Melur & Thyme, Suria KLCC
Ara melirik jam di pergelangan
tangan. Sudah lima belas minit dia menunggu namun bayang Zahar langsung tiada.
Susah sangatkah untuk mendail nombor telefonnya dan beritahu jika terlewat atau
ada halangan sekalipun? Bila mahu berjumpa pandai pula telefon berkali-kali
mahukan kepastian.
Dan kini, sudah dapat apa yang dimahu, dirinya pula
terkontang-kanting dibiarkan menunggu seperti buah tidak akan pernah gugur ini.
Jika dia boleh menjaga masa dan berpegang pada janji, dia juga mengharapkan
Zahar juga boleh memberikan komitmen yang sama.
Dia merenung jam sekali lagi. Jika dalam masa lima minit
dia masih sendiri, dia berniat mahu pergi sahaja dari situ. Dan selepas ini,
jika disembah pujuk rayu sekalipun dia tidak akan keluar dengan Zahar lagi.
Huh! Lelaki munafik, kutuk Ara yang sememangnya berapi mengenangkan fiil Zahar.
Seketika kemudian dia beristighfar berkali-kali.
Tidak mahu tewas kepada hasutan Syaitan. Manusia memang
begitulah sikapnya. Kalau dah namanya benci...buat silap sikit pun
berbakul-bakul sumpahan dikenakan. Cuba yang sedang dinanti itu adalah kekasih
hati. Menunggu tiga jam sekalipun rasanya mampu tersenyum manis lagi.
“ Cik nak pesan sekarang ke? Ataupun minum dulu?” Tegur
seorang pelayan bertudung dan uniform putih itu datang bertanya. Ara mahu
menggeleng namun memikirkan sememangnya perutnya masih belum terisi, dia lantas
mengangguk dan mengambil menu yang dihulurkan.
“ Set A, sup tomyam dan carrot juice,” pesannya tanpa mengambil masa yang lama. Pelayan
tersebut mengangguk dan berlalu dari situ. Ara membetulkan tubuh dan duduk
menyandar mahu menenangkan diri. Tidak kisahlah jika Zahar muncul ataupun
tidak. Dia sudah tidak peduli. Macam mana Zahar ini boleh menjadi menantu
pilihan abah dan Mak Da sedangkan jelas sekali lelaki ini langsung tidak boleh
diharap. Beg sandang ditarik ke sisi dan dia mengeluarkan sebuah novel yang
baru di beli semasa singgah di MPH sebentar tadi.
Buku Antalogi Jiwa Kacau itu ditatap dengan penuh
perasaan. Ya..sesuai dengan moodnya petang ini yang sememangnya tengah kacau
bilau jiwanya. Dan untuk seketika dia membaca penuh khusyuk lima kisah thriller yang terdapat di dalamnya. Dan
dia terus larut dengan kisah-kisah tersebut.
“ Sorry...lama
you tunggu I?” Tegur satu suara seraya menarik kerusi di hadapannya. Ara
panggung kepala dan melihat wajah Zahar tersenyum memandangnya. Huh! Langsung
tidak ada muka bersalah membiarkan dia menunggu lama.
“ Kita janji nak jumpa ke?” Soal Ara kepada lelaki
tersebut. Zahar nampak tergamam dengan soalannya namun seketika kemudian dia
kembali tersenyum mengenangkan Ara mungkin merajuk dengannya.
“ Ala sorry la dear. Tayar kereta I rosak masa I dalam
perjalanan ke sini. Nak callyou tapi
bateri I kong, dan nak call dari public I tak hafal nombor you pula...ini
pun I datang juga dengan harapan you masih ada. I minta maaf ya?” Terang Zahar
lancar seperti dihafal-hafal sahaja alasan dan penjelasannya itu.
Terbeliak mata Ara mendengar Zahar memanggilnya dear. Ewah ewah belum apa-apa sudah
berani ya. Dan alasan yang diberikan...Ara menggeleng perlahan. Beristighfar
dan mengira satu hingga sepuluh. Entah mengapa dia cukup rasa terhina dengan
alasan yang diberikan. Sangat tipikal dan klise sekali. Tiada alasan lainkah
yang boleh diberikan?
“ You tak percaya cakap I ya?” Zahar
meminta kepastian apabila Ara berterusan memandangnya tanpa suara. Dan wajah
itu sememangnya langsung tidak percaya dengan apa yang dikatakannya. Tidak
perlu bertanya kerana semuanya jelas kelihatan.
