Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,310
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Prolog II
PROLOG II

2010

Kg Sg Akar, Batu Kurau

“ Eh... Pak Mat, lama tak nampak. Pergi mana?” Razak yang lebih selesa dipanggil Ajak itu menegur ketika Pak Mat meletakkan barang-barang yang diambil di atas kaunter.

“ Biasalah...rezeki anak ramai. Aku baru balik dari Alor Setar, rumah Siti.”

“ Dengar kata, Siti baru bersalin ya Pak Mat?” Ajak bertanya apabila teringatkan Siti yang dulu satu sekolah dengannya. Namun menetap di Alor Setar mengikut suaminya yang bekerja sebagai tentera.

“ Ha’ah. Ni aku pi sana sebab nak tengok dia la. Anak lelaki. Alhamdulillah. Dah tiga kali beranak perempuan, dapat lelaki pulak kali ni,” jelas Pak Mat yang kelihatan cukup gembira dengan perkembangan dalam hidup satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Tujuh anak semuanya lelaki sehinggalah lahirnya Siti yang bongsu sekali.

Sedang Ajak mengira jumlah barangan, pintu kedainya ditolak dari luar. Dia dan Pak Mat masing-masing mengangkat muka. Sekujur tubuh yang kelihatan agak lesu dan kusut masai menghampiri mereka. Semakin dekat semakin tengik hidung mereka menghidu bau yang kurang menyenangkan. Pak Mat menahan rasa loya. Kalau tidak ditahan, mahu rasanya perutnya ini menghambur keluar nasi lemak yang menjadi santapan paginya ini.

“ Dah makan Deris?” Tegur Ajak dengan penuh simpati. Lelaki lesu dan kotor bernama Idris itu hanya menggeleng perlahan.

“ Dah...pergi belakang. Nanti aku suruh Usin bawakkan nasi untuk kau.” Tanpa suara, Idris hanya menurut. Pak Mat hanya menggeleng kesal melihat anak muda yang sebaya dengan anaknya itu. Entah apa silapnya nasib Idris malang begitu.

“ Selalu dia datang makan kedai kau ni, Ajak?” Pak Mat menyoal merenung bayang tubuh Idris yang kini sudah menghilang di balik pintu. Sememangnya kedai runcit Ajak ini bersambung dengan kedai makan yang diuruskan oleh keluarganya.

“ Selalu Pak Mat. Kalau tak datang waktu pagi, dia datang petang,” terang Ajak sambil memasukkan barangan ke dalam plastik.

“ Untung dia dapat makan free selalu,” sindir Pak Mat sekali gus membuatkan pergerakan Ajak terhenti. Dia merenung lelaki yang sebaya ayahnya dalam pandangan yang sukar dimengertikan.

“ Rezeki dia, Pak Mat. Biarlah, saya tak kisah pun. Banyak mana sangat dia makan pun. Ini hari dia. Hari kita nanti, kita pun tak tahu macam mana. Saya tolong dia...mudah-mudahan dapat bantu tambah ‘bekalan’ saya di akhirat nanti.” Ajak membalas jujur. Walaupun orang bercakap macam-macam tentang Idris itu namun yang ada dalam hatinya hanya simpati yang menggunung tinggi.

“ Kamu tak takut dia mengamuk macam hari tu? Bila datang gilanya, teruk kamu nanti. Kalau tak tak adalah orang panggil dia Deris Gila.” Pak Mat ngeri memikirkan peristiwa yang berlaku dua bulan lalu apabila Idris mengamuk dan mencederakan anak Cu Ripin sehingga kepalanya terpaksa dijahit 15 jahitan.

“ Memang patut dia mengamuk pun Pak Mat. Dah budak-budak tu kacau dia buat apa? Dia tak pernah ganggu orang kampung pun. Dia buat urusan dia..kalau orang tak kacau dia...dia tak kacau orang.” Ajak pantas membela Idris. Dia tahu apa yang berlaku dan dia nampak segala-galanya.

“ Mhmmm...kamu ni membela dia pula. Sepatutnya dia duduk kat dalam tu lama-lama. Ni boleh pula pihak hospital lepaskan dia.”

“ Biarlah Pak Mat..kesian Deris tu. Dia pun tak minta diri dia jadi macam tu. Ni Pak Mat nak saya hantar ke rumah ke atau nak bawa sendiri?” Soal Ajak terus menukar topik. Dia tahu walau cakap macam mana sekalipun Idris itu tetap dipandang buruk oleh orang kampung. Hanya kerana kesilapan yang dilakukan semasa remaja terus dicop yang bukan-bukan oleh mereka.

“ Aku bawak kereta hari ni.” Pak Mat menghulurkan sejumlah wang kepada Ajak. Wajah yang tadinya tersenyum manis mula kelihatan masam-masam kelat apabila Ajak tidak sependapat dengannya.

“ Kalau macam tu, saya jual ya, Pak Mat.”

“ Mhmmm...”

Idris diam sambil menyuap nasi. Dia sedar sebaik sahaja dia duduk di meja makan itu, beberapa orang kampung bangun meninggalkan meja mereka. Tidak cukup dengan itu, Cu Ripin turut menghadiahkan renungan yang cukup tajam buatnya. Dia tahu marah dan dendam lelaki itu tidak pernah hilang kerana peristiwa dua bulan lalu. Dia sedar dia menjadi kebencian orang kampung.

Mereka memandang dan melayan dia seperti sampah. Bertahun-tahun sudah puas dia cuba membela diri dan membuktikan dia sudah berubah namun mereka masih tetap jijik dengannya. Dia sudah terlalu penat mahu bercakap lalu pada suatu hari dia hanya mendiamkan diri. Dan diam itu kini sudah berpanjangan bertahun-tahun lamanya.

Previous: Prolog
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh