Bella Rosa
II
Izz
merenung Dzar yang sedang ralit memotong kayu. Buat seketika dia memerhatikan
sahaja. Dia tidak mahu menganggu keasyikan itu. Dia tahu Dzar sememangnya minat
bertukang semenjak dulu. Dia suka membina apa sahaja dengan menggunakan kudrat
dan tangannya sendiri. Dan Izz terpaksa akui, hasil tangan Dzar sememangnya
memuaskan hati. Kerjanya kemas dan teratur. Sememangnya kedatangan Dzar ke sini
adalah satu rahmat baginya.
Dia
menjeling Shera yang tersenyum malu-malu menghantar minuman untuk Dzar. Mungkin
melihat Dzar yang hanya berseluar jeans tanpa baju itu yang membuatkan dia
begitu. Izz menggeleng dan mengeluh perlahan. Sungguhpun dia gembira dengan
kehadiran Dzar di sini namun dia tahu risiko yang akan turut sama hadir bersama
empunya diri.
Risiko
seperti inilah. Kehadiran yang menjadi tarikan staf-stafnya yang masih bujang
dan baharu hendak mengenal hidup kata orang. Sebagai seorang lelaki, dia
sendiri terpaksa mengakui tarikan lelaki bernama Dzar Thalha itu. Bukan dia
tidak sedar. Semenjak mereka di Sheffield dulu, sememangnya Dzar menjadi
rebutan. Kini dia terpaksa melihat proses yang sama berulang kembali. Dan dia
mengharapkan, Dzar mampu menangani keadaan ini dengan baik.
Memikirkan
ada perkara penting yang diperlu diberitahu kepada Dzar, dia merapati mereka.
Dan Shera nampak pucat seketika melihat dia di situ. Mungkin tidak menyangka
bahawa majikan juga berada di sini. Dengan wajah membahang dan kemalu-maluan,
dia bergegas meninggalkan tempat itu.
Dzar
yang sedang menghirup minuman menggeleng perlahan. Tuala good morning yang
terselit pada jeans dicapai buat mengelap peluh di wajah.
“ Kau
bawak hantu ke sampai semua staf nampak kau je depa pucat?” Keningnya terangkat
penuh makna apabila melihat Shera berlari seperti tidak cukup tanah sahaja. Izz
hanya ketawa namun dia tidak menjawab pertanyaan itu. Dia sendiri pun tidak
mengerti apa yang membuatkan kesemua staf Bella Rosa memberikan respon sebegitu
setiap kali ternampak wajahnya. Adakah kerana sikapnya yang ‘unapproachable’
itu yang membuatkan mereka lebih senang menjauhkan diri dan berurusan dengan
Adni sahaja?
Adakah
kisah silamnya yang membuatkan mereka berasa curiga? Dia tahu kebanyakkan
stafnya masih muda dan mungkin tidak mengingati kes yang melibatkannya bertahun
dulu. Atau mungkin sahaja mereka tahu namun mengambil sikap tidak kisah kerana
kisah hitam itu sudah terlalu jauh ditinggalkan.
Dia pernah bertanyakan kepada Adni mengenai
perkara itu, namun isterinya yang manis dan manja itu hanya menggeleng cuba
meleraikan kekusutan hatinya. Mereka tidak takut, cuma mereka terlalu
menghormatinya. Itulah sahaja alasan yang diberikan namun kadang kala dia
sendiri tidak mempercayainya.
“
Pelan-pelan Dzar. Tak perlu nak kelam kabut siapkan tempat ni. Benda yang
sepatutnya siap dalam 2 bulan kau siapkan 2 minggu. Jenuh aku nak bayar nanti,”
usik Izz dalam melihat hasil kerja sahabatnya.
“ Sama
ada siap awal atau tidak, harga aku tetap sama. Kau bagi aku tumpang kat sini
pun, aku bersyukur sangat,” beritahunya sambil mengesat pasir di seluarnya.
“
Ya...tapi aku tengok sampai tengah malam kau tak tidur-tidur. Jaga diri. Kau
sakit nanti siapa yang susah?” Tegur Izz apabila memikirkan sudah banyak kali
dia melihat Dzar bekerja sehingga lewat malam seolah-olah mengejar masa.
Dzar
diam seketika mendengar kata-kata itu. Dia sedar malah tidak sesekali mahu
menafikan kenyataan itu. Ya..ada masanya dia sampai tidak tidur sehingga dua
hari kerana mahu menghabiskan kerja. Macam mana hendak diterangkan sebenarnya?
“ Kau
tak boleh tidur?” Duga Izz perlahan sambil memerhati rapat wajah teman yang
muda tujuh tahun daripadanya itu.
Dzar
mengangguk. Dia malas untuk berbohong lagi. Lagipun untuk apa kerana dia tahu
Izz pasti tidak akan percaya.
“ Dah
lama Izz, aku tak boleh tidur lena. Dah terlalu lama. Sebab tu aku suka kerja.
Aku kerja sampai aku penat fizikal dan mental. Biar aku lelah sampai aku tak
boleh fikir apa-apa pun. Sebab bila aku mahu lena, aku tak akan terfikirkan
dia,” akuinya dengan nada perlahan.