Dia melihat Ara mengjungkit bahu dan berkata “Whatever...” Dan dengan selamba terus
menjamu selera. Steambot terus menggelegak di atas stove dan tanpa diminta,
Zahar memperlahankan apinya.
“ Ara...jangan macam ni. Kalau you
terus-menerus begini macam mana kita nak bincang tentang hal kita?” Dengan
penuh kesabaran dia mula mengajak Ara berbincang. Sekali lagi dia melihat mata Ara
terbeliak. Zahar menahan senyum. Dia kini tahu satu perkara, Ara suka
terbeliakkan matanya.
“Hal kita?” Ara menyoal sambil
meletakkan chopsticknya. Sesungguhnya hati semakin berasa tidak tenang apabila
mendengar ayat ‘ Hal Kita’ itu. Sejujurnya niat utama dia bersetuju mengadakan
pertemuan dengan Zahar di luar adalah untuk menegaskan pendiriannya yang tidak
mahu berkahwin lagi buat masa terdekat ini.
Dan juga ingin memberitahu kepada lelaki yang sentiasa
tersenyum ini bahawa dirinya bukanlah menjadi pilihan sekiranya sudah sampai
saat dan ketika untuk dia berumah tangga.
Ya! Itulah yang mahu dia katakan
dalam pertemuan ini, namun entah mengapa lidahnya menjadi kelu dan kaku. Dia
hanya mampu memandang sahaja Zahar bercerita di depannya. Huh! Tidak boleh jadi
ni, jika dia terus dungu begini, Zahar pasti menyangka diamnya ini tanda
setuju.
Tidak! Tidak! Dia
tidak mahu. Dia masih belum bersedia. Ara...beritahu dia. Beritahu dia segera.
Bisik hati nalurinya namun seperti tadi dia hanya diam membisu. Dalam kepala Ara
sudah membayangkan dia menusuk jantungnya sendiri dengan pedang.
“ You tahukan dengan rancangan orang
tua kita mahu jodohkan kita berdua?” Zahar mengambil keputusan untuk terus
kepada tujuan apabila melihat Ara sudah seperti disumpah menjadi patung mumia
sahaja. Ara mengangguk mengiakan.
Ya...rasanya semenjak dari tahun lepas lagi orang tuanya
sudah memberikan hinttentang niat
mereka itu. Dan selama itu jugalah dia memberikan hint yang dia tidak mahu, namun kemahuan nekad kedua-dua ibu bapa
mereka sememangnya sukar ditolak.
“ I nak you tolak...”
“ I nak you terima...” Mereka
bersuara serentak dan masing-masing tergamam mendengar pendapat masing-masing.
“ You nak terima? You gila ke apa?” Ara
bersuara nyaring sekali gus menyebabkan semua mata memandang ke arahnya. Namun
dia tidak peduli dengan semua itu. Dan dia sesungguhnya tidak nampak sesiapa
langsung melainkan lelaki di hadapannya ini. Dia ingin tahu sekali apa yang
membuatkan Zahar bersetuju dengan rancangan orang tua mereka. Hatinya semakin
kalut. Ya ALLAH matilah aku...Ara menggelabah. Rasanya mahu sahaja dia
melarikan diri daripada situ. Dan Zahar pula kenapa dia boleh sebegini tenang? Ara
tidak puas hati langsung.
“ You nak tolak? Kenapa?” Giliran
Zahar pula bertanya namun suaranya kedengaran lebih lembut dan memahami. Ara
meraup wajahnya. Kenapalah dia tidak mempunyai ketenangan seperti mana lelaki
ini?
“ Zahar, I setuju jumpa dengan you
hari ni bukan saja-saja tau. I setuju sebab I andaikan you mahu kita sama-sama
menolak rancangan orang tua kita. I fikir, you mahu kita berbincang cara yang
terbaik untuk menolak rancangan mereka,” jelas Ara yang sudah mula mampu
mengawal perasaannya.
“ Kenapa I nak buat macam tu?”
Soalan Zahar sekali lagi membuatkan Ara terkedu. Dia menarik nafas panjang
sebelum membentangkan hujahnya.
“ Kenapa? You sedar tak, yang kita
tak kenal satu antara lain. Haluan hidup kita berbeza. You tak kenal I dan I
pun tak kenal siapa you.”
“ Kalau you tak kenal I, macam mana
you boleh yakin yang haluan hidup kita berbeza?” Zahar menyampuk pantas
kata-katanya.
