia jadi macam tu. Ni Pak Mat nak saya hantar ke rumah ke atau nak bawa
sendiri?” Soal Ajak terus menukar topik. Dia tahu walau cakap macam mana
sekalipun Idris itu tetap dipandang buruk oleh orang kampung. Hanya kerana
kesilapan yang dilakukan semasa remaja terus dicop yang bukan-bukan oleh
mereka.
“ Aku bawak kereta hari ni.” Pak Mat menghulurkan
sejumlah wang kepada Ajak. Wajah yang tadinya tersenyum manis mula kelihatan
masam-masam kelat apabila Ajak tidak sependapat dengannya.
“ Kalau macam tu, saya jual ya, Pak Mat.”
“ Mhmmm...”
Idris diam sambil menyuap nasi. Dia sedar sebaik sahaja
dia duduk di meja makan itu, beberapa orang kampung bangun meninggalkan meja
mereka. Tidak cukup dengan itu, Cu Ripin turut menghadiahkan renungan yang
cukup tajam buatnya. Dia tahu marah dan dendam lelaki itu tidak pernah hilang
kerana peristiwa dua bulan lalu. Dia sedar dia menjadi kebencian orang kampung.
Mereka memandang dan melayan dia seperti sampah.
Bertahun-tahun sudah puas dia cuba membela diri dan membuktikan dia sudah
berubah namun mereka masih tetap jijik dengannya. Dia sudah terlalu penat mahu
bercakap lalu pada suatu hari dia hanya mendiamkan diri. Dan diam itu kini
sudah berpanjangan bertahun-tahun lamanya.