“ Dia
dah lama tak ada Dzar. Buat apa fikirkan dia lagi?” Nasihat Izz tanpa
mempersoalkan siapa ‘dia’ yang sebenarnya.
“ Dia
tak ada depan mata, tak bermakna dia hilang juga dari fikiran aku!” Dzar
mempertahankan tindakannya.
“
Teruskan hidup Dzar. Kau ada hak untuk hidup bahagia. Jangan pandang belakang
terlalu lama. Buang semua masa silam yang menyakitkan. Tumpukan pada apa yang
ada di depan kau sekarang.” Nasihat Izz telus. Dia benar-benar inginkan
kebahagian buat sahabatnya ini namun dengan gaya Dzar sekarang dia yakin
harapannya akan hanya tinggal harapan. Semuanya tidak akan menjadi kenyataan
jika Dzar masih kejap memegang tampuk masa silamnya.
“
Macam mana aku nak teruskan hidup Izz? Kau beritahu aku macam mana? Aku tak
boleh lupa. Buat macam mana sekalipun aku tetap tak boleh lupa. ‘Dia’ musnahkan
hidup aku...aku tak tahu macam mana nak anggap yang keadaan akan ok sedangkan
aku tahu semuanya memang tak ok.”
“
Dzar?” Izz cuba menenangkan perasaan namun Dzar seakan-akan
“ He killed me that night too, Izz. Bila
‘dia’ mati, dia rampas segala-galanya daripada aku. Keluarga aku...hidup
aku..maruah aku...kebahagian aku. Apa yang tinggal untuk aku lagi? Kau suruh
aku teruskan hidup. Macam mana aku nak teruskan hidup? Macam mana bila semuanya
dah tak ada?”
“
ALLAH ada, Dzar. ALLAH sentiasa ada. Kau kena ingat tu.”
Vila
Akasia, Shah Alam
Zahrah merenung wajah suaminya di balik cermin. Tengku
Hanafi yang sedang membaca itu seakan tidak sedar akan kelakuannya itu. Zahrah
mendengus perlahan. Bukan dia tidak tahu, Tengku Hanafi jika sudah membaca
memang tidak akan sedar dan peduli dengan orang di sekelilingnya. Zahrah
sedikit jauh hati. Lebih seminggu mereka berpisah, kini walaupun dia sudah
berada di depan mata, suaminya itu masih ralit melayan hobinya. Dirinya macam
langsung tidak dipedulikan.
“ Moon telefon Zah semalam...” Dia tiba-tiba bersuara
untuk memecahkan kesunyian.
“ Dia nak apa?” Dari atas tilam, Tengku Hanafi angkat
muka bertanya. Buku berkulit keras itu diletakkan di atas paha. Dia mendengar
keluhan isterinya sebentar tadi. Bukannya dia tidak sedar. Dia tahu, Zahrah
terasa hati dengannya. Dan dia bukanlah terlalu dungu sehingga tidak menyedari
apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia tidaklah sampai terperap dalam dunianya
sendiri sebaik sahaja buku berada di tangan seperti tanggapan Zahrah.
“ Abang ni, macam tak tahu pula kenapa Moon dok asyik
telefon. Fasal Zahar dengan Aralah, apa lagi.” Zahrah bangun menghampiri
suaminya. Hajat teman baiknya harus disampaikan dengan segera. Hajat dia juga
sebenarnya.
“ Moon tanya, bila mereka sekeluarga boleh masuk
meminang? Lagipun dah lama sangat mereka berhajat nak bermenantukan Ara tu.
Kasihan pula, hampakan harapan orang.”
Tengku Hanafi ketawa mendengar kata-kata isterinya itu.
“ Harapan Moon ke harapan Zah?” Sindirnya masih dengan
tawa.
“ Bukan abang tak tahu apa konspirasi Zah dengan Moon
tu,” tambahnya lagi. Dia juga tahu di sebalik harapan itu, ada insan yang lain
turut memainkan peranannya.
Zahrah yang mendengar menjadi manis-manis kelat wajahnya.
Dia tahu dia tidak dapat menolak kata-kata suaminya itu. Semenangnya semenjak
dahulu lagi dia dan sahabat baiknya Moon itu merancang perkahwinan anak mereka
berdua. Dan rancangan itu semakin rancak hendak direalisasikan mengenangkan
Zahar dan Ara masing-masing sudah dewasa.
“ Tak kisahlah harapan siapa pun. Pokoknya saya dan Moon
dah tak sabar nak berbesan. Abang ada cakap tak dengan Ara fasal benda ni?”
Desaknya lagi. Tidak sabar mahu mengatakan iya kepada teman baiknya sendiri.
Dia tahu dia terpaksa mengharapkan suaminya untuk memujuk Ara kerana apa sahaja
pujukan dan alasan yang diberikan Ara tidak akan mengubah keputusan yang telah
diambilnya.