“ Tak...” Ara menggeleng lagi. Dia
tidak percaya ini yang berlaku ke atasnya. Macam mana hendak diterangkan kepada
Zahar bahawa...Tidak! Dia masih belum bersedia. Untuk berbicara dengan lelaki
ini, dia masih belum bersedia lagi. Bukan ini yang dimahukannya.
“ I balik dulu...fikiran I tengah
kacau dan I takut I tak mampu berbincang secara rasional. So....” Ara segera
bangun mencapai beg sandangnya untuk berlalu dari situ. Zahar yang kelihatan
hampa, hanya mampu menurut. Dia sedar, dia tidak boleh terlalu mendesak dan
memaksa.
Mahu menarik rambut di dalam tepung perlu kena dengan
caranya. Rambut tidak boleh putus dan tepung tidak boleh berselerak.
“ Marilah. I temankan you ke kereta,” pelawanya yang
turut sama bangun. Tidak mengapalah. Masih ada masa lagi untuk mereka
berbincang. Jika Ara masih belum bersedia, dia sanggup menunggu.
Mereka beriringan sepanjang
perjalanan ke tempat parkir. Sepatah perkataan langsung tidak keluar daripada
mulut kedua-duanya. Hanya apabila tiba di tempat kereta itu barulah Ara menoleh
ke sebelahnya.
“You parkir kat mana?” Zahar tersenyum mendengar soalan
itu. Dia merenung wajah Ara penuh makna sehingga tertunduk malu gadis itu
“ You langsung tak dengar ya penjelasan I tadi atau you
tak percaya cakap I?”
Ara bingung seketika sebelum dia
teringatkan penjelasan Zahar ketika tiba lewat sebentar tadi. Dia menepuk
dahinya tiba-tiba.
“ Oh...jadi memang betul kereta you rosak?” Soalnya
dengan rasa bersalah. Tidak fasal-fasal dia berdosa hari ini. Nampaknya dia harus
meminta maaf dengan lelaki ini.
Zahar hanya ketawa.
“ I dah agak dah you memang tak akan percaya bila I cakap
kereta I rosak. Tapi tak mengapalah...memang salah I pun sebab datang lambat
kan?”
“ Iyalah..alasan you tu klise
sangat. Macam tak ada alasan lain...” Ara mengusik dan dia sudah mula tersenyum
kini.
“ I minta maaf ya sebab bersangka buruk terhadap you,”
sambungnya lagi.
“ Tak apa. I tak salahkan you.”
Zahar cuba meringankan rasa bersalahnya.
“ Habis tu you datang sini naik
apa?”
“ Teksi.” Pendek sahaja jawapannya
itu dan Ara terkesima. Tiba-tiba dia rasa terharu dan rasa bersalahnya jatuh
bertimpa-timpa lagi.
“ I minta maaf.”
“ Hey it’s ok dear...I faham. Lagipun untuk jumpa you, jalan kaki pun
I sanggup,” balas Zahar masih dengan senyumannya. Ara mendengar lagi ayat deardari mulutnya dan yang anehnya ayat
itu dirasakan lebih manis berbanding penerimaan pertamanya tadi.
“ Jom, I hantar you balik,”
pelawanya cuba menebus kesilapan.
Zahar menggeleng.
“ It’s ok. I
naik teksi saja. Lagipun arah rumah kita bertentangan.”
“ Zahar, janganlah buat I rasa
bersalah lagi. Marilah I hantar you balik. Bukannya jauh sangat pun,” pujuk Ara
yang sememangnya tidak mahu rasa terhutang budi dengan orang. Namun Zahar tetap
bertegas menolak ajakannya.
“ Kalau I minta sesuatu boleh?” Soal
Zahar ketika Ara menghidupkan enjin keretanya. Ara mengangguk senang. Ketika
ini dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar hukum agama.
“ Boleh you fikirkan fasal benda ni?
Perkara yang sepatutnya kita bincangkan hari ni?” Melihat wajah Ara yang
berubah tiba-tiba, serta-merta dia menyambung pantas.
“ I bukan nak mendesak you, cuma I minta kalau boleh you
lapangkan fikiran untuk fikir, adakah ruang untuk kita hidup bersama.
Bolehkan?” Balasnya lembut. Dan Ara hanya mampu mengangguk sebelum dia berlalu
dari situ dengan perasaan yang bercampur aduk.