Dia masih ingat kedatangan Zahar beberapa hari lepas. Dia
melihat Ara melayan Zahar dengan baik. Keduanya memang nampak secocok. Bagai
pinang dibelah dua. Dia tidak tahu kenapa Ara seakan berkeras dan sukar dipujuk
sedangkan dia tahu Zahar itu bukan calang-calang lelaki. Kaya dan berketurunan
baik. Keluarganya juga amat berpengaruh. Apa lagi yang Ara mahu? Dia sendiri
tidak dapat memahaminya.
Menurut apa yang dikatakan oleh Moon kepadanya tadi,
Zahar seperti sudah jatuh hati. Mungkin pertemuan itu mendatangkan kesan yang
positif kepada mereka berdua. Mungkin juga Ara tidak mahu kelihatan mudah di
mata Zahar jadi dia berpura-pura dingin dan jual mahal. Namun benar juga kata
pepatah yang mengatakan hati perempuan ini seperti kerak nasi. Dijirus air maka
lembutlah dia.
“ Berjaya juga hasrat saya nakkan Zahar sebagai menantu,
bang,” luahnya dengan senyuman mekar di bibir.
Sekali lagi Hanafi ketawa melihat keyakinan jitu
isterinya. Pengantin belum berkata iya, kompang sudah berbunyi. Tinggi sungguh
harapan Zahrah. Dia takut kalau-kalau impian menggunung itu terhempas jatuh ke
bumi. Sakitnya tidak terperi nanti.
“ Zah...jangan kerana guruh gempita di langit, air dalam
tempayan dicurahkan. Abang tak nak Zah yang kecewa nanti. Lagipun Ara tak cakap
apa-apa pun dengan kita. Abang tak rasa dia setuju dengan tindakan Zah tu.
Tengoklah gaya dia setiap kali kita sebut nama Zahar. Buat endah tak endah aje.
Ara dah besar. Biarlah dia cari jodoh dia sendiri. Kalau dia tak mahukan si
Zahar tu, buat apa kita nak paksa dia?” Tengku Hanafi tetap tidak setuju dengan
campur tangan Zahrah dalam menentukan soal hidup Ara.
Dia faham jodoh tidak boleh dipaksa dan dia sendiri
sebagai bapa sanggup memberikan kebebasan kepada Ara memilih lelaki yang boleh
menjadi pelindungnya dunia dan akhirat. Dia sanggup menerima sesiapa sahaja
asalkan lelaki itu mampu membahagiakan anaknya. Tetapi Zahrah juga degil dengan
matlamatnya. Dan dia takut tindakan itu akan membuatkan Ara akan bertambah jauh
daripada mereka semua.
“ Macam mana dia boleh tak nakkan Zahar. Zahar tu baik
budaknya. Hormat orang tua. Kita sendiri dah kenal Zahar tu dari kecil lagi.
Saya dah lama teringin nak bermenantukan Zahar tu. Abang kena pujuk juga Ara
untuk terima keputusan saya ni. Tak boleh tidak. Selama ni saya tak pernah
masuk campur pun macam mana abang nak besarkan anak abang tu. Saya biarkan saja
sebab saya tak nak Ara benci saya. Tapi abang tahukan apa yang berlaku. Kalau
tak kerana ‘perkara’ dulu, saya pun tak paksa Ara, bang.”
Tengku Hanafi menggeleng perlahan apabila Zahrah menyebut
tentang ‘perkara’ dulu. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya itu.
Perkara yang menyebabkan marah Zahrah terhadap Ara seakan tidak pernah surut.
Tidak mahu merumitkan keadaan dia hanya mendiamkan diri. Apa yang boleh
dikatakan lagi bila isterinya sudah mula mengungkit tentang peristiwa silam?
“ Zah...benda tu dah berlaku 7 tahun lepas. Sampai bila
Zah terus nak salahkan Ara? Sampai bila Zah nak terus hukum dia? Ara sendiri
pun tak pernah minta semua ni berlaku...lepaskan Ara...lepaskan dia dari
hukuman yang tak berpenghujung ni....”
Mata Zahrah tajam mencengkam merenung suaminya. Lepaskan?
Tidak! Dia tidak akan melepaskan Ara semudah itu. Ara telah memusnahkan
hidupnya. Masakan Ara hendak dilepaskan begitu sahaja. Tidak! Tidak sesekali.
Sampai mati pun dia tetap mahu Ara membalas atas dosa yang telah dilakukannya.
Tanpa berkata sepatah pun, dia terus bangun keluar bilik. Tidak sanggup dia
duduk berlama-lama di dalam bilik ini mendengar suaminya membela Ara. Kenapa
hanya dia yang menderita? Kenapa dia yang harus menerima kesannya?
Terpejam mata Tengku Hanafi melihat kelakuan isterinya.
Ya ALLAH...sampai bilakah semua ini akan berakhir? Terikat dan berbelah bahagi
simpatinya antara anak dan isteri sendiri. Antara kedua mereka, mana satu
pilihannya? Dia buntu. Benar-benar buntu. Sayangnya tetap tidak berganjak buat Ara
namun simpatinya tetap hadir pada isteri yang tidak sihat jiwanya. Tenangkan
hati dia Ya ALLAH...berilah dia ketabahan dan kekuatan untuk terus reda dengan
apa yang telah berlaku.